Saya telah membaca bahagian 2 dan 3 (rujuk di sini:http://quranisnusantara.wordpress.com/2014/04/17/dialog-bersama-encik-rozaimi-bhg-2/, http://quranisnusantara.wordpress.com/2014/04/17/dialog-bersama-encik-rozaimi-bhg-3/) dari hujah balas saudara Farouk A Peru. Sekali lagi saya sedih kerana setiap persoalan lalu belum dirungkai tetapi beliau menimbulkan persoalan lain pula. Sebelum saya menjawab setiap persoalan beliau, saya ingin kongsikan tulisan rakan saya ustaz Anwar Ridhuan (calon PHD Hadis, World Islamic Science and Education University, Jordan)
- 1. Pendahuluan
1.1 Saya telah dihubungi oleh seseorang, yang saya anggap lebih berkemampuan dari saya, untuk menyemak tulisan beliau terhadap Sdr Farouk dalam polimik Dr Kasim Ahmad dan kelompok yang mereka dakwa sebagai Quraniyyun. Atas penghormatan saya terhadap beliau, maka saya gantikan dengan tulisan saya agar dapat bergandingan dengan tulisan beliau.
1.2 Saya telah mendapatkan kedua-dua tulisan Sdr Farouk (respon kepada Ust Hasrizal dan Ustaz Rozaimi) dan saya dapati artikel ini tidak lebih dari membincangkan isu-isu sampingan dan terpencil. Perbincangan sebegini tidak akan menghasilkan natijah kerana hanya berkisar sekitar soal keraguan melalui teks-teks terpencil yang tidak autentik serta argument logic yang tidak sampai kepada asas penolakan hadith itu sendiri. Minat saya semakin kurang untuk turut serta apabila isu-isu yang dikemukakan boleh dianggap isu kitar semula disulami dengan disiplin kajian yang sukar untuk saya mempelbagaikan sudut pandang saya (tanpa niat merendahkan kebolehan Sdr Farouk).
1.3 Apa pun saya gagahi juga untuk memberikan pandangan yang ala kadar. Ulasan saya difokuskan kepada beberapa asas berikut :
- Saya tidak akan membincangkan isu spesifik kecuali sebagai contoh kerana perbincangan isu tersebut berkisar menimbulkan keraguan dan tidak memfokuskan kepada apa-apa objektif khusus.
- Saya akan memberikan komen sekitar disiplin atau metodologi yang saya anggap benar tetapi masih boleh berlaku kesilapan (jika dibuktikan). Kita boleh berbeza pendapat tetapi mestilah melalui metodologi yang diterima umum. Jika tidak tidak perlu perbincangan dilakukan.
- Komen saya dibuat secara lontaran idea bebas, tanpa memberikan data secara terperinci. Cuma lontaran idea saya akan dibuat dibawah tajuk-tajuk khusus berkaitan disiplin atau metodologi.
- 2. Quraniyyun : Tolak Hadith atau Kritik Hadith?
2.1 Isu penerimaan hadith boleh dikategorikan dengan dua istilah berbeza iaitu penolakan (inkar) dan kritikan (naqd). Kritikan hadith biasanya mempunyai disiplin yang jelas walaupun kadangkala sukar difahami orang yang tidak mempunyai kemahiran dalam disiplin tersebut. Penolakan hadith pula biasanya berasaskan kes-kes terpencil dan disiplin yang tidak konsisten sebagai alasan untuk generalisasikan bahawa hadith tidak autentik.Mengkritik sesebuah hadith adalah exercise untuk memastikan hadith terpelihara manakala menolak hadith bertujuan membuangnya dari disiplin pengajian. Dua pendekatan yang berbeza tetapi sering dimanipulasi.
