Sunday 14 April 2013

Status hadis berkaitan doa makan yang masyhur

Seperti yang dimaklumi bahawa masyarakat melayu membaca doa sebelum makan dengan lafaz berikut:

اللّهُمّ بارِك لنا فِيما رزقتنا ، وقِنا عذاب النّار

Maksudnya: Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan pada kami dan jauhilah kami dari azab neraka.

Maka di kesempatan ini saya ingin menyatakan pandangan status riwayat doa makan yang masyhur ini.

1. Takhrij hadis:

- Riwayat Abdullah bin 'Amr:

Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Du'a (hlm. 278), Ibn 'Adiyy dalam al-Kamil (jld. 6, hlm. 206) Ibn Sunni  dalam 'Amal al-Yaum wa al-Lailah (hlm. 406) kesemua mereka dari jalur Muhammad Ibn Abi al-Zu'aizi'ah dari 'Amr bin Syuaib dari ayahnya dari Abdullah bin 'Amr dari Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dengan lafaz:

أنه كان يقول في الطعام إذا قرب إليه قال اللهم بارك لنا فيما رزقتنا وقنا عذاب النار بسم الله وإذا فرغ قال الحمد لله الذي من علينا فهدانا والحمد لله الذي أطعمنا وسقانما فأروانا وكل الإحسان آتانا

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi berkata pada makanan apabila didekatkan (dihidangkan) padanya: Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan pada kami dan jauhilah kami dari azab neraka. Bismillah. Apabila selesai makan baginda menyebut: Segala puji bagi Allah yang mengurniakan kepada kami dan memberikan hidayah, dan segala puji bagi Allah yang memberi kami makanan, memberi kami minum dan mengilangkan dahaga kami dan (segala puji bagiNya) bagi setiap kebaikan yang Dia berikan kepada kami.

Komentar ulama hadis terhadap riwayat dan perawi hadis ini:

i. al-Bukhari menyatakan Ibn Abi al-Zu'aizi'ah tersangat-sangat munkar al-hadis (terlalu banyak meriwayatkan hadis munkar) (Rujuk: al-Bukhari, al-Tarikh al-Kabir, jld. 1, hlm. 88, Ibn Hajar, Lisan al-Mizan, jld. 5, hlm. 165)

ii. Abu Hatim al-Razi:

- هذا حدِيثٌ ليس بِشيءٍ ، وابنُ أبِي الزُّعيزِعةِ لا يشتغِلُ بِهِ مُنكِرُ الحدِيثِ.

Maksudnya: Hadis ini tidak sahih dan Ibn Abi al-Zu'aizi'ah munkar al-Hadis (banyak meriwayatkan hadis munkar) (Rujuk: Ibn Abi Hatim, al-'Ilal, jld. 2, hlm. 14)

iii. Ibn Hibban:

كان ممن يروى المناكير عن المشاهير حتى إذا سمعها من الحديث صناعته علم أنها مقلوبة ، لا يجوز الاحتجاج به .

Maksudnya: Dia (Ibn Abi al-Zu'aizi'ah) meriwayatkan hadis-hadis munkar dari perawi yang masyhur sehinggakan sesiapa yang mempunyai ilmu hadis apabila mendengar riwayatnya mengetahui riwayatnya maqlub (tertukar). Tidak boleh berhujah dengan riwayatnya. (rujuk: Ibn Hibban, al-Majruhin, jld. 2, hlm. 224)

iv. Ibn 'Adiyy:

ابن أبي الزعيزعة عامة ما يرويه عن من رواه ما لا يتابع عليه

Maksudnya: Semua riwayat Ibn Abi al-Zu'aizi'ah tidak ada diriwayatkan oleh orang lain (dengan riwayat yang sama).

- Ini bermakna Ibn 'Adiyy menganggap riwayat Ibn Abi al-Zu'aizi'ah ini munkar.

- Riwayat Hisyam bin 'Urwah secara mauquf:

Diriwayat oleh Imam Malik dalam al-Muwatta' (jld. 2, hlm. 934), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (jld. 5, hlm. 139), al-Baihaqi dalam al-Asma' wa al-Sifat (jld. 1, hlm. 448) dengan lafaz:

أنه كان لا يؤتى أبدا بطعام، ولا شراب حتى الدواء فيطعمه أو يشربه، إلا قال: «الحمد لله الذي هدانا، وأطعمنا وسقانا، ونعمنا، الله أكبر، اللهم ألفتنا نعمتك بكل شر، فأصبحنا منها وأمسينا بكل خير، نسألك تمامها، وشكرها لا خير إلا خيرك، ولا إله غيرك، إله الصالحين، ورب العالمين، الحمد لله ولا إله إلا الله، ما شاء الله ولا قوة إلا بالله، اللهم بارك لنا فيما رزقتنا وقنا عذاب النار»

Maksudnya: Sesunnguhnya 'Urwah bin al-Zubair tidak sesekali dihidangkan dengan makanan atau minuman atau ubat kecuali dia akan menyebut selepas memakannya atau meminumnya: Segala puji bagi Allah yang memberi hidayah kepada kami, memberi makan, memberi minum, memberi nikmat. Allah maha besar. Ya Allah, nikmat Mu tetap ada walaupun wujud setiap kejahatan kami, dengan nikmat Mu kami menjalani waktu pagi dan petang dalam kebaikan baik. Kami memohon kesempurnaan nikmat itu dan kesyukuran ata nikmat Mu. Tiada kebaikan melainkan kebaikanMu, tiada Tuhan melainkan Engkau, Tuhan orang-orang salih dan Tuhan sekelain alam. Segala puji bagi Allah, Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada yang berlaku melainkan dengan kehendak Allah, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah. Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan pada kami dan jauhilah kami dari azab neraka.

