Syarat Amal Soleh
Seringkali
kita mendengar para ustaz dan ustazah berceramah di stesen televisyen atau
kuliah di masjid-masjid menceritakan tentang kepentingan amal soleh.
Berbagai-bagai cerita yang dibawa kepada kita untuk menunjukkan betapa
pentingnya peranan amal soleh dalam kehidupan kita. Mungkin ada yang tahu
tentang amal soleh ini, mungkin juga ada tidak tahu, bahkan ada juga yang tidak
mahu ambil tahu. Sedangkan amalan ini merupakan suatu perkara yang dianjurkan
oleh Pencipta segala makhluk sepertimana yang diceritakan di dalam al-Qur'an
(maksudnya): "Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi selama enam
hari, dan (sebelum menciptakan langit dan bumi itu) Arasynya berada di atas air,
untuk menguji (daripada penciptaan itu) siapakah di antara kamu yang paling
baik amalannya, dan jika kamu mengatakan (wahai Muhammad) bahawa kamu semua
akan dibangunkan semula (pada hari kiamat) selepas kamu semua mati nescaya
mereka (orang-orang musyrik) akan mengatakan bahawa ia adalah merupakan sihir
yang nyata" (Surah Hud , ayat 7). Allah menjadikan manusia di atas muka
bumi ini adalah sebagai satu ujian untuk melihat siapakah yang paling baik
amalannya. Inilah yang dinamakan amal soleh. Imam Ibn Kathir (meninggal 774 Hijrah)
menyatakan : "Sesuatu amalan tidak akan menjadi amal soleh melainkan ia
dilakukan dengan ikhlas kepada Allah S.W.T dan ia dilakukan sepertimana yang
ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W" (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur'an
al-'Azim, jld. 4, hal. 303, Cetakan Ke-2, Dar Taiyyibah, 1420H/1999M). Apabila
salah satu daripada syarat ini hilang daripada amalan, maka amalan akan dikira
terbatal dan gugur (tidak memberi pahala).
Sesuatu
amalan yang dilakukan tidak dinamakan amal soleh kecuali ia dilakukan kerana
Allah S.W.T dan mengikut cara dan tunjuk ajar oleh Nabi S.A.W. Kepentingan amal
soleh ini dapat dijelaskan oleh Allah S.W.T di dalam al-Qur'an (maksudnya): "Barangsiapa
yang melakukan amal soleh dari kalangan lelaki atau wanita dalam keadaan dia
beriman, maka Kami akan kurnikan kepadanya kehidupan yang baik (bahagia) dan
Kami akan berikannya ganjaran di atas apa yang mereka telah lakukan".
(Surah al-Nahl , ayat 97)
Amalan Soleh Untuk Diri Sendiri
Dua
syarat amal soleh yang diceritakan tadi amat penting untuk menjadikan suatu
amalan diterima disisi Allah S.W.T. Islam menggariskan panduan kepada
penganutnya untuk beramal. Setiap manusia perlu beramal untuk bekalan dirinya
di akhirat kelak. Tidak kira samada dia merupakan pemimpin negara atau rakyat
biasa, Menteri atau tukang sapu, semuanya perlu beramal untuk kesenangan dan
keselesaan hari akhiratnya. Semuanya perlu mengikut aturan dan undang-undang
agama dalam beramal. Setiap muslim perlu beramal dengan dirinya sendiri untuk
mendapatkan ganjarannya, begitu juga seseorang tidak akan dipertanggungjawabkan
dengan kesalahan orang lain. Ini disebutkan di dalam al-Qur'an (maksudnya): "Barangsiapa
yang beramal soleh maka baginya ganjaran, dan barangsiapa yang berbuat
kejahatan maka baginya balasan"(Surah Fussilat, ayat 46). Ini
merupakan kaedah di dalam Islam. Malangnya apa yang berlaku hari ini berbeza.
Amal soleh diabaikan oleh kebanyakan muslimin. Agama dipandang hanyalah untuk
golongan ustaz dan pak lebai. Pada pandangan mereka, ustaz dan pak lebai sajalah yang
sepatutnya beramal soleh.
Golongan Agamawan
dan Kiriman Doa
Sehinggakan jika golongan yang mereka
anggap golongan agamawan ini melakukan perkara makruh pun mereka nampak seperti
haram. Mereka tidak sedar bahawa kewajipan amal soleh ini adalah untuk semua. Setiap
muslim mukallaf tidak dikecualikan untuk beramal. Ini merupakan asas yang harus
difahami oleh setiap individu yang mengaku bahawa dirinya muslim. Tidak
dinafikan bahawa doa daripada orang lain memberikan sedikit manfaat, tetapi ini
tidak bermakna seseorang yang didoakan tidak perlu untuk beramal dan hanya
merasa cukup dengan doa yang diberikan kepadanya. Sesekali Islam tidak pernah
bermaksud untuk melepaskan muslim daripada beramal apabila mensyariatkan doa
untuk orang lain ini. Inilah yang menjadi punca kepada kelemahan ummat pada hari
ini. Pak imam dijemput berdoa di rumahnya sedangkan orang yang didoakan sibuk
menceduk gulai kenduri. Lebih malang lagi apabila ahli kariah sesebuah kampung
tidak mengenali imam masjid di kampungnya. Ini berlaku apabila mereka tidak teringin
untuk datang ke masjid kecuali apabila berlaku kematian di rumah mereka, itupun
hanya untuk menjemput imam membaca tahlil di rumah mereka dengan harapan ia
akan menjadi kiriman pahala untuk si mati. Inikah Islam yang mereka faham? Adakah memadai
dengan kenduri dan doa pak imam dapat membebaskan si mati daripada azab
sedangkan ahli keluarga si mati sibuk menceduk gulai di dapur waktu imam
membacakan doa?