2.2 Menggunakan hujah golongan yang mengkritik (naqd ; membersih) hadith untuk menyokong pendapat menolak (inkar ; membuang keseluruhan) hadith adalah kesalahan fatal dalam disiplin. Sebagai contoh Abu Bakar dikatakan membakar koleksi hadith dan was-was dengan sistem sanad (tafsiran Sdr Farouk yang berasaskan sumber yang tidak autentik) sedangkan Abu Bakar yang sama juga masyhur menerima hadith sebagai hujjah (cth : rujuk riwayat berkaitan mirath nenek). Begitu juga Umar yang digambarkan seolah-oleh anti hadith sedangkan beliau dalam banyak keadaan menarik kembali pendapatnya apabila menemui riwayat yang sebaliknya (cth : rujuk riwayat pewarisan perempuan dari diyat dan riwayat Abd Rahman bi Auf dalam isu taun). Ini belum pun masuk kepada disiplin penerimaan riwayat. Ini kerana semua hadith berkaitan membakar hadith atau koleksinya adalah daif kecuali hadith Abi Said al-Khudri (riwayat Muslim) yang dianggap sahih oleh kebanyakan ahli ilmu. Itu pun riwayat ini jika dibaca dalam teks asal secara konteksnya tidak bermaksud menafikan kepentingan hadith dalam disiplin pensyariatan.
2.3 Saya tidak bersama dengan sikap generalisasi sesuatu golongan dengan label tertentu. Saya masih berpendapat tidak semua Quraniyyun menolak hadith tetapi pendekatan dan pengakuan Sdr Farouk secara spesifik sememangnya menolak (bahasa negatifnya anti) hadith sebagai sumber syariat .
- 3. Disiplin Dalil dan Dalalah
3.1 Disiplin yang telah diterima sejagat bahawa kekuatan hujjah bergantung kepada kekuatan (keabsahan) dalil atau teks dan kekuatan (ketepatan) interpretasi atau dalalah. Isu seperti pembakaran hadith yang sering dijaja seolah-olah ianya disembunyikan dari umat Islam cuba diheret untuk tunduk kepada kecenderungan Sdr Farouk menafikan hadith sebagai sumber. Sebaiknya Sdr Farouk memastikan ketulinan sumber tersebut terlebih dahulu sebelum sebarang interpretasi diberikan (rujuk Surah al-Hujurat 49 : 6). Saya agak hairan kerana golongan yang menolak hadith atas alasan ianya tidak tulen boleh menerima hadith yang dikategorikan sebagai tidak tulin oleh golongan yang mengiktiraf hadith sahih sebagai sesuatu yang absah. Untuk itu, saya mencadangkan supaya Sdr Farouk mengumpulkan riwayat tersebut dan menolak pandangan ahli ilmu yang mendaifkan riwayat tersebut. Walaupun Sdr Farouk tidak ‘beriman’ dengan asas keabsahan hadith, sekurang-kurangnya jadikanlah ianya sebagai ‘argument by currency’. Saya risau matawang yang digunakan oleh Sdr Farouk tidak dikeluarkan oleh Bank Negara tetapi matawang palsu. Jika riwayat pembakaran hadith atau sekurang-kurangnya pemusnahan hadith dipastikan benar-benar autentikdi zaman khulafa’ al-rasyidin barulah kita boleh berbincang dalalah dan interpretasinya.
3.2 Saya sebolehnya tidak mahu masuk ke langkah kedua dengan membincangkan dalalah atau interpretasi secara terperinci. Cuma secara konsepnya kekuatan interpretasi terletak pada maksud sebenar teks dan bukan kefahaman pembaca. Maklumat seperti konteks dan teks-teks yang kelihatan bercanggah tidak boleh sembunyikan untuk memahami teks tersebut. Begitu juga rujukan sumber dan teks asal boleh mengelakkan salah interpretasi. Janganlah teks asal berbahasa Arab, diambil melalui terjemahan Bahasa Inggeris dan dihuraikan dalam Bahasa Melayu. Pengkaji hadith (wahabi?) yang sering dirujuk sebagai kononnya literal (zahiri) tidak ‘sehebat kita’ yang mentafsirkan teks sewenang-wenangnya tanpa mengambilkira asas-asas penting dalam pemahaman teks. Sebagai contoh cermatnya ahli ilmu, hadith Abi Said al-Khudri (riwayat Muslim dan selainnya) tentang larangan penulisan hadith boleh sahaja difahami sebagai larangan secara mutlak. Tetapi sangat hairan apabila tradisi ilmu Islam secara MUTAWATIR tidak mengharamkan penulisan hadith hatta di zaman Rasulullah (rujuk riwayat abu hurayrah - al-Tirmizi, Abdullah bin Amr - Abi Dawud dan al-sahifah al-sadiqah- Taqyid Ilm oleh al-Khatib al-Baghdadi) mahupun zaman sahabat. Saya sekali lagi hairan apabila aliran yang hanya menerima mutawatir boleh menolak tradisi ini dan menerima pandangan yang jauh dari asas apatah lagi untuk dikategorikan sebagai ahad. Saya tidak berhajat untuk memanjangkan topic interpritasi terhadap hadith ini kerana ia tidak menyelesaikan isu pokok.
