Jawapan Kepada Pandangan Farouk A Peru
Saya telah membaca artikel balas yang
ditulis oleh Farouk A Peru sebagai menjawab ustaz Hasrizal dalam artikelnya.
Tetapi saya
beranggapan bahawa artikel yang ditulis oleh Farouk A Peru ini perlu dinilai
semula. Berikut adalah kritikan saya kepada Farouk A Peru dalam artikel beliau:
Kata Farouk A Peru:
Khalifah-khalifah Ar-Rashideen sendiri, Abu Bakr dan Umar
Al-Khattab membakar koleksi hadis. Umar menyuarakan pendapat yang hadis-hadis
dapat melekakan umat Islam dari mengkaji kitab Allah. Dia menyatakan prinsip
“hasbuna kitab Allah” (cukup bagi kami kitab Allah).
Saya jawab:
1. Saya tidak berjumpa riwayat Umar membakar
kitab hadis. Jika ada saya minta jasa baik saudara Farouk untuk nyatakan sumbernya.
2. Berkaitan isu Abu Bakar membakar kitab
hadisnya saya jawab seperti berikut:
i.
Jika saudara Farouk menyatakan riwayat ini untuk
berhujah bahawa hadis bukan sumber rujukan dalam perundangan Islam maka saya
menjadi keliru. Bukankah anda sendiri tidak mengiktiraf riwayat hadis, bagaimana
mungkin anda mengiktiraf kisah yang diriwayatkan oleh ulama hadis dengan
salasilah perawi-perawi hadis?
ii.
Jika beliau nyatakan riwayat ini semata-mata mahu
membuktikan hadis bukan hujah menggunakan dalil yang diterima oleh pihak yang
menerima hadis, ia juga tersasar jauh. Ini kerana riwayat ini tidak sahih dari
segi sanadnya. Saya bawakan riwayatnya supaya kita sama-sama semak:
قال الحاكم: فقال حدثني بكر بن محمد الصيرفي بمرو أنا
محمد بن موسى البربري أنا المفضل بن غسان أنا علي بن صالح أنا موسى بن عبد الله بن
حسن بن حسن عن إبراهيم بن عمر بن عبيد الله التيمي حدثني القاسم بن محمد قالت
عائشة: "جمع أبي الحديث عن رسول الله - صلى الله عليه وسلم - وكانت خمسمائة
حديث فبات ليلته يتقلب كثيرا، قالت: فغمني، فقلت: أتتقلب لشكوى أو لشيء بلغك فلما
أصبح قال: أي بنية هلمي الأحاديث التي عندك فجئته بها فدعا بنار فحرقها، فقلت: لم
أحرقتها؟، قال: خشيت أن أموت وهي عندي فيكون فيها أحاديث عن رجل قد ائتمنته ووثقت
ولم يكن كما حدثني فأكون قد نقلت ذاك».
Maksudnya: Kata Aisyah: Ayahku mengumpulkan
hadis-hadis Nabi sallallah alaih wasallam. Bilangannya 500 hadis. Suatu malam
beliau berpusing-pusing di tempat tidurnya sehingga dia merisaukan saya. Tanya
saya kepadanya: Adakah ayah tidak lena kerana ada aduan (kes-kes mahkamah) atau sesuatu
(pertanyaan tentang hukum) yang sampai kepadamu? Apabila sampai waktu pagi
beliau berkata: Wahai anakku, bawakan hadis-hadis yang berada padamu. Lalu saya
bawakan. Kemudian beliau minta api lantas membakarnya seraya berkata: Saya
bimbang saya mati sedangkan hadis-hadis ini ada di sisi saya dalam keadaan
hadis riwayat seorang lelaki yang saya percaya dan benarkan ia sedangkan hadis
itu sebenarnya bukan seperti mana yang lelaki itu ceritakan kepadaku (lelaki
itu tersilap dalam riwayat) dan aku terlibat dalam meriwayatkannya (hadis
salah).
Ini komentar saya terhadap riwayat ini:
1. Riwayat ini tidak sahih kerana wujud perawi
bernama Musa bin Abdullah bin Hasan bin Hasan. Beliau dikategorikan sebagai
perawi daif. Begitu juga ada perawi yang bernama Ali bin Soleh. Beliau adalah
perawi yang tidak dikenali. Bagaimana saudara Farouk boleh menggunakan riwayat
daif untuk menolak riwayat sahih seperti sahih Bukhari? Ini amat pelik.
