Saturday, 21 June 2014

Meluruskan Salah Faham Terhadap Pendirian al-Syatibi Dalam Maqasid Ibadat

Saya pernah menukilkan dari al-Syatibi yang menyatakan bahawa maqasid Ibadat dalam Islam hanya beridiri teguh di atas dalil tanpa memikirkan sebab atau faedahnya kecuali sedikit. Terdapat seorang sahabat saya cuba untuk memberikan pemahaman yang lain dalam isu ini. Namun bagi saya pemahaman beliau tersasar dari pendirian al-Syatibi. 
Saya nukilkan teks penuh sahabat saya sebelum saya memberi komentar (teks beliau dalam tulisan Italic):

ASAL IBADAT TA'ABBUDI DAN NAS IBADAT MUTLAK DISISI AL-SYATIBI
Apa yang dinaqal oleh ust Muhamad Rozaimi Yang disebut oleh Imam Syatibi tersebut ialah maqasid (maksud) atau tujuan pensyariatan ibadat. Ia bukanlah qaedah usul yang dhabit yang mesti dituruti dan tidak boleh diingkar
i kerana ia hanya bersifat prinsip yang dihasilkan dari istiqra' ke atas hukum2 ibadat bukannya hasil dari dilalah nas. Dalam erti kata lain ia adalah kaedah fiqah bukannya kaedah usul fikah.Cuba fahami perbezaan keduanya dulu.
Dalam Muwafaqat Imam Syatibi telah menulis dalam kitab maqasid satu fasal 'الأصل في العبادة التعبد والتزام النص' iaitu 'Asal maksud pensyariatan ibadat ialah pengabdian dan menurut nas' dan beliau menjelaskan semua ibadat perlu merujuk kepada nas. Maka tidak boleh ijtihad dalam mengadakan ibadat yang baru, maka ibadat islam yang disyariatkn terhenti atas nas iaitu solat,zakat,haji,umrah,zikir tilawah doa sbg yg disyariatkan sahaja. Kerana maqasid syara' ialah taat apa yang dinaskan sahaja.Tidak boleh qiyas berpandukan 'illah. Namun beliau MENGECUALIKAN dalam bab tertentu seperti qasar dalam musafir boleh diketahui illahnya. Begitu juga beliau menulis satu fasal 'الأصل في العادات التعليل و القياس' iaitu 'Asal maksud pensyariatan adat ialah berpegang pad 'illah dan qiyas'. Namun beliau MENGECUALIKAN beberapa perkara dalam adat yang perlu kepada ta'abbud dan iltizam nas. Sehingga beliau membuat satu fasal yang lain dibawah fasal ini 'لا تخلو العادات عن التعبد أيضا' iaitu 'Tidak terkecuali Adat dari perkara ta'abbud juga.Maka PENGECUALIAN ini menunjukkan keduanya terdapat persamaan dan membuktikan penilaian syatibi dalam bab ini ialah dari sudut prinsip maqasid sahaja bukan dari sudut qaidah usul.
Untuk isu ibadat yang disyariatkan mutlak dan dijtihadkan kaifiat masa dan bilangannya oleh ulamak sebenarnya tidak menyalahi maqasid ibadat syatibi ini. Rukun solat,lafaz zikir, ayat quran hukum tajwid tawaf sa'i tidak boleh diijtihad dan inilah yg dimaksudkan oleh Syatibi dengan iltizam nas. Namun sekiranya ibadat yang disyariatkan mutlak dan dijtihadkan takhsis masa bilangan maka ia termasuk dalam bab taqyid almutlak, iaitu menkhususkan syariat umum atau mutlak. Boleh rujuk kata2 Al-Syatibi dalam masalah ni:
