Thursday 17 April 2014

Nasihat Kepada Farouk A. Peru Oleh Ustaz Anwar Ridhuan


Saya telah membaca bahagian 2 dan 3 (rujuk di sini:http://quranisnusantara.wordpress.com/2014/04/17/dialog-bersama-encik-rozaimi-bhg-2/http://quranisnusantara.wordpress.com/2014/04/17/dialog-bersama-encik-rozaimi-bhg-3/) dari hujah balas saudara Farouk A Peru. Sekali lagi saya sedih kerana setiap persoalan lalu belum dirungkai tetapi beliau menimbulkan persoalan lain pula. Sebelum saya menjawab setiap persoalan beliau, saya ingin kongsikan tulisan rakan saya ustaz Anwar Ridhuan (calon PHD Hadis, World Islamic Science and Education University, Jordan)



  1. 1.      Pendahuluan


1.1  Saya telah dihubungi oleh seseorang, yang saya anggap lebih berkemampuan dari saya, untuk menyemak tulisan beliau terhadap Sdr Farouk dalam polimik Dr Kasim Ahmad dan kelompok yang mereka dakwa sebagai Quraniyyun. Atas penghormatan saya terhadap beliau, maka saya gantikan dengan tulisan saya agar dapat bergandingan dengan tulisan beliau.



1.2  Saya telah mendapatkan kedua-dua tulisan Sdr Farouk (respon kepada Ust Hasrizal dan Ustaz Rozaimi) dan saya dapati artikel ini tidak lebih dari membincangkan isu-isu sampingan dan terpencil. Perbincangan sebegini tidak akan menghasilkan natijah kerana hanya berkisar sekitar soal keraguan melalui teks-teks terpencil yang tidak autentik serta argument logic yang tidak sampai kepada asas penolakan hadith itu sendiri. Minat saya semakin kurang untuk turut serta apabila isu-isu yang dikemukakan boleh dianggap isu kitar semula disulami dengan disiplin kajian yang sukar untuk saya mempelbagaikan sudut pandang saya  (tanpa niat merendahkan kebolehan Sdr Farouk).



1.3  Apa pun saya gagahi juga untuk memberikan pandangan yang ala kadar. Ulasan saya difokuskan kepada beberapa asas berikut :

  1. Saya tidak akan membincangkan isu spesifik kecuali sebagai contoh kerana perbincangan isu tersebut berkisar menimbulkan keraguan dan tidak memfokuskan kepada apa-apa objektif khusus.

  2. Saya akan memberikan komen sekitar disiplin atau metodologi yang saya anggap benar tetapi masih boleh berlaku kesilapan (jika dibuktikan). Kita boleh berbeza pendapat tetapi mestilah melalui metodologi yang diterima umum. Jika tidak tidak perlu perbincangan dilakukan.

  3. Komen saya dibuat secara lontaran idea bebas, tanpa memberikan data secara terperinci. Cuma lontaran idea saya akan dibuat dibawah tajuk-tajuk khusus berkaitan disiplin atau metodologi.


  1. 2.      Quraniyyun : Tolak Hadith atau Kritik Hadith?


2.1  Isu penerimaan hadith boleh dikategorikan dengan dua istilah berbeza iaitu penolakan (inkar) dan kritikan (naqd). Kritikan hadith biasanya mempunyai disiplin yang jelas walaupun kadangkala sukar difahami orang yang tidak mempunyai kemahiran dalam disiplin tersebut. Penolakan hadith pula biasanya berasaskan kes-kes terpencil dan disiplin yang tidak konsisten sebagai alasan untuk  generalisasikan bahawa hadith tidak autentik.Mengkritik sesebuah hadith adalah exercise untuk memastikan hadith terpelihara manakala menolak hadith bertujuan membuangnya dari disiplin pengajian. Dua pendekatan yang berbeza tetapi sering dimanipulasi.



2.2  Menggunakan hujah golongan yang mengkritik (naqd ; membersih) hadith untuk menyokong pendapat menolak (inkar ; membuang keseluruhan) hadith adalah kesalahan fatal dalam disiplin. Sebagai contoh Abu Bakar dikatakan membakar koleksi hadith dan was-was dengan sistem sanad (tafsiran Sdr Farouk yang berasaskan sumber yang tidak autentik) sedangkan Abu Bakar yang sama juga masyhur menerima hadith sebagai hujjah (cth : rujuk riwayat berkaitan mirath nenek). Begitu juga Umar yang digambarkan seolah-oleh anti hadith sedangkan beliau dalam banyak keadaan menarik kembali pendapatnya apabila menemui riwayat yang sebaliknya (cth : rujuk riwayat pewarisan perempuan dari diyat dan riwayat Abd Rahman bi Auf dalam isu taun). Ini belum pun masuk kepada disiplin penerimaan riwayat. Ini kerana semua hadith berkaitan membakar hadith atau koleksinya adalah daif kecuali hadith Abi Said al-Khudri (riwayat Muslim) yang dianggap sahih oleh kebanyakan ahli ilmu. Itu pun riwayat ini jika dibaca dalam teks asal secara konteksnya tidak bermaksud menafikan kepentingan hadith dalam disiplin pensyariatan.



2.3  Saya tidak bersama dengan sikap generalisasi sesuatu golongan dengan label tertentu. Saya masih berpendapat tidak semua Quraniyyun menolak hadith tetapi pendekatan dan pengakuan Sdr Farouk secara spesifik sememangnya menolak (bahasa negatifnya anti) hadith sebagai sumber syariat .



  1. 3.      Disiplin Dalil dan Dalalah


3.1  Disiplin yang telah diterima sejagat bahawa kekuatan hujjah bergantung kepada kekuatan (keabsahan) dalil atau teks dan kekuatan (ketepatan) interpretasi atau dalalah. Isu seperti pembakaran hadith yang sering dijaja seolah-olah ianya disembunyikan dari umat Islam cuba diheret untuk tunduk kepada kecenderungan Sdr Farouk menafikan hadith sebagai sumber. Sebaiknya Sdr Farouk memastikan ketulinan sumber tersebut terlebih dahulu sebelum sebarang interpretasi diberikan (rujuk Surah al-Hujurat 49 : 6). Saya agak hairan kerana golongan yang menolak hadith atas alasan ianya tidak tulen boleh menerima hadith yang dikategorikan sebagai tidak tulin oleh golongan yang mengiktiraf hadith sahih sebagai sesuatu yang absah. Untuk itu, saya mencadangkan supaya Sdr Farouk mengumpulkan riwayat tersebut dan menolak pandangan ahli ilmu yang mendaifkan riwayat tersebut. Walaupun Sdr Farouk tidak ‘beriman’ dengan asas keabsahan hadith, sekurang-kurangnya jadikanlah ianya sebagai ‘argument by currency’. Saya risau matawang yang digunakan oleh Sdr Farouk tidak dikeluarkan oleh Bank Negara tetapi matawang palsu. Jika riwayat pembakaran hadith atau sekurang-kurangnya pemusnahan hadith dipastikan benar-benar autentikdi zaman khulafa’ al-rasyidin barulah kita boleh berbincang dalalah dan interpretasinya.



3.2  Saya sebolehnya tidak mahu masuk ke langkah kedua dengan membincangkan dalalah atau interpretasi secara terperinci. Cuma secara konsepnya kekuatan interpretasi terletak pada maksud sebenar teks dan bukan kefahaman pembaca. Maklumat seperti konteks dan teks-teks yang kelihatan bercanggah tidak boleh sembunyikan untuk memahami teks tersebut. Begitu juga rujukan sumber dan teks asal boleh mengelakkan salah interpretasi. Janganlah teks asal berbahasa Arab, diambil melalui terjemahan Bahasa Inggeris dan dihuraikan dalam Bahasa Melayu. Pengkaji hadith (wahabi?) yang sering dirujuk sebagai kononnya literal (zahiri) tidak ‘sehebat kita’ yang mentafsirkan teks sewenang-wenangnya tanpa mengambilkira asas-asas penting dalam pemahaman teks. Sebagai contoh cermatnya ahli ilmu, hadith Abi Said al-Khudri (riwayat Muslim dan selainnya) tentang larangan penulisan hadith boleh sahaja difahami sebagai larangan secara mutlak. Tetapi sangat hairan apabila tradisi ilmu Islam secara MUTAWATIR tidak mengharamkan penulisan hadith hatta di zaman Rasulullah (rujuk riwayat abu hurayrah - al-Tirmizi, Abdullah bin Amr - Abi Dawud dan al-sahifah al-sadiqah- Taqyid Ilm oleh al-Khatib al-Baghdadi)   mahupun zaman sahabat. Saya sekali lagi hairan apabila aliran yang hanya menerima mutawatir boleh menolak tradisi ini dan menerima pandangan yang jauh dari asas apatah lagi untuk dikategorikan sebagai ahad. Saya tidak berhajat untuk memanjangkan topic interpritasi terhadap hadith ini kerana ia tidak menyelesaikan isu pokok.



