Saya telah menulis respon
balas saya terhadap artikel saudara Farouk A Peru. Sesiapa yang baru mengikuti
perbahasan ini boleh lihat artikel saya di sini. Kemudian saudara Farouk membalas hujah-hujah yang saya kemukakan
di sini. Setelah membaca artikel terbaru saudara Farouk, saya sedikit
kecewa kerana saudara Farouk seolah-olah tidak memperbetulkan metodologinya
dalam kajian walaupun saya telah menegurnya dalam artikel yang lalu. Beliau
seakan-akan cuba mengelak dari menyelesaikan isu kepada menimbulkan persoalan
yang lain pula. Maka bahagikan artikel ini kepada dua bahagian. Bahagian
Pertama saya khususkan untuk kritikan terhadap metodologi beliau dan bahagian
kedua pula saya khaskan untuk jawapan terhadap kekeliruan yang beliau
timbulkan.
Bahagian Pertama - Kritikan Terhadap Metodologi Kajian Saudara Farouk
Sebelum saya menjawab secara detil artikel terbaru
beliau, izinkan saya mengkritik metodologi beliau dalam kajian.
1. Tidak Konsisten
Saya dapati saudara Farouk
tidak konsisten dalam penghujahan beliau. Bukti yang nyata ialah dalam artikel
lalu saya mempersoalkan mengapa beliau berhujah menggunakan riwayat ahli hadis
(riwayat Abu Bakar membakar kitab hadis) sedangkan beliau sendiri menolak hadis
dan beliau menjawab:
Dalam ilmu mantiq, langkah ini dipanggil ‘argument by currency’.
Maksudnya, bila kita berbincang dengan seseorang itu, kita mesti menggunakan
maklumat yang diterima atau berada dalam klasifikasi yang sama oleh orang itu.
Samalah seperti kalau kita membeli-belah di London. Kalau kita cuba membayar
dengan matawang Ringgit memang tak akan diterima. Tapi kalau kita guna matawang
Pound Sterling akan diterima. Kalau kita guna American Dollar atau Euro pun
kadang-kadang boleh kerana matawang-matawang demikian diiktiraf di tahap dunia.
Saranan
ini baik. Tapi adakah riwayat Abu Bakar membakar kitab hadis yang beliau bawa
menepati saranan beliau? Riwayat Abu Bakar membakar kitab hadis ini sebenarnya
daif di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ). Di
mana "argument of
currency" yang beliau
slogankan jika riwayat Abu Bakar itu daif dan tidak sahih. Pada ASWJ riwayat
ini sama seperti wang yang tidak asli. Adakah orang London mahu menerima wang
tidak asli? Di sini jelas kelihatan bahawa beliau tidak konsisten dalam
berhujah.
2. Terlalu Cepat Membuat Kesimpulan Umum (Hasty Generalisation)
Ini juga kesimpulan yang saya
dapat apabila membaca artikel kedua beliau. Sikap gopoh dalam membuat
kesimpulan umum berdasarkan maklumat yang terhad jelas terpancar dari tulisan
beliau. Lihat apa kata beliau:
Saya juga pernah berbuat demikian tentang hadis tapi maaf nak kata, pada pendapat saya, kebanyakan hadis tidak selari dengan Al-Quran dari segi falsafah agama (philosophy of religion).
Cuba lihat pada kenyataan beliau. Beliau nyatakan bahawa beliau dapati kebanyakan hadis tidak selari dengan al-Quran tanpa beliau nyatakan berapa banyak jumlahnya. Sekadar pemerhatian saya hadis yang dikategorikan sebagai Musykil al-Hadith (bercanggah dengan dalil lain) tidaklah dianggap melebihi daripada hadis-hadis lain sehingga kita terpaksa menganggap KEBANYAKAN hadis tidak selari dengan al-Quran.
Lihat apa yang beliau ulas tentang sebab Abu Bakar membakar kitab hadisnya:
Jadi mengikut hadis ini, Abu Bakr sendiri was-was akan sistem
sanad! Pada zaman beliau sendiri ada hadis yang diberi ‘seal of approval’ oleh
orang yang dia percaya tapi riwayatnya salah. Jadi Abu Bakr sendiri mengakui
kelemahan sistem isnad. Kalau ini boleh berlaku pada zaman Abu Bakr sendiri
(selama dua tahun selepas peninggalan Rasulullah), bagaimana pula zaman
sekarang?
Saya hairan bagaimana kesimpulan ini boleh
beliau rumuskan. Pertama, saya katakan dari awal yang hadis ini daif di sisi
ulama hadis. Kedua, dari mana bukti Abu Bakar meragui sistem sanad? Apa yang
saya dapati dari riwayat Abu Bakar tersebut, Abu Bakar hanya meragui sebahagian
ingatan peraawinya sahaja. Itu pun jika riwayat ini sahih. Tapi saya telah
buktikan bahawa riwayat ini tidak sahih. Tidakkah beliau tahu bahawa Abu Bakar
juga perawi hadis? Beliau mempunyai lebih dari 60 orang anak murid. Bagaimana
pula saudara Farouk boleh rumuskan bahawa Abu Bakar anti sistem sanad? Ini
suatu yang ajaib.
3. Data Tidak Sempurna
Saya telah menegur dalam
artikel saya yang lepas tentang sikap selektif saudara Farouk dalam memilih
data sebelum membuat keputusan atau rumusan. Malangnya sikap ini terus
dipertahankan oleh beliau dalam artikel kedua ini bahkan beliau menganggap
sikap selektif ini adalah naluri manusia. Sungguh ajaib jika sifat selektif ini
masih bersarang dalam jiwa ahli akademik seperti beliau. Bukankah kita diajar
untuk meneliti setiap data dalam kajian dengan adil tanpa prejudis? Jika proses
pemilihan data telah dipengaruhi oleh sikap selektif kita dengan kata lain kita
hanya memilih data atau bukti yang menyokong pandangan awal (pre-assumption)
kita dan menolak bukti yang lain, bagaimana natijah yang benar akan kita
perolehi? Dalam kes pemilihan riwayat Abu Bakar membakar kitab hadis yang
saudara Farouk kemukakan menunjukkan sikap selektif beliau dalam memilih data
atau bukti. Mengapa riwayat Abu Bakar menerima hadis kadar pusaka nenek saudara
Farouk tidak sentuh langsung dalam isu ini? Apakah kerana riwayat pusaka nenek
itu tidak menyokong fikrah Quranism maka ia disisihkan oleh Farouk awal-awal
lagi? Jika saudara Farouk menitik beratkan soal "argument of currency" sebelum ini maka riwayat pusaka
nenek ini seharusnya di bawa dalam isu ini kerana ia sahih dan ASWJ
menerimanya. Tetapi mengapa ia tidak dibawa dalam perbincangan ini? Saya sudah
menyentuhnya dalam artikel yang lepas tetapi dalam artikel balas saudara Farouk
sekali lagi lupa atau buat-buat lupa tentang kewujudan riwayat ini.
4. Bergantung Kepada
Spekulasi Dan Meninggalkan Bukti Yang Jelas
Saya dapat rasakan bahawa
saudara Farouk sengaja meninggalkan bukti yang nyata dan bergantung kepada
spekulasi yang tidak pasti. Dalam artikel yang lepas saya sudah nyatakan bahawa
Umar bin al-Khattab memang mengucapkan "Cukup bagi kita Kitab Allah".
