Thursday 24 July 2014

Status Hadis Solat Sunat Khas Pada Jumaat Terakhir Di Bulan Ramadhan



Saya ditanya tentang status hadis di dalam gambar ini. Maka saya kata ia PALSU DAN DUSTA. Ia tidak diriwayatkan dalam kitab hadis. Ulama hadis juga menghukum palsu ke atas hadis yang hampir sama dengan hadis ini. Berikut keterangannya:

1. Kata al-Syaukani:

حديث من صلى في آخر جمعة من رمضان الخمس الصلوات المفروضة في اليوم والليلة قضت عنه ما أخل به من صلاة سنته هذا موضوع لا إشكال فيه ولم أجده في شيء من الكتب التي جمع مصنفوها فيها الأحاديث الموضوعة ولكنه اشتهر عند جماعة من المتفقهة بمدينة صنعاء في عصرنا هذا وصار كثير منهم يفعلون ذلك ولا أدري من وضعه لهم فقبح الله الكذابين

Maksudnya: Hadis: "sesiapa yang solat lima waktu pada Jumaat terakhir di bulan Ramadhan sehari semalam maka telah sempurnalah solatnya yang tidak sempurna sempanjang tahun". Ini hadis palsu tidak ada kekeliruan padanya dan saya tidak menjumpainya dalam mana-mana kitab yang penulisnya mengumpulkan hadis palsu tetapi ia masyhur dalam kalangan kumpulan pelajar fiqh di bandar San'aa (Yaman) di zaman kita ini dan ramai antara mereka yang melakukannya. Saya tidak tahu siapa yang mereka cipta hadis ini untuk mereka. (Semoga) Allah memburukkan orang-orang yang berdusta. (al-Fawaid al-Majmu'ah, hlm. 54)

2. Kata Abdul Hayy al-Laknawi:

حديث من قضى صلوات من الفرائض في أخر جمعة من رمضان كان ذلك جابرا لكل صلاة فائتة من عمره إلى سبعين سنة قال علي القاري في موضوعاته الصغرى والكبرى باطل قطعيا لأنه مناقض للإجماع على أن شيئا من العبادات لا يقوم مقام فائتة سنوات ثم لا عبرة بنقل صاحب النهاية ولا بقية شراح الهداية لأنهم ليسوا من المحدثين ولا أسندوا الحديث إلى أحد من المخرجين

Maksudnya: Hadis: "sesiapa  yang mengqadha' solat fardhu pada Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan maka ia menjadi penampung bagi solat yang ditinggalkan sepanjang 70 tahun dari umurnya". Kata Ali al-Qari dalam (kitab) Maudhu'atnya: (Hadis ini) BATIL SECARA PASTI KERANA IA BERCANGGAH DENGAN IJMA' YANG MENYATAKAN BAHAWA SETIAP SESUATU DARIPADA IBADAT TIDAK BOLEH MENGGANTIKAN IBADAT LAIN YANG DITINGGALKAN BEBERAPA TAHUN. Tidak diambil kira nukilan pengarang kitab al-Nihayah dan beberapa pengarah kitab-kitab syarah bagi kitab al-Hidayah kerana mereka bukanlah muhaddithin (ahli hadis) dan mereka tidak membawa sanad bagi hadis ini dari kitab-kitab (muhaddithin) yang meriwayatkan hadis dengan sanad. (al-Athaar al-Marfu'ah fi al-Akhbar al-Maudhu'ah, hlm. 85)

Jika kita lihat alasan yang diberikan oleh Syeikh Mulla Ali al-Qari, maka kita dapat simpulkan bahawa hadis dalam gambar ini juga mempunyai ciri yang sama iaitu solat sunat boleh menggantikan qadha' solat fardhu selama 400 tahun. Tambahan pula ia tidak diriwayatkan dalam kitab hadis bersanad. Maka saya katakan hadis ini palsu. Jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai titik mula untuk kita bersihkan lidah dan jari kita kita bercakap atau menulis sesuatu yang merupakan pendustaan terhadap Nabi sallallah 'alaih wasallam. Wallahua'lam.


2 comments:

  1. https://ahlulbaitrasulullah.blogspot.com/2013/07/shalat-kafarat-di-jumat-terakhir.html

    ReplyDelete
  2. sheikh syaukani ghair muqallid dan dia berguru dgn Ulama syiah zaidiyah

    ReplyDelete