Friday 19 July 2013

Adakah kisah Imam Syafie mengambil berkat daripada kubur Abu Hanifah benar?

Soalan: Adakah kisah Imam Syafie mengambil berkat daripada kubur Abu Hanifah benar? Berikut adalah dakwaannya:

Al ‘Allamah As Syaikh Khothib Al Baghdadi menuturkan kisah dengan sanad para perowi yang tsiqqoh (terpercaya) :
عَنْ عَلِي بِنْ مَيْمُوْن قَالَ سَمِعْتُ الشَّافِعِيَّ يَقُوْلُ اِنِّي لَأَتَبَرَّكُ بِأَبِي حَنِيْفَةَ وَأَجِيْءُ إِلَى قَبْرِهِ فِي كُلِّ يَوْمٍ يَعْنِي زَائِرًا فَإِذَا عَرِضَتْ لِي حَاجَةٌ صَلَّيْتُ رَكْعَتَيْنِ وَجِئْتُ إِلَى قَبْرِهِ وَسَأَلْتُ اللهَ تَعَالَى الْحَاجَةَ عِنْدَهُ فَمَا تَبْعُدُ عَنِّي حَتَّى تُقْضَى
Dari Ali bin Maimun, ia berkata : Aku mendengar Imam As Syafi’i berkata : “Sesungguhnya saya senantiasa bertabarruk dengan Abu Hanifah. Aku senantiasa mendatangi makamnya setiap hari untuk berziyarah. Apabila aku mempunyai hajat, aku solatt dua rokaat, lalu aku datang ke makamnya, selanjutnya aku meminta kepada Allah tentang hajatku disisi kuburnya, tidak lama kemudian hajatku terkabul.” (Tarikh Baghdad, vol. 1 hal. 123)".


Ana katakan:

1. Riwayat ini mmg ada dlm Tarikh Baghdad dgn sanad berikut:

 أخبرنا القاضي أبو عبد الله الحسين بن علي بن محمد الصيمري قال أنبأنا عمر بن إبراهيم المقرئ قال نبأنا مكرم بن أحمد قال نبأنا عمر بن إسحاق بن إبراهيم قال نبأنا علي بن ميمون قال سمعت الشافعي


2. Dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Umar bin Ishaq bin Ibrahim. Dia adalah perawi yang tidak dikenali (majhul). Jika nama sebenarnya Amr bin Ishaq bin Ibrahim bin Humaid, tidak dinafikan bahawa al-Khatib menyebut biografinya dalam Tarikh Baghdad tetapi beliau tidak menyatakan pandangan ulama Jarh wa Ta'dil terhadap beliau. Maka beliau dikira sebagai Majhul al-Hal. Justeru, dakwaan perawi sanad ini tsiqoh tidak benar.

3. Jika benar perawi itu bernama Amr bin Ishaq bin Ibrahim bin Humaid maka sanadnya terputus. Ini kerana Imam Bukhari menyatakan beliau datang melakukan haji pada tahun 341 Hijriah. Sedangkan Ali bin Maimun wafat pada tahun 247 Hijriah mengikut pandangan majoriti ulama. Maka jarak antara mereka hampir-hampir seratus tahun.

4. Komentar Ibn Taimiah terhadap kisah ini:

وهذا كذلك معلوم كذبه بالاضطرار عند من له معرفة بالنقل ، فإن الشافعي لما قدم بغداد لم يكن ببغداد قبر ينتاب للدعاء عنده البتة ، بل ولم يكن هذا على عهد الشافعي معروفا ، وقد رأى الشافعي بالحجاز واليمن والشام والعراق ومصر من قبور الأنبياء والصحابة والتابعين ، من كان أصحابها عنده وعند المسلمين أفضل من أبي حنيفة وأمثاله من العلماء . فما باله لم يتوخ الدعاء إلا عنده . ثم أصحاب أبي حنيفة الذين أدركوه مثل أبي يوسف ومحمد وزفر والحسن بن زياد وطبقتهم ، ولم يكونوا يتحرون الدعاء لا عند أبي حنيفة ولا غيره .

Maksudnya: Ini (cerita ini) diketahui pembohongannya secara pasti bagi sesiapa yang mempunyai pengetahuan dalam ilmu periwayatan. Sesungguhnya Syafie ketika sampai di Baghdad, tidak ada satu kubur pun di Baghdad yang dituju untuk didoa di sisinya. Bahkan ia tidak dikenali pada hidup Syafie. Sedangkan Syafie telah melihat di Hijaz, Yaman, Syam, Iraq  dan Mesir kubur-kubur para Anbiya', Sahabat dan Tabiien yang mana mereka lebih mulia dari Abu Hanifah dan ulama seumpamanya pada pandangannya dan Muslimin . Kenapa beliau tidak berhajat untuk berdoa (untuk hajat) melainkan di sisi kuburnya (Abu Hanifah)? Kemudian, anak murid kanan Abu Hanifah seperti Abu Yusuf, Muhammad (bin al-Hasan), Zufar dan al-Hasan bin Ziyad juga tidak pernah bersungguh untuk berdoa (untuk hajat mereka) di kubur Abu Hanifah dan kubur ulama lain.

(Lihat: Ibn Taimiah, Iqtidha' al-Sirot al-Mustaqim, jld. 2, hlm 206)

5. Kata Ibn Qayyim al-Jawziyyah terhadap riwayat ini:

والحكاية المنقولة عن الشافعي : أنه كان يقصد الدعاء عند قبر أبي حنيفة من الكذب الظاهر

Maksudnya: Hikayat yang dinukilkan dari Imam Syafie yang menyatakan dia berniat untuk berdoa di kubur Abu Hanifah adalah PENDUSTAAN YANG NYATA. (Lihat: Ibn al-Qayyim, Ighathah al-Lahfan, jld. 1, hlm. 218)

Rujukan tambahan:

Ahadith Yahtajju biha al-Syiah, hlm. 183
Bulugh al-Amani fi al-Radd 'ala al-Tijani, hlm. 34

Abu Muaz Rozaimi Ramle
19 Julai 2013 (11 Ramadhan 1434H),


Muar Johor (3.10 pagi)

Wednesday 17 July 2013

Hadis Fadhilat Tarawih Setiap Malam, Boleh Dibuat Untuk Fadhail al-A'mal?

Apabila masuknya bulan ramadhan ini saya sering ditanya dengan soalan: Adakah hadis fadhilat tarawih mengikut malam itu sahih?". Alhamdulillah saya bersyukur kerana makin hari makin ramai masyarakat kita mula bertanya tentang status hadis yang pada matanya nampak pelik. Ia menunjukkan mereka sudah mula untuk memastikan amalan mereka bersumberkan hadis yang sabit dari Nabi sallallah 'alaih wa sallam. Hari ini (17 Julai 2013) saya ditanya oleh beberapa orang sahabat-sahabat tentang pandangan seorang ustaz yang memberi fatwa bahawa hadis fadhilat tarawih mengikut malam-malam tertentu boleh digunakan untuk tujuan galakan beribadat atau dengan kata kata lain boleh digunakan untuk tujuan Fadhail al-A'mal.

Boleh rujuk videonya di sini: http://www.youtube.com/watch?client=mv-google&gl=MY&hl=en&v=G2RP1jCYmhA&feature=youtu.be&nomobile=1


Untuk menjawab persoalan ini saya nyatakan seperti berikut:

1. Solat tarawih memang dianjurkan oleh Islam. Banyak hadis-hadis sahih yang menyatakan bahawa Nabi sallallah 'alaih wa sallam melakukan solat tarawih pada bulan Ramadhan dan baginda sendiri menggalaknya umatnya menghidupkan malam-malam di bulan Ramadhan dengan ibadat antaranya solat tarawih. Sabda Nabi sallallah 'alaih wa sallam:

من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Maksudnya: Sesiapa yang mendirikan malam-malam Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan (pahala) maka Allah akan ampun dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari, jld. 1, hlm 22, no. hadis: 37)

Ulama menyatakan hadis ini adalah galakan untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan ibadat antaranya solat tarawih. (Lihat: al-Bugho dan a-Khin, al-Fiqh al-Manhaji, jld. 1, hlm. 237)

2. Hadis ini tidak diriwayatkan dalam mana-mana kitab hadis yang bersanad. Ia merupakan satu tanda bahawa ia palsu. (Lihat: Ibn Iraq, Tanzih al-Syariah, jld. 1, hlm. 8). Tidak dinafikan memang ia ada dalam kitab Durratun Nasihin tetapi ia bukanlah kitab hadis yang muktabar bahkan ia banyak mengandungi cerita-cerita yang tidak ada asalnya dalam kitab-kitab hadis muktabar.

3. Tanda-tanda hadis palsu dalam matannya juga jelas. Ia seperti berikut:

i. Ia menyatakan solat tarawih malam ke-8 akan mendapat pahala seperti pahala Nabi Ibrahim 'alaihissalam.
ii. Ia menyatakan solat tarawih malam ke-9 akan mendapat pahala beribadat sama seperti ibadat Nabi Muhammad sallallah 'alaih wasallam.
iii. menyatakan solat tarawih malam ke-17 akan dapat pahala seperti ibadat sekalian para Nabi 'alaihimussalam.

* Saya katakan: 

i. Ini jelas bercanggah dengan usul Islam. Mana mungkin seseorang untuk menandingi ibadat Nabi sallallah 'alaih wasallam. Apatah lagi nak menyamai pahala sekalian para Nabi 'alaihimussalam dengan hanya solat 2 rakaat. Ini terlalu ringan jika ingin dibandingkan dengan ujian yang Allah beri kepada Nabi Muhammad dan Ibrahim sehingga mereka digelar al-Khalil. Mustahil dengan solat dua rakaat dia akan menjadi lebih baik dari mana-mana Nabi. Ini amat pelik bagi akal.  

ii. Setiap hadis yang mengandungi unsur mujazafah. Mujazafah bermaksud setiap hadis yang menyatakan pahala yang sangat besar bagi amalan yang sedikit atau azab besar bagi dosa kecil. Mujazafah ini adalah antara tanda-tanda hadis palsu. (Lihat: al-Zahabi, al-Muqizah, hlm. 37)

al-Athyubi dan Ibn Iraq menukilkan pendapat al-Burhan al-Naji: "Di antara tanda-tanda hadis palsu ialah menyatakan amalan tertentu boleh diganjari pahala seorang Nabi atau sekalian para Nabi". (Lihat: al-Athyubi, Syarah al-Athyubi 'ala Alfiah al-Suyuty, jld. 1, hlm. 293, Ibn Iraq, Tanzih al-Syariah, jld. 1, hlm. 8)

4. Ulama hadis menyatakan bahawa hadis daif boleh digunakan dalam Fadhail al-A'mal. Tetapi ia mesti mematuhi 3 syarat berikut:

i. Hadis daif itu dikategorikan sebagai hadis daif ringan.
ii. Amalan yang dianjurkan itu telah datang dalam hadis lain yang sabit dari Nabi sallallah 'alaih wa sallam.
iii. Tidak menyandarkan hadis itu kepada Nabi sallallah 'alaih wa sallam ketika beramal dengannya. Sebaliknya dia beramal dengannya semata-mata kerana ihtiyat (berjaga-jaga).

(Lihat: al-Suyuty, Tadrib al-Rawi, jld. 1, hlm. 298)

Jika diteliti, hadis daif yang boleh digunakan untuk fadhail al-A'mal adalah hadis daif ringan sedangkan hadis fadhilat tarawih mengikut malam ini palsu. Maka sudah pasti hadis ini tidak boleh digunakan dalam bab Fadhail al-A'mal. Bahkan ulama Ahli Sunnah bersepakat menyatakan bahawa haram bagi seseorang meriwayatkan hadis palsu melainkan untuk menyatakan bahawa ia palsu. (Lihat: al-'Iraqi, al-Taqyid wa al-Idhah, hlm 345) Tetapi mereka yang membaca hadis ini di depan orang awam jarang sekali untuk menyatakan ia palsu. Berkemungkinan besar si pembaca sendiri tidak tahu bahawa hadis itu palsu.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya saya menasihati diri saya dan sahabat-sahabat semua agar berhati-hati sebelum mengeluarkan apa-apa fatwa. Menyebarkan hadis yang belum tahu statusnya juga dianggap sebagai satu kesalahan, apatah lagi menyebarkan hadis yang sudah jelas ia dusta. Jangan kerana inginkan keredhaan pendengar kuliah kita, kita sanggup menipu atas nama Nabi sallallah 'alaih wa sallam. Wallahua'lam.

Abu Muaz Rozaimi
3.30 petang
Muar, Johor
17 Julai 2013