Ketahuilah,
bahawa doa yang dikirim walaupun bermanfaat tetapi ia semata-mata tidak mencukupi
untuk menjadi bekal bagi mencapai rahmat Allah. Sirah Nabi telah membuktikan
bahawa Rasulullah S.A.W sendiri beramal untuk mendapatkan rahmat Allah. Juga
Abu Talib yang didoakan Rasulullah S.A.W tidak terlepas daripada azab neraka
kerana tidak beriman dan beramal. Apabila kepercayaan ini telah terpahat lama
di dalam hati masyarakat, suatu fenomena muncul sebagai kesan daripadanya. Nabi
S.A.W bersabda (maksudnya): “Barangsiapa yang lambat (iaitu sedikit) amalannya (waktu hidupnya),
amalannya tidak dapat sama sekali dipercepatkan (diperbanyakkan) oleh warisnya
(setelah kematiannya)”. (Hadis riwayat Muslim, no hadis: 7028)
Menambil Berkat
Sebagai Ganti Amalan
Tidak cukup dengan itu, kita melihat
masyarakat hari ini pergi ke tempat-tempat tertentu yang dianggap suci untuk
mendapat berkat. Saya bercuti ke Langkawi tahun lalu. Saya dapati ramai di
kalangan masyarakat melayu meminum air telaga Mahsuri dengan tujuan tertentu.
Ada juga pengunjung yang memandikan anak mereka dengan air telaga itu dengan
alasan mengurangkan kenakalan anak mereka itu. Dua soalan terbit dari fikiran
saya. Pertama, adakah benar ini memang telaga Mahsuri yang telah dibuktikan
atau ia hanya hearsay (cakap-cakap) orang?. Kedua, adakah perkara
seperti ini dianggap sebahagian daripada ajaran Islam? Umar al-Khattab telah
memberikan keterangan yang jelas dalam perkara ini ketikamana beliau mencium al-Hajar
al-Aswad: "Sesungguhnya aku mengetahui engkau adalah batu yang
tidak memberikan mudarat dan manfaat, aku tidak akan menciummu kalau tidak
kerana aku melihat Rasulullah S.A.W menciummu". (Riwayat Bukhari
daripada 'Abis bin Rabi'ah, Hadis No.
1597) Suci atau tidak sesuatu tempat adalah hak mutlak Allah S.W.T. Inilah
akidah yang selamat bagi setiap muslim. Umar menjelaskan kepada kita bahawa al-Hajar
al-Aswad dicium hanya kerana perintah Rasulullah S.A.W. Jika tidak kerana
perintah tersebut, ia juga tidak berhak untuk dicium oleh para jemaah haji dan
umrah. Tidak pernah diriwayatkan daripada sahabat Rasulullah S.A.W bahawa
telaga Mahsuri akan memberikan manfaat tertentu kepada peminumnya atau yang
mandi dengan airnya. Syirik akan berlaku jika peminumnya atau yang mandi dengan
airnya menganggap ia akan memberikan manfaat atau menolak mudarat. Saya telah
jelaskan tadi bahawa amal ibadat dalam Islam harus mengikut contoh yang diajar
oleh Rasulullah S.A.W. Apabila tidak terdapat dalil yang mengatakan bahawa
perigi atau apa saja yang berkait dengan Mahsuri mempunyai kelebihan tertentu,
maka jelas bahawa setiap perbuatan mengambil berkat daripadanya adalah bidaah
yang dilarang.
Lihatlah betapa bahayanya kesan
amalan ini. Ini semua berlaku natijah daripada kepercayaan atau anggapan bahawa
agama adalah milik golongan pak ustaz dan pak lebai, mereka sahaja yang perlu
beramal soleh, orang awam hanya perlu mengambil berkat daripada doa, telaga
atau kubur mereka sahaja. Demi sesungguhnya Rasulullah S.A.W diutuskan untuk
menyampaikan agama kepada setiap manusia tidak kira apa pun statusnya, pak
lebai ataupun orang biasa. Setiap muslim wajib beramal untuk dirinya sebagai
bekalan bagi dirinya untuk hidup di alam akhirat. Saya menyeru pihak berkuasa
agar melakukan pemantauan terhadap pengunjung yang datang ke telaga Mahsuri
untuk melindungi akidah mereka dan menjauhkan amalan mereka daripada perbuatan
bidaah.
Muhamad Rozaimi bin
Ramle,
Pensyarah, Jabatan Pengajian Islam,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
بارك الله فيك يا شيخنا المكرم على جهودك في بيان عقيدة السلف الصالحين. الله يجزيك الخير.
ReplyDeleteالله يبارك فينا على كل جهودنا..اللهم آمين
ReplyDeleteAssalamualaikum,
ReplyDeleteMaklumat yang sangat berguna untuk di amalkan bagi mengelakan dari dosa.
Terima kasih