2. Jika kita beranggapan bahawa riwayat ini
sahih sekalipun ia tidak menyokong dakwaan saudara Farouk. Ini kerana dalam
riwayat itu jelas menunjukkan bahawa sebab Abu Bakar membakar kitabnya adalah
kerana beliau bimbang hadisnya itu daif disebabkan hafalan perawinya yang
lemah. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa jika hadis itu sahih Abu
Bakar sendiri akan berhujah dengannya.
3. Bahkan dalam riwayat itu sendiri menunjukkan
Abu Bakar bukan Quranism iaitu beliau mengumpulkan hadis-hadis Nabi. Untuk apa
mengumpulkan hadis-hadis jika tidak mahu berhujah dengannya?
4. Saya perhatikan saudara Farouk agak
bersikap selektif apabila membawakan dalil. Beliau seolah-olah membawakan
riwayat yang zahirnya menyokong dakwaannya. Metodologi yang betul dalam kajian
ialah kita mengumpulkan semua dalil yang ada dalam satu-satu bab kemudian
membuat rumusan. Adalah tidak adil untuk menilai pendirian Abu Bakar dan Umar
terhadap hadis dengan melihat satu atau dua riwayat dan melupakan riwayat yang
lain. Tidakkah beliau tahu bahawa Abu Bakar menerima pakai hadis Nabi tentang kadar
pusaka nenek? Tidakkah beliau tahu bahawa Umar menerima pakai hadis Nabi
tentang hukuman qisas? Umar
juga menerima hadis riwayat Abdul Rahman bin Auf dalam isu taun. Bagaimana
mungkin beliau terlepas pandang perkara ini?
5. Umar memang pernah berkata: “Cukuplah bagi
kita kitab Allah”. Tetapi ini bukan bermakna kita perlu meninggalkan hadis.
Bahkan saya telah jelaskan dalam poin sebelum ini bahawa Umar menerima pakai
hadis-hadis Nabi. Sebenarnya pegangan dengan al-Quran lah menyebabkan kita
menerima hadis. Buktinya:
{وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا
مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْراً أَنْ يَكُونَ لَهُمُ
الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ}
Maksudnya: Tidak sepatutnya bagi seorang
mukmin lelaki dan wanita apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu
(hukuman) lalu mereka ada pilihan lain lagi dalam urusan mereka. [al-Ahzab: 36]
Saya
memahami hukuman Allah di dalam al-Quran. Justeru, di mana pula hukuman Nabi
jika bukan di dalam hadis? Jika anda kata hukuman Nabi juga di dalam al-Quran
bukan hadis, saya berhak untuk bertanya jika ia sama mengapa Allah dan rasul
diulang dalam satu ayat dalam bentuk al-‘Atf (العطف) dan kaedah menyatakan al-‘Atf menunjukkan
perbezaan? Ayat ini menunjukkan kehujahan hadis.
Al-Quran juga menyatakan:
{فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤْمِنُونَ
حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ
حَرَجاً مِمَّا
قَضَيْتَ
وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيماً}
Maksudnya: Demi Tuhanmu, mereka tidak akan
beriman sehingga mereka menjadikanmu pemutus dalam perselisihan mereka kemudian
mereka tidak merasa bebanan terhadap keputusanmu dan mereka benar-benar
menerimanya. [al-Nisa’: 65]
Ayat di atas mewajibkan
kita menerima hukuman Nabi. Saya katakan tidak ada cara lain untuk mengetahui
hukuman Nabi kecuali jalan riwayat. Inila hadis. Justeru, saya benar-benar ragu
adakah benar saudara Farouk mengikut petunjuk al-Quran.
Kata Farouk A Peru:
Bukan saja itu, tapi monarki pertama Islam iaitu Khalifah
Umayyah juga tidak merasmikan sebarang kitab hadis yang menjadi sumber
perundangan mereka. Alangkah anehnya yang pada masa umat Islam telah mempunyai
empayar yang luas, hadis belum lagi dirasmikan sebagai kitab?