Sanad riwayat ini sahih. Tetapi doa ini sebenarnya dibaca selepas makan kerana ucapan pujian lebih sesuai dibaca selepas menjamah makanan. (Rujuk: Ibn 'Abd al-Barr, al-Istizkar, jld. 8, hlm. 387)

Kesimpulannya:

1. Jelas di sini doa sebelum makan yang masyhur itu riwayatnya munkar. Maka ia termasuk dalam kategori hadis yang terlalu daif. Ia tidak boleh diamalkan dalam fadhail al-A'mal kerana syarat utama beramal dalam fadhail al-A'mal ialah hadis daif tersebut mestilah daif yang ringan. Manakala hadis ini daifnya berat. Namun jika nak berdoa dgn apa-apa lafaz mmg boleh, cuma yang jadi masalah bila dilazimi doa itu sahaja sebelum makan sampai ada iktikad itu memang doa sebelum makan sedangkan riwayat tu daif jiddan

2. Riwayat yang sahih adalah mauquf dari 'Urwah bin al-Zubair dan ia dibaca selepas makan bukan sebelum makan.

3. Riwayat yang sahih hanya membaca Bismillah sebelum makan seperti berikut:

عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ، يَقُولُ: كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا غُلاَمُ، سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ»

Maksudnya: Daripada Umar bin Abi Salamah katanya: Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Nabi sallallah 'alaihi wasallam tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Nabi sallallah 'alaih wasallam berkata kepadaku: Wahai anak, sebut nama Allah (baca bismillah), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambillah makanan) yang hampir denganmu.

Hadis riwayat al-Bukhari (jld. 5, hlm. 2056) dan Muslim (jld. 6, hlm. 109)

Wallahua'lam

Rozaimi Ramle
4 April 2013
Sweileh, Jordan
2.40 petang

Friday 5 April 2013

Haram Makan dan Minum Menggunakan Bekas Emas dan Perak



           
Benda pertama yang akan saya lakukan adalah minum dalam bekas minuman paling mahal di Malaysia,” itulah reaksi seorang pemenang Peraduan Nescafe Gold Mug anjuran Nestle Products Sdn Bhd, yang menerima hadiah eksklusif kole emas bernilai RM100,000 sebagaimana dilapor dalam surat khabar metro. Kami agak tersentak dengan kenyataan yang dibuat oleh puan ini. Walaupun agama meminta agar hambanya bersyukur jika dikurniakan nikmat tetapi cara bersyukur juga mestilah bertepatan dengan ajaran agama. Ringkasnya, minum dalam kole emas itu bukanlah suatu yang dibenarkan Syarak.
            Sebenarnya, isu menggunakan emas sebagai bekas, hiasan dan sebagainya sudah lama berlaku. Kita pernah didedahkan dengan seunit tandas bertatahkan emas yang dijual di Hong Kong dengan  harga USD 4.8 juta, tab mandi diperbuat daripada emas, bilik mandi daripada emas dan lain-lain.
Jika kita merujuk ajaran Islam, ia mengajar penganutnya bersederhana dalam kehidupan walaupun ketika bersyukur. Ia juga mengajar penganutnya bahawa dunia ini hanyalah sementara dan tempat mencari bekalan untuk dibawa ke akhirat.  Dalam konteks perhiasan dan alatan yang digunakan sehari-hari, Islam meletakkan beberapa garis panduan agar dipatuhi penganutnya. Panduan ini termuat dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. antaranya. Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: "Janganlah kamu memakai sutera, al-dibaj (sutera bercorak), jangan kamu minum menggunakan bekas emas dan perak dan jangan pula kamu makan di dalam mangkuk yang diperbuat daripada keduanya kerana ia adalah untuk mereka (orang kafir) di dunia manakala ia adalah untuk kamu di akhirat". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam Sabdanya yang lain Nabi S.A.W.: "Barang siapa yang  minum menggunakan bekas perak atau emas, seolah-olah ia menuangkan api neraka Jahannam ke dalam perutnya". (Hadis riwayat Muslim). al-Barra bin Azib ada meriwayatkan hadis, katanya: “Rasulullah melarang kami dari minum dalam bekas emas, sesiapa yang meminum dalam bekas emas di dunia tidak akan minum dengannya di akhirat”. Para ulama juga berijmak (berlaku kesepakatan) dalam pengharaman mengunakan bekas emas dan perak ini. Imam al-Nawawi menyebutkan: "Kaum muslimin berijmak terhadap pengharaman makan dan minum menggunakan bekas emas dan perak ke atas lelaki dan perempuan". (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, jld. 14, hal. 27, Dar Ihya' al-Turath al-'Arabi).

