Saturday 22 December 2012

Katakan tidak kepada Muharrifun!

Literalis VS Muharrifun

Akhir-akhir ini sering kali kedengaran tafsiran-tafsiran literal golongan agamawan. Tidak dinafikan tafsiran literal akan memandulkan sifat fleksibiliti agama ini. Ini kerana nas terhad manakala kehidupan manusia terus berjalan dan isu-isu baru yang memerlukan hukum pula akan muncul. Maka Maqasid Syariah merupakan salah satu dalil untuk memberikan hukum terhadap isu-isu baru. Mustahil bagi agama yang diturunkan oleh Allah kepada manusia dan jin ini tidak mempunyai objektif pensyariatan (المقاصد). Mereka yang memahami nas tanpa memerhatikan atau memahami objektif di sebaliknya sama seperti seseorang yang menerima arahan dari tuannya supaya jangan memberi salam kepada si fulan, kemudian apabila berjumpa dengan si fulan beliau terus mencium tangannya dengan alasan yang dilarang oleh tuannya hanyalah memberi salam. (Rujuk Ibn al-Qayyim, I'lam al-Muwaqqi'in, jld. 3, hlm. 141)

Wujud pula golongan Muharrifun

Belum lagi habis isu literalis, kedengaran pula golongan baru yang boleh dipanggil Muharrifun. Mereka memesongkan makna kalam seteru akademik mereka. Walaupun tidak dapat dipastikan bila golongan ini muncul, tapi ia tetap ada. Gelanggang ilmiah di Malaysia yang sepatutnya menjadi medan penghujahan dan pendalilan yang sihat untuk mencari pandangan yang tepat apabila berlaku perbezaan mazhab fiqh menjadi tidak harmoni lagi apabila terpalit dengan tafsiran golongan Muharrifun yang memesongkan pandangan-pandangan seteru akademik mereka dengan tafsiran yang tidak pernah dimaksudkan oleh pengucapnya.  

Sesungguhnya bahaya perbuatan memesongkan ucapan orang sehingga dengan tafsiran yang dia sendiri tidak maksudkan amat bahaya. Nabi saw pernah menyebut:

" يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله، ينفون عنه تحريف الغالين، وانتحال المبطلين، وتأويل الجاهلين "

Maksudnya: Agama ini akan dipikul dalam setiap generasi oleh orang-orang yang adil (baik) yang mana mereka ini menafikan (dari agama yang suci ini) segala pemesongan orang yang melampau, anutan orang-orang yang batil dan takwilan-takwilan orang jahil. (Hadis riwayat al-Tahawi dalam Musykil al-Athar, disahihkan oleh al-Albani)

Ya, hadis di atas membicarakan tentang tafsiran terhadap nas yang mana ia cukup bahaya tetapi bahaya memesongkan makna kata-kata sarjana juga tidak kurang mudaratnya. 

Mencari Pengaruh

Tidak dapat dipastikan niat disebalik perbuatan ini. Berkemungkinan juga ia terbit hasil dari kelemahan daya analisis. Mungkin juga perbuatan ini hanya untuk mencari pengaruh setelah tidak mampu lagi berhujah secara sihat. Jika benar semua ini adalah untuk semata-mata mencari pengaruh maka malang sungguh bagi golongan ini yang hanya mencari habuan dunia yang berupa pengaruh dengan menggunakan jalan yang kotor dan jijik. Usaha mereka ini hanyalah untuk menjadikan pandangan seteru mereka dipandang sesat oleh masyarakat.

Contoh-contoh Pemesongan Makna Oleh Muharrifun

1. Apabila salah seorang berkata: Saya memilih pandangan yang menyatakan bahawa jilatan babi tidak perlu disamak tetapi hanya perlu dibasuh dengan air sekali sahaja. Pandangan inilah yang dipegang oleh majoriti ulama dan al-Nawawi sendiri cenderung kepada pandangan ini. (rujuk: al-Majmuk, jld. 2, hlm. 586). Ini kerana hadis hanya menyatakan jilatan anjing sahaja.

- Kata sebahagian muharrifun apabila mendengar kata-kata di atas: Mereka ini wahabi sesat kerana telah mengatakan sentuhan babi tidak perlu samak jilatan babi. Maknanya mereka menghalalkan dan membenarkan makan babi!

- Kita jawab: bila pula ayat di atas membenarkan makan babi? bukan semua benda yang tidak najis boleh dimakan. Arak pada sebahagian ulama (al-Syawkani) tidak najis, tetapi ia tetap haram.


2. Apabila salah seorang berkata: Wudhu' tidak terbatal apabila menyentuh@tersentuh wanita ajnabi jika tidak menimbulkan syahwat. Ini berdasarkan hadis sahih dan ia adalah pandangan Mazhab Hanbali.

- Kata sebahagian muharrifun apabila mendengar kata-kata di atas: Mereka ini sesat! Maknanya boleh lah raba perempuan ajnabi kalau macam itu?!

- Kita jawab: Ayat di atas tidak sedikit pun menunjukkan boleh nya meraba perempuan ajnabi. Soal sentuh perempuan boleh jadi secara tidak sengaja seperti sewaktu tawaf, boleh jadi juga menyentuh isteri.

3.  Apabila salah seorang berkata: Jangan taksub mazhab. Semua imam-imam mazhab ini berusaha untuk mencari kebenaran. Tetapi mereka manusia juga yang tidak terlepas dari salah dan silap. Apabila dalam satu-satu isu kita dapati imam mazhab kita tersilap, maka kita boleh ambil pandangan mazhab lain yang lebih tepat.

- Kata sebahagian muharrifun apabila mendengar kata-kata di atas: Tengok tu, hang pandai sangat ke sampai nak tolak mazhab?!

- Kita jawab: Bila pula kita menolak mazhab? bahkan kita tegaskan jangan taksub mazhab. Jangan taksub kepada mazhab bukan bermakna menolak kesemuanya.

Kembali Sucikan Niat

Lihatlah betapa jauhnya kesimpulan yang dilakukan oleh golongan ini. Sebaiknya kita sama-sama menilai kembali setiap penilaian kita terhadap orang supaya kita tidak menuduhnya dengan sesuatu yang dia tidak maksudkan.

Rozaimi Ramle
22/12/2012
Sweileh, Amman, Jordan

Wednesday 5 December 2012

Benarkah tiada jihad jika bilangan tentera Kafir melebihi 2 kali ganda daripada bilangan tentera Muslimin?