3.3  Saya bukanlah orang yang bersama dengan penutupan pintu ijtihad dan berpada dengan bertaqlid. Tetapi saya boleh memahami penekanan terhadap perkara tersebut. Kemampuan manusia dalam menguasai kepelbagaian sumber dan interpretasi sangat terhad memungkinkan kebarangkalian berlakunya kesilapan apatah lagi kesalahan. Bayangkan lah jika capaian teks atau dalil bukan sahaja terhad bahkan dilakukan secara selektif nafsu, bagaimanakah kebenaran boleh dihasilkan? Itu belum lagi melihat kepada kecelaruan metodologi. Pintu ijtihad tdak sepatutnya ditutup tetapi ia bukan lesen berhujah sesedap rasa.



  1. 4.      Selektif : Naluri Nafsu dan Naluri Kebenaran


4.1  Sdr Farouk dalam tulisannya mempertahankan tindakannya yang selektif terhadap teks yang menyokong dan mengabaikan teks-teks yang lain. Lalu diheret Imam al-Bukhari kononnya turut selektif dalam pemilihan hadith. Ianya sebagai justifikasi kononnya metodologi selektif Sdr Farouk sama dengan metodologi selektif Imam al-Bukhari.



4.2  Ya. Semua orang boleh bersetuju bahawa sikap selektif adalah naluri manusia. Cuma Sdr Farouk sepatutnya dapat membezakan naluri fujur dan naluri taqwa (Surah al-Syams 91: 7-8). Naluri fujur sememangnya selektif kepentingan dan bersifat ananiyah (Surah al-Baqarah 2: 44) sedangkan didikan Allah kepada kita Quraniyyun adalah supaya berlaku adil (rujuk surah al-Maidah 5 : 8) dan selektif terhadap yang terbaik (Surah al-Zumar 39 :18). Dalam konteks ini, naluri selektif untuk Quraniyyun sepatutnya memilih kesemua hujjah (teks) yang autentiksamada menyokong atau tidak kemudian dipilih pula tafsiran yang paling baik dan tepat.



4.3  Dalam konteks perbandingan dengan Imam al-Bukhari, selektifnya Imam Bukhari adalah memilih hadith yang sahih dengan disiplin yang jelas sesuai dengan kehendak al-Quran. Manakala selektifnya Sdr Farouk adalah memilih hadith-hadith yang tidak sahih untuk dihambakan dengan meninggalkan hadith-hadith yang jauh lebih autentik atas alasan itu adalah naluri manusia. Saya cadangkan agar sekurang-kurangnya Imam al-Bukhari dimasukkan dalam golongan Quraniyyun atas usahanya mengikut kehendak al-Quran.



  1. 5.      Kesimpulan


5.1  Saya menganggap Sdr Farouk seorang Muslim yang baik. Saya amat yakin dihati kecil Sdr Farouk dan rakan-rakan sebenarnya berusaha membersihkan agama dari perkara yang dianggap mengotorkan agama (pada pandangan beliau). Saya amat yakin tentang itu. Cuma Ibn Mas’ud pernah mengingatkan bahawa “Betapa banyak golongan yang berkehendakkan kebaikan tetapi tidak memperolehinya “ (Al-Darimi).



5.2  Saya sangat berharap agar minat Sdr Farouk terhadap agama tidak dipadamkan bahkan saya mendoakan supaya Allah swt menambahkan minat tersebut. Cuma saya berharap dan merayu agar diluaskan pembacaan agar tidak terhad kepada sumber yang menyokong. Ini kerana isu-isu yang dibawa bukanlah isu baru sebaliknya telah dikupas lebih dari seribu tahun dahulu. Atas alasan ini juga kebanyakan ilmuan kita tidak berminat memberikan respon kepada tulisan Sdr Farouk.

Tuesday 15 April 2014

Penilaian Terhadap Tulisan Saudara Farouk A Peru

Saya telah menulis respon balas saya terhadap artikel saudara Farouk A Peru. Sesiapa yang baru mengikuti perbahasan ini boleh lihat artikel saya di sini. Kemudian saudara Farouk membalas hujah-hujah yang saya kemukakan di sini. Setelah membaca artikel terbaru saudara Farouk, saya sedikit kecewa kerana saudara Farouk seolah-olah tidak memperbetulkan metodologinya dalam kajian walaupun saya telah menegurnya dalam artikel yang lalu. Beliau seakan-akan cuba mengelak dari menyelesaikan isu kepada menimbulkan persoalan yang lain pula.  Maka bahagikan artikel ini kepada dua bahagian. Bahagian Pertama saya khususkan untuk kritikan terhadap metodologi beliau dan bahagian kedua pula saya khaskan untuk jawapan terhadap kekeliruan yang beliau timbulkan.  

Bahagian Pertama - Kritikan Terhadap Metodologi Kajian Saudara Farouk
 Sebelum saya menjawab secara detil artikel terbaru beliau, izinkan saya mengkritik metodologi beliau dalam kajian. 

1. Tidak Konsisten
Saya dapati saudara Farouk tidak konsisten dalam penghujahan beliau. Bukti yang nyata ialah dalam artikel lalu saya mempersoalkan mengapa beliau berhujah menggunakan riwayat ahli hadis (riwayat Abu Bakar membakar kitab hadis) sedangkan beliau sendiri menolak hadis dan beliau menjawab: 


Dalam ilmu mantiq, langkah ini dipanggil ‘argument by currency’. Maksudnya, bila kita berbincang dengan seseorang itu, kita mesti menggunakan maklumat yang diterima atau berada dalam klasifikasi yang sama oleh orang itu. Samalah seperti kalau kita membeli-belah di London. Kalau kita cuba membayar dengan matawang Ringgit memang tak akan diterima. Tapi kalau kita guna matawang Pound Sterling akan diterima. Kalau kita guna American Dollar atau Euro pun kadang-kadang boleh kerana matawang-matawang demikian diiktiraf di tahap dunia.

Saranan ini baik. Tapi adakah riwayat Abu Bakar membakar kitab hadis yang beliau bawa menepati saranan beliau? Riwayat Abu Bakar membakar kitab hadis ini sebenarnya daif di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ). Di mana "argument of currency" yang beliau slogankan jika riwayat Abu Bakar itu daif dan tidak sahih. Pada ASWJ riwayat ini sama seperti wang yang tidak asli. Adakah orang London mahu menerima wang tidak asli? Di sini jelas kelihatan bahawa beliau tidak konsisten dalam berhujah.

2. Terlalu Cepat Membuat Kesimpulan Umum (Hasty Generalisation)
Ini juga kesimpulan yang saya dapat apabila membaca artikel kedua beliau. Sikap gopoh dalam membuat kesimpulan umum berdasarkan maklumat yang terhad jelas terpancar dari tulisan beliau. Lihat apa kata beliau:

Saya juga pernah berbuat demikian tentang hadis tapi maaf nak kata, pada pendapat saya, kebanyakan hadis tidak selari dengan Al-Quran dari segi falsafah agama (philosophy of religion).

Cuba lihat pada kenyataan beliau. Beliau nyatakan bahawa beliau dapati kebanyakan hadis tidak selari dengan al-Quran tanpa beliau nyatakan berapa banyak jumlahnya. Sekadar pemerhatian saya hadis yang dikategorikan sebagai Musykil al-Hadith (bercanggah dengan dalil lain) tidaklah dianggap melebihi daripada hadis-hadis lain sehingga kita terpaksa menganggap KEBANYAKAN hadis tidak selari dengan al-Quran. 

