Saya ditanya tentang status hadis di dalam gambar di atas ini. Berikut penjelasannya:
Hadis ini diriwayatkan dengan lafaz:
" أيما شاب تزوج في حداثة سنه عج شيطانه: يا ويله يا ويله عصم مني دينه "
Maksudnya: Mana-mana pemuda yang berkahwin pada awal umurnya maka menjeritlah syaitan (dengan berkata): celaka dia, celaka dia. Terpelihara daripadaku agamanya.
Hadis ini diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah dari jalur Salih Maula al-Tau'amah. Terdapat 2 perawi yang meriwayatkan dari Salih:
1. Khalid bin Ismail al-Makhzumi meriwayatkan dari Ubaidillah bin Umar dari Salih dari Jabir. (HR Abu Ya'la dalam Musnadnya no. hadis: 2041, al-Tabarani dalam al-Awsat no hadis: 4475, Ibn Adiy dalam al-Kamil no perawi: 600, Ibn 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq no. perawi: 3147, al-Khatib al-Baghdadi dalam tarikh Baghdad no. perawi: 4033, Ibn al-Jauzi dalam Zamm al-Hawa hlm. 281)
Jalur ini palsu kerana Khalid bin Ismail adalah pendusta. Berikut komentar ulama hadis terhadap beliau:
i. Kata Ibn Hibban: Tidak boleh berhujah dengan hadisnya dalam apa-apa keadaan.
ii. Kata al-Daraqutni: Perawi yang ditinggalkan
iii. Kata Ibn Adiy: beliau memalsukan hadis dan menyandarkannya kepada perawi tsiqat.
iv. al-Zahabi menyimpulkan beliau sebagai pendusta.
(Rujuk: al-Kamil, jld. 3, hlm. 43, Mizan al-I'tidal, jld. 1, hlm. 627, Lisan al-Mizan, jld. 7, hlm. 121)
2. Muhammad bin Ishaq al-Asy'ari al-Sini meriwayatkan dari Abdul Rahman bin Abdul Aziz al-Ansari dari 'Ismah bin Muhammad bin Ubaidillah bin Umar meriwayatkan dari Salih dari Jabir. (HR Ibn 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq no perawi: 8169) Komentar terhadap sanad ini seperti berikut:
i. Status 'Ismah bin Muhammad bin Ubaidillah bin Umar: Saya tidak menjumpai ulama al-Jarh wa al-Taadil berbicara tentang status 'Ismah ini. Tetapi al-Albani menyatakan bahawa 'Ismah ini ialah 'Ismah bin Muhammad bin Fudhalah dan beliau juga pendusta. (Rujuk: Silsilah Da'ifah, jld. 2, hlm. 114) Tetapi saya beranggapan al-Albani telah keliru kerana beliau bukan 'Ismah bin Muhammad bin Fudhalah. Buktinya 'Ismah bin Muhammad bin Fudhalah tidak meriwayatkan hadis dari Salih Maula al-Tau'amah.
ii. Status Muhammad bin Ishaq al-Sini. Beliau adalah pendusta hadis. (Lihat: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 7, hlm. 196, al-Zahabi, Tarikh al-Islam, jld. 6, hlm. 140)
Kesimpulannya: Hadis ini palsu kerana kesemua jalurnya mengandungi perawi pendusta. Maka berhentilah menyebarkannya kecuali untuk menyatakan ia adalah palsu. Sabda Nabi sallallah 'alaih wasallam: "Sesiapa yang mendustakan aku secara sengaja, maka tunggulah tempatnya di neraka". Wallahua'lam.
Rozaimi Ramle
Sweileh, Jordan (11 Julai 2014)
No comments:
Post a Comment