Heboh diperkatakan baru-baru ini bahawa ada seorang ustaz mengeluarkan fatwa bahawa tiada jihad apabila bilangan tentera musuh (kuffar) melebihi dua kali ganda bilangan tentera Muslim atau dengan kata lain bilangan musuh melebihi bilangan tentera Muslim dengan nisbah 2:1. Saya mengulas pandangan ustaz terbabit seperti berikut:

1. Ayat yang mungkin dijadikan asas oleh ustaz berkenaan untuk menyokong pandangannya ialah firman Allah dalam surah al-Anfal (65-66):

 يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى الْقِتَالِ إِن يَكُن مِّنكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُواْ مِئَتَيْنِ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّئَةٌ يَغْلِبُواْ أَلْفًا مِّنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لاَّ يَفْقَهُونَ(65) الآنَ خَفَّفَ اللّهُ عَنكُمْ وَعَلِمَ أَنَّ فِيكُمْ ضَعْفًا فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّئَةٌ صَابِرَةٌ يَغْلِبُواْ مِئَتَيْنِ وَإِن يَكُن مِّنكُمْ أَلْفٌ يَغْلِبُواْ أَلْفَيْنِ بِإِذْنِ اللّهِ وَاللّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ(66)

Maksudnya:

Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.

Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.


2. Sebenarnya ayat ini bukanlah bermaksud membatalkan jihad jika bilangan tentera musuh melebihi 2 kali ganda. Sebaliknya ayat ini hanya menyatakan bahawa jika bilangan tentera musuh melebihi 2 kali ganda tentera Muslimin boleh berundur dari medan peperangan. Inilah yang difahami daripada ayat di atas. Berikut adalah komentar ulama terhadap ayat di atas:

i. Tafsir Ibn Abbas

فكتب أن لا يفر مائة من مائتين

Maksudnya: Allah mewajibkan 100 orang tentera (Muslimin) tidak boleh lari (meninggalkan medan jihad) jika bilangan tentera musuh 200 orang.


الشوكاني، فتح القدير، ج2، ص472


ii. Komentar Ibn Jawzi

 والمراد يقاتلوا مائتين وكان هذا فرضا في أول الأمر ثم نسخ بقوله: الآن خفف الله عنكم ففرض على الرجل أن يثبت لرجلين فان زادوا جاز له الفرار

Maksudnya: Yang dimaksudkan (daripada ayat di atas) ialah: Mereka (org Muslimin yang berjumlah 20 orang) mesti bertempur dengan 200 tentera kafir itu, dan perintah ini adalah fardhu (wajib) bagi permulaannya. Kemudian perintah ini dinasakhkan (dibatalkan) dengan firman Allah: "Sekarang Allah meringankan daripada kamu" maka Allah wajibkan ke atas seorang lelaki (Muslim) untuk tetap bertempur dengan dua orang kafir dan apabila mereka (kafir) melebihi dari itu maka dibenarkan Muslim itu beredar dari pertempuran.

ابن الجوزي، زاد المسير، ج3، ص378

iii. Komentar al-Syaukani

 قال سفيان وقال ابن شبرمة : وأرى الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر مثل هذا إن كانا رجلين أمرهما وإن كانوا ثلاثة فهو في سعة من تركهم

Maksudnya: Kata Ibn Syubrumah: Aku berpandangan bahawa proses Amar makruf dan Nahi Munkar seperti ini (iaitu seperti bilangan jihad juga) jika orang kafir itu bilangannya 2 orang maka dia boleh menyeru mereka berdua, tetapi jika bilangan mereka 3 orang dan ke atas maka dia mempunyai ruang (kebebasan) untuk meninggalkan mereka

الشوكاني، فتح القدير، ج2، ص472

iv. Komentar al-Qastallani


والحاصل أنه يحرم على المقاتل الانصراف عن الصف إذا لم يزد عدد الكفار على مثلينا فلو لقي مسلم كافرين فله الانصراف وإن كان هو الذي طلبهما لأن فرض الجهاد والثبات إنما هو في الجماعة

Maksudnya: Kesimpulannya ialah diharamkan ke atas mujahid untuk beredar meninggalkan medan jihad apabila bilangan tentera tidak melebihi 2 kali ganda bilangan tentera Muslimin. Jika seorang Muslim bertempur dengan 2 orang kafir maka dia boleh meninggalkan mereka (dengan syarat) jika dia (Muslim) yang memulakan peperangan kerana kefarduan jihad dan bertahan di medan jihad hanyalah untuk jemaah.

القسطلاني، شرح صحيح البخاري، ج7، ص138

v. Komentar Syed Tantawi


ورخص له فى الفرار إذا كان العدو أكثر من اثنين .

Maksudnya: Diberikan rukhsah (keringanan) bagi seorang tentera Muslim untuk beredar dari medan jihad jika bilangan musuh melebihi 2 orang.

سيد الطنطاوي، تفسير الوسيط، ج1، ص1866

3. Setelah meneliti komentar-komentar ulama di atas, dapat saya simpulkan bahawa mereka bersepakat mengatakan bahawa ayat itu adalah rukhsah bagi tentera Muslimin meninggalkan medan jihad jika bilangan tentera Kafir melebihi 2 kali ganda daripada bilangan tentera Muslimin dan jihad itu pula adalah serangan tentera Muslimin ke atas negara musuh. Namun, apabila musuh menyerang negara Islam maka wajib ke atas ummat Islam mempertahankannya.

4. Bukanlah bermaksud jihad menjadi haram@tidak syar'ie apabila bilangan tentera Kafir melebihi 2 kali ganda daripada bilangan tentera Muslimin. Bahkan kelebihan mati syahid masih lagi terbuka kepada mereka dalam keadaan ini buktinya Nabi saw telah menghantar tentera untuk berjihad di Mu'tah walaupun bilangan tentera Kafir (200, 000 orang) melebihi 3 kali ganda daripada bilangan tentera Muslimin (3 ribu orang). (lihat: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 362)

5. Perlu diketahui bahawa peperangan Mu'tah pada tahun ke 8 hijrah dan ayat 65-66 dari surah al-Anfal tadi diturunkan selepas peperangan Badar. Ini bermakna ayat ini telah turun ketika Nabi menghantar tentera ke Mu'tah. Justeru, ini membuktikan bahawa jihad masih syar'ie walaupun bilangan tentera Kafir melebihi 2 kali ganda daripada bilangan tentera Muslimin cuma orang Muslimin diberikan rukhsah untuk meninggalkan medan sahaja.