Lihat apa yang beliau ulas tentang sebab Abu Bakar membakar kitab hadisnya:

Jadi mengikut hadis ini, Abu Bakr sendiri was-was akan sistem sanad! Pada zaman beliau sendiri ada hadis yang diberi ‘seal of approval’ oleh orang yang dia percaya tapi riwayatnya salah. Jadi Abu Bakr sendiri mengakui kelemahan sistem isnad. Kalau ini boleh berlaku pada zaman Abu Bakr sendiri (selama dua tahun selepas peninggalan Rasulullah), bagaimana pula zaman sekarang?

Saya hairan bagaimana kesimpulan ini boleh beliau rumuskan. Pertama, saya katakan dari awal yang hadis ini daif di sisi ulama hadis. Kedua, dari mana bukti Abu Bakar meragui sistem sanad? Apa yang saya dapati dari riwayat Abu Bakar tersebut, Abu Bakar hanya meragui sebahagian ingatan peraawinya sahaja. Itu pun jika riwayat ini sahih. Tapi saya telah buktikan bahawa riwayat ini tidak sahih. Tidakkah beliau tahu bahawa Abu Bakar juga perawi hadis? Beliau mempunyai lebih dari 60 orang anak murid. Bagaimana pula saudara Farouk boleh rumuskan bahawa Abu Bakar anti sistem sanad? Ini suatu yang ajaib.

3. Data Tidak Sempurna
Saya telah menegur dalam artikel saya yang lepas tentang sikap selektif saudara Farouk dalam memilih data sebelum membuat keputusan atau rumusan. Malangnya sikap ini terus dipertahankan oleh beliau dalam artikel kedua ini bahkan beliau menganggap sikap selektif ini adalah naluri manusia. Sungguh ajaib jika sifat selektif ini masih bersarang dalam jiwa ahli akademik seperti beliau. Bukankah kita diajar untuk meneliti setiap data dalam kajian dengan adil tanpa prejudis? Jika proses pemilihan data telah dipengaruhi oleh sikap selektif kita dengan kata lain kita hanya memilih data atau bukti yang menyokong pandangan awal (pre-assumption) kita dan menolak bukti yang lain, bagaimana natijah yang benar akan kita perolehi? Dalam kes pemilihan riwayat Abu Bakar membakar kitab hadis yang saudara Farouk kemukakan menunjukkan sikap selektif beliau dalam memilih data atau bukti. Mengapa riwayat Abu Bakar menerima hadis kadar pusaka nenek saudara Farouk tidak sentuh langsung dalam isu ini? Apakah kerana riwayat pusaka nenek itu tidak menyokong fikrah Quranism maka ia disisihkan oleh Farouk awal-awal lagi? Jika saudara Farouk menitik beratkan soal "argument of currency" sebelum ini maka riwayat pusaka nenek ini seharusnya di bawa dalam isu ini kerana ia sahih dan ASWJ menerimanya. Tetapi mengapa ia tidak dibawa dalam perbincangan ini? Saya sudah menyentuhnya dalam artikel yang lepas tetapi dalam artikel balas saudara Farouk sekali lagi lupa atau buat-buat lupa tentang kewujudan riwayat ini.

4. Bergantung Kepada Spekulasi Dan Meninggalkan Bukti Yang Jelas
Saya dapat rasakan bahawa saudara Farouk sengaja meninggalkan bukti yang nyata dan bergantung kepada spekulasi yang tidak pasti. Dalam artikel yang lepas saya sudah nyatakan bahawa Umar bin al-Khattab memang mengucapkan "Cukup bagi kita Kitab Allah". Golongan Quranis menggunakan kalam ini untuk meninggalkan Sunnah. Saya katakan untuk memahami maksud kalam Umar ini, kita harus menilai pendirian Umar terhadap Sunnah dengan mencari riwayat-riwayat dari Umar. Telah terbukti pada kita bahawa Umar sendiri menerima kehujahan hadis. Dalam kes Taun, Umar menerima hadis Abdul Rahman bin Auf yang disampaikan kepadanya. Umar juga menerima hadis-hadis tentang kadar diyat bagi jenayah yang melibatkan anggota badan manusia. Umar juga pernah memukul seorang lelaki yang tidak mahu menerima hadis sehingga bertanya pendapat Umar dalam isu tawaf wida' bagi perempuan haid.

Tetapi saya lihat saudara Farouk lupa atau sengaja buat-buat lupa akan kewujudan riwayat dan bukti ini dan terus ingin berspekulasi dengan berkata:

Umar tidak diriwayatkan untuk berkata yang kecukupan kitab Allah adalah dalam bab akidah, fiqh dan sebagainya. Dalam riwayat ini dari segi perkataan, dia hanya berkata ‘cukup bagi kita kitab Allah’. Dengan mudah Umar boleh berkata ‘tapi ia perlu dijelaskan oleh sunnah Nabi’ tapi dia tidak berkata demikian? Kenapa? Sebabnya akan juga jadi spekulasi kita.

Adakah bijak untuk berspekulasi sedangkan bukti sudah terang lagi bersuluh? Saya rasa kalau Umar hidup di zaman ini, pasti akan ada orang yang akan dipukul akibat meninggalkan hadis.

5. Menganggap Hipotesis Sebagai Kesimpulan Tanpa Bukti
Ini juga kesilapan fatal dalam metodologi kajian yang dilakukan oleh Saudara Farouk. Menganggap hipotesis suatu kesimpulan yang betul tanpa bukti adalah kesalahan ilmiah yang sukar untuk dimaafkan. Lihat apa kata Farouk:

Di sini datang pula isu kesahihan dan memang isu ini sangat relevan. Siapa yang mendapati bahawa sadadnya tidak sahih? Adakah orang itu juga tiada agenda pada dirinya? Adakah benar dalam dunia ASWJ penilaian sanad-sanad semua sama? Jawapannya tidak. Dalam blog En. Rozami sendiri (pautannya di sini) ada perbezaan pendapat dalam bab akidah. Perbezaan ini adalah di antara dua ulamak besar. Satu dari Syria dan satu dari Saudi Arabia yang dua-dua mengaku ASWJ! Sebenarnya dalam dunia ASWJ, ada perbezaan pendapat dalam penilaian hadis. ‘sahih’ itu hanya cap yang diberi secara subjektif untuk maklumat yang kurang digemari.

Saya katakan tuduhan Farouk kepada ulama hadis dalam penilaian hadis perlukan bukti yang konkrit. Kita sedang bercakap tentang manusia yang dianggap tokoh oleh sejarah. Tuduhan "tidak amanah" kepada mana-mana individu tanpa bukti adalah salah. Sebaliknya saya menjumpai bukti yang ulama hadis tetap mensahihkan hadis walaupun ia bercanggah dengan pendapatnya dan mereka serta-merta akan mengubah pandangan mereka apabila mengetahui hadis sahih. Perinciannya akan saya bincangkan nanti.

6. Pengabaian Kepada Ilmu Alat
Saya juga mendapati saudara Farouk mempuyai kecenderungan untuk mengabaikan ilmu alat yang menjadi pre-requisite kepada ilmu-ilmu tertentu. al-Quran dan hadis itu berbahasa arab. Untuk mendalami makna sebenar kita perlu mendalami bahasa arab. Ini penting supaya kita tidak menterjemahkan perkataan "يوطئن" yang bermaksud membenarkan masuk rumah kepada bersetubuh seperti yang dilakukan oleh Kassim Ahmad. Saya melihat saudara Farouk juga banyak merujuk kepada kitab edisi terjemahan. Adakah beliau tidak menguasai bahasa arab dengan baik? Bahkan saudara Farouk sendiri mengakui yang beliau faham al-Quran dengan fahaman sendiri (terima kasih ustaz Hasrizal Jamil atas poin ini). Kata Farouk:

Sebelum saya mula menjawab poin-poin En. Rozaimi, saya ingin mengingatkan semua pembaca dan juga diri saya sendiri yang tujuan atau objektif kita ialah untuk memahami dan mengikut suruhan Allah. Saya adalah Quranis di atas sebab tersebut – yang saya tak dapat menerima otoriti hadis atau ulamak dalam merumuskan ajaran islam. Kriteria saya ialah Al-Quran dalam fahaman sendiri.