Golongan Quranis menggunakan kalam ini untuk meninggalkan Sunnah. Saya katakan
untuk memahami maksud kalam Umar ini, kita harus menilai pendirian Umar terhadap
Sunnah dengan mencari riwayat-riwayat dari Umar. Telah terbukti pada kita
bahawa Umar sendiri menerima kehujahan hadis. Dalam kes Taun, Umar menerima
hadis Abdul Rahman bin Auf yang disampaikan kepadanya. Umar juga menerima
hadis-hadis tentang kadar diyat bagi jenayah yang melibatkan anggota badan
manusia. Umar juga pernah memukul seorang lelaki yang tidak mahu menerima hadis
sehingga bertanya pendapat Umar dalam isu tawaf wida' bagi perempuan haid.
Tetapi saya lihat saudara Farouk lupa atau sengaja buat-buat lupa akan kewujudan riwayat dan bukti ini dan terus ingin berspekulasi dengan berkata:
Umar tidak diriwayatkan untuk berkata yang kecukupan kitab Allah adalah dalam bab akidah, fiqh dan sebagainya. Dalam riwayat ini dari segi perkataan, dia hanya berkata ‘cukup bagi kita kitab Allah’. Dengan mudah Umar boleh berkata ‘tapi ia perlu dijelaskan oleh sunnah Nabi’ tapi dia tidak berkata demikian? Kenapa? Sebabnya akan juga jadi spekulasi kita.
Adakah bijak untuk berspekulasi sedangkan bukti sudah terang lagi bersuluh? Saya rasa kalau Umar hidup di zaman ini, pasti akan ada orang yang akan dipukul akibat meninggalkan hadis.
5. Menganggap Hipotesis Sebagai Kesimpulan Tanpa Bukti
Ini juga kesilapan fatal dalam metodologi kajian yang
dilakukan oleh Saudara Farouk. Menganggap hipotesis suatu kesimpulan yang betul
tanpa bukti adalah kesalahan ilmiah yang sukar untuk dimaafkan. Lihat apa kata
Farouk:
Di sini
datang pula isu kesahihan dan memang isu ini sangat relevan. Siapa yang
mendapati bahawa sadadnya tidak sahih? Adakah orang itu juga tiada agenda pada
dirinya? Adakah benar dalam dunia ASWJ penilaian sanad-sanad semua sama?
Jawapannya tidak. Dalam blog En. Rozami sendiri (pautannya di sini) ada
perbezaan pendapat dalam bab akidah. Perbezaan ini adalah di antara dua ulamak
besar. Satu dari Syria dan satu dari Saudi Arabia yang dua-dua mengaku ASWJ!
Sebenarnya dalam dunia ASWJ, ada perbezaan pendapat dalam penilaian hadis.
‘sahih’ itu hanya cap yang diberi secara subjektif untuk maklumat yang kurang
digemari.
Saya katakan tuduhan Farouk kepada ulama hadis dalam penilaian hadis perlukan bukti yang konkrit. Kita sedang bercakap tentang manusia yang dianggap tokoh oleh sejarah. Tuduhan "tidak amanah" kepada mana-mana individu tanpa bukti adalah salah. Sebaliknya saya menjumpai bukti yang ulama hadis tetap mensahihkan hadis walaupun ia bercanggah dengan pendapatnya dan mereka serta-merta akan mengubah pandangan mereka apabila mengetahui hadis sahih. Perinciannya akan saya bincangkan nanti.
6. Pengabaian Kepada Ilmu Alat
Saya juga mendapati saudara Farouk mempuyai
kecenderungan untuk mengabaikan ilmu alat yang menjadi pre-requisite kepada
ilmu-ilmu tertentu. al-Quran dan hadis itu berbahasa arab. Untuk mendalami
makna sebenar kita perlu mendalami bahasa arab. Ini penting supaya kita tidak
menterjemahkan perkataan "يوطئن" yang bermaksud membenarkan masuk
rumah kepada bersetubuh seperti yang dilakukan oleh Kassim Ahmad. Saya melihat
saudara Farouk juga banyak merujuk kepada kitab edisi terjemahan. Adakah beliau
tidak menguasai bahasa arab dengan baik? Bahkan saudara Farouk sendiri mengakui
yang beliau faham al-Quran dengan fahaman sendiri (terima kasih ustaz Hasrizal
Jamil atas poin ini). Kata Farouk:
Sebelum saya mula menjawab poin-poin En.
Rozaimi, saya ingin mengingatkan semua pembaca dan juga diri saya sendiri yang
tujuan atau objektif kita ialah untuk memahami dan mengikut suruhan Allah. Saya
adalah Quranis di atas sebab tersebut – yang saya tak dapat menerima otoriti
hadis atau ulamak dalam merumuskan ajaran islam. Kriteria saya ialah Al-Quran
dalam fahaman sendiri.
Maka saya meminjam kata ustaz Hasrizal: "
Inilah point yang sangat tidak ilmiah. Sebarang
teks yang hendak dilakukan kajian kualitatif ke atasnya mewajibkan sang
pengkaji menggunakan ilmu-ilmu alat.
Bagaimanakah seseorang mengupas teks ucapan
Jean-Jacques Rousseau dalam Social Contract beliau tanpa menguasai Bahasa Perancis?
Ia bukanlah syarat yang tujuannya adalah untuk show off otoriti Bahasa
Perancis, tetapi ia adalah sebab yang sangat rasional bahawa mustahil ucapan
Jean-Jacques Rousseau boleh ditafsir oleh seseorang yang tidak meraikan asas
bahasa Perancis, iaitu bahasa yang merekodkan karya tersebut. Apatah lagi
dengan mengabaikan falsafah state of nature dalam mengupasnya.
Para Quranist ini mahu menghapuskan tuntutan
yang sangat asas.
Dan jangan terkejut, bantahan ustaz yang paling
keras terhadap Quranist, akan disambut dengan selamba oleh mereka kerana bagi
mereka, ustaz sedang exercise 'fahaman ustaz' tentang al-Quran, sebagaimana
mereka sedang exercise fahaman mereka sendiri tentang al-Quran".
Saranan Quranis ini sama seperti membuat kempen
kepada orang ramai bawa kapal terbang tanpa lesen tanpa perlu jadi pilot. Ia
saranan ayang bernas untuk menjunamkan pesawat.
Setelah kita lihat kepincangan dalam metodologi beliau dalam kajian ilmiah, saya ingin beralih kepada perbincangan yang lebih mendalam iaitu menjawab kekeliaruan yang beliau timbulkan terhadap hadis. Komentar saya seperti berikut:
A. Saudara
Farouk berhujah:
Kata En. Rozaimi:
Saya tidak berjumpa riwayat Umar membakar kitab hadis. Jika ada saya minta jasa baik saudara Farouk untuk nyatakan sumbernya. –
Saya tidak berjumpa riwayat Umar membakar kitab hadis. Jika ada saya minta jasa baik saudara Farouk untuk nyatakan sumbernya. –
Farouk
menjawab:
Kanz al-Ummal (vol 10, #29476):
Kanz al-Ummal (vol 10, #29476):
From Yehya
ibn Ju’udat who said: ‘Umar desired to write the Sunnat then he decided not to
do so. Then he instructed the Muslims throughout the provinces: “Whoever has a
document bearing a prophetic tradition shall destroy it.”
