Thursday 24 July 2014

Status Hadis Solat Sunat Khas Pada Jumaat Terakhir Di Bulan Ramadhan



Saya ditanya tentang status hadis di dalam gambar ini. Maka saya kata ia PALSU DAN DUSTA. Ia tidak diriwayatkan dalam kitab hadis. Ulama hadis juga menghukum palsu ke atas hadis yang hampir sama dengan hadis ini. Berikut keterangannya:

1. Kata al-Syaukani:

حديث من صلى في آخر جمعة من رمضان الخمس الصلوات المفروضة في اليوم والليلة قضت عنه ما أخل به من صلاة سنته هذا موضوع لا إشكال فيه ولم أجده في شيء من الكتب التي جمع مصنفوها فيها الأحاديث الموضوعة ولكنه اشتهر عند جماعة من المتفقهة بمدينة صنعاء في عصرنا هذا وصار كثير منهم يفعلون ذلك ولا أدري من وضعه لهم فقبح الله الكذابين

Maksudnya: Hadis: "sesiapa yang solat lima waktu pada Jumaat terakhir di bulan Ramadhan sehari semalam maka telah sempurnalah solatnya yang tidak sempurna sempanjang tahun". Ini hadis palsu tidak ada kekeliruan padanya dan saya tidak menjumpainya dalam mana-mana kitab yang penulisnya mengumpulkan hadis palsu tetapi ia masyhur dalam kalangan kumpulan pelajar fiqh di bandar San'aa (Yaman) di zaman kita ini dan ramai antara mereka yang melakukannya. Saya tidak tahu siapa yang mereka cipta hadis ini untuk mereka. (Semoga) Allah memburukkan orang-orang yang berdusta. (al-Fawaid al-Majmu'ah, hlm. 54)

2. Kata Abdul Hayy al-Laknawi:

حديث من قضى صلوات من الفرائض في أخر جمعة من رمضان كان ذلك جابرا لكل صلاة فائتة من عمره إلى سبعين سنة قال علي القاري في موضوعاته الصغرى والكبرى باطل قطعيا لأنه مناقض للإجماع على أن شيئا من العبادات لا يقوم مقام فائتة سنوات ثم لا عبرة بنقل صاحب النهاية ولا بقية شراح الهداية لأنهم ليسوا من المحدثين ولا أسندوا الحديث إلى أحد من المخرجين

Maksudnya: Hadis: "sesiapa  yang mengqadha' solat fardhu pada Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan maka ia menjadi penampung bagi solat yang ditinggalkan sepanjang 70 tahun dari umurnya". Kata Ali al-Qari dalam (kitab) Maudhu'atnya: (Hadis ini) BATIL SECARA PASTI KERANA IA BERCANGGAH DENGAN IJMA' YANG MENYATAKAN BAHAWA SETIAP SESUATU DARIPADA IBADAT TIDAK BOLEH MENGGANTIKAN IBADAT LAIN YANG DITINGGALKAN BEBERAPA TAHUN. Tidak diambil kira nukilan pengarang kitab al-Nihayah dan beberapa pengarah kitab-kitab syarah bagi kitab al-Hidayah kerana mereka bukanlah muhaddithin (ahli hadis) dan mereka tidak membawa sanad bagi hadis ini dari kitab-kitab (muhaddithin) yang meriwayatkan hadis dengan sanad. (al-Athaar al-Marfu'ah fi al-Akhbar al-Maudhu'ah, hlm. 85)

Jika kita lihat alasan yang diberikan oleh Syeikh Mulla Ali al-Qari, maka kita dapat simpulkan bahawa hadis dalam gambar ini juga mempunyai ciri yang sama iaitu solat sunat boleh menggantikan qadha' solat fardhu selama 400 tahun. Tambahan pula ia tidak diriwayatkan dalam kitab hadis bersanad. Maka saya katakan hadis ini palsu. Jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai titik mula untuk kita bersihkan lidah dan jari kita kita bercakap atau menulis sesuatu yang merupakan pendustaan terhadap Nabi sallallah 'alaih wasallam. Wallahua'lam.