Maka saya meminjam kata ustaz Hasrizal: "
Inilah point yang sangat tidak ilmiah. Sebarang teks yang hendak dilakukan kajian kualitatif ke atasnya mewajibkan sang pengkaji menggunakan ilmu-ilmu alat.

Bagaimanakah seseorang mengupas teks ucapan Jean-Jacques Rousseau dalam Social Contract beliau tanpa menguasai Bahasa Perancis? Ia bukanlah syarat yang tujuannya adalah untuk show off otoriti Bahasa Perancis, tetapi ia adalah sebab yang sangat rasional bahawa mustahil ucapan Jean-Jacques Rousseau boleh ditafsir oleh seseorang yang tidak meraikan asas bahasa Perancis, iaitu bahasa yang merekodkan karya tersebut. Apatah lagi dengan mengabaikan falsafah state of nature dalam mengupasnya.

Para Quranist ini mahu menghapuskan tuntutan yang sangat asas.

Dan jangan terkejut, bantahan ustaz yang paling keras terhadap Quranist, akan disambut dengan selamba oleh mereka kerana bagi mereka, ustaz sedang exercise 'fahaman ustaz' tentang al-Quran, sebagaimana mereka sedang exercise fahaman mereka sendiri tentang al-Quran". 


Saranan Quranis ini sama seperti membuat kempen kepada orang ramai bawa kapal terbang tanpa lesen tanpa perlu jadi pilot. Ia saranan ayang bernas untuk menjunamkan pesawat.

Bahagian Kedua - Jawapan Kepada Kekeliruan Saudara Farouk

Setelah kita lihat kepincangan dalam metodologi beliau dalam kajian ilmiah, saya ingin beralih kepada perbincangan yang lebih mendalam iaitu menjawab kekeliaruan yang beliau timbulkan terhadap hadis. Komentar saya seperti berikut:

A. Saudara Farouk berhujah:
Kata En. Rozaimi:
Saya tidak berjumpa riwayat Umar membakar kitab hadis. Jika ada saya minta jasa baik saudara Farouk untuk nyatakan sumbernya. –
Farouk menjawab:
Kanz al-Ummal (vol 10, #29476):
From Yehya ibn Ju’udat who said: ‘Umar desired to write the Sunnat then he decided not to do so. Then he instructed the Muslims throughout the provinces: “Whoever has a document bearing a prophetic tradition shall destroy it.”
Maaf, kalimah membakar tiada pada maklumat ini tapi Umar ibn Al-Khattab telah menyuruh kaum Muslimeen yang ada apa-apa tulisan pada mereka daripada as-sunnah (shai’un min dhalik) untuk menghapuskannya.
Saya katakan:
1. Riwayat ini juga daif kerana Yahya bin Ju'dah tidak pernah bertemu Umar. Mengapa saya daifkan riwayat ini? Ini kerana berkemungkinan Yahya meriwayatkan dari perawi pendusta atau daif. Maka jika ada kebarangkalian ini, ia tidak boleh diterima sebagai hujah.

2. Jika riwayat ini sahih sekalipun (ia bukan bermakna saya mensahihkannya), saya mempunyai pemahaman yang berbeza dari saudara Farouk. Larangan Umar ini adalah disebabkan banyak daerah baru yang dibuka pada zaman pemerintahannya. Rakyatnya baru memeluk Islam. Maka tumpuan kepada al-Quran harus didahulukan sebelum pergi kepada kitab-kitab hadis. Bukankah anak-anak orang Islam yang berumur 7-9 tahun diajar al-Quran dahulu sebelum diajar sahih Bukhari? Maka arahan Umar ini (jika ia sahih) adalah logik.

3. Bukti pemahaman saya ini benar ialah Umar pernah melantik Abu Hurairah menjadi Mufti dan Imam solat di Bahrain. Mengapa Abu Hurairah? Kerana beliau banyak meriwayatkan hadis. Umar juga menghantar Ibn Masud ke Iraq untuk mengajar di sana. (Rujuk: al-Mustadrak, 3/438. Riwayat sahih) Mengapa Ibn Masud? kerana beliau banyak meriwayatkan hadis. 


B. Saudara Farouk menjawab persoalan saya bagaimana beliau yang merupakan seorang Quranis boleh menerima riwayat ulama hadis. Lalu beliau menjawab:

Dalam ilmu mantiq, langkah ini dipanggil ‘argument by currency’. Maksudnya, bila kita berbincang dengan seseorang itu, kita mesti menggunakan maklumat yang diterima atau berada dalam klasifikasi yang sama oleh orang itu. Samalah seperti kalau kita membeli-belah di London. Kalau kita cuba membayar dengan matawang Ringgit memang tak akan diterima. Tapi kalau kita guna matawang Pound Sterling akan diterima. Kalau kita guna American Dollar atau Euro pun kadang-kadang boleh kerana matawang-matawang demikian diiktiraf di tahap dunia.
Samalah bila kita berbincang. Golongan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ) menerima kewujudan korpus maklumat selain daripada Al-Quran. Jadi bila berbincang dengan golongan ini, saya akan menggunakan maklumat tentang situasi dari zaman tersebut dan daripada sumber-sumber yang seangkatan dengannya.

Saya jawab:
1. Saya lihat saudara Farouk seolah-olah ingin katakan bahawa riwayat ini dibawa kerana kami ASWJ menerima riwayat hadis (betulkan saya jika saya tersilap faham maksud saudara). Maka beliau membangkitkan isu shopping di UK menggunakan matawang pound sterling.
2. Saudara Farouk benar dalam alasannya iaitu alasan shopping menggunakan wang pound sterling. Tetapi riwayat yang beliau bawa dalam isu ini tidak sesuai kerana ia daif. Orang-orang UK semestinya tidak menerima wang pound yang tidak asli. Begitu juga ASWJ dalam isu ini. Sudah pasti kami akan meminta bukti kesahihan riwayat supaya ia boleh diterima sama seperti orang UK meneliti keaslian pound sterling. Adakah saudara Farouk mampu membawakan pandangan ulama hadis yang mensahihkan riwayat ini?

2. Saudara Farouk menyatakan ketika berbicara mengenai riwayat Abu Bakar membakar kitab hadis yang saya nyatakan ia daif:

Di sini datang pula isu kesahihan dan memang isu ini sangat relevan. Siapa yang mendapati bahawa sadadnya tidak sahih? Adakah orang itu juga tiada agenda pada dirinya? Adakah benar dalam dunia ASWJ penilaian sanad-sanad semua sama? Jawapannya tidak. Dalam blog En. Rozami sendiri (pautannya di sini) ada perbezaan pendapat dalam bab akidah. Perbezaan ini adalah di antara dua ulamak besar. Satu dari Syria dan satu dari Saudi Arabia yang dua-dua mengaku ASWJ! Sebenarnya dalam dunia ASWJ, ada perbezaan pendapat dalam penilaian hadis. ‘sahih’ itu hanya cap yang diberi secara subjektif untuk maklumat yang kurang digemari.

Saya jawab:

1. Saudara Farouk membangkitkan isu siapa yang mendaifkan sanad riwayat ini. Saya katakan:

- riwayat ini didaifkan oleh ulama hadis seperti al-zahabi. (Rujuk: Tazkirat al-Huffaz, 1/5). 

- Ibn Kathir mendaifkan riwayat ini dengan menyatakan Ali bin Soleh tidak dikenali oleh ulama hadis. (Rujuk: Kanz al-'Ummal, 10/503) 

- al-Bukhari sendiri menyatakan bahawa Abdullah bin Musa bin Hasan bin Hasan daif. (Rujuk: al-'Aini, Maghani al-Akhyar, 5/101). Memang benar Imam Ahmad dan Yahya bin Main pernah memuji beliau sebagai orang yang soleh tetapi kesolehan tidak pernah mewajibkan mereka untuk mensahihkan hadisnya kerana periwayatan hadis bergantung kepada kesolehan dan kekuatan ingatan. Justeru, soleh sahaja tidak memadai bagi ulama hadis untuk kita terima riwayatnya.

