Thursday 8 October 2015

[Status Hadis Zikir Khusus Ketika Menanam Pokok]



Ramai bertanya saya tentang zikir khusus sewaktu menanam pokok. Lafaz hadisnya adalah seperti berikut:

" من غرس غرسا يوم الأربعاء فقال سبحان
Maksudnya: Sesiapa yang menanam pokok pada hari Rabu dan mengucapkan: Subhanallah al-Baith al-Warith maka pokok itu akan memberikannya hasil.

Komentar saya seperti berikut:

i. Komentar Terhadap Perawi
Hadis ini terdapat perawi bernama al-Abbas bin Bakkar. Berikut  komentar ulama hadis terhadap beliau:

1. Kata Abu Hatim: Syeikh (ia lafaz yang menunjukkan bahawa riwayatnya bukan hujjah sepertimana kata al-Zahabi) (Lihat: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 6, hlm. 216, al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. 2, hlm. 385)
2. Kata al-Daraqutni: Pendusta (al-Daraqutni, al-Dhu’afa’ wa al-Matrukun, hlm. 19)
3. Kata Ibn Adiyy: Munkar al-Hadith (perawi hadis munkar) (Lihat: Ibn Adiyy, al-Kamil, jld. 5, hlm. 5)
4. Kata al-'Uqaili: Kebiasaan pada hadisnya wahm (silap) dan munkar. (lihat: al-‘Uqaili, al-Dhu’afa’, jld. 3, hlm. 363)
5. Kata Abu Nuaim: perawi hadis-hadis munkar, tiada nilai. (Lihat: al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. 2, hlm. 382)
6. Kata Ibn Hibban: Tidak halal berhujah dengan hadisnya sama sekali dan kitab boleh menulis hadisnya kecuali untuk al-I'tibar bagi orang khusus (berilmu). (Lihat: Ibn Hibban, al-Majruhin, jld. 2, hlm. 121)

Walaupun Ibn Hibban memasukkannya beliau dalam kitabnya al-Tsiqat ia tetap dianggap terlalu daif kerana alasan berikut:
1. Ibn Hibban tetap mengkritiknya dalam kitabnya al-Majruhin.
2. Penuntut ilmu hadis tahu bahawa Ibn Hibban agak bermudah-mudah dalam menilai perawi sebagai tsiqah (terpercaya) dalam kitab al-Tsiqatnya.

ii. Komentar Terhadap Hadis
Beberapa ulama hadis telah mengisyaratkan hadis ini palsu dengan meletakkan hadis ini dalam kitab-kitab yang mengumpulkan hadis-hadis palsu. Antara ulama tersebut ialah al-Fatani dalam Kitabnya Tazkirat al-Maudhuat (hlm. 58) dan Ibn Iraq al-Kinani dalam kitabnya Tanzih al-Syariah (jld. 2, hlm. 335). Maka ia petanda kuat bahawa hadis ini palsu. Jika tidak palsu pun, ia dihukum terlalu daif. Wallahua’lam.

Dr Rozaimi Ramle