Tuesday 15 July 2014

Status Hadis 10 Kelebihan/Keberkatan Membaca Surah Yasin





Agak ramai yang bertanya saya tentang status riwayat yang menceritakan 10 kelebihan atau keberkatan membaca surah Yaasin seperti dalam gambar  di atas ini. Maka saya jawab seperti berikut:

Hadis ini diriwayatkan melalui 2 jalan:

1. Riwayat Ali bin Abi Talib. Diriwayatkan dari Ali melalui dua jalur:

i. Jalur pertama riwayat al-Harith dalam musnadnya (Rujuk: Buhgyat al-Bahith, jld. 1, hlm. 526, no: 469). Jalur ini palsu kerana terdapat perawi yang bernama Hammad bin 'Amru al-Nasibi. Berikut komentar ulama hadis terhadap statusnya:

- Kata Yahya bin Main: beliau tergolongan dalam kalangan pendusta dan pemalsu hadis
- Kata al-Bukhari: (beliau) periwayat hadis munkar
- Kata al-Jauzajani: Beliau berdusta
- Kata al-Nasaie: (beliau) perawi yang ditinggalkan.
- Kata Ibn Hibban: beliau memalsukan hadis. (Rujuk: Ibn Adiyy, al-Kamil, jld. 2, hlm. 239, no perawi: 415, al-Zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 1, hlm, 589, no. perawi: 2262)

Oleh kerana itu al-Baihaqi menyatakan selepas meriwayatkan juzu' awal dari hadis ini:

فذكر حديثا طويلا في الرغائب والآداب وهو حديث موضوع

Maksudnya: kemudian beliau (iaitu perawi) menyatakan hadis yang panjang dalam al-Raghaib dan adab-adab dan ia adalah HADIS PALSU. (Rujuk: Dalail al-Nubuwwah, jld. 7, hlm. 229)

ii. Jalur kedua riwayat al-Dailami seperti yang dinyatakan oleh Ibn Iraq al-Kinani. (Rujuk: Ibn Iraq, Tanzih al-Syariah, jld. 1, hlm. 296). Jalur ini pula matruk (terlalu daif) kerana terdapat perawi yang bernama Mas'adah bin Ilyasa'. Berikut komentar ulama hadis terhadap beliau:

- Kata Ahmad bin Hanbal: Tiada nilai, kami meninggalkan hadisnya lama dulu.
- Kata Abu Hatim al-Razi: (Hadis) beliau gugur dan munkar. Beliau berdusta ke atas nama Jaafar bin Muhammad. (Rujuk: al-Jarh wa al-Taadil, jld. 8, hlm. 370, no perawi: 1693, al-Kamil, jld. 6, hlm. 390, no. perawi: 1875) 

2. Riwayat Abu Qilabah (Rujuk: Syu'ab al-Iman, jld. 2, hlm. 481, no hadis: 2467) Tetapi riwayat ini terdapat sedikit perbezaan dari riwayat Ali. kerana riwayat ini tidak disandarkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam sebaliknya ia disandarkan kepada Abu Qilabah. Berikut sebahagian lafaznya:

من قرأ يس غفر له و من قرأها و هو جائع شبع و من قرأها و هو ضال هدى و من قرأها و له ضالة وجدها و من قرأها على طعام خاف قلته كفاه و من قرأها عند ميت هون عليه و من قرأها عند امرأة يخشى عليها ولدها يسر عليها

Maksudnya: Sesiapa yang membaca Yasin diampunkan baginya dan sesiapa yang membacannya ketika lapar akan kenyang, sesiapa membacanya ketika sesat maka akan dapat petunjuk, sesiapa yang membacanya ketika barangnya hilang akan menjumpainya, sesiapa yang membacanya ke atas makanan yang dia takut ia tidak mencukupi maka ia akan mencukupi, sesiapa yang membacanya di sisi mayat maka akan diringankan ke atasnya dan sesiapa yang membacanya kepada perempuan yang ditakuti (keselamatan) anaknya maka akan dipermudahkan urusannya...