2. Saya ingin bertanya kepada saudara Farouk adakah tidak logik bagi seseorang yang tidak percaya kepada berita orang yang tidak dikenali keperibadiannya terutama apabila ia melibatkan urusan agama? Begitulah ulama hadis. Pegangan mereka ialah kredibiliti orang yang membawa cerita. Jika benar kisah ini sahih, sila bawakan rujukan dalam kitab-kitab hadis kerana riwayat ini hanya disebut oleh ulama kurun ke 8 hijrah sekadar pengetahuan saya dan ia tidak masyhur di sisi ulama hadis sebelum itu. 

3. Tidakkah saudara Farouk melihat sendiri kandungan riwayat ini? Sesiapa yang mempunyai sedikit asas dalam ilmu hadis akan pelik dan hairan membaca riwayat ini kerana ia menyatakan bahawa Abu Bakar meriwayatkan dari seorang lelaki. Bukankah Abu Bakar antara orang yang paling rapat dengan Nabi sallallah alaih wasallam? Mengapa perlu Abu Bakar mendengar dari baginda melalui perantaraan?

4. Saudara Farouk membangkitkan pula isu perbezaan ulama hadis dalam penilaian hadis. Saya katakan bahawa perbezaan mereka dalam menghukum sesuatu hadis adalah disebabkan perbezaan ijtihad mereka. Berkemungkinan sebahagian ulama mengenali kredibiliti seorang perawi manakala ulama lain tidak mengenalinya maka berlakulah perbezaan pandangan dalam menilai hadis. Cuma kita sebagai pengkaji seharusnya memilih pandangan berdasarkan hujah dan dalil yang kuat. Bukannya memilih riwayat yang lemah dan tidak dikenali di zaman awal Islam kemudian menolak riwayat masyhur dan sahih. 

5. Manakala dakwaan saudara Farouk bahawa: '"sahih" itu hanya cop kepada maklumat yang kurang digemari' perlukan kepada dalil dan bukti. Namun saya rasa ayat ini ada sedikit masalah, berikut keterangannya: 

- Berkemungkinan saudara Farouk maksudkan "tidak sahih" sebenarnya. Ini kerana jika ulama hadis meletakkan cop "sahih" kepada maklumat yang mereka tidak gemari, ini mengisyaratkan mereka amanah dalam ilmu kerana walaupun mereka kurang gemari maklumat itu mereka tetap meletakkan cop sahih selagimana ia sahih.  

- Namun jika saudara Farouk maksudkan bahawa ulama hadis meletakkan cop "tidak sahih" kepada maklumat yang kurang digemari maka saya mempunyai bukti sebaliknya. Berikut adalah buktinya:

i. Kata Imam al-Syafie: Apabila ada hadis sahih sedangkan aku tidak mengambilnya (sebagai sandaran hukum) maka ketahuilah bahawa waktu itu akalku sudah pergi (jadi gila/bodoh). (Rujuk: Tazkirat al-Huffaz, 1/362)

ii. Kata al-Syafie lagi: Jika kamu dapati sunnah Nabi sallallah alaih wasallam menyanggahi kata-kataku, maka berpeganglah dengannya dan tinggalkanlah kata-kataku. (Rujuk: Siyar A'lam al-Nubala', 19/23).

iii. Tidakkah saudara Farouk mengetahui bahawa pada zaman periwayatan hadis, berlakunya perbezaan pandangan ulama dalam hukum-hakam fiqh. Maka wujudlah aliran mazhab yang berbagai-bagai.  Secara asasnya, setiap aliran yang berbeza pandangan pasti akan mendedahkan kelemahan aliran yang lain. Ia sama seperti apa yang kita lakukan sekarang. Saudara mendedahkan kelemahan saya, begitu juga sebaliknya. Tetapi apa yang menghairankan saya, sepanjang kajian saya tidak ada ulama yang pelbagai aliran ini menyatakan ulama aliran lain mensahihkan hadis mengikut hawa nafsu mereka. Bahkan mereka bersepakat memerangi golongan pemalsu hadis.

iv. Tidak cukup dengan memerangi hadis palsu, terdapat juga hadis-hadis yang sama dari segi maksudnya walaupun lafaznya berbeza sedangkan ia adalah riwayat perawi-perawi yang berbeza dan ada antara mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain. Berikut antara contohnya

كتب النبي صلى الله عليه وسلم في صدقة البقر، إذا بلغ البقر ثلاثين فيها تبيع من البقر جذع أو جذعة حتى تبلغ أربعين، فإذا بلغت أربعين ففيها بقرة مسنة، فإذا كثرت البقر ففي كل أربعين من البقر بقرة مسنة

Perawi bagi hadis ini ialah:

عبد الله بن مسعود: أخرجه الترمذي وابن ماجه وابن سعد وابن أبي شيبة والبيهقي من طريق عبد السلام بن حرب الملائي (الكوفي)، وأحمد –واللفظ له- من طريق عفان (البصري)، عن ابن مسعود، كلاهما (عبد السلام، وابن مسعود) عن خصيف (الحراني ثم الحضرمي)، عن أبي عبيدة (الكوفي)، عن أبيه (المدني ثم الكوفي).[1]

ب. عمرو بن حزم: أخرجه ابن حبان من طريق الحسن بن سفيان (الخراساني) وأبو يعلى (الموصلي) وحامد بن محمد بن شعيب (البغدادي)، والحاكم من طريق صالح بن عبد الله الحافظ، والبيهقي من طريق الفضل بن محمد بن المسيب (النيسابوري) وأحمد بن الحسن الصوفي (البغدادي)، كلهم عن الحكم بن موسى (البغدادي)، عن يحيى بن حمزة (الشامي)، عن سليمان بن داود (الدمشقي)، عن أبي بكر بن محمد بن عمرو بن حزم (المدني)، عن أبيه (المدني)، عن جده (المدني) موصولا.[2]

ج. معاذ بن جبل: أخرجه أبو داود والنسائي والبيهقي من طريق شقيق بن سلمة (الكوفي)، وأخرجه مالك (المدني) (ومن طريقه عبد الرزاق، والشافعي، وأبو داود، والبيهقي) من طريق طاوس بن كيسان (اليماني)، وأحمد والطبراني من طريق يحيى بن الحكم، وأخرجه الترمذي النسائي وابن ماجه وابن حبان وأحمد والدارقطني والدارمي وعبد الرزاق والطبراني والحاكم والبيهقي من طريق شقيق بن سلمة (الكوفي)، عن مسروق (الكوفي)، كلهم (شقيق، وطاوس، ويحيى ومسروق) عن معاذ بن جبل (اليماني ثم الشامي).[3]

Cuba saudara lihat perawi-perawi dalam sanad-sanad riwayat ini. Sebahagian mereka Madani (orang Madinah), Kufi (orang Kufah), Baghdadi (orang Baghdad), Naisaburi (orang Naisabur). Kita mengetahui pada zaman ini orang-orang Madinah dan Mekah begitu tidak bersetuju dengan orang-orang Iraq dalam beberapa isu hukum fiqh. Tetapi mengapa mereka boleh bersepakat dalam meriwayatkan hadis ini? Adakah logik perawi seramai ini boleh bersepakat untuk menipu dalam penilaian hadis?  

6. Saudara Farouk bangkitkan isu perbezaan pendapat dalam akidah antara ulama ASWJ. Ya benar, dalam isu cabang akidah sememangnya ulama ASWJ mempunyai perbezaan pendapat dalam beberapa isu. Tetapi kami tidak berbeza pendapat dalam perkara usul akidah. Saya tidak pasti apa relevannya beliau membawa isu ini di sini. Adakah beliau menganggap perbezaan pendapat itu sesuatu yang menunjukkan sesuatu mazhab tidak benar? Tidakkah saudara sendiri mengakui bahawa Quranis sendiri mempunyai pelbagai aliran? Saya nukilkan kalam saudara tentang perbezaan aliran Quranis:

Quranisme adalah kalimah payung (umbrella term) yang merangkumi semua aliran yang tidak menerima otoriti ulamak dan tulisan-tulisan mereka. Quranisme secular (secular quranism) adalah salah satu daripada aliran ini. Clair Khaw tidak wajar diberi label ini kerana beliau seorang atheis. Lebih wajar beliau dilabel “quranis materialis”. Quranis secular masih percaya kepada Tuhan. (Rujukan: klik di sini) 

7. Saya masih menunggu komentar saudara Farouk tentang soalan saya mengapa beliau mengambil riwayat yang daif ini dan menolak riwayat sahih dari Abu Bakar dan Umar yang menyatakan mereka menerima hadis seperti riwayat Abu Bakar menerima hadis kadar pusaka nenek dan riwayat Umar menerima hadis Taun. 