6. Justeru bagi saya, jihad orang Palestin melawan Yahudi masih syar'ie bahkan mereka lebih beruntung dari kita semua kerana mempunyai ruang untuk berjihad dan mati syahid tambahan pula mereka berjuang mempertahankan tanah air mereka. Jihad adalah wajib bagi mereka. Wallahua'lam


Muhamad Rozaimi Ramle
5 Disember 2012
Sweileh, Amman, Jordan

Wednesday 28 November 2012

Hakikat hadis berniaga adalah 9/10 dari sumber rezeki

Ada yang bertanya kepada saya tentang status hadis yang masyhur dalam kalangan Muslimin: Berniaga itu adalah 9/10 dari rezeki. Saya akan huraikan jawapan untuk pertanyaan tersebut seperti berikut:

1. Hadis tersebut datang dengan lafaz:

حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ ثنا دَاوُدُ بْنُ أَبِي هِنْدَ عَنْ نُعَيْمِ بْنِ عَبْدِ الرحمن قال بَلَغَنِي أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تِسْعَةُ أَعْشَارِ الرِّزْقِ فِي التِّجَارَةِ. وقال نُعَيْمٌ: كسب الْعُشْرِ الْبَاقِي فِي السَّائِمَةِ يَعْنِي الْغَنَمَ

Maksudnya: Kata Nuaim bin Abd Rahman: telah sampai kepadaku bahawa Nabi saw bersabda: 9/10 daripada rezeki (datangnya) dari perniagaan. Kata Nuaim: 1/10 yang berbaki (dari rezeki) datang dari pengembalaan yakni gembala kambing.

- Lafaz ini diriwayatkan oleh Musaddad dalam musnadnya (Lihat: Ibn Hajar, al-Matalib al-'aliah, jld. 7, hal. 352)

- Abu Ubaid juga menyebut hadis ini dalam kitabnya Gharib al-hadith (jld. 1, hal. 299)

Komentar terhadap hadis:

- Al-Busiri menyatakan bahawa sanad hadis ini lemah disebabkan Nuaim itu tidak dikenali. (Rujuk: Ithaf al-Khiarah, jld. 3, hal. 77)

- Abu Hatim al-Razi menyatakan bahawa beliau meriwayatkan hadis dari Nabi secara mursal (terputus sanad), ini bermakna beliau adalah tabi'in dan bukannya sahabat. Ini bermakna sanadnya terputus. (Rujuk: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Ta'dil, jld. 8, hal. 461)

- Dakwaan Ibn Mandah bahawa beliau adalah sahabat tidak benar kerana al-Bukhari (rujuk: al-Tarikh al-Kabir, jld. 8, hal. 97) Ibn Hibban (rujuk: al-Thiqat, jld. 5, hal. 477) dan Abi Hatim al-Razi  (Rujuk: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Ta'dil, jld. 8, hal. 461) menyatakan beliau adalah tabi'in.  Pandangan inilah yang disokong oleh Ibn Hajar. (rujuk: al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, jld. 6, Hal. 510)

- Kesimpulan: Hadis ini daif kerana mursal (sanadnya terputus)

Hadis ini juga diriwayatkan dari jalur Yahya bin Jabir al-Taii riwayat Said bin Mansur dalam sunannya seperti yang disebut oleh al-Suyuti dalam kitabnya al-Jami' dan ia juga daif disebabkan mursal (sanadnya terputus). (Rujuk: al-Suyuti, al-Jami' al-Saghir, jld. 14, hal. 55)

2. Terdapat juga hadis lain dengan makna yang lebih kurang sama dengan hadis di atas:

- يا معشر قريش لا يغلبنكم الموالي على التجارة فإن الرزق عشرون بابا تسعة عشر منها للتاجر وباب واحد منها للصانع وما أملق تاجر صدوق إلا فاجر حلاف مهين

Maksudnya: Wahai sekalian Quraisy, jangan biarkan bangsa asing menguasai perniagaan, sesungguhnya rezeki itu mempunyai 20 pintu, 19 daripadanya adalah daripada perniagaan dan satu pintu (rezeki) lagi daripada pembuat (manufacturer). Sekali-kali peniaga yang bercakap benar tidak akan menjadi miskin kecuali jika dia jahat (penipu) selalu bersumpah dan hina.

Hadis ini riwayat Ibn al-Najjar (rujuk: kanz al-Ummal, jld. 4, hal. 60) dan al-Dailami (rujuk: al-Firdaus, jld. 5, hal. 287) daripada Ibn Abbas.

Komentar terhadap hadis:

al-Dailami meriwayatkan hadis ini secara ta'liq (tanpa menyebut sanadnya) manakala sanad Ibn Najjar pula terdapat perawi yang bernama Mindal bin Ali dan Imam Ahmad, Yahya ibn Ma'in dan Abu Zur'ah mengatakan bahawa dia lemah (daif). (Rujuk: al-Uqaili, al-Dhu'afa', jld. 4, hal. 266, al-zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 4, hal. 180)

- Terdapat Ibn Juraij dalam sanad ini dan dia merupakan mudallis yang meriwayatkan secara al- 'an'anah (العنعنة) menyebut 'an sahaja tanpa menyatakan dia mendengar hadis ini secara jelas. Maka hadis ini daif.

- Hadis ini diriwayat juga dari jalur yang lain:

عمر بن حفص ، نا ابن جريج ، عن عطاء عن ابن عباس قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : يا معشر قريش لا يغلبنكم الموالي على التجارة ، فإن البركة في التجارة فصاحبها لا يفتقر (1) ، إلا تاجر حلاف مهين

Riwayat Ibn al-A'rabi dalam mu'jamnya (jld. 3, hal. 232)

- Hadis ini juga daif (lemah) disebabkan umar bin Hafs. al-Baihaqi mendaifkannya. (rujuk: al-Zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 1, hal. 566)

- Terdapat Ibn Juraij dalam sanad ini dan dia merupakan mudallis yang meriwayatkan secara al- 'an'anah (العنعنة) menyebut 'an sahaja tanpa menyatakan dia mendengar hadis ini secara jelas. Maka hadis ini daif.

- Hadis ini juga tidak menyebut tentang bilangan pintu rezeki seperti hadis sebelum ini. Ini bermakna hadis ini tidak boleh menguatkan hadis di atas.

- Hadis ini diriwayatkan juga dari Ibn Mas'ud:

 ( الرزق عشرون بابا فتسعة عشر بابا للتاجر وباب للصانع بيده )

Maksudnya: Rezeki itu ada 20 pintu, 19 daripadanya untuk peniaga, dan satu untuk pembuat (manufacturer) dengan tangannya.

Hadis ini riwayat Ibn Abi al-Dunia dalam kitab Islah al-Mal (hal. 73)

Tetapi hadis ini daif jiddan (terlalu lemah) kerana dalam sanadnya terdapat Juwaibir bin Said dan dia dihukum matruk. (Rujuk: al-zahabi, al-kasyif, jld. 1, hal. 298)


Kesimpulan:
Tidak ada satu riwayat pun sahih@hasan dalam bab ini. Manakala hadis-hadis ini juga tidak boleh dinaiktaraf menjadi hasan lighairih kerana sebahagiannya daif jiddan dan sebahagian lainnya pula tidak mempunyai lafaz bilangan pintu rezeki yang dinyatakan. Maka semua riwayat dalam bab ini daif. Wallahua'lam.

Monday 15 October 2012

Benarkah penghafal al-Quran boleh beri syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya?