Riwayat ini daif bahkan munkar kerana ada 2 kecacatan:

i. Terdapat perawi daif yang bernama al-Khalil bin Murrah al-Basri. Beliau daif pada majoriti ulama hadis semisal al-Bukhari, Abu Hatim, al-Tirmizi, ِAbu al-Walid al-Tayalisi dan Ibn Adiyy dan beliau juga banyak meriwayatkan hadis munkar. (Rujuk: al-Majruhin, jld. 1, hlm. 322, Tahzib al-Tahzib, jld. 9, hlm. 100, no perawi: 319)

ii. Tafarrud iaitu bersendirinya beliau dalam riwayat ini. Walaupun Ibn Adiy menyatakan bahawa status beliau tidak sampai kepada tahap perawi matruk (ditinggalkan) tetapi status beliau yang banyak meriwayatkan hadis munkar ditambah pula beliau bersendiri dalam meriwayatkan riwayat ini, maka ia menguatkan petunjuk (qarinah) bahawa hadis ini munkar. Tambahan pula beliau meriwayatkan hadis ini dari Ayub al-Sakhtiyani yang mempunyai beberapa anak murid kanan. Mengapa tidak ada seorang pun anak murid kanan beliau meriwayatkan hadis ini? Dengan itu saya mempunyai kecenderungan bahawa riwayat ini munkar.

Kesimpulannya hadis ini tidak sahih kerana semua sanadnya palsu, matruk dan munkar. Wallahua'lam

Rozaimi Ramle
Sweileh, Jordan
16 Julai 2014

Thursday 10 July 2014

Status Hadis Syaitan Menangis Jika Pemuda Kahwin Awal



Saya ditanya tentang status hadis di dalam gambar di atas ini. Berikut penjelasannya:

Hadis ini diriwayatkan dengan lafaz:

" أيما شاب تزوج في حداثة سنه عج شيطانه: يا ويله يا ويله عصم مني دينه "

Maksudnya: Mana-mana pemuda yang berkahwin pada awal umurnya maka menjeritlah syaitan (dengan berkata): celaka dia, celaka dia. Terpelihara daripadaku agamanya.

Hadis ini diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah dari jalur Salih Maula al-Tau'amah. Terdapat 2 perawi yang meriwayatkan dari Salih:

1. Khalid bin Ismail al-Makhzumi meriwayatkan dari Ubaidillah bin Umar dari Salih dari Jabir. (HR Abu Ya'la dalam Musnadnya no. hadis: 2041, al-Tabarani dalam al-Awsat no hadis: 4475, Ibn Adiy dalam al-Kamil no perawi: 600, Ibn 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq no. perawi: 3147, al-Khatib al-Baghdadi dalam tarikh Baghdad no. perawi: 4033, Ibn al-Jauzi dalam Zamm al-Hawa hlm. 281)

Jalur ini palsu kerana Khalid bin Ismail adalah pendusta. Berikut komentar ulama hadis terhadap beliau:

i. Kata Ibn Hibban: Tidak boleh berhujah dengan hadisnya dalam apa-apa keadaan.
ii. Kata al-Daraqutni: Perawi yang ditinggalkan
iii. Kata Ibn Adiy: beliau memalsukan hadis dan menyandarkannya kepada perawi tsiqat. 
iv. al-Zahabi menyimpulkan beliau sebagai pendusta. 

(Rujuk: al-Kamil, jld. 3, hlm. 43, Mizan al-I'tidal, jld. 1, hlm. 627, Lisan al-Mizan, jld. 7, hlm. 121)

2. Muhammad bin Ishaq al-Asy'ari al-Sini meriwayatkan dari Abdul Rahman bin Abdul Aziz al-Ansari dari  'Ismah bin Muhammad bin Ubaidillah bin Umar meriwayatkan dari Salih dari Jabir. (HR Ibn 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq no perawi: 8169) Komentar terhadap sanad ini seperti berikut:

i. Status 'Ismah bin Muhammad bin Ubaidillah bin Umar: Saya tidak menjumpai ulama al-Jarh wa al-Taadil berbicara tentang status 'Ismah ini. Tetapi al-Albani menyatakan bahawa 'Ismah ini ialah 'Ismah bin Muhammad bin Fudhalah dan beliau juga pendusta. (Rujuk: Silsilah Da'ifah, jld. 2, hlm. 114) Tetapi saya beranggapan al-Albani telah keliru kerana beliau bukan 'Ismah bin Muhammad bin Fudhalah. Buktinya 'Ismah bin Muhammad bin Fudhalah tidak meriwayatkan hadis dari Salih Maula al-Tau'amah.