C. Saudara Farouk memberi komentar terhadap dakwaan saya tentang tafsiran riwayat Abu Bakar:

Ya benar tapi kita perlu bertanya kepada En. Rozaimi, bagaimana hadis ini boleh dhaif mengikut maklumat yang Tuan sendiri menganggap sahih? Saya petik terjemahan Tuan:
Saya bimbang saya mati sedangkan hadis-hadis ini ada di sisi saya dalam keadaan hadis riwayat seorang lelaki yang saya percaya dan benarkan ia sedangkan hadis itu sebenarnya bukan seperti mana yang lelaki itu ceritakan kepadaku (lelaki itu tersilap dalam riwayat) dan aku terlibat dalam meriwayatkannya (hadis salah).
Jadi mengikut hadis ini, Abu Bakr sendiri was-was akan sistem sanad! Pada zaman beliau sendiri ada hadis yang diberi ‘seal of approval’ oleh orang yang dia percaya tapi riwayatnya salah. Jadi Abu Bakr sendiri mengakui kelemahan sistem isnad. Kalau ini boleh berlaku pada zaman Abu Bakr sendiri (selama dua tahun selepas peninggalan Rasulullah), bagaimana pula zaman sekarang?
Saya jawab:
1. Berkenaan dengan lafaz saudara: "bagaimana hadis ini boleh dhaif mengikut maklumat yang Tuan sendiri menganggap sahih?" ini izinkan saya bertanya saudara bilakah saya sahihkan riwayat ini? Riwayat ini daif dan tidak boleh dijadikan hujah pada saya. Saya hanya menyatakan jika ia sahih sahaja. Iaitu jika mungkin riwayat ini sekalipun ia tidak menyokong dakwaan saudara. Ia tidak bermakna saya mensahihkan riwayat ini.
2. Berkaitan dakwaan saudara Abu Bakar was-was dengan sistem sanad saya jawab seperti berikut:
i. Sepetimana saya nyatakan tadi riwayat Abu Bakar ini daif maka ia tidak jadi hujah kepada kami. Bahkan riwayat yang sahih menunjukkan Abu Bakar menerima hadis seperti yang termaktub dalam sahih Bukhari. Bahkan Abu Bakar sendiri meriwayatkan hadis-hadis dari Nabi sallallah alaih wasallam. Cuba lihat dalam Musnad Ahmad berapa banyak riwayat yang sahih dan hasan dari Abu Bakar? Jika awak berpegang dengan pandangan Abu Bakar dalam was-was terhadap sistem sanad mengapa tidak awak mengikut jejak langkah beliau dalam meriwayatkan hadis Nabi sallallah alaih wasallam?
ii. Jika riwayat ini sahih sekalipun ia tidak langsung menunjukkan Abu Bakar was-was dengan sistem sanad. Ia hanya menunjukkan Abu Bakar was-was dengan sebahagian perawi sahaja. Itulah kelebihan sistem sanad. Setiap perawi disebutkan supaya kita dapat menilai kredibilitinya.
iii. Jika saudara bertanya apa buktinya Abu Bakar hanya was-was dengan kredibiliti sebahagian perawi sahaja? Saya nyatakan bahawa Abu Bakar menerima riwayat Mughirah bin Syu'bah dan Muhammad bin Maslamah dalam isu kadar pusaka untuk nenek. (Rujuk: Musnad Ahmad, 4/225, no hadis: 18009. Hadis sahih lighairih)  
D. Saudara Farouk menjawab soalan saya mengenai sebab Abu Bakar mengumpulkan hadis dengan katanya:
Kata En. Rozaimi:
Bahkan dalam riwayat itu sendiri menunjukkan Abu Bakar bukan Quranism iaitu beliau mengumpulkan hadis-hadis Nabi. Untuk apa mengumpulkan hadis-hadis jika tidak mahu berhujah dengannya?
Farouk menjawab:
Ini soalan yang amat bernas. Saya terpaksa hanya meneka kerana maklumat yang diberi tidak menyatakan sebabnya. Jawapaannya samalah seperti saya mengumpul maklumat tentang pendapat-pendapat tentang tafsir. Jika ada pendapat yang munasabah, saya boleh terima dan mengapplikasikannya. Saya juga pernah berbuat demikian tentang hadis tapi maaf nak kata, pada pendapat saya, kebanyakan hadis tidak selari dengan Al-Quran dari segi falsafah agama (philosophy of religion).
Saya katakan:
1. Bagaimana saudara boleh hanya meneka sesuatu yang besar implikasinya terhadap pegangan agama saudara? Ini suatu yang amat bahaya. Tidakkah al-Quran yang menjadi rujukan kita melarang mengikut sesuatu yang kita tiada ilmu tentangnya?
2. Jika anda mahu jawapan mengapa Abu Bakar mengumpulkan hadis sepatutnya anda mengumpulkan riwayat-riwayat tentang pendirian Abu Bakar terhadap hadis. Saya bawakan kepada anda riwayat Abu Bakar menerima hadis Mughirah bin Syu'bah dan Muhammad bin Maslamah, bahkan Abu Bakar menulis kepada Anas bin Malik tentang nisab zakat ternakan. (Rujuk: Sahih Bukhari, 2/527, no. hadis: 1386) Riwayat-riwayat ini menunjukkan pengumpulan Abu Bakar dalam riwayat itu (jika benar ia sahih) hanyalah untuk berhujah dengannya. Bahkan bukan Abu Bakar seorang yang mengumpulkannya, Abdullah bin Amr dan Ali bin Abi Talib juga telah menulis hadis pada zaman Nabi sallallah alaih wasallam. Mengapa riwayat-riwayat ini anda tidak perhatikan? Adakah anda tidak menjumpainya atau awak bersikap selektif yang hanya menerima riwayat yang sesuai dengan kehendak anda sahaja?
3. Berkenaan dengan dakwaan anda bahawa kebanyakan hadis-hadis yang bercanggah dengan al-Quran dari segi falsafah agama, saya jawab seperti berikut:
i. Ulama hadis mensyaratkan bahawa antara syarat hadis sahih ialah ia tidak bercanggah dengan dalil yang lebih kuat darinya. Jika ia bercanggah maka ia dianggap syaz dan munkar.
ii. Lafaz anda: "Kebanyakan hadis..." menunjukkan tidak semua hadis bercanggah dengan al-Quran. Adakah anda menerima hadis-hadis yang tidak bercanggah dengan al-Quran? Jika anda tetap tidak menerimanya, saya perlu tanya anda: Mengapa anda menolak semua jika yang bercanggah hanya sebahagian besar? Tidakkah itu kezaliman yang dilarang dalam al-Quran?
iii. Kebanyakan hadis sahih yang zahirnya bercanggah dengan al-Quran telah pun dijawab oleh ulama hadis. Ia hanya percanggahan zahir sahaja yang mana ia boleh diharmonikan, bukan percanggahan hakiki. 

