Tuesday, 15 July 2014

Status Hadis 10 Kelebihan/Keberkatan Membaca Surah Yasin





Agak ramai yang bertanya saya tentang status riwayat yang menceritakan 10 kelebihan atau keberkatan membaca surah Yaasin seperti dalam gambar  di atas ini. Maka saya jawab seperti berikut:

Hadis ini diriwayatkan melalui 2 jalan:

1. Riwayat Ali bin Abi Talib. Diriwayatkan dari Ali melalui dua jalur:

i. Jalur pertama riwayat al-Harith dalam musnadnya (Rujuk: Buhgyat al-Bahith, jld. 1, hlm. 526, no: 469). Jalur ini palsu kerana terdapat perawi yang bernama Hammad bin 'Amru al-Nasibi. Berikut komentar ulama hadis terhadap statusnya:

- Kata Yahya bin Main: beliau tergolongan dalam kalangan pendusta dan pemalsu hadis
- Kata al-Bukhari: (beliau) periwayat hadis munkar
- Kata al-Jauzajani: Beliau berdusta
- Kata al-Nasaie: (beliau) perawi yang ditinggalkan.
- Kata Ibn Hibban: beliau memalsukan hadis. (Rujuk: Ibn Adiyy, al-Kamil, jld. 2, hlm. 239, no perawi: 415, al-Zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 1, hlm, 589, no. perawi: 2262)

Oleh kerana itu al-Baihaqi menyatakan selepas meriwayatkan juzu' awal dari hadis ini:

فذكر حديثا طويلا في الرغائب والآداب وهو حديث موضوع

Maksudnya: kemudian beliau (iaitu perawi) menyatakan hadis yang panjang dalam al-Raghaib dan adab-adab dan ia adalah HADIS PALSU. (Rujuk: Dalail al-Nubuwwah, jld. 7, hlm. 229)

ii. Jalur kedua riwayat al-Dailami seperti yang dinyatakan oleh Ibn Iraq al-Kinani. (Rujuk: Ibn Iraq, Tanzih al-Syariah, jld. 1, hlm. 296). Jalur ini pula matruk (terlalu daif) kerana terdapat perawi yang bernama Mas'adah bin Ilyasa'. Berikut komentar ulama hadis terhadap beliau:

- Kata Ahmad bin Hanbal: Tiada nilai, kami meninggalkan hadisnya lama dulu.
- Kata Abu Hatim al-Razi: (Hadis) beliau gugur dan munkar. Beliau berdusta ke atas nama Jaafar bin Muhammad. (Rujuk: al-Jarh wa al-Taadil, jld. 8, hlm. 370, no perawi: 1693, al-Kamil, jld. 6, hlm. 390, no. perawi: 1875) 

2. Riwayat Abu Qilabah (Rujuk: Syu'ab al-Iman, jld. 2, hlm. 481, no hadis: 2467) Tetapi riwayat ini terdapat sedikit perbezaan dari riwayat Ali. kerana riwayat ini tidak disandarkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam sebaliknya ia disandarkan kepada Abu Qilabah. Berikut sebahagian lafaznya:

من قرأ يس غفر له و من قرأها و هو جائع شبع و من قرأها و هو ضال هدى و من قرأها و له ضالة وجدها و من قرأها على طعام خاف قلته كفاه و من قرأها عند ميت هون عليه و من قرأها عند امرأة يخشى عليها ولدها يسر عليها

Maksudnya: Sesiapa yang membaca Yasin diampunkan baginya dan sesiapa yang membacannya ketika lapar akan kenyang, sesiapa membacanya ketika sesat maka akan dapat petunjuk, sesiapa yang membacanya ketika barangnya hilang akan menjumpainya, sesiapa yang membacanya ke atas makanan yang dia takut ia tidak mencukupi maka ia akan mencukupi, sesiapa yang membacanya di sisi mayat maka akan diringankan ke atasnya dan sesiapa yang membacanya kepada perempuan yang ditakuti (keselamatan) anaknya maka akan dipermudahkan urusannya...

Riwayat ini daif bahkan munkar kerana ada 2 kecacatan:

i. Terdapat perawi daif yang bernama al-Khalil bin Murrah al-Basri. Beliau daif pada majoriti ulama hadis semisal al-Bukhari, Abu Hatim, al-Tirmizi, ِAbu al-Walid al-Tayalisi dan Ibn Adiyy dan beliau juga banyak meriwayatkan hadis munkar. (Rujuk: al-Majruhin, jld. 1, hlm. 322, Tahzib al-Tahzib, jld. 9, hlm. 100, no perawi: 319)

ii. Tafarrud iaitu bersendirinya beliau dalam riwayat ini. Walaupun Ibn Adiy menyatakan bahawa status beliau tidak sampai kepada tahap perawi matruk (ditinggalkan) tetapi status beliau yang banyak meriwayatkan hadis munkar ditambah pula beliau bersendiri dalam meriwayatkan riwayat ini, maka ia menguatkan petunjuk (qarinah) bahawa hadis ini munkar. Tambahan pula beliau meriwayatkan hadis ini dari Ayub al-Sakhtiyani yang mempunyai beberapa anak murid kanan. Mengapa tidak ada seorang pun anak murid kanan beliau meriwayatkan hadis ini? Dengan itu saya mempunyai kecenderungan bahawa riwayat ini munkar.

Kesimpulannya hadis ini tidak sahih kerana semua sanadnya palsu, matruk dan munkar. Wallahua'lam

Rozaimi Ramle
Sweileh, Jordan
16 Julai 2014

No comments:

Post a Comment