Saya jawab:
1. Jika yang dimaksudkan saudara Farouk dengan
terma “merasmikan sebarang kitab hadis” sebagai tiada langsung penulisan hadis
maka beliau tersilap. Ini kerana di zaman sahabat lagi, penulisan hadis telah
dimulakan. Abdullah bin Amr bin al-As dan Ali bin Abi Talib telah menulis
hadis.
2. Jika terma ini dimaksudkan dengan
pengumpulan rasmi sebuah Negara saya jawab seperti berikut:
-
Saya tidak pernah melihat dalil dalam agama ini bahawa
setiap yang tidak bertulis tidak menjadi hujah. Sebaliknya yang menjadi asas
ialah sifat benar perawi dan kekuatan ingatannya yang sepatutnya dilihat untuk
memastikan kandungan riwayat terpelihara. Apa guna bahan bertulis jika yang
menulis itu kaki bohong? Akhirnya kita akan kembali melihat kredibiliti orang
yang menulis juga.
-
Kerajaan Bani Umayyah mengarahkan hadis-hadis
dikumpulkan secara rasmi apabila ramai manusia sudah mula pandai menulis dan
kurang menggunakan hafalan. Ini berbeza dengan zaman sebelumnya di mana ramai
rakyat yang buta huruf dan bahan penulisan juga sukar untuk diperolehi. Sudah
menjadi tabiat manusia apabila mereka tiada kemudahan mereka akan menggunakana
keupayaan mereka semaksima mungkin. Bayangkan dahulu kita mampu hafal
nombor-nombor telefon jiran sebelum wujudnya telefon bimbit walaupun nombor itu
hampir sama. Tapi selepas wujudnya teknologi “phone book” dalam telefon
bimbit nombor telefon sendiri pun kadang-kadang kita belum tentu hafal. Begitulah
juga dengan hadis, ia diriwayatkan secara mulut ke mulut kerana ingatan perawi
yang hebat.
Kata beliau:
Hanya selepas zaman Ash-Shafiee (imam ulung
mazhab Shafiee) yang hadis menjadi “mata wang” perundangan (legal currency) .
Apa yang saya fahami dari teks Farouk A
Peru ialah beliau cuba untuk nyatakan bahawa hadis menjadi hujah selepas zaman
Imam Syafie. Saya katakan:
1. Adakah Farouk A Peru tidak mengetahui
bahawa sebelum zaman Imam Syafie ramai ulama hadis telah menulis kitab-kitab
hadis untuk menjadikan hadis sebagai rujukan hukum? Ma’mar bin Rasyid telah
menulis kitab Jami’nya, Abdul Razak al-Son’ani telah menulis al-Musannafnya,
Malik bin Anas telah menulis Muwatta’nya. Adakah Farouk A Peru tidak tahu
bahawa semua kitab-kitab ini mengumpulkan hadis-hadis dalam bab hukum?
2. Saya tidak pasti samada Farouk A Peru
pernah membaca kitab al-Risalah Imam Syafie atau tidak. Ini kerana jika beliau
membacanya dengan teliti sudah pasti beliau tidak mendakwa seperti apa yang
beliau dakwa sekarang. Imam Syafie di beberapa tempat dalam al-Risalah
menukilkan pandangan ulama hadis sebelum beliau. Ini bermakna beliau bukanlah
orang pertama yang mereka-cipta sains hadis. Beliau hanya menyusun semula ilmu
hadis yang sebelum zaman beliau tersimpan dalam dada ilmuwan hadis. Lihat perbahasan
al-Syafie dalam bab khabar al-Ahad. Beliau menukilkan pandangan ulama
hadis sebelum beliau.
Kata Farouk A Peru lagi:
Umpamanya Ibn Kathir dan
At-Tabari, mereka mempunyai latar belakang yang berlainan. Ibn Kathir
dibesarkan oleh kaum wanita walhal Tabari tidak berjumpa sangat dengan wanita.
Ini telah menjadi faktor pembezaan dalam tafsir mereka.
Ibn Kathir lebih menekankan
perhubungan yang memberi persamaan antara lelaki dan waniya (mengikut AQ 30/21)
tapi Tabari lebih menekankan pengawalan ke atas pakaian dan tindak-tanduk
wanita (fahamannya daripada AQ 24/31).
Ibn Taimiyah lagi radikal pula
– beliau menekankan pengurungan wanita (fahamannya terhadap AQ 33/33) kerana
pada zamannya berlaku penaklukan kuasa oleh pihak Mongol dan keselamatan wanita
diancam.