Saya sering kali ditanya tentang soalan ini, untuk merungkai persoalan di atas, beberapa perkara berikut perlu diberi perhatian:

- Hadis tentang penghafal al-Quran boleh memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya diriwayatkan dengan jalan berikut:

1. Riwayat Ali bin Abi Talib:


حفص بن سليمان (2) عن كثير بن زاذان (1) عن عاصم بن ضمرة عن علي بن أبي طالب قال: قال رسول الله صلّى الله عليه وعلى آله وسلّم: ((من قرأ القرآن واستظهره فأحلّ حلاله وحرّم حرامه، أدخله الله به الجنّة، وشفّعه في عشرة من أهل بيته كلّهم وجبت له النّار)).

Maksudnya: Sesiapa yang membaca al-Qur'an kemudian mampu mengeluarkannya (menghafalnya), menghalalkan segala yang dihalalkan oleh al-Quran, mengharamkan semua yang al-Quran haramkan, (nescaya) Allah memasukkannya dalam syurga dan memberi syafaat kepada 10 orang dari ahli keluarganya.

Komentar terhadap hadis:
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dalam sunan (4/345), Imam Ahmad dalam Musnad (1/148-149), al-Ajurri dalam Kitab al-Syariah (350), Abu Nuaim dalam Akhbar Asbahan (1/255), dan al-Khatib dalam kitab Muwadhih al-Jama' wa al-Tafriq (2/331).

- Kecacatan hadis: 
i. Kathir bin Zazan (1):
- Beliau merupakan perawi yang tidak dikenali sepertimana yang disebut oleh Abu Hatim, Abu Zur'ah dan Ibn Ma'in . (Lihat: al-Zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 3, hal. 403)
- al-Zahabi menyatakan beliau meriwayatkan hadis munkar (terlalu lemah) dari Asim bin Dhamrah. (Lihat: al-Zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 3, hal. 403) Perlu diingat hadis ini adalah riwayat beliau dari Asim, maka hadis ini munkar (terlalu lemah).

ii. Hafs bin Sulaiman:
- Beliau adalah perawi yang matruk (ditinggalkan oleh ulama hadis kerana terlalu daif) walaupun beliau adalah imam dalam bidang qiraat. (Rujuk: Ibn Hajar, Taqrib al-Tahzib, jld. 1, hal. 172)

Kesimpulan:
Hadis ini terlalu lemah dan tidak boleh dijadikan dalil dalam bab akidah (syafaat). Oleh itu Imam al-Tirmizi sendiri mendaifkan hadis ini dengan berkata:

هذا حديث غريب لا نعرفه إلا من هذا الوجه وليس إسناده بصحيح و حفص بن سليمان يضعف في الحديث

Maksudnya: Hadis ini gharib, kami tidak ia diriwayatkan melainkan dgn sanad ini sahaja. Sanadnya tidak sahih kerana Hafs bin Sulaiman didaifkan dalam periwayatan hadis.

2. Riwayat Aisyah:

من تعلم القرآن أدخله الله الجنة وشفعه في عشرة من أهل بيته كل قد استوجب النار.

Maksudnya: Sesiapa yang mempelajari al-Qur'an maka Allah akan masukkannya ke dalam syurga dan memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya yang sepatutnya ke neraka.

Komentar terhadap periwayatan hadis:
i. Hadis ini riwayat Ahmad bin Muhammad bin Husain al-Saqatiy. 
- al-Khatib al-Baghadi dan Ibn Jauzi menyatakan hadis ini tidak sabit (sahih). (Rujuk: al-Ilal al-Mutanahiyah, jld. 1, hal. 114, al-Syaukani, al-Fawaid al-Majmu'ah, hal. 309)
- al-Zahabi menaqalkan pandangan bahawa Ahmad bin Muhammad al-Saqatiy ini adalah pemalsu hadis dan menyandarkan hadis ini kepada ibn Ma'in. (Rujuk: al-Zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 1, hal. 135-136)

Kesimpulan: 
Hadis ini terlalu lemah kerana perawinya (Ahmad bin Muhammad al-Saqatiy) dituduh memalsukan hadis.

- Justeru, tidak ada satu riwayat pun yang sahih berkenaan tajuk ini. Jadi, saya menyeru supaya ustaz-ustaz berhenti menjadikan hadis ini sebagai hujah dalam ceramah kerana ia tidak sabit dari Nabi s.a.w. Ingatlah amaran baginda yang bermaksud: "Sesiapa yang mendustakan aku secara sengaja, maka tunggulah tempatnya di neraka". (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

- Tetapi tidak dinafikan terlalu banyak hadis tentang kelebihan menghafal al-Qur'an. antaranya sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

"Sesiapa yang membaca al-Quran dlm keadaan dia menghafalnya dia menghafalnya maka dia berada bersama dgn utusan mulia yang baik (malaikat), dan sesiapa yang membaca al-Qur'an dan dia mengulanginya bacaannya dan berasa susah maka dia mendapat dua pahala". (Hadis riwayat Bukhari, jld. 4, hal. 1882, no. hadis: 4653)

 Cukuplah dengan hadis yang sahih dan hasan daripada terus membaca hadis yang terlalu lemah (daif).

Rozaimi Ramle
15 Oktober 2011
Amman, Jordan.

Sunday 7 October 2012

Apabila pendakwah mengimpikan populariti...

Dakwah itu tanggungjawab semua

Satu perkara penting yang perlu disematkan dalam jiwa pendakwah ialah dakwah bukan semata-mata medan mencari populariti apatah lagi mencari kemewahan dunia. Dakwah ialah amanah dan tanggungjawab yang Allah letakkan atas bahu semua muslimin. Setiap muslim perlu untuk memikirkan bagaimana untuk berfungsi sebagai agen dakwah di bidang masing-masing.

Pernah satu ketika saya dijemput untuk memberikan kuliah dhuha di satu masjid terkenal di Ipoh. Selepas kuliah beberapa hadirin mengajak saya menjamah sedikit kuih-muih yang disediakan oleh AJK masjid berkenaan. Sewaktu rancak bersembang, saya bertanya kepada pengerusi masjid: "Ustaz Fulan takde lagi berkuliah di sini tuan haji?". Jawab beliau dengan dahi yang berkerut: "Susahlah ustaz nak panggil dia". "Kenapa pula?" tanya saya ingin tahu sebabnya. Dia menjawab: "Bukan apa ustaz, kami AJK masjid ni jadi serba salah sebab bila panggil dia berkuliah, tiba-tiba bila tak ramai yang datang mulalah dia bising sindir-sindir AJK tak pandai buat promosi. Sedangkan kami dah keluarkan iklan, cuma dah orang tak nak datang, kami nak buat macam mana ustaz? Lepas tu kalo kami tak panggil lagi dia berkuliah dia bising juga. Pening kami". Saya hanya mampu menggelengkan kepala mendengar rungutan pengerusi masjid berkenaan.