ii. Status Muhammad bin Ishaq al-Sini. Beliau adalah pendusta hadis. (Lihat: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 7, hlm. 196, al-Zahabi, Tarikh al-Islam, jld. 6, hlm. 140)   

Kesimpulannya: Hadis ini palsu kerana kesemua jalurnya mengandungi perawi pendusta. Maka berhentilah menyebarkannya kecuali untuk menyatakan ia adalah palsu. Sabda Nabi sallallah 'alaih wasallam: "Sesiapa yang mendustakan aku secara sengaja, maka tunggulah tempatnya di neraka". Wallahua'lam.


Rozaimi Ramle
Sweileh, Jordan (11 Julai 2014)

Status Hadis Kelebihan Menghadiri Majlis Ilmu Di Bulan Ramadhan


Saya telah ditanya tentang status hadis ini. Maka saya katakan ia disebut dengan lafaz yang panjang dalam kitab Nuzhat al-Majalis wa Muntakhab al-Nafais (jld. 1, hlm. 163) dan terdapat dalam lafaznya:

...من حضر مجلسا من مجالس الذكر في رمضان كتب الله له بكل قدم عبادة

Maksudnya: Sesiapa yang menghadiri satu majlis dari majli-majlis zikir dalam bulan Ramadhan Allah akan tetapkan baginya setiap langkah pahala ibadah...

Tetapi riwayat ini saya tidak jumpa dalam mana-mana kitab hadis bersanad. Maka besar kemungkinan riwayat ini tiada asal (palsu). Pengarang kitab ini juga tdak menyatakan sanad untuk kisah ini. Wallahua'lam.

Wednesday 9 July 2014

Status Riwayat Asal Usul Api Dunia







Ramai yang bertanya saya tentang status riwayat seperti dalam gambar di atas ini. Jika diteliti, gambar ini mempunyai 2 kisah:

1. Kisah Adam, Jibril dan Malik penjaga neraka.
Saya katakan setakat pencarian saya, saya tidak menjumpai kisah ini dalam kitab-kitab hadis. Barangkali ia kisah israeliyat. Kisah yang sahih dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim bahawa api dunia hanyalah 1 juzuk daripada 70 juzuk neraka. Riwayat Ahmad pula menyatakan api dunia 1 juzuk daripada 100 juzuk api neraka jahannam.
Manakala kisah celupan api neraka dengan air dunia pula sabit dalan beberapa hadis riwayat Abu Hurairah dan Ibn Abbas ( HR riwayat Ibn Hibban dan Ahmad). Sanadnya disahihkan oleh Ibn kathir dalam tafsirnya (jld. 2, hlm. 459) dan guru saya Syeikh syuaib al-Arnout. Cuma sebahagian riwayat menyatakan celupan itu berlaku 2 kali dan ada riwayat yang kata celupan itu 7 kali.

2. Kisah Dialog Nabi dan Jibril
Manakala dialog Nabi sallallah alaih wasallam dengan Jibril tentang sifat api neraka itu diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Awsat (jld. 3, hlm. 89)  dan ia terlalu daif kerana perawi yang bernama Salam al-Towil. Berikut komentar ulama hadis terhadap beliau:
i. Kata Imam ahmad: perawi hadis munkar.
ii. Kata Nasaie: tidak dipercayai dan tidak ditulis hadisnya (hadis beliau ditinggalkan)
iii. Kata Bukhari: ulama hadis meninggalkan hadisnya.
iv. Kata Ibn Main: tiada nilai. (Rujuk: ibn hajar, Tahzib al-Tahzib, jld. 14, hlm. 338-339)

Namun kisah ini diriwayatkan juga dari jalur Abu Hurairah, Ibn masud, Anas dan Kaab al-Ahbar dengan makna yang sama. Cuma sebahagiannya menyatakan ia hanya perkataan Nabi sallallah alaih wasallam dan sebahagian yang yang lain menyatakan ia perkataan Abu Hurairah dan Kaab al-Ahbar tanpa dialog antara Nabi sallallah alaih wasallam dan Jibril. Berikut keterangannya:

