Ramai yang bertanya saya tentang status hadis bagi perbuatan menjelir lidah seperi yang disebutkan dalam gambar di atas. Maka saya katakan bahawa al-'Iraqi (al-Mughni 'an Haml al-Asfar, jld. 2, hlm. 797) Syeikh al-Albani (al-Silsilah al-Sahihah, jld. 1, hlm. 151-152) dan Syeikhuna Syuaib al-Arnout menyatakan bahawa hadis ini bertaraf hasan. Lafaz hadisnya seperti berikut:
كان رسول الله صلى الله عليه و سلم يدلع لسانه للحسين فيرى الصبي حمرة لسانه فيهش إليه
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah sallallah alaih wasallam menjelirkan lidahnya kepada Husain, dan apabila budak itu melihat merahnya lidah baginda dia suka (ketawa).
Saya berpandangan hadis ini DAIF kerana terdapat kecacatan tersembunyi (illah) iaitu percanggahan pada sanadnya. Ini kerana seorang perawinya yang bernama Muhammad bin 'Amr meriwayatkan hadis ini dengan dua jalur yang bercanggah:
1. Jalur pertama: Muhammad bin Bisyir dan Khalid bin Abdillah meriwayatkan dari Muhammad bin 'Amr dari Abu Salamah dari Abu Hurairah dari Nabi sallallah alaih wasallam. (Riwayat Ibn Hibban, no hadis: 5596)
2. Jalur kedua: Abdah bin Sulaiman (Riwayat: Hannad bin al-Sariy dalam kitab al-Zuhud, no hadis: 1330), Yazid bin Harun (Riwayat: al-Hasan al-'Askari dalam Tashifat al-Muhaddithin, hlm. 383) dan Muhammad bin Bisyir al-'Abdi (Riwayat: Ibn Saad, no hadis: 183) meriwayatkan dari Muhammad bin 'Amr secara mursal (sanad terputus) dari jalur Abu Salamah tanpa menyebut Abu Hurairah.
Komentar saya:
Saya mendapati bahawa jalur yang tepat dan rajih (mahfuz) bagi hadis ini ialah jalur yang mursal (terputus) kerana beberapa perkara:
1. Muhammad bin 'Amr dinilai soduq lahu awham (soduq yang mempunyai beberapa kesilapan) oleh Ibn Hajar. Ini bermakna dia mempunyai beberapa kesilapan dalam periwayatan hadis. (Taqrib al-Tahzib, jld. 2, hlm. 499). Kata Yahya Ibn Ma'in mengkritik ingatan beliau dengan berkata:
كان محمد بن عمرو يحدث مرة عن أبي سلمة بالشيء رأيه ، ثم يحدث به مرة أخرى عن أبي سلمة عن أبي هريرة.
Maksudnya: Sesungguhnya Muhammad bin 'Amr kadang-kadang membaca hadis dari Abu Salamah dengan menyandarkannya kepada pandangannya (iaitu secara mauquf tanpa disandarkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam) dan kadang-kadang beliau membaca hadis yang sama dari Abu Salamah dari Abu Hurairah (iaitu menambah nama Abu Hurairah dalam sanad). (Tarikh Ibn Abi Khaithamah, jld. 4, hlm. 322)
Hadis jeliran lidah ini sememangnya riwayat Muhammad bin 'Amr dari Abu Salamah dengan masalah yang sama iaitu kadangkala beliau meriwayatkannya dari Abu Salamah sahaja dan kadangkala beliau menambah nama Abu Hurairah. Maka ia petunjuk jelas bahawa beliau telah melakukan kesilapan dalam hadis ini. Sebab beliau tersilap ialah Suluk al-Jadah. Maka hadis ini termasuk dalam kesilapan beliau dalam periwayatan ole itu Ibn Hajar menilainya sebagai soduq yang mempunyai kesilapan.
2. Perkara yang menunjukkan beliau tidak hadis dengan baik ialah Muhammad bin Bisyir al-'Abdi sendiri meriwayatkan hadis ini dari beliau dengan mursal (tanpa ditambah Abu Hurairah) (Riwayat al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah, no hadis: 3603) dan kadangkala dengan ditambah nama Abu Hurairah. (Riwayat: Ibn Saad, no hadis: 183)
3. Majoriti anak murid Abdullah bin 'Amr meriwayatkan hadis ini secara mursal dan mereka kesemuanya tsiqah (berkredibiliti dan mempunyai ingatan yang kuat). Abdah bin Sulaiman (Riwayat: Hannad bin al-Sariy dalam kitab al-Zuhud, no hadis: 1330), Yazid bin Harun (Riwayat: al-Hasan al-'Askari dalam Tashifat al-Muhaddithin, hlm. 383) dan Muhammad bin Bisyir al-'Abdi (Riwayat: Ibn Saad, no hadis: 183).
4. Antara bukti yang menunjukkan beliau tidak mengingati hadis ini dengan baik ialah beliau kadangkala menyebut bahawa budak yang Nabi sallallah alaih wasallam menjelir lidah (bergurau) bernama Hasan seperti dalam riwayat Ibn Saad dalam al-Tabaqat al-Kubra dan kadangkala menyebut nama Husain seperti dalam riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya dan Hannad bin al-Sariy dalam kitab al-Zuhud.
Kesimpulan
Kesimpulannya hadis ini daif kerana sandnya terputus. Cuma ia boleh diamalkan kerana ia tidak berkait dengan hukum hakam akidah atau fiqh secara khusus. Ia hanyalah gurauan oleh orang berumur kepada kanak-kanak yang lebih berkait dengan hal adab pergaulan yang sangat dianjurkan dalam Islam. Tidak perlu kita terlalu keras untuk menolak hadis ini kerana ia termasuk dalam al-Adab (adab dan akhlak) dan daifnya juga ringan. Wallahua'lam.
Abu Muaz Rozaimi Ramle
17 Ogos 2014
Sweileh, Jordan
Mohon share boss, saya di facebook : " Terima kasih Samasama Boss ". Semoga bermenafaat untuk ummah.
ReplyDelete