Dakwah tidak melihat kuantiti

Wahai pendakwah ketahuilah bahawa dakwah ini tidak perlu menunggu bilangan yang ramai. Kuliah agama sebenarnya tidak perlukan hadirin memenuhi dewan. Amat dukacita apabila ada penceramah yang membatalkan ceramah hanya semata-mata bilangan hadirin yang tidak memuaskan. Ambillah semangat dakwah Nabi s.a.w di  Taif. Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri menceritakan pengalaman itu:

 "Nabi tinggal di Taif selama 10 hari. Tidak seorang pemimpin Taif pun yang terlepas melainkan baginda datang kepada mereka dan bercakap dengan mereka (mengajak mereka kepada Islam) . Mereka menjawab: "Keluar kamu dari negeri ini!". Apabila baginda ingin keluar dari Taif, mereka mempengaruhi kanak-kanak dan hamba dalam kalangan mereka untuk mengekori baginda dengan mengejek dan menjerit-jerit pada baginda sehingga ramai orang mengerumuni baginda seterusnya membaling batu ke arahnya dan mengejinya dengan kata-kata kesat. Mereka melontar betisnya dengan batu sehingga basah sepatunya berlumuran darah". (al-Rahiq al-Makhtum, jld. 1, hal. 100)

Ya tiada siapa yang sudi mendengar mendengar dakwah Nabi s.a.w di Taif ketika itu. Ditambah pula dengan balingan batu yang melukakan. Ini memang berat bagi seorang pendakwah. Nabi s.a.w sendiri mengakuinya:

Aisyah pernah bertanya kepada Nabi s.a.w: "Pernahkah datang kepadamu hari yang lebih dahsyat daripada hari (kekalahan) di Uhud?" Nabi s.a.w menjawab: "Hari paling dahsyat yang aku pernah lalui dari mereka (orang musyrikin) ialah sewaktu hari al-Aqabah ketika aku menawarkan mereka diriku (untuk menerima Islam) kepada Yalail bin 'Abd Kulal. Dia menolak tawaranku. Aku pun beredar dalam keadaan sedih sehingga aku tidak sedar aku berjalan ke arah mana sehinggalah aku sampai di Qarn al-Tha'alib (nama sebuah bukit yang menjadi miqat orang Najd). Aku mengangkat kepalaku dan melihat awan memayungiku. Aku melihat awan itu dan tiba-tiba Jibril datang memanggilku: "Sesungguhnya Allah mendengar kata-kata kaummu dan (mengetahui) penolakan mereka terhadap (dakwah)mu. Sesungguhnya Dia telah menghantar malaikat (penjaga) bukit supaya engkau boleh arahkan dia dengan apa yang engkau mahu". Kemudian malaikat (penjaga) bukit memanggilku dan memberi salam kepadaku seraya berkata: "Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah mendengar kata-kata kaummu dan aku adalah malaikat (penjaga) bukit yang dihantar oleh Tuhanmu untuk mematuhi arahanmu. Jika engkau mahu, aku boleh menghempapkan mereka dengan bukit al-Akhbasyain (dua bukit yang berada di Mekah)". Jawab Nabi: "(Jangan) Bahkan aku mengharapkan akan keluar dari keturunan mereka generasi yang menyembah Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu". (Hadith riwayat Bukhari, no. Hadis: 3059)

Selepas dakwahnya ditolak di Taif. Baginda meneruskan dakwahnya walaupun pada mulanya tiada siapa yang mahu mendengar ucapannya. Bahkan lebih teruk dari itu, Abu Lahab yang merupakan bapa saudaranya mengikutinya betul-betul di belakangnya mengganggu  dakwahnya dengan berkata: "Dia (Muhammad) sebenarnya mengajak kamu meninggalkan agama nenek moyang kamu". (Sayyiduna Muhammad, Muhammad Rasyid Ridha, jld. 1, hal. 184)

Ini permulaan dakwah Nabi s.a.w. Sedikit yang mendengar. Ramai yang lari. Maka semangat ini yang perlu dicontohi oleh pewarisnya. Berkerjalah sahabat, berusahalah dan bercakaplah tentang Islam walaupun yang datang mendengar hanya beberapa orang kerana sedikit yang berkualiti lebih baik dari ramai tapi seperti buih air.

Friday 28 September 2012

Adakah itu pendakwah sebenar?

Islam Agama Ilmiah

Tidak dinafikan bahawa sesiapa sahaja yang telah mencium haruman sunnah akan membela dan mempertahankannya. Apatah lagi jika yang dihina itu adalah Nabi yang menjadi rujukan sunnah maka sudah tentu kita akan melenting kepada sesiapa sahaja yang menghinanya. Namun perlu diingat, Islam ini agama yang bersifat ilmiah bukan emosi. Di dalam al-Qur'an terlalu banyak ayat yang menyuruh manusia berfikir dan menaakul. Bahkan Islam menggalakkan penganutnya berdialog dan berjidal untuk sampai kepada kebenaran. Islam menegur orang kafir Jahiliyyah yang tidak mahu menggunakan akal mereka untuk memilih agama. Firman Allah yang bermaksud: "Apabila dikatakan kepada mereka (orang kafir) marilah (ikuti) apa yang telah diturunkan oleh Allah, mereka menjawab: "Bahkan (biarkanlah) kami mengikuti apa yang kami dapati nenek moyang kami lakukan", walaupun nenek moyang mereka itu tidaklah berakal dan tidak juga mendapat petunjuk". (al-Baqarah: 107)

Mendabik Dada

Apa yang mendukacitakan, masih terdapat lagi beberapa golongan yang mendabik dada menganggap diri mereka "pendakwah Islam yang sebenar" tidak bersikap ilmiah dalam menghukum dan berdakwah. Hukuman dan pandangan yang dilontarkan kadang-kadang tidak berdasarkan bukti yang benar. Sedangkan Allah mengingatkan: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)

Taksub dan Bengis

Pendakwah seperti ini sebenarnya tanpa mereka sedar telah mencemarkan keindahan Islam. Mereka mencerminkan seolah-olah Islam ini garang dan bengis. Melihat rupa mereka, cara mereka tidak tergambar bahawa Islam itu rahmat bagi alam. Mereka memaki, mencerca orang yang tidak sealiran dengan mereka. Nabi bersabda: "Bukanlah mukmin itu seorang yang suka mengumpat, melaknat, memaki dan kasar kata-katanya".  (Hadis riwayat Ahmad, no. hadis: 3984, dinilai sahih oleh Syuaib al-Arnaut dan al-Albani).