أنه لو كان الأمر بالمطلق من حيث هو مطلق لا يستلزم الأمر بالمقيد لكان التكليف به محالا أيضا, لأن المطلق لا يوجد في الخارج و إنما هو موجود في الذهن و المكلف به يقتضي أن يوجد في الخارج إذ لا يقع به الإمتثال إلا عند حصوله في الخارخ.
Sekiranya satu perintah yg mutlak tidak boleh di taqyidkan maka ia adalah MUSTAHIL kerana mutlak hanya terdapat dalam kefahaman adapun mukallaf yang akan mengamalkannya berada di luar (faktor luaran seperti orang masa tempat). TIDAK tertunai perintah tadi sekiranya tidak digunakan faktor luaran.
أن التكليف بالمطلق عند العرب ليس معناه التكليف بأمر ذهني بل معناه التكليف بفرد من الأفراد الموجودة في الخارج.
Sesungguhnya taklif untuk perintah mutlak disisi arab bukanlah taklif (bebanan) pada kefahaman sahaja bahkan taklif pada INDIVIDU yang wujud pada faktor luaran.
فإذا إعتق المكلف رقبة أو ضحى بأضحية أو صلى صلاة و مثلها موافق للمطلق فله أجر ذلك من حيث هو داخل تحت المطلق
Sekiranya mukallaf itu bebaskan hamba, SEMBELIH BINATANG , SOLAT SEJENIS SOLAT dan sebagainya BERTEPATAN dengan mutlak baginya satu ganjaran kerana ia termasuk dalam mutlak.
(Al-Muawafaqat Masalah AlAmru BilMutlak, m.s117)
Imam Syatibi jelas membenarkan ijtihad kaifiat masa bilangan dalam ibadat pada nas2 ibadat yang multak.Tidak hairan lah mengapa beliau mengharuskan beramal berdasarkan mimpi, dengan syarat sekiranya amal tersebut tidak menyalahi usul agama dan nas2 mutlak. Cuba lihat kata2 beliau ini :
Sedangkan memanfaatkan hukum, jelas tidak diperbolehkan, sebagaimana dikisahkan dari Al Kattani, ia berkata, “Aku bermimpi melihat Nabi, dan di dalam mimpi itu aku berkata, ‘Doakanlah aku kepada Allah agar tidak mematikan hatiku. Beliau menjawab, ‘Katakanlah setiap hari sebanyak empat puluh kali kalimat, “Ya hayyu ya qayyum laailaaha ilia anta.” Ini perkataan BAIK dan tidak ada masalah kebenarannya, karena menurut syariat dzikir memang dapat menghidupkan hati. Faidah mimpi adalah memberitahukan kebaikan, dan ini dari sisi kabar gembira. Dengan demikian, masalah yang lain hanya pembicaraan tentang EMPAT PULUH KALI ; apabila tidak ada dalam bentuk kelaziman, maka itu BENAR. (Al-'itisam ms 309)
Imam Syatibi tidak menganggap takhsiskan bilangan itu (kaifiat) sebagai ijtihad hukum, bagi beliau sekiranya menganggap ia dalam kelaziman (mewajibkan) sahaja baru dianggap mengambil manfaat hukum dan ini yang tidak dibenarkan.Sudah tentu ibadat ini harus kerana ia termasuk dalam nas mutlak suruhan berzikir. Maka beliau mengharuskan berzikir dengan bilangan demikian.Wallahu a'lam.
Betulah kata ust Muhd Rozaimi, kalau ponteng kelas maqasid masa B.A, nanti keliru masa nak buat PHD.

