Tuesday 11 November 2014

Sahihkah Hadis Yang Menyatakan Bau Kanak-Kanak Adalah Dari Syurga?

Bau Kanak-Kanak Adalah Dari Syurga
Tersebar di alam maya hadis yang disandarkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam dengan lafaz berikut:
Bau mulut atau tubuh anak-anak adalah sebahagian dari angin syurga”
Status Hadis
Saya tidak menjumpai hadis dengan lafaz seperti ini dalam kitab-kitab hadis. Sebaliknya saya menjumpai hadis yang lafaznya hampir sama dengan hadis ini iaitu hadis:
ريح الولد من ريح الجنة
Maksudnya: Bau anak daripada bau syurga.
 Hadis inidiriwayatkan dari 3 sanad utama. Berikut keterangannya:
1.      Sanad Aisyah:
Hadis ini diriwayatkan dari Aisyah melalui 2 jalur:

i.                    Jalur ‘Amrah: Hadis ini diriwayatkan dari Aisyah dengan lafaz yang sama. Cuma hadis ini dinilai cacat (ma’lul) oleh Ibn ‘Adiyy.[1] Ini kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Muhammad bin Abdul Malik al-Ansari. Ibn ‘Adiyy dan Muhammad bin Tahir al-Maqdisi menilai beliau terlalu daif (matruk) kerana selalu menyanggahi riwayat perawi yang tsiqah (dipercayai dan kuat ingatannya).[2]
ii.                  Jalur 'Urwah: Jalur ini juga dinilai cacat oleh Ibn ‘Adiyy kerana perawi yang bernama Abdullah bin Lahi’ah daif.[3]

2.      Sanad Abdullah bin Abbas:
Terdapat beberapa jalur dari sanad Abdullah bin Abbas. Berikut merupakan jalur dari sanad beliau:

i.                    Jalur ‘Ata’ bin Abi Rabah: Isa bin Ibrahim meriwayatkan hadis ini dari Sulaiman bin Abi Sulaiman dari ‘Ata’ dari Ibn Abbas.[4]

Jalur ini terlalu daif kerana Sulaiman bin Abi Sulaiman dinilai matruk (perawi yang ditinggalkan oleh ulama riwayatnya kerana terlalu daif) oleh beberapa orang ulama hadis seperti Yahya bin Maien, Ali bin al-Madini dan al-Nasaie. Maka al-Zahabi memutuskan beliau matruk.[5]
Manakala Ibn ‘Adiyy menilai hadisnya tidak bermasalah jika perawi yang meriwayatkan darinya dipercayai.[6] Saya berpandanngan jika benar Sulaiman ini bukanlah terlalu daif seperti yang dinyatakan oleh Ibn ‘Adiyy, hadis tetap daif kerana beliau bersendiri dalam jalur ini ketika meriwayatkan dari ‘Ata’ bin Abi Rabah. 

ii.                  Jalur Muhammad bin Abbad bin Hafs: Khalaf bin Ayyub meriwayatkan dari Abdul Majid bin Suhail dari jalur Muhammad bin Abbad dari Abdullah bin Abbas. Riwayat ini disokong oleh riwayat al-Kalabazi dari Kharijah bin Musab yang juga meriwayatkan dari Abbdul Majid bin Suhail dari Muhammad bin Abbad dari jalur yang sama.[7]

Jalur ini daif kerana 2 sebab utama:
Pertama: Khalaf bin Ayyub dinilai daif oleh Yahya bin Maien dan Imam Ahmad.[8] Ibn Hibban pula menyatakan beliau seorang penganut mazhab Murjiah[9] yang melampau.[10]  Al-‘Uqaili pula menyatakan beliau selalu bersendiri dalam meriwayatkan hadis munkar dan menyandarkannya kepada riwayat Qais dan Auf.[11]

Kedua: Kharijah bin Musab juga daif. Bahkan majoriti ulama hadis semisal Abdullah bin al-Mubarak, Waki’ bin al-Jarrah, Imam Ahmad, Yahya bin Maien dan Ibn Hibban menyatakan beliau adalah perawi yang ditinggalkan (matruk). Ini bermakna hadisnya terlalu daif maka tidak boleh menyokong riwayat Khalaf bin Ayyub.[12] Tetapi Abu Hatim dan Ibn ‘Adiyy pula menyatakan beliau daif ringan.[13] Jika benar dia daif ringan sekalipun ia tidak menguatkan jalur ini kerana punca jalur ini iaitu Muhammad bin Abbad adalah perawi yang tidak dikenali.[14]
iii.                Jalur Ubaidullah bin Abdullah bin ‘Utbah: Mandal bin Ali meriwayatkan dari Abdul Majid bin Suhail dari Ubaidillah bin Abdullah bin ‘Utbah.[15] Jalur ini juga daif kerana terdapat perawi bernama Mandal bin Ali.

3.      Sanad Ibn Abi Labibah
Waki’ bin al-Jarrah meriwayatkan hadis ini dari jalur Muhammad bin Abdul Rahman bin Abi Labibah dari ayahnya atau datuknya dari Nabi sallallah alaih wasallam.[16] Sanad ini juga daif kerana 2 kecacatan:

Pertama: Terdapat perawi yang bernama Muhammad bin Abdul Rahman bin Abi Labibah. Beliau dinilai daif oleh Ibn Hajar.[17]

Kedua: sanadnya terputus kerana kedua-dua perawi ayah dan datuk Muhammad bin Abdul Rahman bin Abi Labibah tidak pernah berjumpa Nabi sallallah alaih wasallam. Maka sanad ini terputus.