Begitulah lumrahnya – tiap-tiap
pentafsir akan mencerminkan situasi mereka masing-masing jadi kenapa kita perlu
terikat kepada tafsir mereka sahaja sedangkan Allah memberi akal kepada semua
orang?
Saya jawab seperti berikut:
1. Saya begitu gusar dengan kenyataan di atas.
Ini kerana saudara Farouk A Peru seolah-olah tidak boleh membezakan antara
perkara ijtihad dan nas. Adakah perlu ditonjolkan perbezaan ijtihad untuk
menolak hadis-hadis sedangkan hadis (pada kepercayaan kaum Muslimin) adalah
nas? Jika benar perbezaan ini menyebabkan penolakan sesuatu, adakah perlu
ditolak juga al-Quran kerana wujudnya versi tafsir yang berbeza-beza mengikut
zaman?
2. Tiada siapa yang terikat dengan pandangan
pentafsir-pentafsir silam dalam perkara ijtihad. Lihat Tafsir al-Manar karya
Rasyid Ridha. Berapa banyak ijtihad baru beliau ketika mentafsir ayat al-Quran.
Yang diperjuangkan oleh kami bukanlah kewajipan berpegang dengan ijtihad ulama
silam. Tetapi disiplin ketika mentafsir al-Quran seperti penguasaan bahasa arab
dari sudut nahu, saraf, balaghah dan sebagainya.
Kata Farouk A Peru:
Sama juga seperti Al-Bukhari,
pengumpul hadis tersohor. Beliau merakamkan beberapa hadis yang yang
memperlekehkan iman dan akal wanita.
Wanita dikatakan adalah
kebanyakan daripada penghuni neraka. Akal wanita cetek kerana dua saksi wanita
diperlukan walhal hanya satu lelaki mengikut tafsiran Al-Quran mereka (2/282)
dan agama mereka suntuk kerana tak dibolehkan sembahyang semasa datang haidh.
Saya jawab seperti berikut:
1.
Kesilapan besar saudara Farouk
A Peru apabila tidak memahami hadis dengan pemahaman yang benar lalu menolak
keseluruhan hadis. Jika benar hadis ini yang menjadi kemusykilan saudara Farouk
kenapa keseluruhan hadis perlu dibuang? Bukankah cukup hanya sekadar tidak
menerima hadis ini sahaja?
2.
Sebenarnya hadis yang menjadi
kemusykilan saudara Farouk telah pun dijawab oleh ilmuwan hadis. Hadis-hadis
Nabi sallallah alaih wasallam perlu dibaca secara keseluruhan supaya kita
mendapat gambaran penuh sesuatu isu. Tidakkah saudara Farouk A Peru pernah
dengar hadis yang menceritakan bahawa di akhir zaman bilangan wanita akan
bertambah terlalu ramai melebihi kaum lelaki? Jika bilangan mereka ramai sudah
pasti kita tidak akan pelik jika wanita lebih ramai di neraka kerana bilangan
keseluruhan mereka ramai. Bukankah seorang lelaki boleh menikah lebih dari
seorang isteri? Maka tidak hairan jika ramai isteri dalam neraka. Satu
persoalan yang ingin saya tekankan ialah saya tidak nampak pula dalam hadis
tersebut yang mengatakan bilangan perempuan berkurang dalam syurga. Jika ada
sila nyatakan kepada saya. Saya gambarkan dalam sebuah kelas yang bilangan
wanitanya 50 orang manakala lelaki seorang (ikut nisbah bilangan di akhir zaman
seperti dalam hadis Bukhari). Apabila separuh daripada wanita gagal dalam
peperiksaan (25 orang) dan satu-satunya pelajar lelaki lulus sudah pasti
bilangan wanita yang gagal ramai tetapi tidak bermakna yang lulus berkurang
dari lelaki kerana bilangan mereka 25 orang dan lelaki seorang.
3.
Berkaitan dengan bilangan saksi
pula. Al-Quran sendiri menyatakan bahawa perlu 2 orang saksi wanita berbanding
seorang lelaki. Adakah Farouk A Peru ingin menolak al-Quran juga? Maka saya
perlu menarik gelaran Quranism daripada anda.
4.