Islam Sentiasa Memberi Peluang

Perkara yang perlu diketahui oleh semua ialah Islam sentiasa memberi ruang taubat kepada penganutnya yang berdosa. Selagi mana matahari tidak terbit dari barat maka selagi itulah pintu taubat masih terbuka luas. Jangan kita sempitkan ruang taubat itu, jangan pula kita menjual tiketnya dengan harga yang mahal. Tidakkah mereka tahu bahawa majoriti ulama mensyaratkan istitabah (meminta orang murtad taubat) sebelum melaksanakan hukuman murtad? Jika orang yang jelas murtad dengan sengaja, masih lagi diberi ruang untuk taubat, apakah mereka yang tersilap memilih perkataan tidak mempunyai ruang untuk dinasihati sebaliknya berhak untuk dikafirkan tanpa perlu bertanya apakah maksudnya dengan perkataan itu?

Barangkali mereka ini tidak pernah membaca kisah Hatib bin Abi Balta'ah sewaktu Nabi dan para sahabat ingin membuka kota Mekah. Saya bawakan kisah ini untuk renungan kita bersama:

Daripada Ali bin Abi Talib: Nabi s.a.w mengutuskan aku, Zubair dan Miqdad bin Aswad dengan berkata: "Pergi kamu semua sehingga sampai ke Raudhah Khakh (tempat antara Mekah dan Madinah), di sana ada seorang perempuan padanya ada sepucuk surat. Ambil surat itu daripadanya". Kami pun lantas menaiki kuda sehingga sampai ke Raudhah, lalu kami menjumpai perempuan itu dan kami meminta surat daripadanya. Dia berkata: "Aku tidak membawa apa-apa surat". Kami katakan: "Berikan kami surat atau kami campak baju kamu (untuk mencarinya)!". Lalu dia mengeluarkan surat itu dari sanggulnya. Kami mengambilnya dan serahkannya kepada Nabi s.a.w. Surat itu adalah surat Hatib bin Abi Baltaah (muslim) kepada Musyrikin Mekah yang mana dia memberitahu mereka perancangan Nabi s.a.w. Nabi bertanya: "Wahai Hatib, apakah semua ini?". Dia menjawab: Wahai Rasulullah, jangan terlalu cepat menghukumku. Sesungguhnya aku mempunyai perjanjian dengan Quraisy dan aku bukan dari golongan mereka. Sedangkan golongan Muhajirin lain mempunyai saudara-mara yang menetap di Mekah yang boleh diharapkan untuk melindungi keluarga dan harta mereka di Mekah. Jadi oleh kerana aku tidak mempunyai hubungan nasab dengan mereka, aku lakukan ini semua (menulis surat) kerana ingin menjadikan mereka sebagai penjaga bagi keluargaku (kerana Quraisy akan anggap dia tali barut mereka). Aku tidak lakukan ini semua kerana kufur, murtad atau redha dengan kufur selepas aku diberikan Islam. Nabi menjawab: "Sesungguhnya dia (Hatib) telah bercakap benar kepada kamu semua (Muslimin)". Kata Umar: "Biarkan aku penggal tengkuk munafik ini wahai Rasulullah". Sabda Nabi: "Sesungguhnya dia (Hatib) telah menyertai Badar, tidakkah engkau (wahai Umar) tahu barangkali Allah melihat sekalian ahli Badar dan berkata: "Buatlah apa yang kalian mahu, sesungguhnya Aku telah mengampunkan kamu semua"". (Hadis riwayat Bukhari, no. hadis: 2845)


Ya perbuatan Hatib ini pada zahirnya kufur sehingga Umar ingin bertindak ke atasnya, tetapi Nabi s.a.w masih memberi ruang untuknya membela diri. Setelah dia menjelaskan, maka jelas bahawa perbuatannya itu bukan kerana bencikan Islam tetapi kerana terdesak.

Justeru, berilah peluang wahai sahabat kerana PASTI satu hari nanti kita juga tersalah dan memohon ruang dan peluang dari orang lain.

Rozaimi Ramle
28 September 2012
Amman, Jordan



Monday 24 September 2012

Mengambil Berkat Di Telaga Mahsuri?





Syarat Amal Soleh

            Seringkali kita mendengar para ustaz dan ustazah berceramah di stesen televisyen atau kuliah di masjid-masjid menceritakan tentang kepentingan amal soleh. Berbagai-bagai cerita yang dibawa kepada kita untuk menunjukkan betapa pentingnya peranan amal soleh dalam kehidupan kita. Mungkin ada yang tahu tentang amal soleh ini, mungkin juga ada tidak tahu, bahkan ada juga yang tidak mahu ambil tahu. Sedangkan amalan ini merupakan suatu perkara yang dianjurkan oleh Pencipta segala makhluk sepertimana yang diceritakan di dalam al-Qur'an (maksudnya): "Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi selama enam hari, dan (sebelum menciptakan langit dan bumi itu) Arasynya berada di atas air, untuk menguji (daripada penciptaan itu) siapakah di antara kamu yang paling baik amalannya, dan jika kamu mengatakan (wahai Muhammad) bahawa kamu semua akan dibangunkan semula (pada hari kiamat) selepas kamu semua mati nescaya mereka (orang-orang musyrik) akan mengatakan bahawa ia adalah merupakan sihir yang nyata" (Surah Hud , ayat 7). Allah menjadikan manusia di atas muka bumi ini adalah sebagai satu ujian untuk melihat siapakah yang paling baik amalannya. Inilah yang dinamakan amal soleh. Imam Ibn Kathir (meninggal 774 Hijrah) menyatakan : "Sesuatu amalan tidak akan menjadi amal soleh melainkan ia dilakukan dengan ikhlas kepada Allah S.W.T dan ia dilakukan sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W" (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur'an al-'Azim, jld. 4, hal. 303, Cetakan Ke-2, Dar Taiyyibah, 1420H/1999M). Apabila salah satu daripada syarat ini hilang daripada amalan, maka amalan akan dikira terbatal dan gugur (tidak memberi pahala).

            Sesuatu amalan yang dilakukan tidak dinamakan amal soleh kecuali ia dilakukan kerana Allah S.W.T dan mengikut cara dan tunjuk ajar oleh Nabi S.A.W. Kepentingan amal soleh ini dapat dijelaskan oleh Allah S.W.T di dalam al-Qur'an (maksudnya): "Barangsiapa yang melakukan amal soleh dari kalangan lelaki atau wanita dalam keadaan dia beriman, maka Kami akan kurnikan kepadanya kehidupan yang baik (bahagia) dan Kami akan berikannya ganjaran di atas apa yang mereka telah lakukan". (Surah al-Nahl , ayat 97)

Amalan Soleh Untuk Diri Sendiri

            Dua syarat amal soleh yang diceritakan tadi amat penting untuk menjadikan suatu amalan diterima disisi Allah S.W.T. Islam menggariskan panduan kepada penganutnya untuk beramal. Setiap manusia perlu beramal untuk bekalan dirinya di akhirat kelak. Tidak kira samada dia merupakan pemimpin negara atau rakyat biasa, Menteri atau tukang sapu, semuanya perlu beramal untuk kesenangan dan keselesaan hari akhiratnya. Semuanya perlu mengikut aturan dan undang-undang agama dalam beramal. Setiap muslim perlu beramal dengan dirinya sendiri untuk mendapatkan ganjarannya, begitu juga seseorang tidak akan dipertanggungjawabkan dengan kesalahan orang lain. Ini disebutkan di dalam al-Qur'an (maksudnya): "Barangsiapa yang beramal soleh maka baginya ganjaran, dan barangsiapa yang berbuat kejahatan maka baginya balasan"(Surah Fussilat, ayat 46). Ini merupakan kaedah di dalam Islam. Malangnya apa yang berlaku hari ini berbeza. Amal soleh diabaikan oleh kebanyakan muslimin. Agama dipandang hanyalah untuk golongan ustaz dan pak lebai. Pada pandangan mereka, ustaz dan pak lebai sajalah yang sepatutnya beramal soleh.