Komentar saya:

1. Saya amat kagumi semangat beliau mengkritik perkara yang beliau anggap tidak benar walaupun sebenarnya pemahaman beliau yang kurang tepat. Syabas diucapkan.

2. Isu kaedah usul yang beliau kemukakan dengan berkata:
"Apa yang dinaqal oleh ust Muhamad Rozaimi Yang disebut oleh Imam Syatibi tersebut ialah maqasid (maksud) atau tujuan pensyariatan ibadat. Ia bukanlah qaedah usul yang dhabit yang mesti dituruti dan tidak boleh diingkari kerana ia hanya bersifat prinsip yang dihasilkan dari istiqra' ke atas hukum2 ibadat bukannya hasil dari dilalah nas".

- Saya katakan:
i. Sememangnya kaedah usul dan kaedah fikah diambil dari istiqra' (penelitian) menyeluruh terhadap nas. Ini kerana kedua-dua kaedah ini bersifat umum (walaupun ia ada pengecualian) merangkumi banyak bab.
ii. Jika ia hanya kaedah fikah mengapa? adakah saudara hanya memilih untuk memakai kaedah usul sahaja?

3. Beliau katakan:
"Namun beliau (Syatibi) MENGECUALIKAN dalam bab tertentu seperti qasar dalam musafir boleh diketahui illahnya".

Saya katakan:
i. Sememangnya hampir setiap kaedah ada pengecualian bahkan ia sedikit pun tidak mencacatkan kaedah.
ii. Qasar solat yang diketahui illahnya dengan akal tetapi Syatibi menyatakan ia hanya terpakai dalam perkara yang disebut dalam dalil semata. Lihat teks Syatibi berikut:

فإن المناسب فيها معدود عندهم فيما لا نظير له، كالمشقة في قصر المسافر وإفطاره، والجمع بين الصلاتين، وما أشبه ذلك
Maksudnya: Illah yang munasabah dalam bab ibadat di sisi mereka (ulama) hanya tertumpu pada perkara yang tiada contoh lain (selain dari yang disebut dalam nas) seperti (illah) kesukaran yang memboleh qasar solat, berbuka, menjamakkan antara dua solat dan seumpamanya. (al-Muwafaqat, jld. 5, hlm 212)

4. Beliau menukilkan teks al-Syatibi:
"أنه لو كان الأمر بالمطلق من حيث هو مطلق لا يستلزم الأمر بالمقيد لكان التكليف به محالا أيضا, لأن المطلق لا يوجد في الخارج و إنما هو موجود في الذهن و المكلف به يقتضي أن يوجد في الخارج إذ لا يقع به الإمتثال إلا عند حصوله في الخارخ.
Sekiranya satu perintah yg mutlak tidak boleh di taqyidkan maka ia adalah MUSTAHIL kerana mutlak hanya terdapat dalam kefahaman adapun mukallaf yang akan mengamalkannya berada di luar (faktor luaran seperti orang masa tempat). TIDAK tertunai perintah tadi sekiranya tidak digunakan faktor luaran".

Saya katakan:
i. Saya tidak pasti samada beliau membaca habis atau hanya membaca secara pantas isu ini. Sebenarnya ini BUKAN pendapat al-Syatibi. al-Syatibi berpendapat bahawa perintah (Syara' melakukan) sesuatu secara mutlak tidak merangkumi perintahnya secara muqayyad (dikait dengan sifat). Berikut teks al-Syatibi:

الأمر بالمطلق لا يستلزم الأمر بالمقيد، والدليل على ذلك أمور:
أحدها:
أنه لو استلزم الأمر بالمقيد لانتفى أن يكون أمرًا بالمطلق، وقد فرضناه كذلك، هذا خلف، فإنه إذا قال الشارع: "أعتق رقبة"؛ فمعناه أعتق ما يطلق عليه هذا الاسم من غير تعيين، فلو كان يستلزم الأمر بالمقيد لكان معناه: أعتق الرقبة المعينة الفلانية؛ فلا يكون أمرًا بمطلق ألبتة.

Maksudnya: Perintah secara mutlak tidak semestinya merangkumi perintah secara muqayyad dan dalilnya beberapa perkara pertamanya: Jika perintah mutlak merangkumi perintah secara muqayyad sudah semestinya ternafi perintah secara mutlak. Kita andaikan jika syarak mengatakan: "Bebaskan hamba" maka maknanya dia perlu bebaskan sesuatu yang sesuai dinamakan hamba tanpa ditentukan (dengan apa-apa sifat seperti lelaki atau perempuan). Jika perintah mutlak merangkumi perintah muqayyad sudah semestinya perintah mutlak itu bermaksud: "bebaskan hamba fulan yang bersifat fulan" maka tidak akan wujudlah perintah mutlak sekali-kali.

