Sunday 3 March 2013

Ujian Itu Menguatkan Jiwa dan Meninggikan Darjat

 Peluang Menjadi Tetamu Allah

Baru-baru ini Allah rezekikan saya dan keluarga untuk menjadi tetamunya di Haramain. Perasaan rindu tidak terkira kepada Baitullah dan Masjid Nabawi saya terubat apabila dapat menjejakkan kaki ke sana. Segala urusan visa dan tiket berjalan dengan mudah. Alhamdulillah.

Ziarah Di Madinah

Kami sekeluarga berkesempatan berada di Madinah selama 3 hari. Selama berada di Madinah kami banyak dibantu oleh sahabat yang bernama Farkhan yang menjadi pelajar di sana. Banyak tempat-tempat menarik yang kami lawati di sana termasuk bukit Uhud, Masjid Quba' dan Masjid Qiblatain. Ketika berjalan di Madinah saya terfikir alangkah beruntungnya orang-orang Madinah kerana menyambut peluang Islam ketika ditawarkan oleh Nabi saw. Berbeza dengan orang-orang di Taif yang menolak dakwah baginda. Mungkin jika orang Taif menerima dakwah pada waktu itu berpusu-pusu kaum Muslimin serata dunia memohon visa ke sana pada hari ini. Tetapi sebaliknya mereka menolaknya dengan balingan batu. Yang menerima Islam pada awalnya ialah golongan Ansar di Madinah maka hari ini jasad manusia agung itu berada di sana. Sungguh besar pengorbanan Ansar yang memberikan harta, isteri, tanah air, ketaatan bahkan nyawa kepada insan luar atas nama Iman dan Islam. Maka tidak hairanlah jika Nabi saw menyatakan kelebihan kaum Ansar dengan katanya:

 آية الإيمان حب الأنصار وآية النفاق بغض الأنصار

Maksudnya: Tanda iman itu cintakan golongan Ansar manakala tanda kemunafikan itu bencikan Ansar. (HR Bukhari, no. hadis: 17)

 Ketika Di Mekah

Kami berada di Mekah selama tiga hari juga. Bumi Mekah mengingatkan saya kepada pengorbanan Nabi Ibrahim yang meninggalkan anak dan isterinya Hajar di lembah yang kering kontang tiada penghuni dan tanaman. Firman Allah swt:

{رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ} [ابراهيم:37]

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya.

Nabi Ibrahim sudah berumur ketika direzekikan dengan kelahiran Ismail. Sudah pasti kelahiran itu memberikan kasih yang mendalam kepada ayah yang tiada mempunyai zuriat lain ditambah pula dengan meningkatnya umur Ibrahim ketika itu. Sudah pasti pertarungan perasaan ketika melaksanakan perintah Allah untuk meninggalkan anak kesanyangan dan isteri di kawasan itu amat dahsyat. Bagaimana nasib mereka nanti setelah ditinggalkan? Apa yang mereka akan makan dan minum untuk bertahan hidup? Siapa yang akan melindungi mereka dari serangan lanun atau binatang buas? Persoalan ini semestinya lahir di benak seorang ayah apabila berada di dalam situasi Ibrahim ketika itu. Tetapi kerana Iman, Ibrahim teruskan jua perintah tersebut. Akhirnya mereka selamat di bawah jagaan Allah.

Sekali lagi Ibrahim diuji dengan arahan untuk menyembelih anaknya Ismail. Firman Allah swt:

{فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ}

Maksudnya: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

Mungkin hati seorang bapa mampu terima jika anaknya dibunuh di tangan orang lain. Tapi sudah pasti amat berat bebanan yang ditanggung oleh Ibrahim ketika menerima arahan menyembelih anak kesayangannya dengan tangannya sendiri. Tetapi kerana Iman baginda teruskan juga perintah itu.

Ujian Di Airport Jeddah

Allah menguji saya dengan terlupa akan dua beg yang membawa susu anak-anak dan kitab-kitab pengajian saya. Melihat anak menangis inginkan susu di atas pesawat membuat saya tidak tahan untuk menahan air mata simpati dan rasa bersalah pada diri sendiri yang cuai sehingga tertinggalkan beg yang membawa bekalan susunya. Lalu saya terfikir, jika ujian sekecil ini pun sudah saya alirkan air mata bagaimana Ibrahim yang menerima arahan meninggalkan anak dan isteri di tengah-tengah padang pasir dan arahan menyembelih Ismail. Kecilnya iman saya dibanding dengan iman Ibrahim. Maka tidak hairan gelaran al-Khalil diberikan kepada baginda kerana ujian-ujian itu telah menghilangkan perasaan sayang kepada makhluk untuk beralih memberikan kasih sayang kepada Allah swt. Benarlah ujian itu menguatkan jiwa dan meninggikan darjat. Ya Allah, kurniakan aku kekuatan Iman seperti itu.

Muhamad Rozaimi Ramle
Sweileh, Jordan
4 Mac 2013
2.00 pagi