Golongan Agamawan dan Kiriman Doa

Sehinggakan jika golongan yang mereka anggap golongan agamawan ini melakukan perkara makruh pun mereka nampak seperti haram. Mereka tidak sedar bahawa kewajipan amal soleh ini adalah untuk semua. Setiap muslim mukallaf tidak dikecualikan untuk beramal. Ini merupakan asas yang harus difahami oleh setiap individu yang mengaku bahawa dirinya muslim. Tidak dinafikan bahawa doa daripada orang lain memberikan sedikit manfaat, tetapi ini tidak bermakna seseorang yang didoakan tidak perlu untuk beramal dan hanya merasa cukup dengan doa yang diberikan kepadanya. Sesekali Islam tidak pernah bermaksud untuk melepaskan muslim daripada beramal apabila mensyariatkan doa untuk orang lain ini. Inilah yang menjadi punca kepada kelemahan ummat pada hari ini. Pak imam dijemput berdoa di rumahnya sedangkan orang yang didoakan sibuk menceduk gulai kenduri. Lebih malang lagi apabila ahli kariah sesebuah kampung tidak mengenali imam masjid di kampungnya. Ini berlaku apabila mereka tidak teringin untuk datang ke masjid kecuali apabila berlaku kematian di rumah mereka, itupun hanya untuk menjemput imam membaca tahlil di rumah mereka dengan harapan ia akan menjadi kiriman pahala untuk si mati. Inikah Islam yang mereka faham? Adakah memadai dengan kenduri dan doa pak imam dapat membebaskan si mati daripada azab sedangkan ahli keluarga si mati sibuk menceduk gulai di dapur waktu imam membacakan doa?

Ketahuilah, bahawa doa yang dikirim walaupun bermanfaat tetapi ia semata-mata tidak mencukupi untuk menjadi bekal bagi mencapai rahmat Allah. Sirah Nabi telah membuktikan bahawa Rasulullah S.A.W sendiri beramal untuk mendapatkan rahmat Allah. Juga Abu Talib yang didoakan Rasulullah S.A.W tidak terlepas daripada azab neraka kerana tidak beriman dan beramal. Apabila kepercayaan ini telah terpahat lama di dalam hati masyarakat, suatu fenomena muncul sebagai kesan daripadanya. Nabi S.A.W bersabda (maksudnya): “Barangsiapa yang lambat (iaitu sedikit) amalannya (waktu hidupnya), amalannya tidak dapat sama sekali dipercepatkan (diperbanyakkan) oleh warisnya (setelah kematiannya)”. (Hadis riwayat Muslim, no hadis: 7028)

Menambil Berkat Sebagai Ganti Amalan

            Tidak cukup dengan itu, kita melihat masyarakat hari ini pergi ke tempat-tempat tertentu yang dianggap suci untuk mendapat berkat. Saya bercuti ke Langkawi tahun lalu. Saya dapati ramai di kalangan masyarakat melayu meminum air telaga Mahsuri dengan tujuan tertentu. Ada juga pengunjung yang memandikan anak mereka dengan air telaga itu dengan alasan mengurangkan kenakalan anak mereka itu. Dua soalan terbit dari fikiran saya. Pertama, adakah benar ini memang telaga Mahsuri yang telah dibuktikan atau ia hanya hearsay (cakap-cakap) orang?. Kedua, adakah perkara seperti ini dianggap sebahagian daripada ajaran Islam? Umar al-Khattab telah memberikan keterangan yang jelas dalam perkara ini ketikamana beliau mencium al-Hajar al-Aswad: "Sesungguhnya aku mengetahui engkau adalah batu yang tidak memberikan mudarat dan manfaat, aku tidak akan menciummu kalau tidak kerana aku melihat Rasulullah S.A.W menciummu". (Riwayat Bukhari daripada 'Abis bin  Rabi'ah, Hadis No. 1597) Suci atau tidak sesuatu tempat adalah hak mutlak Allah S.W.T. Inilah akidah yang selamat bagi setiap muslim. Umar menjelaskan kepada kita bahawa al-Hajar al-Aswad dicium hanya kerana perintah Rasulullah S.A.W. Jika tidak kerana perintah tersebut, ia juga tidak berhak untuk dicium oleh para jemaah haji dan umrah. Tidak pernah diriwayatkan daripada sahabat Rasulullah S.A.W bahawa telaga Mahsuri akan memberikan manfaat tertentu kepada peminumnya atau yang mandi dengan airnya. Syirik akan berlaku jika peminumnya atau yang mandi dengan airnya menganggap ia akan memberikan manfaat atau menolak mudarat. Saya telah jelaskan tadi bahawa amal ibadat dalam Islam harus mengikut contoh yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. Apabila tidak terdapat dalil yang mengatakan bahawa perigi atau apa saja yang berkait dengan Mahsuri mempunyai kelebihan tertentu, maka jelas bahawa setiap perbuatan mengambil berkat daripadanya adalah bidaah yang dilarang.

            Lihatlah betapa bahayanya kesan amalan ini. Ini semua berlaku natijah daripada kepercayaan atau anggapan bahawa agama adalah milik golongan pak ustaz dan pak lebai, mereka sahaja yang perlu beramal soleh, orang awam hanya perlu mengambil berkat daripada doa, telaga atau kubur mereka sahaja. Demi sesungguhnya Rasulullah S.A.W diutuskan untuk menyampaikan agama kepada setiap manusia tidak kira apa pun statusnya, pak lebai ataupun orang biasa. Setiap muslim wajib beramal untuk dirinya sebagai bekalan bagi dirinya untuk hidup di alam akhirat. Saya menyeru pihak berkuasa agar melakukan pemantauan terhadap pengunjung yang datang ke telaga Mahsuri untuk melindungi akidah mereka dan menjauhkan amalan mereka daripada perbuatan bidaah.