Teks yang anda bawakan sebenarnya bukan pendapat al-Syatibi tetapi beliau bawakan untuk mengkritiknya semula. Lihat kritikan al-Syatibi kepada teks yang anda bawa:

فالجواب عن الأول أن التكليف بالمطلق عند العرب ليس معناه التكليف بأمر ذهني، بل معناه التكليف بفرد من الأفراد الموجودة في الخارج، أو التي يصح وجودها في الخارج مطابقًا لمعنى اللفظ، بحيث لو أطلق عليه اللفظ صدق وهو الاسم النكرة عند العرب، فإذا قال: "أعتق رقبة"؛ فالمراد طلب إيقاع العتق بفرد مما يصدق عليه لفظ الرقبة فإنها4 لم تضع لفظ الرقبة إلا على فرد من الأفراد غير مختص بواحد من الجنس، هذا هو الذي تعرفه العرب، والحاصل أن الأمر به أمر بواحد مما في الخارج، وللمكلف اختياره في الأفراد الخارجية
Maksudnya: Jawapan kepada kritikan awal (iaitu teks yang anda nukilkan tadi) ialah taklif (bebanan) dengan sesuatu yang mutlak di sisi arab bukan bermakna taklif pada perkara yang dibayangkan (akal) bahkan maknanya ialah bebanan dengan salah satu individu yang individu-individu secara mutlak pada alam realiti atau sesuatu yang boleh wujud pada realiti yang bersesuaian dengan makna lafaz (mutlak) sehingga jika dinamakan ia dengan lafaz mutlak ia benar (sahih) dan itulah kata nama nakirah di sisi arab. Apabila dia berkata: bebaskan hamba. maka yang dikehendaki ialah tuntutan melakukan pembebasan sesuatu yang sesuai dinamakan hamba. Maka lafaz hamba tidak diletakkan melainkan pada individu tanpa diikat dengan apa-apa sifat lain selain dari hamba. Inilah yang difahami oleh orang arab. Hasilnya perintah dengan mutlak ialah perintah melakukan satu dari apa yang wujud di alam realiti dan bagi mukallaf ada hak memilih dari individu-individu yang wujud pada realiti.

ii. Saya tidak nampak dalam isu ini al-Syatibi membuat kesimpulan boleh berijtihad meletakkan apa-apa takhsis bagi ibadat yang disyariatkan secara mutlak. Seballiknya beliau berbahas tentang isu perintah secara mutlak. Dan isu ini tidak perlu ijtihad bagi al-Syatibi sebaliknya kata al-Syatibi mukallaf boleh memilih mana-mana satu perkara dalam perintah yang mutlak.

Saudara berkata lagi:
"Imam Syatibi jelas membenarkan ijtihad kaifiat masa bilangan dalam ibadat pada nas2 ibadat yang multak".

Saya katakan:
i. Ini suatu kesimpulan yang dahsyat kerana al-Syatibi tidak menjelaskan langsung tentang isu ini dalam teks yang anda nukilkan sebelum ini.

ii. Saya dapati al-Syatibi menyanggahi kesimpulan anda dalam isu ijtihad meletak takhsis dalam ibadat mutlak. Saya nukilkan kepada anda:

- Teks al-Syatibi ketika berbicara tentang isu bidaah idhafiah dalam kitabnya al-I'tisam:

ربما يتوهم أنه كالأول، من جهة أنه إذا ثبت أصل عبادة في الجملة؛ فيسهل في التفصيل نقله من طريق غير مشترط الصحة، فمطلق التنفل بالصلاة مشروع، فإذا جاء ترغيب في صلاة ليلة النصف من شعبان؛ فقد عضده أصل الترغيب في صلاة النافلة، وكذلك إذا ثبت أصل صيام؛ ثبت صيام السابع والعشرين من رجب. . . . وما أشبه ذلك.
وليس كما توهموا؛ لأن الأصل إذا ثبت في الجملة لا يلزم إثباته في التفصيل، فإذا ثبت مطلق الصلاة؛ لا يلزم منه إثبات الظهر والعصر أو الوتر أو غيرها حتى ينص عليها على الخصوص، وكذلك إذا ثبت مطلق الصيام؛ لا يلزم منه إثبات صوم رمضان أو عاشوراء أو شعبان أو غير ذلك، حتى يثبت بالتفصيل بدليل صحيح