Maaf,
kalimah membakar tiada pada maklumat ini tapi Umar ibn Al-Khattab telah
menyuruh kaum Muslimeen yang ada apa-apa tulisan pada mereka daripada as-sunnah
(shai’un min dhalik) untuk menghapuskannya.
Saya
katakan:
1. Riwayat
ini juga daif kerana Yahya bin Ju'dah tidak pernah bertemu Umar. Mengapa saya
daifkan riwayat ini? Ini kerana berkemungkinan Yahya meriwayatkan dari perawi
pendusta atau daif. Maka jika ada kebarangkalian ini, ia tidak boleh diterima
sebagai hujah.
2. Jika
riwayat ini sahih sekalipun (ia bukan bermakna saya mensahihkannya), saya mempunyai pemahaman yang berbeza dari saudara
Farouk. Larangan Umar ini adalah disebabkan banyak daerah baru yang dibuka pada
zaman pemerintahannya. Rakyatnya baru memeluk Islam. Maka tumpuan kepada
al-Quran harus didahulukan sebelum pergi kepada kitab-kitab hadis. Bukankah
anak-anak orang Islam yang berumur 7-9 tahun diajar al-Quran dahulu sebelum
diajar sahih Bukhari? Maka arahan Umar ini (jika ia sahih) adalah logik.
3. Bukti
pemahaman saya ini benar ialah Umar pernah melantik Abu Hurairah menjadi Mufti
dan Imam solat di Bahrain. Mengapa Abu Hurairah? Kerana beliau banyak
meriwayatkan hadis. Umar juga menghantar Ibn Masud ke Iraq untuk mengajar di
sana. (Rujuk: al-Mustadrak, 3/438. Riwayat sahih) Mengapa Ibn Masud? kerana
beliau banyak meriwayatkan hadis.
B. Saudara
Farouk menjawab persoalan saya bagaimana beliau yang merupakan seorang Quranis
boleh menerima riwayat ulama hadis. Lalu beliau menjawab:
Dalam ilmu
mantiq, langkah ini dipanggil ‘argument by currency’. Maksudnya, bila kita
berbincang dengan seseorang itu, kita mesti menggunakan maklumat yang diterima
atau berada dalam klasifikasi yang sama oleh orang itu. Samalah seperti kalau
kita membeli-belah di London. Kalau kita cuba membayar dengan matawang Ringgit
memang tak akan diterima. Tapi kalau kita guna matawang Pound Sterling akan
diterima. Kalau kita guna American Dollar atau Euro pun kadang-kadang boleh
kerana matawang-matawang demikian diiktiraf di tahap dunia.
Samalah bila
kita berbincang. Golongan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ) menerima kewujudan
korpus maklumat selain daripada Al-Quran. Jadi bila berbincang dengan golongan
ini, saya akan menggunakan maklumat tentang situasi dari zaman tersebut dan
daripada sumber-sumber yang seangkatan dengannya.
Saya jawab:
1. Saya
lihat saudara Farouk seolah-olah ingin katakan bahawa riwayat ini dibawa kerana
kami ASWJ menerima riwayat hadis (betulkan saya jika saya tersilap faham maksud
saudara). Maka beliau membangkitkan isu shopping di UK
menggunakan matawang pound sterling.
2. Saudara
Farouk benar dalam alasannya iaitu alasan shopping menggunakan
wang pound sterling. Tetapi riwayat yang beliau bawa dalam isu ini tidak sesuai
kerana ia daif. Orang-orang UK semestinya tidak menerima wang pound yang tidak
asli. Begitu juga ASWJ dalam isu ini. Sudah pasti kami akan meminta bukti
kesahihan riwayat supaya ia boleh diterima sama seperti orang UK meneliti
keaslian pound sterling. Adakah saudara Farouk mampu membawakan pandangan ulama
hadis yang mensahihkan riwayat ini?
2. Saudara
Farouk menyatakan ketika berbicara mengenai riwayat Abu Bakar membakar kitab
hadis yang saya nyatakan ia daif:
Di sini datang pula isu kesahihan dan memang isu ini sangat relevan.
Siapa yang mendapati bahawa sadadnya tidak sahih? Adakah orang itu juga tiada
agenda pada dirinya? Adakah benar dalam dunia ASWJ penilaian sanad-sanad semua
sama? Jawapannya tidak. Dalam blog En. Rozami sendiri (pautannya di sini) ada
perbezaan pendapat dalam bab akidah. Perbezaan ini adalah di antara dua ulamak
besar. Satu dari Syria dan satu dari Saudi Arabia yang dua-dua mengaku ASWJ!
Sebenarnya dalam dunia ASWJ, ada perbezaan pendapat dalam penilaian hadis.
‘sahih’ itu hanya cap yang diberi secara subjektif untuk maklumat yang kurang
digemari.
Saya jawab:
1. Saudara Farouk membangkitkan isu siapa yang mendaifkan sanad riwayat
ini. Saya katakan:
- riwayat ini didaifkan oleh ulama hadis seperti al-zahabi. (Rujuk:
Tazkirat al-Huffaz, 1/5).
- Ibn Kathir mendaifkan riwayat ini dengan menyatakan Ali bin Soleh
tidak dikenali oleh ulama hadis. (Rujuk: Kanz al-'Ummal, 10/503)
- al-Bukhari sendiri menyatakan bahawa Abdullah bin Musa bin Hasan bin
Hasan daif. (Rujuk: al-'Aini, Maghani al-Akhyar, 5/101). Memang benar Imam Ahmad dan Yahya bin Main pernah
memuji beliau sebagai orang yang soleh tetapi kesolehan tidak pernah mewajibkan
mereka untuk mensahihkan hadisnya kerana periwayatan hadis bergantung kepada
kesolehan dan kekuatan ingatan. Justeru, soleh sahaja tidak memadai bagi ulama
hadis untuk kita terima riwayatnya.
2. Saya ingin bertanya kepada saudara Farouk adakah tidak logik bagi
seseorang yang tidak percaya kepada berita orang yang tidak dikenali
keperibadiannya terutama apabila ia melibatkan urusan agama? Begitulah ulama
hadis. Pegangan mereka ialah kredibiliti orang yang membawa cerita. Jika benar
kisah ini sahih, sila bawakan rujukan dalam kitab-kitab hadis kerana riwayat
ini hanya disebut oleh ulama kurun ke 8 hijrah sekadar pengetahuan saya dan ia
tidak masyhur di sisi ulama hadis sebelum itu.
3. Tidakkah saudara Farouk melihat sendiri kandungan riwayat ini?
Sesiapa yang mempunyai sedikit asas dalam ilmu hadis akan pelik dan hairan
membaca riwayat ini kerana ia menyatakan bahawa Abu Bakar meriwayatkan dari
seorang lelaki. Bukankah Abu Bakar antara orang yang paling rapat dengan Nabi
sallallah alaih wasallam? Mengapa perlu Abu Bakar mendengar dari baginda
melalui perantaraan?
4. Saudara
Farouk membangkitkan pula isu perbezaan ulama hadis dalam penilaian hadis. Saya
katakan bahawa perbezaan mereka dalam menghukum sesuatu hadis adalah disebabkan
perbezaan ijtihad mereka. Berkemungkinan sebahagian ulama mengenali kredibiliti
seorang perawi manakala ulama lain tidak mengenalinya maka berlakulah perbezaan
pandangan dalam menilai hadis. Cuma kita sebagai pengkaji seharusnya memilih
pandangan berdasarkan hujah dan dalil yang kuat. Bukannya memilih riwayat yang
lemah dan tidak dikenali di zaman awal Islam kemudian menolak riwayat masyhur
dan sahih.
5. Manakala
dakwaan saudara Farouk bahawa: '"sahih" itu hanya cop kepada maklumat
yang kurang digemari' perlukan kepada dalil dan bukti. Namun saya rasa ayat ini
ada sedikit masalah, berikut keterangannya:
-
Berkemungkinan saudara Farouk maksudkan "tidak sahih" sebenarnya. Ini
kerana jika ulama hadis meletakkan cop "sahih" kepada maklumat yang
mereka tidak gemari, ini mengisyaratkan mereka amanah dalam ilmu kerana
walaupun mereka kurang gemari maklumat itu mereka tetap meletakkan cop sahih
selagimana ia sahih.
- Namun jika
saudara Farouk maksudkan bahawa ulama hadis meletakkan cop "tidak
sahih" kepada maklumat yang kurang digemari maka saya mempunyai bukti
sebaliknya. Berikut adalah buktinya:
i. Kata Imam
al-Syafie: Apabila ada hadis sahih sedangkan aku tidak mengambilnya (sebagai
sandaran hukum) maka ketahuilah bahawa waktu itu akalku sudah pergi (jadi
gila/bodoh). (Rujuk: Tazkirat al-Huffaz, 1/362)
ii. Kata
al-Syafie lagi: Jika kamu dapati sunnah Nabi sallallah alaih wasallam
menyanggahi kata-kataku, maka berpeganglah dengannya dan tinggalkanlah
kata-kataku. (Rujuk: Siyar A'lam al-Nubala', 19/23).
iii.
Tidakkah saudara Farouk mengetahui bahawa pada zaman periwayatan hadis,
berlakunya perbezaan pandangan ulama dalam hukum-hakam fiqh. Maka wujudlah
aliran mazhab yang berbagai-bagai. Secara asasnya, setiap aliran yang
berbeza pandangan pasti akan mendedahkan kelemahan aliran yang lain. Ia sama
seperti apa yang kita lakukan sekarang. Saudara mendedahkan kelemahan saya,
begitu juga sebaliknya. Tetapi apa yang menghairankan saya, sepanjang kajian
saya tidak ada ulama yang pelbagai aliran ini menyatakan ulama aliran lain
mensahihkan hadis mengikut hawa nafsu mereka. Bahkan mereka bersepakat
memerangi golongan pemalsu hadis.
iv. Tidak
cukup dengan memerangi hadis palsu, terdapat juga hadis-hadis yang sama dari
segi maksudnya walaupun lafaznya berbeza sedangkan ia adalah riwayat
perawi-perawi yang berbeza dan ada antara mereka saling tidak mengenali antara
satu sama lain. Berikut antara contohnya
كتب النبي
صلى الله عليه وسلم في صدقة البقر، إذا بلغ البقر ثلاثين فيها تبيع من البقر
جذع أو جذعة حتى تبلغ أربعين، فإذا بلغت أربعين ففيها بقرة مسنة، فإذا كثرت البقر
ففي كل أربعين من البقر بقرة مسنة
Perawi bagi
hadis ini ialah:
عبد الله بن
مسعود: أخرجه الترمذي وابن ماجه وابن سعد وابن أبي شيبة
والبيهقي من طريق عبد السلام بن حرب الملائي (الكوفي)، وأحمد –واللفظ له- من طريق
عفان (البصري)، عن ابن مسعود، كلاهما (عبد السلام، وابن مسعود) عن
خصيف (الحراني ثم الحضرمي)، عن أبي عبيدة (الكوفي)، عن أبيه (المدني ثم الكوفي).[1]
ب. عمرو بن
حزم: أخرجه ابن حبان من طريق الحسن بن سفيان
(الخراساني) وأبو يعلى (الموصلي) وحامد بن محمد بن شعيب (البغدادي)، والحاكم
من طريق صالح بن عبد الله الحافظ، والبيهقي من طريق الفضل بن محمد بن المسيب (النيسابوري)
وأحمد بن الحسن الصوفي (البغدادي)، كلهم عن الحكم بن موسى (البغدادي)، عن
يحيى بن حمزة (الشامي)، عن سليمان بن داود (الدمشقي)، عن أبي بكر بن محمد بن
عمرو بن حزم (المدني)، عن أبيه (المدني)، عن جده (المدني) موصولا.[2]
ج. معاذ
بن جبل: أخرجه أبو داود والنسائي والبيهقي من طريق شقيق بن سلمة
(الكوفي)، وأخرجه مالك (المدني) (ومن طريقه عبد الرزاق، والشافعي، وأبو داود،
والبيهقي) من طريق طاوس بن كيسان (اليماني)، وأحمد والطبراني من طريق يحيى بن
الحكم، وأخرجه الترمذي النسائي وابن ماجه وابن حبان وأحمد والدارقطني والدارمي
وعبد الرزاق والطبراني والحاكم والبيهقي من طريق شقيق بن سلمة (الكوفي)، عن مسروق
(الكوفي)، كلهم (شقيق، وطاوس، ويحيى ومسروق) عن معاذ بن جبل (اليماني ثم الشامي).[3]
Cuba saudara
lihat perawi-perawi dalam sanad-sanad riwayat ini. Sebahagian mereka Madani
(orang Madinah), Kufi (orang Kufah), Baghdadi (orang Baghdad), Naisaburi (orang
Naisabur). Kita mengetahui pada zaman ini orang-orang Madinah dan Mekah begitu
tidak bersetuju dengan orang-orang Iraq dalam beberapa isu hukum fiqh. Tetapi
mengapa mereka boleh bersepakat dalam meriwayatkan hadis ini? Adakah logik
perawi seramai ini boleh bersepakat untuk menipu dalam penilaian hadis?
6. Saudara
Farouk bangkitkan isu perbezaan pendapat dalam akidah antara ulama ASWJ. Ya
benar, dalam isu cabang akidah sememangnya ulama ASWJ mempunyai perbezaan pendapat
dalam beberapa isu. Tetapi kami tidak berbeza pendapat dalam perkara usul
akidah. Saya tidak pasti apa relevannya beliau membawa isu ini di sini. Adakah
beliau menganggap perbezaan pendapat itu sesuatu yang menunjukkan sesuatu
mazhab tidak benar? Tidakkah saudara sendiri mengakui bahawa Quranis sendiri
mempunyai pelbagai aliran? Saya nukilkan kalam saudara tentang perbezaan aliran
Quranis:
Quranisme adalah kalimah payung (umbrella term) yang merangkumi semua
aliran yang tidak menerima otoriti ulamak dan tulisan-tulisan mereka. Quranisme
secular (secular quranism) adalah salah satu daripada aliran ini. Clair Khaw
tidak wajar diberi label ini kerana beliau seorang atheis. Lebih wajar beliau
dilabel “quranis materialis”. Quranis secular masih percaya kepada Tuhan.
(Rujukan: klik di sini)
7. Saya
masih menunggu komentar saudara Farouk tentang soalan saya mengapa beliau
mengambil riwayat yang daif ini dan menolak riwayat sahih dari Abu Bakar dan
Umar yang menyatakan mereka menerima hadis seperti riwayat Abu Bakar menerima
hadis kadar pusaka nenek dan riwayat Umar menerima hadis Taun.
C. Saudara
Farouk memberi komentar terhadap dakwaan saya tentang tafsiran riwayat Abu
Bakar:
Ya benar
tapi kita perlu bertanya kepada En. Rozaimi, bagaimana hadis ini boleh dhaif
mengikut maklumat yang Tuan sendiri menganggap sahih? Saya petik terjemahan
Tuan:
Saya bimbang saya mati sedangkan
hadis-hadis ini ada di sisi saya dalam keadaan hadis riwayat seorang lelaki
yang saya percaya dan benarkan ia sedangkan hadis itu sebenarnya bukan seperti
mana yang lelaki itu ceritakan kepadaku (lelaki itu tersilap dalam riwayat) dan
aku terlibat dalam meriwayatkannya (hadis salah).
Jadi
mengikut hadis ini, Abu Bakr sendiri was-was akan sistem sanad! Pada zaman
beliau sendiri ada hadis yang diberi ‘seal of approval’ oleh orang yang dia
percaya tapi riwayatnya salah. Jadi Abu Bakr sendiri mengakui kelemahan sistem
isnad. Kalau ini boleh berlaku pada zaman Abu Bakr sendiri (selama dua tahun
selepas peninggalan Rasulullah), bagaimana pula zaman sekarang?
Saya jawab:
1. Berkenaan
dengan lafaz saudara: "bagaimana hadis ini boleh dhaif mengikut maklumat
yang Tuan sendiri menganggap sahih?" ini izinkan saya bertanya saudara
bilakah saya sahihkan riwayat ini? Riwayat ini daif dan tidak boleh dijadikan
hujah pada saya. Saya hanya menyatakan jika ia sahih sahaja. Iaitu jika mungkin
riwayat ini sekalipun ia tidak menyokong dakwaan saudara. Ia tidak bermakna
saya mensahihkan riwayat ini.
2. Berkaitan
dakwaan saudara Abu Bakar was-was dengan sistem sanad saya jawab seperti
berikut:
i. Sepetimana
saya nyatakan tadi riwayat Abu Bakar ini daif maka ia tidak jadi hujah kepada
kami. Bahkan riwayat yang sahih menunjukkan Abu Bakar menerima hadis seperti
yang termaktub dalam sahih Bukhari. Bahkan Abu Bakar sendiri meriwayatkan
hadis-hadis dari Nabi sallallah alaih wasallam. Cuba lihat dalam Musnad Ahmad
berapa banyak riwayat yang sahih dan hasan dari Abu Bakar? Jika awak berpegang
dengan pandangan Abu Bakar dalam was-was terhadap sistem sanad mengapa tidak
awak mengikut jejak langkah beliau dalam meriwayatkan hadis Nabi sallallah
alaih wasallam?
ii. Jika
riwayat ini sahih sekalipun ia tidak langsung menunjukkan Abu Bakar was-was
dengan sistem sanad. Ia hanya menunjukkan Abu Bakar was-was dengan sebahagian
perawi sahaja. Itulah kelebihan sistem sanad. Setiap perawi disebutkan supaya
kita dapat menilai kredibilitinya.
iii. Jika
saudara bertanya apa buktinya Abu Bakar hanya was-was dengan kredibiliti
sebahagian perawi sahaja? Saya nyatakan bahawa Abu Bakar menerima riwayat
Mughirah bin Syu'bah dan Muhammad bin Maslamah dalam isu kadar pusaka untuk
nenek. (Rujuk: Musnad Ahmad, 4/225, no hadis: 18009. Hadis sahih lighairih)
D. Saudara
Farouk menjawab soalan saya mengenai sebab Abu Bakar mengumpulkan hadis dengan
katanya:
Kata En. Rozaimi:
Bahkan dalam riwayat itu sendiri menunjukkan Abu Bakar bukan Quranism iaitu beliau mengumpulkan hadis-hadis Nabi. Untuk apa mengumpulkan hadis-hadis jika tidak mahu berhujah dengannya?
Bahkan dalam riwayat itu sendiri menunjukkan Abu Bakar bukan Quranism iaitu beliau mengumpulkan hadis-hadis Nabi. Untuk apa mengumpulkan hadis-hadis jika tidak mahu berhujah dengannya?
Farouk
menjawab:
Ini soalan yang amat bernas. Saya terpaksa hanya meneka kerana maklumat yang diberi tidak menyatakan sebabnya. Jawapaannya samalah seperti saya mengumpul maklumat tentang pendapat-pendapat tentang tafsir. Jika ada pendapat yang munasabah, saya boleh terima dan mengapplikasikannya. Saya juga pernah berbuat demikian tentang hadis tapi maaf nak kata, pada pendapat saya, kebanyakan hadis tidak selari dengan Al-Quran dari segi falsafah agama (philosophy of religion).
Ini soalan yang amat bernas. Saya terpaksa hanya meneka kerana maklumat yang diberi tidak menyatakan sebabnya. Jawapaannya samalah seperti saya mengumpul maklumat tentang pendapat-pendapat tentang tafsir. Jika ada pendapat yang munasabah, saya boleh terima dan mengapplikasikannya. Saya juga pernah berbuat demikian tentang hadis tapi maaf nak kata, pada pendapat saya, kebanyakan hadis tidak selari dengan Al-Quran dari segi falsafah agama (philosophy of religion).
Saya
katakan:
1. Bagaimana
saudara boleh hanya meneka sesuatu yang besar implikasinya terhadap pegangan
agama saudara? Ini suatu yang amat bahaya. Tidakkah al-Quran yang menjadi
rujukan kita melarang mengikut sesuatu yang kita tiada ilmu tentangnya?
2. Jika anda
mahu jawapan mengapa Abu Bakar mengumpulkan hadis sepatutnya anda mengumpulkan
riwayat-riwayat tentang pendirian Abu Bakar terhadap hadis. Saya bawakan kepada
anda riwayat Abu Bakar menerima hadis Mughirah bin Syu'bah dan Muhammad bin
Maslamah, bahkan Abu Bakar menulis kepada Anas bin Malik tentang nisab zakat
ternakan. (Rujuk: Sahih Bukhari, 2/527, no. hadis: 1386) Riwayat-riwayat ini
menunjukkan pengumpulan Abu Bakar dalam riwayat itu (jika benar ia sahih)
hanyalah untuk berhujah dengannya. Bahkan bukan Abu Bakar seorang yang
mengumpulkannya, Abdullah bin Amr dan Ali bin Abi Talib juga telah menulis
hadis pada zaman Nabi sallallah alaih wasallam. Mengapa riwayat-riwayat ini
anda tidak perhatikan? Adakah anda tidak menjumpainya atau awak bersikap
selektif yang hanya menerima riwayat yang sesuai dengan kehendak anda sahaja?
3. Berkenaan
dengan dakwaan anda bahawa kebanyakan hadis-hadis yang bercanggah dengan
al-Quran dari segi falsafah agama, saya jawab seperti berikut:
i. Ulama
hadis mensyaratkan bahawa antara syarat hadis sahih ialah ia tidak bercanggah
dengan dalil yang lebih kuat darinya. Jika ia bercanggah maka ia dianggap syaz
dan munkar.
ii. Lafaz
anda: "Kebanyakan hadis..." menunjukkan tidak semua hadis bercanggah
dengan al-Quran. Adakah anda menerima hadis-hadis yang tidak bercanggah dengan
al-Quran? Jika anda tetap tidak menerimanya, saya perlu tanya anda: Mengapa
anda menolak semua jika yang bercanggah hanya sebahagian besar? Tidakkah itu
kezaliman yang dilarang dalam al-Quran?
iii.
Kebanyakan hadis sahih yang zahirnya bercanggah dengan al-Quran telah pun
dijawab oleh ulama hadis. Ia hanya percanggahan zahir sahaja yang mana ia boleh
diharmonikan, bukan percanggahan hakiki.
E. Saudara
Farouk berhujah tentang kalam Umar: "Cukulah bagi kita kitab Allah"
dengan berkata:
Kata En. Rozaimi:
Umar memang pernah berkata: “Cukuplah bagi kita kitab Allah”. Tetapi ini bukan bermakna kita perlu meninggalkan hadis. Bahkan saya telah jelaskan dalam poin sebelum ini bahawa Umar menerima pakai hadis-hadis Nabi. Sebenarnya pegangan dengan al-Quran lah menyebabkan kita menerima hadis. Buktinya:
Umar memang pernah berkata: “Cukuplah bagi kita kitab Allah”. Tetapi ini bukan bermakna kita perlu meninggalkan hadis. Bahkan saya telah jelaskan dalam poin sebelum ini bahawa Umar menerima pakai hadis-hadis Nabi. Sebenarnya pegangan dengan al-Quran lah menyebabkan kita menerima hadis. Buktinya:
Saudara
Farouk menjawab:
Ada dua masalah dengan hujah ini sebenarnya:
1. Ini adalah interpretasi En. Rozaimi. Umar tidak diriwayatkan untuk berkata yang kecukupan kitab Allah adalah dalam bab akidah, fiqh dan sebagainya. Dalam riwayat ini dari segi perkataan, dia hanya berkata ‘cukup bagi kita kitab Allah’. Dengan mudah Umar boleh berkata ‘tapi ia perlu dijelaskan oleh sunnah Nabi’ tapi dia tidak berkata demikian? Kenapa? Sebabnya akan juga jadi spekulasi kita.
Ada dua masalah dengan hujah ini sebenarnya:
1. Ini adalah interpretasi En. Rozaimi. Umar tidak diriwayatkan untuk berkata yang kecukupan kitab Allah adalah dalam bab akidah, fiqh dan sebagainya. Dalam riwayat ini dari segi perkataan, dia hanya berkata ‘cukup bagi kita kitab Allah’. Dengan mudah Umar boleh berkata ‘tapi ia perlu dijelaskan oleh sunnah Nabi’ tapi dia tidak berkata demikian? Kenapa? Sebabnya akan juga jadi spekulasi kita.
2. Mungkin
ini juga menunjukkan kelemahan dalam korpus maklumat. Fenomena hadis yang
bercanggah antara satu sama lain bukan perkara baru. Perbalahan di antara ASWJ
biasa dengan mazhab Salafee menjadi contoh yang baik untuk mempamerkan
perbezaan-perbezaan ini.
Saya
katakan:
1. Saya
dapati saudara Farouk tidak menjawab persoalan saya. Saya menyatakan Umar
menyatakan cukup bagi kita kitab Allah. Lihatlah pegangan Umar untuk mengetahui
maksud kalam Umar ini. Mengapa harus berspekulasi sedangkan pendirian Umar
dalam hadis kita boleh rujuk kepada riwayat-riwayat lain dari Umar. Umar tidak
menjadi Quranis seperti anda. Bahkan Umar menerima hadis Nabi sallallah alaih
wasallam. Contohnya hadis dalam bab Taun. Bahkan Umar pernah memukul seorang
lelaki yang bertanya beliau dalam masalah tawaf orang haid sedangkan dia sudah
tahu ada hadis dalam bab itu. Umar memukulnya kerana beliau tidak mahu menerima
hadis Nabi sallallah alaih wasallam. (Rujuk: Ibn Rejab, Fath al-Bari, 1/535)
2. Saya
tidak faham mengapa isu ASWJ biasa dan salafee dibangkitkan di sini.
E. Saudara
Farouk berhujah lagi:
Kata En. Rozaimi:
(Bersambung dari poin di atas):
Maksudnya: Tidak sepatutnya bagi seorang mukmin lelaki dan wanita apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu (hukuman) lalu mereka ada pilihan lain lagi dalam urusan mereka. [al-Ahzab: 36]
(Bersambung dari poin di atas):
Maksudnya: Tidak sepatutnya bagi seorang mukmin lelaki dan wanita apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu (hukuman) lalu mereka ada pilihan lain lagi dalam urusan mereka. [al-Ahzab: 36]
Farouk
menjawab:
Maaf tapi ini bukan keputusan Rasulullah. Yang memutuskan maklumat ini sahih dan interpretasi maklumat sendiri adalah dari ulamak, bukannya Rasulullah. Di antara ulamak-ulamak ASWJ sendiri ada percanggahan pendapat walaupun pada peringkat usul. Sebab itulah ada pelbagai mazhab yang bercanggah dari segi hukum-hakamnya.
Maaf tapi ini bukan keputusan Rasulullah. Yang memutuskan maklumat ini sahih dan interpretasi maklumat sendiri adalah dari ulamak, bukannya Rasulullah. Di antara ulamak-ulamak ASWJ sendiri ada percanggahan pendapat walaupun pada peringkat usul. Sebab itulah ada pelbagai mazhab yang bercanggah dari segi hukum-hakamnya.
Saya
katakan:
1. Bagaimana
anda boleh katakan ia keputusan ulama? Terdapat banyak hadis yang ulama
bersepakat tentangnya dengan mengatakan ia adalah hukuman Rasulullah sallallah
alaih wasallam. Adakah anda mahu menolaknya?
2.
Interpretasi yang berbeza terhadap satu-satu hadis tidak menunjukkan hadis itu
tidak sahih. Bezakan antara tafsiran dan hadis wahai saudara.
3. Perbezaan
ulama terhadap usul hanya pada perkara yang melibatkan ijtihad. Tetapi mereka
tidak pernah berbeza pendapat tentang kehujahan al-Quran dan hadis. Anda
seolah-olah menggunakan poin bukan pada tempatnya yang sesuai.
F. Saudara
Farouk berhujah lagi tentang al-'Atf:
Kata En. Rozaimi:
Saya memahami hukuman Allah di dalam al-Quran. Justeru, di mana pula hukuman Nabi jika bukan di dalam hadis? Jika anda kata hukuman Nabi juga di dalam al-Quran bukan hadis, saya berhak untuk bertanya jika ia sama mengapa Allah dan rasul diulang dalam satu ayat dalam bentuk al-‘Atf (العطف) dan kaedah menyatakan al-‘Atf menunjukkan perbezaan? Ayat ini menunjukkan kehujahan hadis
Saya memahami hukuman Allah di dalam al-Quran. Justeru, di mana pula hukuman Nabi jika bukan di dalam hadis? Jika anda kata hukuman Nabi juga di dalam al-Quran bukan hadis, saya berhak untuk bertanya jika ia sama mengapa Allah dan rasul diulang dalam satu ayat dalam bentuk al-‘Atf (العطف) dan kaedah menyatakan al-‘Atf menunjukkan perbezaan? Ayat ini menunjukkan kehujahan hadis
Farouk
menjawab:
Satu lagi soalan yang bernas daripada En. Rozaimi. Mari kita terima hujah ‘waw atf’ yang menunjukkan yang ‘Allah wa rasuluh’ (Allah dan rasulNya) dalah berbeza. Memang berbeza tapi berbeza dari segi apa? Allah bukan Rasul dan Rasul bukan Allah. Itu satu perbezaan tapi modality maklumat pun berbeza juga. Allah menyampai dari ‘atas’ ke ‘bawah’ (tanzeel bermaksud penurunan) iaitu arah vertical dan Rasul menyampai dari manusia kepada manusia (tabligh bermaksud penyampaian) iaitu arah horizontal. Jadi frasa ‘Allah wa rasuluh’ boleh juga merujuk kepada kelainan dari segi modality maklumat. Kenapa pula kita mesti memahaminya sebagai sumber berlainan saja? Ini hanya interpretasi Tuan.
