Friday, 28 September 2012

Adakah itu pendakwah sebenar?

Islam Agama Ilmiah

Tidak dinafikan bahawa sesiapa sahaja yang telah mencium haruman sunnah akan membela dan mempertahankannya. Apatah lagi jika yang dihina itu adalah Nabi yang menjadi rujukan sunnah maka sudah tentu kita akan melenting kepada sesiapa sahaja yang menghinanya. Namun perlu diingat, Islam ini agama yang bersifat ilmiah bukan emosi. Di dalam al-Qur'an terlalu banyak ayat yang menyuruh manusia berfikir dan menaakul. Bahkan Islam menggalakkan penganutnya berdialog dan berjidal untuk sampai kepada kebenaran. Islam menegur orang kafir Jahiliyyah yang tidak mahu menggunakan akal mereka untuk memilih agama. Firman Allah yang bermaksud: "Apabila dikatakan kepada mereka (orang kafir) marilah (ikuti) apa yang telah diturunkan oleh Allah, mereka menjawab: "Bahkan (biarkanlah) kami mengikuti apa yang kami dapati nenek moyang kami lakukan", walaupun nenek moyang mereka itu tidaklah berakal dan tidak juga mendapat petunjuk". (al-Baqarah: 107)

Mendabik Dada

Apa yang mendukacitakan, masih terdapat lagi beberapa golongan yang mendabik dada menganggap diri mereka "pendakwah Islam yang sebenar" tidak bersikap ilmiah dalam menghukum dan berdakwah. Hukuman dan pandangan yang dilontarkan kadang-kadang tidak berdasarkan bukti yang benar. Sedangkan Allah mengingatkan: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)

Taksub dan Bengis

Pendakwah seperti ini sebenarnya tanpa mereka sedar telah mencemarkan keindahan Islam. Mereka mencerminkan seolah-olah Islam ini garang dan bengis. Melihat rupa mereka, cara mereka tidak tergambar bahawa Islam itu rahmat bagi alam. Mereka memaki, mencerca orang yang tidak sealiran dengan mereka. Nabi bersabda: "Bukanlah mukmin itu seorang yang suka mengumpat, melaknat, memaki dan kasar kata-katanya".  (Hadis riwayat Ahmad, no. hadis: 3984, dinilai sahih oleh Syuaib al-Arnaut dan al-Albani).

Islam Sentiasa Memberi Peluang

Perkara yang perlu diketahui oleh semua ialah Islam sentiasa memberi ruang taubat kepada penganutnya yang berdosa. Selagi mana matahari tidak terbit dari barat maka selagi itulah pintu taubat masih terbuka luas. Jangan kita sempitkan ruang taubat itu, jangan pula kita menjual tiketnya dengan harga yang mahal. Tidakkah mereka tahu bahawa majoriti ulama mensyaratkan istitabah (meminta orang murtad taubat) sebelum melaksanakan hukuman murtad? Jika orang yang jelas murtad dengan sengaja, masih lagi diberi ruang untuk taubat, apakah mereka yang tersilap memilih perkataan tidak mempunyai ruang untuk dinasihati sebaliknya berhak untuk dikafirkan tanpa perlu bertanya apakah maksudnya dengan perkataan itu?

Barangkali mereka ini tidak pernah membaca kisah Hatib bin Abi Balta'ah sewaktu Nabi dan para sahabat ingin membuka kota Mekah. Saya bawakan kisah ini untuk renungan kita bersama:

Daripada Ali bin Abi Talib: Nabi s.a.w mengutuskan aku, Zubair dan Miqdad bin Aswad dengan berkata: "Pergi kamu semua sehingga sampai ke Raudhah Khakh (tempat antara Mekah dan Madinah), di sana ada seorang perempuan padanya ada sepucuk surat. Ambil surat itu daripadanya". Kami pun lantas menaiki kuda sehingga sampai ke Raudhah, lalu kami menjumpai perempuan itu dan kami meminta surat daripadanya. Dia berkata: "Aku tidak membawa apa-apa surat". Kami katakan: "Berikan kami surat atau kami campak baju kamu (untuk mencarinya)!". Lalu dia mengeluarkan surat itu dari sanggulnya. Kami mengambilnya dan serahkannya kepada Nabi s.a.w. Surat itu adalah surat Hatib bin Abi Baltaah (muslim) kepada Musyrikin Mekah yang mana dia memberitahu mereka perancangan Nabi s.a.w. Nabi bertanya: "Wahai Hatib, apakah semua ini?". Dia menjawab: Wahai Rasulullah, jangan terlalu cepat menghukumku. Sesungguhnya aku mempunyai perjanjian dengan Quraisy dan aku bukan dari golongan mereka. Sedangkan golongan Muhajirin lain mempunyai saudara-mara yang menetap di Mekah yang boleh diharapkan untuk melindungi keluarga dan harta mereka di Mekah. Jadi oleh kerana aku tidak mempunyai hubungan nasab dengan mereka, aku lakukan ini semua (menulis surat) kerana ingin menjadikan mereka sebagai penjaga bagi keluargaku (kerana Quraisy akan anggap dia tali barut mereka). Aku tidak lakukan ini semua kerana kufur, murtad atau redha dengan kufur selepas aku diberikan Islam. Nabi menjawab: "Sesungguhnya dia (Hatib) telah bercakap benar kepada kamu semua (Muslimin)". Kata Umar: "Biarkan aku penggal tengkuk munafik ini wahai Rasulullah". Sabda Nabi: "Sesungguhnya dia (Hatib) telah menyertai Badar, tidakkah engkau (wahai Umar) tahu barangkali Allah melihat sekalian ahli Badar dan berkata: "Buatlah apa yang kalian mahu, sesungguhnya Aku telah mengampunkan kamu semua"". (Hadis riwayat Bukhari, no. hadis: 2845)


Ya perbuatan Hatib ini pada zahirnya kufur sehingga Umar ingin bertindak ke atasnya, tetapi Nabi s.a.w masih memberi ruang untuknya membela diri. Setelah dia menjelaskan, maka jelas bahawa perbuatannya itu bukan kerana bencikan Islam tetapi kerana terdesak.

Justeru, berilah peluang wahai sahabat kerana PASTI satu hari nanti kita juga tersalah dan memohon ruang dan peluang dari orang lain.

Rozaimi Ramle
28 September 2012
Amman, Jordan



2 comments:

  1. Jauh merantau rupanya ustaz kita.

    JazakumulLahu khair di atas perkongsian yang bermanfaat..

    ReplyDelete