3.3 Saya bukanlah orang yang bersama dengan penutupan pintu ijtihad dan berpada dengan bertaqlid. Tetapi saya boleh memahami penekanan terhadap perkara tersebut. Kemampuan manusia dalam menguasai kepelbagaian sumber dan interpretasi sangat terhad memungkinkan kebarangkalian berlakunya kesilapan apatah lagi kesalahan. Bayangkan lah jika capaian teks atau dalil bukan sahaja terhad bahkan dilakukan secara selektif nafsu, bagaimanakah kebenaran boleh dihasilkan? Itu belum lagi melihat kepada kecelaruan metodologi. Pintu ijtihad tdak sepatutnya ditutup tetapi ia bukan lesen berhujah sesedap rasa.
- 4. Selektif : Naluri Nafsu dan Naluri Kebenaran
4.1 Sdr Farouk dalam tulisannya mempertahankan tindakannya yang selektif terhadap teks yang menyokong dan mengabaikan teks-teks yang lain. Lalu diheret Imam al-Bukhari kononnya turut selektif dalam pemilihan hadith. Ianya sebagai justifikasi kononnya metodologi selektif Sdr Farouk sama dengan metodologi selektif Imam al-Bukhari.
4.2 Ya. Semua orang boleh bersetuju bahawa sikap selektif adalah naluri manusia. Cuma Sdr Farouk sepatutnya dapat membezakan naluri fujur dan naluri taqwa (Surah al-Syams 91: 7-8). Naluri fujur sememangnya selektif kepentingan dan bersifat ananiyah (Surah al-Baqarah 2: 44) sedangkan didikan Allah kepada kita Quraniyyun adalah supaya berlaku adil (rujuk surah al-Maidah 5 : 8) dan selektif terhadap yang terbaik (Surah al-Zumar 39 :18). Dalam konteks ini, naluri selektif untuk Quraniyyun sepatutnya memilih kesemua hujjah (teks) yang autentiksamada menyokong atau tidak kemudian dipilih pula tafsiran yang paling baik dan tepat.
4.3 Dalam konteks perbandingan dengan Imam al-Bukhari, selektifnya Imam Bukhari adalah memilih hadith yang sahih dengan disiplin yang jelas sesuai dengan kehendak al-Quran. Manakala selektifnya Sdr Farouk adalah memilih hadith-hadith yang tidak sahih untuk dihambakan dengan meninggalkan hadith-hadith yang jauh lebih autentik atas alasan itu adalah naluri manusia. Saya cadangkan agar sekurang-kurangnya Imam al-Bukhari dimasukkan dalam golongan Quraniyyun atas usahanya mengikut kehendak al-Quran.
- 5. Kesimpulan
5.1 Saya menganggap Sdr Farouk seorang Muslim yang baik. Saya amat yakin dihati kecil Sdr Farouk dan rakan-rakan sebenarnya berusaha membersihkan agama dari perkara yang dianggap mengotorkan agama (pada pandangan beliau). Saya amat yakin tentang itu. Cuma Ibn Mas’ud pernah mengingatkan bahawa “Betapa banyak golongan yang berkehendakkan kebaikan tetapi tidak memperolehinya “ (Al-Darimi).
5.2 Saya sangat berharap agar minat Sdr Farouk terhadap agama tidak dipadamkan bahkan saya mendoakan supaya Allah swt menambahkan minat tersebut. Cuma saya berharap dan merayu agar diluaskan pembacaan agar tidak terhad kepada sumber yang menyokong. Ini kerana isu-isu yang dibawa bukanlah isu baru sebaliknya telah dikupas lebih dari seribu tahun dahulu. Atas alasan ini juga kebanyakan ilmuan kita tidak berminat memberikan respon kepada tulisan Sdr Farouk.
No comments:
Post a Comment