Maksudnya: "(Jenis yang ketiga) kemungkinan disalah anggap bahwa ia seperti yang pertama (amalan yang disyariatkan) dari sudut asalnya sabit secara umum maka dimudahkan untuk mensabitkannya secara tafsil walaupun dengan dalil yang tidak sahih. Maka semata solat sunat itu disyariatkan dan apabila datang satu hadis galakan untuk bersolat PADA MALAM NISFU SYAABAN maka amalan ini disokong oleh asal galakan solat sunat (secara mutlak). Begitu juga apabila sabit asal bagi puasa maka sabit juga puasa pada 27 rejab dan seumpamanya.

Sebenarnya ia tidak seperti mana yang dianggap itu kerana sesuatu asal bagi amalan apabila ia sabit secara umum ia tidak semestinya sabit secara tafsil. Apabila asal solat telah sabit ia tidak semestinya mensabitkan solat zohor, asar atau witir dan selainnya sehinggalah disebut dalam nas secara khusus. Begitu juga asal bagi puasa yang telah sabit ia tidak mensabitkan puasa ramadhan, asyura atau syaaban atau selainnya sehingga sabit secara tafsil dengan dalil yang sahih".

- Teks al-Syatibi ketika menghuraikan definisi bidaah dalam kitabnya al-I'tisam:
وقوله في الحد: " تضاهي الشرعية " ; يعني أنها تشابه الطريقة الشرعية من غير أن تكون في الحقيقة كذلك، بل هي مضادة لها من أوجه متعددة:
منها: وضع الحدود; كالناذر للصيام قائما لا يقعد، ضاحيا لا يستظل، والاختصاص في الانقطاع للعبادة، والاقتصار من المأكل والملبس على صنف دون صنف من غير علة.
ومنها: التزام الكيفيات والهيئات المعينة، كالذكر بهيئة الاجتماع على صوت واحد، واتخاذ يوم ولادة النبي صلى الله عليه وسلم عيدا، وما أشبه ذلك.
ومنها: التزام العبادات المعينة في أوقات معينة لم يوجد لها ذلك التعيين في الشريعة، كالتزام صيام يوم النصف من شعبان وقيام ليلته.
Maksudnya: "Katanya (al-Syatibi) dalam definisi bidaah: "menyamai perkara syarie" ia bermaksud bidaah menyamai perkara yang disyariatkan walaupun sebenarnya ia tidak seperti itu bahkan ia bercanggah dengannya dari beberapa sudut antaranya:

Meletakkan had seperti orang yang bernazar puasa berdiri dan tidak mahu duduk,berjemur pada waktu dhuha, mengkhususkan diri dengan ibadat semata, berpada dengan jenis tertentu dalam makanan, berpakaian tanpa sebab.

Antaranya lagi: melazimi kaifiat dan bentuk tertentu seperti berzikir dalam keadaan beramai-ramai dengan satu suara dan menjadikan hari kelahiran Nabi sallallah alaih wasallam sebagai hari raya dan seumpamanya.

Antaranya lagi: Melazimi ibadat tertentu pada waktu tertentu sedangkan tidak ada dalam syariah ketentuan untuk itu seperti melazimi puasa 15 syaaban dan berqiyamullail pada malamnya".

Ini menunjukkan beriltizam ibadat tertentu pada waktu tertentu tanpa dalil (dengan kepercayaan ada fadhilat) tanpa dalil adalah bidaah bagi al-Syatibi.

Manakala dalam isu bilangan 40 dalam mimpi itu pula al-Syatibi telah nyatakan jelas ia boleh diamalkan jika tiada iltizam (al-Luzum).

Sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment