Monday 15 October 2012

Benarkah penghafal al-Quran boleh beri syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya?

Saya sering kali ditanya tentang soalan ini, untuk merungkai persoalan di atas, beberapa perkara berikut perlu diberi perhatian:

- Hadis tentang penghafal al-Quran boleh memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya diriwayatkan dengan jalan berikut:

1. Riwayat Ali bin Abi Talib:


حفص بن سليمان (2) عن كثير بن زاذان (1) عن عاصم بن ضمرة عن علي بن أبي طالب قال: قال رسول الله صلّى الله عليه وعلى آله وسلّم: ((من قرأ القرآن واستظهره فأحلّ حلاله وحرّم حرامه، أدخله الله به الجنّة، وشفّعه في عشرة من أهل بيته كلّهم وجبت له النّار)).

Maksudnya: Sesiapa yang membaca al-Qur'an kemudian mampu mengeluarkannya (menghafalnya), menghalalkan segala yang dihalalkan oleh al-Quran, mengharamkan semua yang al-Quran haramkan, (nescaya) Allah memasukkannya dalam syurga dan memberi syafaat kepada 10 orang dari ahli keluarganya.

Komentar terhadap hadis:
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dalam sunan (4/345), Imam Ahmad dalam Musnad (1/148-149), al-Ajurri dalam Kitab al-Syariah (350), Abu Nuaim dalam Akhbar Asbahan (1/255), dan al-Khatib dalam kitab Muwadhih al-Jama' wa al-Tafriq (2/331).

- Kecacatan hadis: 
i. Kathir bin Zazan (1):
- Beliau merupakan perawi yang tidak dikenali sepertimana yang disebut oleh Abu Hatim, Abu Zur'ah dan Ibn Ma'in . (Lihat: al-Zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 3, hal. 403)
- al-Zahabi menyatakan beliau meriwayatkan hadis munkar (terlalu lemah) dari Asim bin Dhamrah. (Lihat: al-Zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 3, hal. 403) Perlu diingat hadis ini adalah riwayat beliau dari Asim, maka hadis ini munkar (terlalu lemah).

ii. Hafs bin Sulaiman:
- Beliau adalah perawi yang matruk (ditinggalkan oleh ulama hadis kerana terlalu daif) walaupun beliau adalah imam dalam bidang qiraat. (Rujuk: Ibn Hajar, Taqrib al-Tahzib, jld. 1, hal. 172)

Kesimpulan:
Hadis ini terlalu lemah dan tidak boleh dijadikan dalil dalam bab akidah (syafaat). Oleh itu Imam al-Tirmizi sendiri mendaifkan hadis ini dengan berkata:

هذا حديث غريب لا نعرفه إلا من هذا الوجه وليس إسناده بصحيح و حفص بن سليمان يضعف في الحديث

Maksudnya: Hadis ini gharib, kami tidak ia diriwayatkan melainkan dgn sanad ini sahaja. Sanadnya tidak sahih kerana Hafs bin Sulaiman didaifkan dalam periwayatan hadis.

2. Riwayat Aisyah:

من تعلم القرآن أدخله الله الجنة وشفعه في عشرة من أهل بيته كل قد استوجب النار.

Maksudnya: Sesiapa yang mempelajari al-Qur'an maka Allah akan masukkannya ke dalam syurga dan memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya yang sepatutnya ke neraka.

Komentar terhadap periwayatan hadis:
i. Hadis ini riwayat Ahmad bin Muhammad bin Husain al-Saqatiy. 
- al-Khatib al-Baghadi dan Ibn Jauzi menyatakan hadis ini tidak sabit (sahih). (Rujuk: al-Ilal al-Mutanahiyah, jld. 1, hal. 114, al-Syaukani, al-Fawaid al-Majmu'ah, hal. 309)
- al-Zahabi menaqalkan pandangan bahawa Ahmad bin Muhammad al-Saqatiy ini adalah pemalsu hadis dan menyandarkan hadis ini kepada ibn Ma'in. (Rujuk: al-Zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 1, hal. 135-136)

Kesimpulan: 
Hadis ini terlalu lemah kerana perawinya (Ahmad bin Muhammad al-Saqatiy) dituduh memalsukan hadis.

- Justeru, tidak ada satu riwayat pun yang sahih berkenaan tajuk ini. Jadi, saya menyeru supaya ustaz-ustaz berhenti menjadikan hadis ini sebagai hujah dalam ceramah kerana ia tidak sabit dari Nabi s.a.w. Ingatlah amaran baginda yang bermaksud: "Sesiapa yang mendustakan aku secara sengaja, maka tunggulah tempatnya di neraka". (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

- Tetapi tidak dinafikan terlalu banyak hadis tentang kelebihan menghafal al-Qur'an. antaranya sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

"Sesiapa yang membaca al-Quran dlm keadaan dia menghafalnya dia menghafalnya maka dia berada bersama dgn utusan mulia yang baik (malaikat), dan sesiapa yang membaca al-Qur'an dan dia mengulanginya bacaannya dan berasa susah maka dia mendapat dua pahala". (Hadis riwayat Bukhari, jld. 4, hal. 1882, no. hadis: 4653)

 Cukuplah dengan hadis yang sahih dan hasan daripada terus membaca hadis yang terlalu lemah (daif).

Rozaimi Ramle
15 Oktober 2011
Amman, Jordan.

Sunday 7 October 2012

Apabila pendakwah mengimpikan populariti...

Dakwah itu tanggungjawab semua

Satu perkara penting yang perlu disematkan dalam jiwa pendakwah ialah dakwah bukan semata-mata medan mencari populariti apatah lagi mencari kemewahan dunia. Dakwah ialah amanah dan tanggungjawab yang Allah letakkan atas bahu semua muslimin. Setiap muslim perlu untuk memikirkan bagaimana untuk berfungsi sebagai agen dakwah di bidang masing-masing.

Pernah satu ketika saya dijemput untuk memberikan kuliah dhuha di satu masjid terkenal di Ipoh. Selepas kuliah beberapa hadirin mengajak saya menjamah sedikit kuih-muih yang disediakan oleh AJK masjid berkenaan. Sewaktu rancak bersembang, saya bertanya kepada pengerusi masjid: "Ustaz Fulan takde lagi berkuliah di sini tuan haji?". Jawab beliau dengan dahi yang berkerut: "Susahlah ustaz nak panggil dia". "Kenapa pula?" tanya saya ingin tahu sebabnya. Dia menjawab: "Bukan apa ustaz, kami AJK masjid ni jadi serba salah sebab bila panggil dia berkuliah, tiba-tiba bila tak ramai yang datang mulalah dia bising sindir-sindir AJK tak pandai buat promosi. Sedangkan kami dah keluarkan iklan, cuma dah orang tak nak datang, kami nak buat macam mana ustaz? Lepas tu kalo kami tak panggil lagi dia berkuliah dia bising juga. Pening kami". Saya hanya mampu menggelengkan kepala mendengar rungutan pengerusi masjid berkenaan.

Dakwah tidak melihat kuantiti

Wahai pendakwah ketahuilah bahawa dakwah ini tidak perlu menunggu bilangan yang ramai. Kuliah agama sebenarnya tidak perlukan hadirin memenuhi dewan. Amat dukacita apabila ada penceramah yang membatalkan ceramah hanya semata-mata bilangan hadirin yang tidak memuaskan. Ambillah semangat dakwah Nabi s.a.w di  Taif. Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri menceritakan pengalaman itu:

 "Nabi tinggal di Taif selama 10 hari. Tidak seorang pemimpin Taif pun yang terlepas melainkan baginda datang kepada mereka dan bercakap dengan mereka (mengajak mereka kepada Islam) . Mereka menjawab: "Keluar kamu dari negeri ini!". Apabila baginda ingin keluar dari Taif, mereka mempengaruhi kanak-kanak dan hamba dalam kalangan mereka untuk mengekori baginda dengan mengejek dan menjerit-jerit pada baginda sehingga ramai orang mengerumuni baginda seterusnya membaling batu ke arahnya dan mengejinya dengan kata-kata kesat. Mereka melontar betisnya dengan batu sehingga basah sepatunya berlumuran darah". (al-Rahiq al-Makhtum, jld. 1, hal. 100)

Ya tiada siapa yang sudi mendengar mendengar dakwah Nabi s.a.w di Taif ketika itu. Ditambah pula dengan balingan batu yang melukakan. Ini memang berat bagi seorang pendakwah. Nabi s.a.w sendiri mengakuinya:

Aisyah pernah bertanya kepada Nabi s.a.w: "Pernahkah datang kepadamu hari yang lebih dahsyat daripada hari (kekalahan) di Uhud?" Nabi s.a.w menjawab: "Hari paling dahsyat yang aku pernah lalui dari mereka (orang musyrikin) ialah sewaktu hari al-Aqabah ketika aku menawarkan mereka diriku (untuk menerima Islam) kepada Yalail bin 'Abd Kulal. Dia menolak tawaranku. Aku pun beredar dalam keadaan sedih sehingga aku tidak sedar aku berjalan ke arah mana sehinggalah aku sampai di Qarn al-Tha'alib (nama sebuah bukit yang menjadi miqat orang Najd). Aku mengangkat kepalaku dan melihat awan memayungiku. Aku melihat awan itu dan tiba-tiba Jibril datang memanggilku: "Sesungguhnya Allah mendengar kata-kata kaummu dan (mengetahui) penolakan mereka terhadap (dakwah)mu. Sesungguhnya Dia telah menghantar malaikat (penjaga) bukit supaya engkau boleh arahkan dia dengan apa yang engkau mahu". Kemudian malaikat (penjaga) bukit memanggilku dan memberi salam kepadaku seraya berkata: "Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah mendengar kata-kata kaummu dan aku adalah malaikat (penjaga) bukit yang dihantar oleh Tuhanmu untuk mematuhi arahanmu. Jika engkau mahu, aku boleh menghempapkan mereka dengan bukit al-Akhbasyain (dua bukit yang berada di Mekah)". Jawab Nabi: "(Jangan) Bahkan aku mengharapkan akan keluar dari keturunan mereka generasi yang menyembah Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu". (Hadith riwayat Bukhari, no. Hadis: 3059)

Selepas dakwahnya ditolak di Taif. Baginda meneruskan dakwahnya walaupun pada mulanya tiada siapa yang mahu mendengar ucapannya. Bahkan lebih teruk dari itu, Abu Lahab yang merupakan bapa saudaranya mengikutinya betul-betul di belakangnya mengganggu  dakwahnya dengan berkata: "Dia (Muhammad) sebenarnya mengajak kamu meninggalkan agama nenek moyang kamu". (Sayyiduna Muhammad, Muhammad Rasyid Ridha, jld. 1, hal. 184)

Ini permulaan dakwah Nabi s.a.w. Sedikit yang mendengar. Ramai yang lari. Maka semangat ini yang perlu dicontohi oleh pewarisnya. Berkerjalah sahabat, berusahalah dan bercakaplah tentang Islam walaupun yang datang mendengar hanya beberapa orang kerana sedikit yang berkualiti lebih baik dari ramai tapi seperti buih air.