E. Saudara Farouk berhujah tentang kalam Umar: "Cukulah bagi kita kitab Allah" dengan berkata:
Kata En. Rozaimi:
Umar memang pernah berkata: “Cukuplah bagi kita kitab Allah”. Tetapi ini bukan bermakna kita perlu meninggalkan hadis. Bahkan saya telah jelaskan dalam poin sebelum ini bahawa Umar menerima pakai hadis-hadis Nabi. Sebenarnya pegangan dengan al-Quran lah menyebabkan kita menerima hadis. Buktinya:
Saudara Farouk menjawab:
Ada dua masalah dengan hujah ini sebenarnya:
1. Ini adalah interpretasi En. Rozaimi. Umar tidak diriwayatkan untuk berkata yang kecukupan kitab Allah adalah dalam bab akidah, fiqh dan sebagainya. Dalam riwayat ini dari segi perkataan, dia hanya berkata ‘cukup bagi kita kitab Allah’. Dengan mudah Umar boleh berkata ‘tapi ia perlu dijelaskan oleh sunnah Nabi’ tapi dia tidak berkata demikian? Kenapa? Sebabnya akan juga jadi spekulasi kita.
2. Mungkin ini juga menunjukkan kelemahan dalam korpus maklumat. Fenomena hadis yang bercanggah antara satu sama lain bukan perkara baru. Perbalahan di antara ASWJ biasa dengan mazhab Salafee menjadi contoh yang baik untuk mempamerkan perbezaan-perbezaan ini.
Saya katakan:
1. Saya dapati saudara Farouk tidak menjawab persoalan saya. Saya menyatakan Umar menyatakan cukup bagi kita kitab Allah. Lihatlah pegangan Umar untuk mengetahui maksud kalam Umar ini. Mengapa harus berspekulasi sedangkan pendirian Umar dalam hadis kita boleh rujuk kepada riwayat-riwayat lain dari Umar. Umar tidak menjadi Quranis seperti anda. Bahkan Umar menerima hadis Nabi sallallah alaih wasallam. Contohnya hadis dalam bab Taun. Bahkan Umar pernah memukul seorang lelaki yang bertanya beliau dalam masalah tawaf orang haid sedangkan dia sudah tahu ada hadis dalam bab itu. Umar memukulnya kerana beliau tidak mahu menerima hadis Nabi sallallah alaih wasallam. (Rujuk: Ibn Rejab, Fath al-Bari, 1/535)
2. Saya tidak faham mengapa isu ASWJ biasa dan salafee dibangkitkan di sini.
E. Saudara Farouk berhujah lagi:
Kata En. Rozaimi:
(Bersambung dari poin di atas):
Maksudnya: Tidak sepatutnya bagi seorang mukmin lelaki dan wanita apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu (hukuman) lalu mereka ada pilihan lain lagi dalam urusan mereka. [al-Ahzab: 36]
Farouk menjawab:
Maaf tapi ini bukan keputusan Rasulullah. Yang memutuskan maklumat ini sahih dan interpretasi maklumat sendiri adalah dari ulamak, bukannya Rasulullah. Di antara ulamak-ulamak ASWJ sendiri ada percanggahan pendapat walaupun pada peringkat usul. Sebab itulah ada pelbagai mazhab yang bercanggah dari segi hukum-hakamnya.
Saya katakan: 
1. Bagaimana anda boleh katakan ia keputusan ulama? Terdapat banyak hadis yang ulama bersepakat tentangnya dengan mengatakan ia adalah hukuman Rasulullah sallallah alaih wasallam. Adakah anda mahu menolaknya? 
2. Interpretasi yang berbeza terhadap satu-satu hadis tidak menunjukkan hadis itu tidak sahih. Bezakan antara tafsiran dan hadis wahai saudara.
3. Perbezaan ulama terhadap usul hanya pada perkara yang melibatkan ijtihad. Tetapi mereka tidak pernah berbeza pendapat tentang kehujahan al-Quran dan hadis. Anda seolah-olah menggunakan poin bukan pada tempatnya yang sesuai.
F. Saudara Farouk berhujah lagi tentang al-'Atf:
Kata En. Rozaimi:
Saya memahami hukuman Allah di dalam al-Quran. Justeru, di mana pula hukuman Nabi jika bukan di dalam hadis? Jika anda kata hukuman Nabi juga di dalam al-Quran bukan hadis, saya berhak untuk bertanya jika ia sama mengapa Allah dan rasul diulang dalam satu ayat dalam bentuk al-‘Atf (العطف) dan kaedah menyatakan al-‘Atf menunjukkan perbezaan? Ayat ini menunjukkan kehujahan hadis
 Farouk menjawab:
Satu lagi soalan yang bernas daripada En. Rozaimi. Mari kita terima hujah ‘waw atf’ yang menunjukkan yang ‘Allah wa rasuluh’ (Allah dan rasulNya) dalah berbeza. Memang berbeza tapi berbeza dari segi apa? Allah bukan Rasul dan Rasul bukan Allah. Itu satu perbezaan tapi modality maklumat pun berbeza juga. Allah menyampai dari ‘atas’ ke ‘bawah’ (tanzeel bermaksud penurunan) iaitu arah vertical dan Rasul menyampai dari manusia kepada manusia (tabligh bermaksud penyampaian) iaitu arah horizontal. Jadi frasa ‘Allah wa rasuluh’ boleh juga merujuk kepada kelainan dari segi modality maklumat. Kenapa pula kita mesti memahaminya sebagai sumber berlainan saja? Ini hanya interpretasi Tuan.
Saya juga merujuk kepada Al-Anfal ayat 20 yang berbunyi : Taatlah Allah dan taatlah Rasul dan jangan berpaling dariNYA (wa laa tawallau anHU) apabila kamu MENDENGAR (wa antum tasma’oon).
Jadi walaupun Allah dan Rasul dibezakan dalam ayat di atas, tindakan berpaling itu adalah berpaling daripada seorang saja. Adakah ini bermakna yang Allah itu Rasul? Sudah tentu tidak. Tapi Allah dan Rasul sumbernya satu saja iaitu sumber yang didengari. Apakah yang didengari? Sila lihat Al-Haqqah ayat 40-47.
Saya katakan:
1. Apa yang zahir bagi saya saudara Farouk tidak menguasai bahasa Arab dengan baik. Maafkan saya jika saya tersalah sangka. Mengapa saya katakan demikian? Kerana al-'Atf sememangnya memberi makna berbeza antara dua perkara yang diikat dengan huruf al-'Atf. Ini adalah kaedah bahasa arab. Saudara Farouk seolah-olah ingin katakan perbezaan antara Allah dan Rasul memang ada iaitu perbazaan zat dan modality (horizontal dan vertical). Sebenarnya yang berbeza dalam ayat itu bukan Allah berbeza dari rasul sahaja kerana itu perbezaan zat sememangnya diketahui oleh Quraisy walaupun mereka tidak beriman dengan al-Quran. Tidak perlu ayat al-Quran untuk menyatakan Allah berbeza dari Rasul kerana semua orang di Mekah dan Madinah mengetahuinya. Perkataan yang diikat dengan waw al-'Atf adalah hukuman. Perhatikan ayat itu betul-betul:
إذا قضى الله ورسوله
Maksudnya: Apabila Allah dan Rasul-Nya membuat hukuman...
Ini bermakna yang ingin dibezakan dalam ayat ini ialah hukuman Allah dan Rasul-Nya bukan zat Allah dan zat rasul kerana perbezaan zat keduanya telah pun diketahui sebelum ayat ini turun lagi. Bahkan Quraisy juga tahu walaupun mereka tidak beriman dengan al-Quran. Maka hujah saudara tentang modality horizontal dan vertical itu tidak terpakai di sini kerana ayat jelas menunjukkan perbezaan antara HUKUMAN Allah dan rasul-Nya.
2. Saudara Farouk membawa ayat 20 dalam surah al-Anfal:
يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلا تَوَلَّوْا عَنْهُ وَأَنْتُمْ تَسْمَعُون
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan rasul-Nya dan jangan kamu berpaling darinya sedangkan kamu mendengar.
Waw al-'Atf mengikat antara taat kepada Allah dan taat kepada Rasul. Maka taat kepada Allah berbeza bentuknya dengan taat kepada Rasul. Justeru jika taat kepada Allah ialah dengan beriman dengan al-Quran bagaimana pula ingin taat kepada Rasul jika bukan dengan hadis? 
3. Saudara Farouk bangkitkan isu: "Jangan kamu berpaling darinya". Saya katakan larangan berpaling itu ialah berpaling dari Rasul. Ini kerana kaedah bahasa arab menyatakan dhamir 'anhu (ganti diri) akan kembali kepada kata nama sebelumnya yang paling hampir. Maka Allah melarang kaum muslimin berpaling dari Rasul sedangkan mereka mendengar al-Quran. Bagaimana berpaling dari Rasul sedang mereka mendengar al-Quran? Ia menunjukkan larangan ini ialah jangan berpaling dari arahan Nabi sallallah alaih wasallam selepas mendengar ayat al-Quran yang memerintahkan kamu mentaati rasul. Jangan jadi seperti orang kafir yang mendengar al-Quran tetapi tetap tidak mentaati rasul. Lihat ayat 21 dalam surah al-Anfal.
4. Izinkan saya bertanya saudara Farouk tentang kiblat pertama orang-orang Islam. Di dalam al-Quran terdapat ayat yang menyuruh orang Islam menghadap ke Kaabah dan ayat ini menyatakan kiblat yang lama telah terbatal. Saya semak di dalam al-Quran tidak ada satu ayat pun yang mengandungi perintah menghadap ke kiblat yang pertama. Yang ada cuma ayat yang membatalkan kiblat pertama sahaja. Maka dari mana orang-orang Islam sebelum itu dapat perintah menghadap kiblat pertama jika bukan dari hadis?