Terdapat juga hadis dengan lafaz yang hampir sama dengan hadis ini. Cuma ia menyatakan bahawa Hasan dan Husain yang merupakan cucu baginda sallallah alaih wasallam adalah daripada bau-bauan Allah. Hadis ini dinilai daif oleh Imam Tirmizi kerana sanadnya terputus.[18]

Kesimpulan
Hadis ini daif kerana semuanya jalurnya tidak terlepas dari kedaifan dan kritikan ulama. Maka sebab itu ulama hadis semisal al-Haihami, al-Iraqi, dan al-Sakhawi menilai hadis ini sebagai daif.[19] Maka ia tidak boleh dijadikan hujah tambahan pula ia berkaitan perkara ghaib iaitu syurga. Tetapi menyayangi anak-anak itu adalah amalan terpuji dan ia fitrah manusia.

Abu Muaz Rozaimi Ramle
Sweileh, Jordan
11 November 2014


[1] Lihat: Ibn ‘Adiyy, al-Kamil fi al-Dhu’afa’, jld. 6, hlm. 160
[2] Lihat: Ibid, Muhammad bin Tohir al-Maqdisi, Zakhirat al-Huffaz, jld. 2, hlm. 1112, no. hadis: 2364.
[3] Lihat: Ibn ‘Adiyy, al-Kamil, jld. 4, hlm. 149.
[4] Riwayat Abu Nuaim dalam kitabnya Tabaqat al-Muhaddithin bi Asbahan, jld. 3, hlm. 173.
[5] Lihat: al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. 2, hlm. 210.
[6] Lihat: Ibn ‘Adiyy, al-Kamil, jld. 3, hlm. 261.
[7] Lihat: Ibn Abi al-Dunya, al-‘Iyal, hlm. 397, no. hadis: 231, al-Albani, al-Silsilah al-Dha’ifah wa al-Maudhu’ah, jld. 5, hlm. 523, no. hadis: 2499.
[8] Lihat: al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. , 1, hlm. 659, Ibn Hajar, Taqrib al-Tahzib, jld. 1, hlm. 1726.
[9] Murjiah ialah satu mazhab akidah yang terkeluar dari Ahli Sunnah wal Jamaah.
[10] Lihat: Ibn Hibban, al-Tsiqat, jld. 8, hlm. 228.
[11] Lihat: al-‘Uqaili, al-Dhu’afa, jld. 2, hlm. 24.
[12] Lihat: al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. 1, hlm. 625.
[13] Lihat: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 3, hlm. 375, Ibn ‘Adiyy, al-Kamil, jld. 3, hlm. 57
[14] Lihat: al-Albani, al-Silsilah al-Dhaifah, jld. 5, hlm. 523, no. hadis: 2499.
[15]  Lihat: al-Tabarani, al-Mu’jam al-Wasit, jld. 6, hlm. 82, no. hadis: 5860, al-Baihaqi, Syu’ab al-Iman, jld. 7, hlm. 479, no. hadis: 11061.
[16] Lihat: Waqi’ bin al-Jarrah, al-Zuhd, hlm. 422.
[17] Lihat: Ibn Hajar, Taqrib al-Tahzib, jld. 2, hlm. 493.
[18] Lihat: al-Tirmizi, al-Sunan, jld. 4, hlm. 317.
[19] Lihat: al-Haithami, Majma’ al-Zawaid, jld. 8, hlm. 78,  al-Iraqi, al-Mughni, jld. 1, hlm. 532, al-Sakhawi, al-Maqasid al-Hasanah, jld. 1, hlm. 373

Sunday 2 November 2014

Malaikat Mendoakan Keampunan Bagi Penduduk Rumah Yang Menyimpan Madu?

Ramai yang bertanya saya tentang status hadis dalam gambar ini. Maka saya katakan hadis ini TERLALU DAIF. Berikut komentar ulama hadis terhadap status hadis ini:

1. Kata al-Ismaili: Hadis ini terlalu munkar. (Lihat: al-Suyuti, al-Laali al-Masnu'ah, jld. 2, hlm. 203)
2. Kata Ibn al-Jauzi: Hadis palsu dan (beberapa) perawinya tidak dikenali. (Lihat: al-Maudhu'at, jld. 3, hlm. 21)
3. Kata al-Zahabi: Hadis ini batil. (Lihat: Talkhis al-Maudhu'at, hlm. 255)

Apa kesalahan gambar ini? Ada dua kesalahan:

1. Sebar hadis terlalu daif tanpa menyatakan statusnya. Bahkan untuk melariskan produknya.

2. Sandarkan hadis ini kepada imam Bukhari dan Muslim. Sedangkan mereka tidak pernah meriwayatkan hadis ini dalam sahih mereka.

Kepada pembuat poster, bertaubatlah. Banyak lagi hadis sahih berkaitan kelebihan madu untuk digunakan dan dijadikan hujah. Tidak perlu menyebar hadis sebegini untuk melariskan jualan. Kepada yang dah share poster ini harap padam. Wallahua'lam

Abu Muaz Rozaimi Ramle
Sweileh, Jordan
2 November 2014