Muhamad Rozaimi bin Ramle,
Pensyarah, Jabatan Pengajian Islam,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


Friday 14 September 2012

Adakah menjamah sedikit garam sebelum makan itu sunnah?

Tersebar di beberapa blog dan juga di Facebook tentang kelebihan menjamah sedikit garam sebelum makan dan disandarkan perbuatan ini kepada Nabi s.a.w. Bahkan ada juga menganjurkan kaifiat tertentu ketika menjamah garam tersebut. Ada yang menyatakan perlu meletakkan garam tersebut di lelangit menggunakan jari tertentu. Justeru, soalan yang timbul, benarkah Nabi s.a.w melakukan perkara ini? Persoalan ini ana jawab seperti berikut:

1. Terdapat beberapa riwayat yang menceritakan perkara ini. 

1i.  Hadis marfu’ (riwayat yang diangkat kepada Nabi)

-      حديث علي أن النبي قال له: «يا علي، عليك بالملح، فإنه شفاء من سبعين داء أقلها الجذام والبرص والجنون»
Maksdunya: “Wahai Ali, ke atasmu (makan) garam, sesungguhnya ia adalah penawar bagi 70 jenis penyakit. Penyakit yang paling ringan (yang akan diubatinya) ialah kusta, sopak dan gila”.

Komentar terhadap periwayatan hadis:

-   Hadis ini palsu. Ia adalah riwayat Abdullah bin Ahmad bin Amir dari ayahnya. Mereka berdua terkenal meriwayatkan hadis batil dari Ahlul Bait. (Lihat: Ibn al-Jawzi, al-Maudhu’at, jld. 1, hlm. 289, al-Zahabi, Talkhis al-Mudhu’at, hlm. 240, al-Syawkani, al-Fawaid al-Majmu’ah, hlm. 161).

قال ابن الجوزي: ولا يصح، فيه أحمد بن عامر، وعنه ابنه عبد الله، وآفته أحدهما فإنهما يرويان عن أهل البيت نسخة كلها باطلة.  

قال الذهبي: فيه عبد الله بن أحمد بن عامر كذاب وضعه في تيك النسخة على أهل البيت.
قال الشوكاني: هو موضوع وروى البيهقي نحوه من قول علي.

-      حديث سعد بن معاذ أن النبي r قال: «استفتحوا طعامكم بالملح، فوالذي نفسي بيده أنه ليرد ثلاثا وسبعين نوعا من البلاء أو قال من الداء»
Maksudnya: Mulakan makan kamu dengan garam. Demi zat yang diriku berada di tangannya, sesungguhnya garam menolak 73 jenis bala @ penyakit.

Komentar terhadap periwayatan hadis:

-    Pengarang Tanzih al-Syariah menyatakan ia dhaif dan tidak boleh untuk dijadikan syahid (penguat) bagi hadis yang lain (kerana ia terlalu lemah). (Lihat: Tanzih al-Syari’ah, jld. 2, hlm. 234)
-    
     Ini kerana terdapat dalam salasilah perawi hadis ini seorang yang bernama Ibrahim bin Hayyan bin Hakim bin ‘Alqamah. Ibn ‘Adi menyatakan bahawa dia adalah daif dan meriwayatkan hadis palsu. (Lihat: al-Kamil fi al-Dhu’afa’, jld. 1, hlm. 254).

-      عن أنس بن مالك رفعه إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: «ابدأوا بالملح، فإن فيه بضع وسبعين دواء، ومن بدأ بالملح فقال: بسم الله والحمد لله اللهم بارك لنا فيما رزقتنا وارزقنا ما هو أفضل منه وقاه الله من عذاب القبر، ثم لا تستقر اللقمة في بطنه حتى يغفر الله له»

Maksudnya: Mulakan (makan) dengan garam, sesungguhnya padanya terdapat lebih daripada 70 
penawar. Sesiapa yang memulakan (makannya) dengan garam dan membaca: “Dengan nama 
Allah, Segala puji bagi Allah, (Ya Allah) berkatilah rezeki yang Engkau beri pada kami dan 
berikan kami rezeki yang lebih baik dari ini” akan dibebaskan dari azab kubur dan akan 
diampunkan sebelum makanan itu keluar dari perutnya.

Komentar terhadap periwatan hadis:
-    
  Hadis ini terlalu daif dan perawinya Ali bn Yazdad dituduh sebagai pendusta. Maka hadis ini matruk (terlalu lemah). (Lihat: Tarikh Jurjan, hlm. 309)

-      حديث طويل عن علي وفيه: وإذا أكلت فابدأ بالملح واختم بالملح، فإن الملح شفاء من سبعين داء الجنون والجذام والبرص ووجع الأضراس ووجع الحلق ووجع البطن.
Maksudnya: Apabila kamu makan mulakanlah dengan garam dan akhirilah dengan garam. Sesungguhnya garam adalah penawar bagi 70 jenis penyakit antaranya gila, kusta, sopak, sakit gigi, sakit tekak dan sakit perut.

Komentar terhadap periwayatan hadis:
-   
   Hadis ini palsu kerana ia diriwayatkan oleh حماد بن عمرو. (Lihat: al-Baihaqi, Dalail al-Nubuwwah, jld. 7, hlm. 229, al-Suyuthy, al-Laali al-Masnuah, jld. 2, hlm. 313)

قال البيهقي: سَمِعْتُ يَحْيَى بْنَ مَعِينٍ يَقُولُ: حَمَّادُ بْنُ عَمْرٍو النَّصِيبِيُّ مِمَّنْ يَكْذِبُ , وَيَضَعُ الْحَدِيثَ. دلائل النبوة، 7/229



ii. Hadis Mauquf yang disandarkan kepada Ali.


-      قال علي: من ابتدأ غداءه بالملح أذهب الله عنه سبعين نوعا من البلاء
Maksudnya: Ali berkata: Sesiapa yang memulakan makannya dengan garam maka Allah akan menghilangkannya 70 jenis penyakit daripadanya.


Komentar terhadap periwayatan hadis:
-      Hadis ini terlalu lemah disebabkan 2 perkara: 
    - Ia adalah riwayat Juwaibir. Beliau berstatus matruk (terlalu lemah sehingga semua ulama meninggalkan riwayatnya) di sisi ulama hadis.
 Isa bin al-Asy’ath yang mengambil riwayat ini dari Juwaibir majhul (tidak dikenali). (Lihat: Tanzih al-Syari’ah, jld. 2, hlm. 234). 

2. Justeru, dapat disimpulkan bahawa tidak satu pun riwayat yang sahih atau hasan berhubung isu ini. Hadis yang ada dalam bab ini kesemuanya palsu atau terlalu lemah.

3. Maka berhentilah menisbahkan perbuatan ini kepada Nabi kerana ia tidak sabit dalam hadis.

Wallahua'lam.
Rozaimi Ramle
15 September 2012
Amman, Jordan