G. Saudara Farouk berhujah:
Sikap ‘selektif’ itu memang naluri manusia yang cuba menginterpretasi sesuatu fenomena. Ini adalah kerana kita telah melepasi zaman itu dan kita tidak akan tahu situasi yang sebenarnya. Dunia Rasululah dan sahabat-sahabatnya telah berlalu dan kita tidak akan tahu situasi yang sebenarnya kecuali dengan maklumat yang objektif yang itu pun kita terpaksa menilai.
Apakah maklumat objektif itu? Tentunya Al-Quran yang diperakui dan diangkat umat Islam dan dijamin Allah sebagai dilindungi (Al-Hijr ayat 9). Maklumat lain terpaksa dipilih oleh manusia yang subjektif. Bukankah itu sikap yang selektif juga? Bolehkah kita fahami sebab-sebab Al-Bukhari menolak hadis yang dia tidak mengaku sahih? Pada saya tak boleh. Sebenarnya inilah permasalah korpus hadis – element of subjectivity and selectivity manusia.
Saya katakan: 
1. Selektif itu naluri manusia? Anda seolah-olah ingin menyamakan antara selektif dalam mengumpul data dan selektif dalam membuat intrepetasi. Apa yang saya bangkitkan ialah sikap selektif anda dalam mengumpul data sebelum melakukan rumusan. Saya tidak pasti ada atau tidak universiti yang meluluskan thesis pelajar yang menyembunyikan data kerana dalam kajian ilmiah sepatutnya semua data dan bukti dikaji satu persatu. Kemudian barulah rumusan dibuat. Jika dari awal lagi sebahagian data tidak dipedulikan maka bagaimana kia ingin capai natijah yang tepat?
2. Selektifnya anda apabila anda membawakan riwayat Abu Bakar dan Umar yang zahirnya seperti menyokong anda sedangkan anda langsung tidak menyentuh tentang riwayat mereka mengiktiraf sunnah Nabi sallallah alaih wasallam. 
H. Saudara Farouk berkata:
Kata En. Rozaimi:
Maksudnya: Demi Tuhanmu, mereka tidak akan beriman sehingga mereka menjadikanmu pemutus dalam perselisihan mereka kemudian mereka tidak merasa bebanan terhadap keputusanmu dan mereka benar-benar menerimanya. [al-Nisa’: 65]
 Ayat di atas mewajibkan kita menerima hukuman Nabi. Saya katakan tidak ada cara lain untuk mengetahui hukuman Nabi kecuali jalan riwayat. Inila hadis. Justeru, saya benar-benar ragu adakah benar saudara Farouk mengikut petunjuk al-Quran.
Farouk menjawab:
Maaf, tapi Tuan hanya memetik satu ayat di sini justeru itu hanya bersikap selektif. Tuan perlu tengok juga apa kata Al-Quran dalam isu bagaimana Rasulullah menghukum:
Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat. (4/105)
Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran….(5/48)

Saya katakan:
1. Tuduhan anda bahawa saya bersikap selektif bagi saya tidak tepat. Ini kerana saya juga beriman dengan ayat-ayat yang awak nukilkan. Saya tidak pernah menolak kehujahan al-Quran. Sebaliknya andalah yang bersifat selektif kerana anda hanya terima ayat kehujahan al-Quran sedangkan ayat tentang kehujahan hadis anda tolak.
2. Memang al-Quran suruh berhukum dengan al-Quran. Tidakkah tuan tahu bahawa al-Quran juga suruh kita taati rasul? Maka berpegang dengan hukum rasul bererti berpegang dengan al-Quran juga.
3. Firman Allah:
وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُون
Maksudnya: Dan Kami turunkan kepada kamu al-Zikr (wahyu) supaya kamu dapat menjelaskan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka mudah-mudahan mereka berfikir. (al-Nahl: 44)
Ayat ini menyatakan tugas Rasul bukan sekadar menyampaikan (tabligh) tetapi juga menerangkan. Di mana penerangan Rasul jika bukan di dalam hadis? Jika anda katakan hadis tidak terpakai ini bermakna kita sudah tidak patuh dengan ayat ini iaitu mengetahui penerangan Rasul terhadap al-Quran.
4. Maafkan saya jika terpaksa menyatakan bahawa berpaling dari petunjuk hadis menjadikan anda tidak memakan apa-apa bangkai termasuk ikan dan haiwan laut yang lain. Ini kerana al-Quran mengharamkan bangkai. Bangkai pada orang arab merujuk kepada haiwan yang mati tanpa disembelih. Hanya hadis yang mengecualikan haiwan laut dari kewajipan sembelih. Maka saya terpaksa sanjungi usaha keras anda menyembelih ikan dan haiwan laut yang lain.



[1] الترمذي، السنن، كتاب الزكاة، باب ما جاء في زكاة البقر، ج3، ص19؛ وابن ماجه، السنن، كتاب الزكاة، باب صدقة البقر، ج1، ص577؛ وأحمد، المسند، ج1، ص411؛ وابن أبي شيبة، المصنف، كتاب الزكاة، باب في صدقة البقر، ما هي؟، ج2، ص362؛ والبيهقي، السنن الكبرى، كتاب الزكاة، باب كيف فرض صدقة البقر، ج4، ص99؛ قال شعيب الأرناؤوط: "حسن لغيره، وهذا إسناد ضعيف لانقطاعه. قوله: "حدثنا ابن مسعود، وابن سعد صوابُه حدثنا مسعود بن سعد. انظر: أحمد بن حنبل، المسند، ج1، ص411. وقال الترمذي: "حديث حسن".
[2] الحاكم، المستدرك، كتاب الزكاة، ج1، ص552؛ وابن حبان، الصحيح، كتاب التاريخ، باب كتب النبي r، ج14، ص501؛ والبيهقي، السنن الكبرى، باب كيف فرض الصدقة، ج4، ص89، وباب كيف فرض صدقة البقر، ج4، ص99.
[3] أبو داود، السنن، كتاب الزكاة، باب في زكاة السائمة، ج2، ص13؛ والترمذي، السنن، ج3، ص20؛ والنسائي، المجتبى، كتاب الزكاة، باب زكاة البقر، ج5، ص25، 26؛ ج2، ص13؛ وابن ماجه، السنن، كتاب الزكاة، باب صدقة البقر، ج1، ص576؛ وأحمد، المسند، ج5، ص240، وج36، ص338، 444؛ ومالك، الموطأ، كتاب الزكاة، باب ما جاء في صدقة البقر، ج2، ص364؛ والشافعي، المسند، كتاب الزكاة، ص90؛ وعبد الرزاق، المصنف، كتاب الزكاة، باب البقر، ج4، ص20، 21؛ وابن أبي شيبة، المصنف، كتاب الزكاة، باب في صدقة البقر، ما هي؟، ج2، ص323؛ والدارمي، السنن، كتاب الزكاة، باب زكاة البقر، ج1، ص465؛ وأبو داود، المراسيل، كتاب الزكاة، باب في صدقة الماشية، ص112؛ والدارقطني، السنن، كتاب الزكاة، باب ليس في الخضروات صدقة، ج1، ص102؛ وأبو القاسم سليمان بن أحمد الطبراني، المعجم الكبير، (تحقيق حمدي بن عبد المجيد السلفي، الموصلمكتبة العلوم والحكم، ط2، 1404ﻫ/1983مج20، ص129، ص170؛ والحاكم، المستدرك، كتاب الزكاة، ج1، ص555؛ وابن حبان، الصحيح، كتاب السير، باب الذمي والجزية، ج11، ص244؛ والبيهقي، السنن الكبرى، كتاب الزكاة، باب كيف فرض صدقة البقر، ج4، ص98، وكتاب الجزية، باب كم الجزية، ج9، ص193