1. Jalur Anas: ia diriwayatkan oleh Ibn Marduyah (seperti yang dinukilkan oleh Ibn kathir dalam tafsirnya, jld. 2, hlm.459) dan al-Baihaqi dalm Syuab al-Iman. Sanad ini terlalu daif kerana terdapat perawi yang bernama al-Kudaimi. Beliau dihukum daif oleh Ibn Hajar. Bahkan al-Zahabi menyatakan beliau halik (perawi yang binasa). Ibn Adiy menyatakan beliau dituduh sebagai pendusta dan mencuri hadis. (Rujuk: Ibn Adiy, al-Kamil, jld. 6, hlm. 292, al-Zahabi, al-Mughni, hlm. 53, Ibn Hajar, Taqrib al-Tahzib, jld. 2, hlm. 515) Oleh kerana itu Ibn Rajab al-Hanbali menghukumnya daif. (Rujuk: Ibn Rajab, Rawai' al-Tafsir, jld. 2, hlm. 487)  

2. Jalur Ibn Masud: Jalur ini terlalu daif kerana terdapat perawi bernama al-Hakam bin Zahir. Berikut komentar ulama hadis terhadap beliau:

i. Kata Abu Hatim: Perawi yang ditinggalkan (oleh ulama hadis) dan tidak ditulis hadisnya.
ii. Kata Abu Zur'ah: perawi yang terlalu lemah.
iii. Kata Bukhari: Ulama hadis meninggalkannya dan (beliau) periwayat hadis munkar. 
iv. Kata Nasaie: Perawi yang ditinggalkan
v. Kata Ibn Main: Tiada nilai.
(rujuk: al-Bukhari, al-Dhuaafa, hlm. 31, Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 3, hlm. 118, Ibn Adiyy, al-Kamil, jld. 2, hlm. 208)

3. Jalur Abu Hurairah:

Jalur ini adalah riwayat Syarik al-Nakhaie dan berlaku percanggahan dalam riwayatnya:

1. Yahya bin Abi Bukair meriwayatkan hadis ini dari Syarik. Berlaku percanggahan juga dalam riwayat ini.

i. Abbas al-Duri dan Abu al-Fadhl dari meriwayatkannya dari Yahya dari Asim dari Abi salih dari Abu hurairah dari Nabi sallallah alaih wasallam.
ii. Ibn Abi Syaibah (al-Musannaf, jld. 4, hlm. 54) pula meriwayatkan hadis ini dari Yahya dari Asim dari Abi Salih dari Abu Hurairah tanpa disandarkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam.


2. Ibn Mubarak (al-Zuhd, jld. 2, hlm. 88) dan Muzaffar bin Mudrik meriwayatkan hadis ini dari Syarik dari Asim, dari Abu Salih atau selainnya (berlaku syak dalam riwayat) dari Abu Hurairah secara mauquf juga tanpa disandarkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam.

3. Ishaq bin al-Tabba' pula meriwayatkan dari Syarik dari Asim, dari perawi yang tidak dinamakan dari Abu Hurairah secara mauquf.

al-Daraqutni menyatakan riwayat yang benar dari Syarik ialah riwayat mauquf. (Lihat: al-Daraqutni, Ilal al-Hadith, jld. 10, hlm. 151) Tetapi riwayat yang mauquf tetap daif kerana Syarik merupakan perawi yang daif. Ia jelas apabila kita lihat riwayat ini kerana beliau terkadang meriwayatkannya secara marfu' dan terkadang meriwayatkannya secara mauquf.  

4. Jalur Kaab al-Ahbar. Ia diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam al-Ba'th wa al-Nusyur dari jalan Sulaiman bin Tarkhan dari Alqamah dari Asim dari Abi Salih dari Kaab al-Ahbar. Sanad ini juga mempunyai illah (kecacatan) iaitu Sulaiman tidak pernah mendengar hadis dari Alqamah. Maka ia juga daif. 

Maka dengan ini jelas pada kita bahawa tiada satu riwayat yang sabit dalam isu ini. Wallahua'lam.