Berkaitan dengan akal pula ia
tidak bermakna wanita kurang cerdik dari lelaki. Tetapi ia berkaitan penggunaan
akal. Tidakkah Farouk A Peru perhatikan bahawa wanita lebih banyak menggunakan
emosi mendahului akal? Maka sifat simpati wanita melebihi lelaki secara umum.
Oleh itu, seorang lagi saksi wanita diperlukan supaya mengingatkannya dalam
persaksian. Hadis ini tidak bercakap tentang tahap kecerdikan tetapi ia
bercakap tentang tahap penggunaan rasional antara lelaki dan wanita secara
umum. Tidakkah saudara Farouk membaca hadis itu
secara keseluruhan? Bukankah ada lafaz “Imraah Jazlah” dalam hadis berkenaan? Jazlah
bermakna cerdik.
5.
Manakala kurang
agama pula bukanlah bermakna ia pengukur kepada kesolehan seseorang. Ini kerana
Nabi sallallah alaihi wasallam tidak bercerita tentang kesolehan tetapi tentang
agama. Tidakkah Farouk A Peru tahu bahawa wanita tidak perlu solat, puasa
ketika haid dan nifas, tidak wajib solat Jumaat dan tidak wajib berjihad? Dalam
kata lain Nabi sallallah alaih wasallam bercakap tentang kuantiti amalan
bukannya kualiti amalan.
Kata Farouk A
Peru:
Sebaliknya,
kita perlu melihat kepada sesetengah hadis yang menjulang Nabi kepada status
yang seakan-akan rakan kongsi Tuhan dalam memyelamatkan manusia ke syurga.
Hadis memberi Nabi kuasa syafaat yang dapat mengatasi keputusan Tuhan sendiri.
Saya jawab:
1. Saya tidak pasti dari mana saudara Farouk dapat keputusan
yang ekstrem begini. Bukankah al-Quran sendiri menceritakan bahawa syafaat
tidak dibenarkan melainkan kepada sesiapa yang diredhai Allah? [Lihat Surah
al-Anbiya’: 28] Ini bermakna syafaat sabit dengan redha Allah.
2. Hadis Nabi dalam bab syafaat tidak sekali-kali mengatasi
keputusan Tuhan. Ini adalah suatu dakwaan yang terburu-buru sama sekali. Bahkan
hadis jelas menunjukkan bahawa syafaat Nabi diberikan oleh Allah selepas Nabi
meminta izin kepada-Nya. Lihat hadis berikut:
«فيقول:
"لست هناكم، ائتوا محمدا صلى الله عليه وسلم فقد غفر له ما تقدم من ذنبه وما
تأخر"،
فيأتوني
فأستأذن على ربي، فإذا رأيته وقعت ساجدا...»
Maksudnya: Nabi
Isa berkata (ketika umat meminta syafaat daripadanya): Aku tidak berada
ditempat yang kamu minta (tidak layak), sebaliknya pergilah berjumpa Muhammad
sallallah alaih wasallam yang telah diampunkan dosanya yang telah lalu dan
kemudian. Maka mereka pun mendatangiku dan aku MEMINTA IZIN kepada Tuhanku.
Apabila aku melihat-Nya aku jatuh dalam keadaan bersujud…(Hadis riwayat
Bukhari)
Justeru,
saya merasakan bahawa dakwaan saudara Farouk A Peru sememangnya tersasar jauh.
Saya menyeru beliau kembalilah kepada jalan yang benar. Hadis adalah hujah
dalam Islam.
أحسنت يا أستاذ
ReplyDeleteجزاكم الله خير الجزاء
Kerajinan Ini yang perlukan.
بارك الله فيك يا شيخنا..دعوتكم
ReplyDeleteAllahuakbar...syukran ustaz di atas pernyataan balas..barakallah fik
ReplyDeleteTeruskan lah berhujah...alhamdulillah segala tak langsung ramai pembaca mendapat manfaat...
ReplyDeleteDengan izin Allah, sila tonton video ini agar mendapat hidayah....https://www.youtube.com/watch?v=SZzsnXWTsRg
ReplyDeleteKalau sudi berbincang, sila ke blog saya...
ReplyDeletehttps://www.blogger.com/blogger.g?blogID=377372461052242420#editor/target=post;postID=2473306372799873939;onPublishedMenu=posts;onClosedMenu=posts;postNum=0;src=postname