            Bukan minum sahaja yang haram malah termasuklah menyimpannya sebagai perhiasan rumah. Hukum ini diperkukuhkan dengan satu kaedah fiqh yang menyebutkan: “apa-apa yang haram penggunaannya, haram jugalah menyimpannya sebagai perhiasan” sama ada di rumah, pejabat dan lain-lain. Pengharaman meminum, menyimpan sebagai perhiasan bukan sahaja haram kepada lelaki malah perempuan juga walaupun asalnya mereka dibenarkan memakai emas. Tetapi jika digunakan sebagai perhiasan rumah dan kole atau bekas minuman atau makanan, ia menjadi haram walaupun untuk berwuduk. Begitu juga haram jika dibuat jam emas, pen emas, kotak abu rokok dan lain-lain. (al-Qaradhawi, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, h.82).

Dalam pengharaman itu terdapat kelonggaran iaitu kaum lelaki dibolehkan memakai cincin perak. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh hadis Bukhari daripada Ibn Umar r.a.

Mungkin hikmahnya ialah supaya setiap muslim yang hidup di atas muka bumi tidak menjadikan dunia sebagai tujuan utamanya. Sebaliknya, dunia ini hanyalah persinggahan untuk mencari bekalan untuk hidup yang lebih panjang di akhirat nanti. Oleh sebab itu, Nabi sentiasa berdoa supaya Allah tidak menjadikan dunia ini cita-cita utamanya. (Hadis riwayat Tirmizi dengan sanad yang hasan).  

Ada ulama seperti Ibn Qudamah yang berpendapat perbuatan ini diharamkan supaya orang miskin tidak sakit hati atau patah hati melihatnya dan boleh membawa kepada hasad dengki. Ada juga yang mengatakan bahawa perbuatan itu ada unsur takabbur, sombong dan melampau. (Lihat: al-Mawardi, al-Hawi al-Kabir, jld. 1, hal. 77, Dar al-Kutub al-'Ilmiah, al-Qaradhawi, Halam Haram dalam Islam, h.96). Ibn al-Qayyim berpendapat punca pengharaman ini ialah kerana penggunaan ini boleh memesongkan bentuk asal kejadian manusia dan ia akan menafikan sifat pengabdian hamba kepada Tuhannya dengan menjadikan dunia matlamatnya. (Lihat: Ibn al-Qayyim, Zad al-Ma'ad, jld. 4, hal. 318, Muassasah al-Risalah). Apapun sebabnya ia pasti merupakan perkara negatif sama ada disedari atau tidak. Ini kerana, semua perkara yang diharamkan adalah kerana ia memberikan kesan negatif.

Berhubung bekas-bekas yang disalut dengan emas dan perak, para ulama mazhab Syafie telah memperincikan hukumnya mengikut keadaan berikut (rujuk kitab fiqh mazhab Syafie, juzuk 1):-
   Tampalan Emas:
            Haram secara mutlak
   Tampalan perak:
            1) Jika sedikit dan bukan tujuan perhiasan: harus
            2) Jika sedikit dengan tujuan perhiasan: makruh
            3) Jika banyak kerana keperluan: makruh
            4) jika banyak dan dengan tujuan perhiasan: haram

Hukum ini berdasarkan hadis riwayat ‘Asim al-Ahwal, beliau berkata: ”Aku telah melihat bekas Nabi s.a.w berada di sisi Anas bin Malik. Bekas itu telah pecah dan ditampal dengan perak. Anas menyebutkan bahawa beliau telah memberi minum kepada Rasulullah menggunakan bekas itu begian banyaknya

Marilah kita menjadikan agama sebagai panduan hidup dalam apa jua aspek kehidupan. Jangan lupa bahawa agama tidak pernah meninggalkan penganutnya terkapai-kapai dan meraba-meraba dalam kesesatan. Marilah juga kita mengikut contoh dan sikap yang telah ditunjukkan oleh para sahabat dalam isu ini. Diceritakan dalam hadis riwayat Muslim bagaimana Baginda S.A.W menanggalkan cincin yang berada di jari seorang lelaki dan membuangnya sambil bersabda: “Adakah seseorang itu sengaja mengambil batu api neraka dan diletakan di tangannya”. Apabila Rasulullah meninggalkan majlis itu, ada orang berkata kepada lelaki tersebut: “ambillahcincin itu dan manfaatinya (dengan cara menjual dan lain-lain), Jawab lelaki itu: Tidak! Demi Allah aku tidak akan mengambilnya sedang Rasulullah telah membuangnya.

Dr. Mohd Noor bin Daud
Muhamad Rozaimi Ramle
Jabatan Pengajian Islam,
Fakulti Sains Kemanusiaan,
Universiti Pendidikan Sultan Idris.