Satu lagi soalan yang bernas daripada En. Rozaimi. Mari kita terima hujah ‘waw atf’ yang menunjukkan yang ‘Allah wa rasuluh’ (Allah dan rasulNya) dalah berbeza. Memang berbeza tapi berbeza dari segi apa? Allah bukan Rasul dan Rasul bukan Allah. Itu satu perbezaan tapi modality maklumat pun berbeza juga. Allah menyampai dari ‘atas’ ke ‘bawah’ (tanzeel bermaksud penurunan) iaitu arah vertical dan Rasul menyampai dari manusia kepada manusia (tabligh bermaksud penyampaian) iaitu arah horizontal. Jadi frasa ‘Allah wa rasuluh’ boleh juga merujuk kepada kelainan dari segi modality maklumat. Kenapa pula kita mesti memahaminya sebagai sumber berlainan saja? Ini hanya interpretasi Tuan.
Saya juga
merujuk kepada Al-Anfal ayat 20 yang berbunyi : Taatlah Allah dan taatlah Rasul
dan jangan berpaling dariNYA (wa laa tawallau anHU) apabila kamu MENDENGAR (wa
antum tasma’oon).
Jadi
walaupun Allah dan Rasul dibezakan dalam ayat di atas, tindakan berpaling itu
adalah berpaling daripada seorang saja. Adakah ini bermakna yang Allah itu
Rasul? Sudah tentu tidak. Tapi Allah dan Rasul sumbernya satu saja iaitu sumber
yang didengari. Apakah yang didengari? Sila lihat Al-Haqqah ayat 40-47.
Saya
katakan:
1. Apa yang
zahir bagi saya saudara Farouk tidak menguasai bahasa Arab dengan baik. Maafkan
saya jika saya tersalah sangka. Mengapa saya katakan demikian? Kerana al-'Atf sememangnya
memberi makna berbeza antara dua perkara yang diikat dengan huruf al-'Atf. Ini
adalah kaedah bahasa arab. Saudara Farouk seolah-olah ingin katakan perbezaan
antara Allah dan Rasul memang ada iaitu perbazaan zat dan modality (horizontal
dan vertical). Sebenarnya yang berbeza dalam ayat itu bukan Allah berbeza
dari rasul sahaja kerana itu perbezaan zat sememangnya diketahui oleh Quraisy
walaupun mereka tidak beriman dengan al-Quran. Tidak perlu ayat al-Quran untuk
menyatakan Allah berbeza dari Rasul kerana semua orang di Mekah dan Madinah
mengetahuinya. Perkataan yang diikat dengan waw al-'Atf adalah
hukuman. Perhatikan ayat itu betul-betul:
إذا قضى الله
ورسوله
Maksudnya:
Apabila Allah dan Rasul-Nya membuat hukuman...
Ini bermakna
yang ingin dibezakan dalam ayat ini ialah hukuman Allah dan Rasul-Nya bukan zat
Allah dan zat rasul kerana perbezaan zat keduanya telah pun diketahui sebelum
ayat ini turun lagi. Bahkan Quraisy juga tahu walaupun mereka tidak beriman
dengan al-Quran. Maka hujah saudara tentang modality horizontal dan
vertical itu tidak terpakai di sini kerana ayat jelas menunjukkan
perbezaan antara HUKUMAN Allah dan rasul-Nya.
2. Saudara
Farouk membawa ayat 20 dalam surah al-Anfal:
يا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلا تَوَلَّوْا عَنْهُ
وَأَنْتُمْ تَسْمَعُون
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan rasul-Nya dan
jangan kamu berpaling darinya sedangkan kamu mendengar.
Waw
al-'Atf mengikat antara taat kepada Allah dan taat kepada Rasul. Maka
taat kepada Allah berbeza bentuknya dengan taat kepada Rasul. Justeru jika taat
kepada Allah ialah dengan beriman dengan al-Quran bagaimana pula ingin taat
kepada Rasul jika bukan dengan hadis?
3. Saudara
Farouk bangkitkan isu: "Jangan kamu berpaling darinya". Saya katakan
larangan berpaling itu ialah berpaling dari Rasul. Ini kerana kaedah bahasa
arab menyatakan dhamir 'anhu (ganti diri) akan kembali kepada
kata nama sebelumnya yang paling hampir. Maka Allah melarang kaum muslimin
berpaling dari Rasul sedangkan mereka mendengar al-Quran. Bagaimana berpaling
dari Rasul sedang mereka mendengar al-Quran? Ia menunjukkan larangan ini ialah
jangan berpaling dari arahan Nabi sallallah alaih wasallam selepas mendengar
ayat al-Quran yang memerintahkan kamu mentaati rasul. Jangan jadi seperti orang
kafir yang mendengar al-Quran tetapi tetap tidak mentaati rasul. Lihat ayat 21
dalam surah al-Anfal.
4. Izinkan
saya bertanya saudara Farouk tentang kiblat pertama orang-orang Islam. Di dalam
al-Quran terdapat ayat yang menyuruh orang Islam menghadap ke Kaabah dan ayat
ini menyatakan kiblat yang lama telah terbatal. Saya semak di dalam al-Quran
tidak ada satu ayat pun yang mengandungi perintah menghadap ke kiblat yang
pertama. Yang ada cuma ayat yang membatalkan kiblat pertama sahaja. Maka dari
mana orang-orang Islam sebelum itu dapat perintah menghadap kiblat pertama jika
bukan dari hadis?
G. Saudara
Farouk berhujah:
Sikap
‘selektif’ itu memang naluri manusia yang cuba menginterpretasi sesuatu
fenomena. Ini adalah kerana kita telah melepasi zaman itu dan kita tidak akan
tahu situasi yang sebenarnya. Dunia Rasululah dan sahabat-sahabatnya telah
berlalu dan kita tidak akan tahu situasi yang sebenarnya kecuali dengan
maklumat yang objektif yang itu pun kita terpaksa menilai.
Apakah
maklumat objektif itu? Tentunya Al-Quran yang diperakui dan diangkat umat Islam
dan dijamin Allah sebagai dilindungi (Al-Hijr ayat 9). Maklumat lain terpaksa
dipilih oleh manusia yang subjektif. Bukankah itu sikap yang selektif juga?
Bolehkah kita fahami sebab-sebab Al-Bukhari menolak hadis yang dia tidak
mengaku sahih? Pada saya tak boleh. Sebenarnya inilah permasalah korpus hadis –
element of subjectivity and selectivity manusia.
Saya
katakan:
1. Selektif
itu naluri manusia? Anda seolah-olah ingin menyamakan antara selektif dalam
mengumpul data dan selektif dalam membuat intrepetasi. Apa yang saya bangkitkan
ialah sikap selektif anda dalam mengumpul data sebelum melakukan rumusan. Saya
tidak pasti ada atau tidak universiti yang meluluskan thesis pelajar yang
menyembunyikan data kerana dalam kajian ilmiah sepatutnya semua data dan bukti
dikaji satu persatu. Kemudian barulah rumusan dibuat. Jika dari awal lagi
sebahagian data tidak dipedulikan maka bagaimana kia ingin capai natijah yang
tepat?
2.
Selektifnya anda apabila anda membawakan riwayat Abu Bakar dan Umar yang
zahirnya seperti menyokong anda sedangkan anda langsung tidak menyentuh tentang
riwayat mereka mengiktiraf sunnah Nabi sallallah alaih wasallam.
H. Saudara
Farouk berkata:
Kata En. Rozaimi:
Maksudnya: Demi Tuhanmu, mereka tidak akan beriman sehingga mereka menjadikanmu pemutus dalam perselisihan mereka kemudian mereka tidak merasa bebanan terhadap keputusanmu dan mereka benar-benar menerimanya. [al-Nisa’: 65]
Maksudnya: Demi Tuhanmu, mereka tidak akan beriman sehingga mereka menjadikanmu pemutus dalam perselisihan mereka kemudian mereka tidak merasa bebanan terhadap keputusanmu dan mereka benar-benar menerimanya. [al-Nisa’: 65]
Ayat di atas mewajibkan kita
menerima hukuman Nabi. Saya katakan tidak ada cara lain untuk mengetahui
hukuman Nabi kecuali jalan riwayat. Inila hadis. Justeru, saya benar-benar ragu
adakah benar saudara Farouk mengikut petunjuk al-Quran.
Farouk menjawab:
Maaf, tapi Tuan hanya memetik satu ayat di sini justeru itu hanya bersikap selektif. Tuan perlu tengok juga apa kata Al-Quran dalam isu bagaimana Rasulullah menghukum:
Maaf, tapi Tuan hanya memetik satu ayat di sini justeru itu hanya bersikap selektif. Tuan perlu tengok juga apa kata Al-Quran dalam isu bagaimana Rasulullah menghukum:
Sesungguhnya
Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa
kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah
telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi
pembela bagi orang-orang yang khianat. (4/105)
Dan Kami
turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran,
untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya
dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara
mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu),
dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng)
dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran….(5/48)
Saya
katakan:
1. Tuduhan
anda bahawa saya bersikap selektif bagi saya tidak tepat. Ini kerana saya juga
beriman dengan ayat-ayat yang awak nukilkan. Saya tidak pernah menolak
kehujahan al-Quran. Sebaliknya andalah yang bersifat selektif kerana anda hanya
terima ayat kehujahan al-Quran sedangkan ayat tentang kehujahan hadis anda
tolak.
2. Memang
al-Quran suruh berhukum dengan al-Quran. Tidakkah tuan tahu bahawa al-Quran
juga suruh kita taati rasul? Maka berpegang dengan hukum rasul bererti
berpegang dengan al-Quran juga.
3. Firman
Allah:
وَأَنزَلْنَا
إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ
يَتَفَكَّرُون
Maksudnya:
Dan Kami turunkan kepada kamu al-Zikr (wahyu) supaya kamu
dapat menjelaskan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka
mudah-mudahan mereka berfikir. (al-Nahl: 44)
Ayat ini
menyatakan tugas Rasul bukan sekadar menyampaikan (tabligh) tetapi juga
menerangkan. Di mana penerangan Rasul jika bukan di dalam hadis? Jika anda
katakan hadis tidak terpakai ini bermakna kita sudah tidak patuh dengan ayat
ini iaitu mengetahui penerangan Rasul terhadap al-Quran.
4. Maafkan
saya jika terpaksa menyatakan bahawa berpaling dari petunjuk hadis menjadikan anda
tidak memakan apa-apa bangkai termasuk ikan dan haiwan laut yang lain. Ini
kerana al-Quran mengharamkan bangkai. Bangkai pada orang arab merujuk kepada
haiwan yang mati tanpa disembelih. Hanya hadis yang mengecualikan haiwan laut
dari kewajipan sembelih. Maka saya terpaksa sanjungi usaha keras anda
menyembelih ikan dan haiwan laut yang lain.
[1] الترمذي، السنن، كتاب
الزكاة، باب ما جاء في زكاة البقر، ج3، ص19؛ وابن ماجه، السنن، كتاب
الزكاة، باب صدقة البقر، ج1، ص577؛ وأحمد، المسند، ج1،
ص411؛ وابن أبي شيبة، المصنف، كتاب الزكاة، باب في صدقة
البقر، ما هي؟، ج2، ص362؛ والبيهقي، السنن الكبرى، كتاب
الزكاة، باب كيف فرض صدقة البقر، ج4، ص99؛ قال شعيب
الأرناؤوط: "حسن لغيره، وهذا إسناد ضعيف لانقطاعه. قوله: "حدثنا
ابن مسعود، وابن سعد صوابُه حدثنا مسعود بن سعد. انظر: أحمد بن حنبل، المسند،
ج1، ص411. وقال الترمذي: "حديث حسن".
[2] الحاكم، المستدرك، كتاب
الزكاة، ج1، ص552؛ وابن حبان، الصحيح، كتاب التاريخ، باب
كتب النبي r، ج14، ص501؛ والبيهقي، السنن
الكبرى، باب كيف فرض الصدقة، ج4، ص89، وباب كيف فرض صدقة البقر، ج4، ص99.
[3] أبو داود، السنن، كتاب الزكاة، باب في زكاة السائمة، ج2، ص13؛ والترمذي، السنن، ج3، ص20؛
والنسائي، المجتبى، كتاب الزكاة، باب زكاة البقر، ج5، ص25، 26؛ ج2، ص13؛ وابن
ماجه، السنن، كتاب الزكاة، باب صدقة البقر، ج1، ص576؛ وأحمد، المسند، ج5،
ص240، وج36، ص338، 444؛ ومالك، الموطأ، كتاب الزكاة، باب ما جاء في صدقة البقر، ج2، ص364؛ والشافعي، المسند، كتاب الزكاة،
ص90؛ وعبد الرزاق، المصنف، كتاب الزكاة، باب البقر، ج4، ص20، 21؛ وابن أبي شيبة، المصنف، كتاب الزكاة،
باب في صدقة البقر، ما هي؟، ج2، ص323؛ والدارمي، السنن، كتاب الزكاة،
باب زكاة البقر، ج1، ص465؛ وأبو داود، المراسيل، كتاب الزكاة، باب في صدقة الماشية، ص112؛ والدارقطني، السنن، كتاب الزكاة،
باب ليس في الخضروات صدقة، ج1، ص102؛ وأبو القاسم
سليمان بن أحمد الطبراني، المعجم الكبير، (تحقيق
حمدي بن عبد المجيد السلفي، الموصل: مكتبة العلوم والحكم، ط2، 1404ﻫ/1983م) ج20، ص129، ص170؛ والحاكم، المستدرك، كتاب الزكاة،
ج1، ص555؛ وابن حبان، الصحيح، كتاب السير، باب الذمي والجزية، ج11، ص244؛ والبيهقي، السنن الكبرى، كتاب الزكاة،
باب كيف فرض صدقة البقر، ج4، ص98، وكتاب الجزية، باب كم الجزية، ج9، ص193.
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete