Ramai yang bertanya saya tentang status riwayat seperti dalam gambar di atas ini. Jika diteliti, gambar ini mempunyai 2 kisah:
1. Kisah Adam, Jibril dan Malik penjaga neraka.
Saya katakan setakat pencarian saya, saya tidak menjumpai kisah ini dalam kitab-kitab hadis. Barangkali ia kisah israeliyat. Kisah yang sahih dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim bahawa api dunia hanyalah 1 juzuk daripada 70 juzuk neraka. Riwayat Ahmad pula menyatakan api dunia 1 juzuk daripada 100 juzuk api neraka jahannam.
Manakala kisah celupan api neraka dengan air dunia pula sabit dalan beberapa hadis riwayat Abu Hurairah dan Ibn Abbas ( HR riwayat Ibn Hibban dan Ahmad). Sanadnya disahihkan oleh Ibn kathir dalam tafsirnya (jld. 2, hlm. 459) dan guru saya Syeikh syuaib al-Arnout. Cuma sebahagian riwayat menyatakan celupan itu berlaku 2 kali dan ada riwayat yang kata celupan itu 7 kali.
2. Kisah Dialog Nabi dan Jibril
Manakala dialog Nabi sallallah alaih wasallam dengan Jibril tentang sifat api neraka itu diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Awsat (jld. 3, hlm. 89) dan ia terlalu daif kerana perawi yang bernama Salam al-Towil. Berikut komentar ulama hadis terhadap beliau:
i. Kata Imam ahmad: perawi hadis munkar.
ii. Kata Nasaie: tidak dipercayai dan tidak ditulis hadisnya (hadis beliau ditinggalkan)
iii. Kata Bukhari: ulama hadis meninggalkan hadisnya.
iv. Kata Ibn Main: tiada nilai. (Rujuk: ibn hajar, Tahzib al-Tahzib, jld. 14, hlm. 338-339)
Namun kisah ini diriwayatkan juga dari jalur Abu Hurairah, Ibn masud, Anas dan Kaab al-Ahbar dengan makna yang sama. Cuma sebahagiannya menyatakan ia hanya perkataan Nabi sallallah alaih wasallam dan sebahagian yang yang lain menyatakan ia perkataan Abu Hurairah dan Kaab al-Ahbar tanpa dialog antara Nabi sallallah alaih wasallam dan Jibril. Berikut keterangannya:
1. Jalur Anas: ia diriwayatkan oleh Ibn Marduyah (seperti yang dinukilkan oleh Ibn kathir dalam tafsirnya, jld. 2, hlm.459) dan al-Baihaqi dalm Syuab al-Iman. Sanad ini terlalu daif kerana terdapat perawi yang bernama al-Kudaimi. Beliau dihukum daif oleh Ibn Hajar. Bahkan al-Zahabi menyatakan beliau halik (perawi yang binasa). Ibn Adiy menyatakan beliau dituduh sebagai pendusta dan mencuri hadis. (Rujuk: Ibn Adiy, al-Kamil, jld. 6, hlm. 292, al-Zahabi, al-Mughni, hlm. 53, Ibn Hajar, Taqrib al-Tahzib, jld. 2, hlm. 515) Oleh kerana itu Ibn Rajab al-Hanbali menghukumnya daif. (Rujuk: Ibn Rajab, Rawai' al-Tafsir, jld. 2, hlm. 487)
2. Jalur Ibn Masud: Jalur ini terlalu daif kerana terdapat perawi bernama al-Hakam bin Zahir. Berikut komentar ulama hadis terhadap beliau:
i. Kata Abu Hatim: Perawi yang ditinggalkan (oleh ulama hadis) dan tidak ditulis hadisnya.
ii. Kata Abu Zur'ah: perawi yang terlalu lemah.
iii. Kata Bukhari: Ulama hadis meninggalkannya dan (beliau) periwayat hadis munkar.
iv. Kata Nasaie: Perawi yang ditinggalkan
v. Kata Ibn Main: Tiada nilai.
(rujuk: al-Bukhari, al-Dhuaafa, hlm. 31, Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 3, hlm. 118, Ibn Adiyy, al-Kamil, jld. 2, hlm. 208)
3. Jalur Abu Hurairah:
Jalur ini adalah riwayat Syarik al-Nakhaie dan berlaku percanggahan dalam riwayatnya:
1. Yahya bin Abi Bukair meriwayatkan hadis ini dari Syarik. Berlaku percanggahan juga dalam riwayat ini.
i. Abbas al-Duri dan Abu al-Fadhl dari meriwayatkannya dari Yahya dari Asim dari Abi salih dari Abu hurairah dari Nabi sallallah alaih wasallam.
ii. Ibn Abi Syaibah (al-Musannaf, jld. 4, hlm. 54) pula meriwayatkan hadis ini dari Yahya dari Asim dari Abi Salih dari Abu Hurairah tanpa disandarkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam.
2. Ibn Mubarak (al-Zuhd, jld. 2, hlm. 88) dan Muzaffar bin Mudrik meriwayatkan hadis ini dari Syarik dari Asim, dari Abu Salih atau selainnya (berlaku syak dalam riwayat) dari Abu Hurairah secara mauquf juga tanpa disandarkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam.
3. Ishaq bin al-Tabba' pula meriwayatkan dari Syarik dari Asim, dari perawi yang tidak dinamakan dari Abu Hurairah secara mauquf.
al-Daraqutni menyatakan riwayat yang benar dari Syarik ialah riwayat mauquf. (Lihat: al-Daraqutni, Ilal al-Hadith, jld. 10, hlm. 151) Tetapi riwayat yang mauquf tetap daif kerana Syarik merupakan perawi yang daif. Ia jelas apabila kita lihat riwayat ini kerana beliau terkadang meriwayatkannya secara marfu' dan terkadang meriwayatkannya secara mauquf.
4. Jalur Kaab al-Ahbar. Ia diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam al-Ba'th wa al-Nusyur dari jalan Sulaiman bin Tarkhan dari Alqamah dari Asim dari Abi Salih dari Kaab al-Ahbar. Sanad ini juga mempunyai illah (kecacatan) iaitu Sulaiman tidak pernah mendengar hadis dari Alqamah. Maka ia juga daif.
Maka dengan ini jelas pada kita bahawa tiada satu riwayat yang sabit dalam isu ini. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment