Tuesday, 26 August 2014

Jawapan Kepada al-Katibi Terhadap Hadis Jeliran Lidah

Sebelum ini saya telah menulis tentang status hadis jeliran lidah dan saya beranggapan bahawa hadis tersebut daif kerana terdapat percanggahan pada sanadnya dan saya beranggapan bahawa sanad yang kuat bagi hadis tersebut ialah mursal. Maka hadis ini daif kerana sanadnya terputus dan saya telah berikan bukti dan petunjuk untuk menyokong dakwaan saya. Klik di sini untuk bacaan lanjut berkaitan perbincangan lanjut.

Kemudian, saya telah dimaklumkan bahawa terdapat seseorang yang bernama Ibn Abdillah al-Katibi telah menulis artikel menjawab tulisan saya berkaitan status hadis jeliran lidah. Klik di sini untuk bacaan lanjut. 

Setelah membaca artikel al-Katibi ini saya dapati beberapa lompongan yang perlu diluruskan. Berikut komentar saya terhadap artikel beliau:

1. Saudara al-Katibi seolah-olah tidak boleh menilai isu hadis ini secara menyeluruh dan tidak tahu apa sebab yang menjadikan riwayat Muhammad bin 'Amr ini lemah sehingga beliau menyatakan:


"Namun oleh sebagian orang sesudahnya dinilai dhaif (lemah) dengan tuduhan periwayatan terhadap perawi yang bernama Muhammad bin ‘Amr berlaku pertentangan dengan riwayat lainnya."

Saya katakan:

i. Kenyataan al-Katibi ini amat ajaib. Beliau seolah-olah tidak memahami kritikan pada sanad hadis ini. Di mana percanggahan antara riwayat Muhammad bin 'Amr dengan riwayat lain yang beliau dakwa? Saya tidak nampak riwayat lain yang bercanggah dengan riwayat Muhammad bin 'Amr ini.

ii. Ini kerana percanggahan yang berlaku bukan antara riwayat Muhammad bin 'Amr dengan riwayat perawi lain sebaliknya ia percanggahan dengan riwayatnya sendiri! Iaitu ada riwayat beliau meriwayatkannya melalui jalur Abu Hurairah dan dalam riwayat yang lainnya beliau sendiri gugurkan nama Abu Hurairah. Percanggahan berlaku dalam riwayat beliau sendiri maka beliau dalam isu ini digelar Madar al-Riwayah ataupun pusat bagi sanad hadis ini. Orang yang mempelajari ilmu Ilal al-Hadith akan memahami isu ini dengan baik. 

iii. Kegagalan menetapkan Madar al-Riwayah menjadikan saudara al-Katibi tidak memahami isu dengan baik.

2. Setelah membawakan riwayat Muhammad bin 'Amru dari jalur Ibn Hibban, Ibn Saad, Hannad bin al-Sari (bukan al-Sirri seperti yang dinyatakan oleh al-Katibi) al-Baghawi dan lain-lain, saudara al-Katibi menyatakan pula:

"Melihat hadits ini, ternyata banyak sekali jalur periwayatannya (thuruqul hadits) sebagaimana telah saya sebutkan di atas. Maka memungkinkan masing-masing riwayat saling menguatkan sehingga al-Iraqi menilainya hadits Hasan" 

Saya jawab:

i. Ini juga suatu yang ajaib bagi saya. Bagaimana mungkin saudara al-Katibi menyatakan hadis ini banyak jalur? Kerana jika diperhatikan semua jalurnya bertemu pada Muhammad bin 'Amr. Di mana jalur yang lain? 

ii. Sudahlah tiada jalur yang lain, al-Katibi nyatakan pula bahawa jalur yang banyak dapat menguatkan antara satu sama lain. Bagaimana pula jalur yang satu boleh menguatkan dirinya sendiri? Saya keliru dengan artikel ini.

iii. Manakala penilaian al-Iraqi itu saya akan bincangkan kemudian.

3. al-Katibi menyatakan lagi:

"Dalam hadits Nabi menjilirkan lidah kepada Hasan ini, terdapat seorang perawi yang bernama Muhammad bin ‘Amr yang oleh ulama dinilai tidak termasuk ahli itqan (lemah hafalan). Namun beliau adalah seorang yang sudah masyhur dengan kejujuran dan keadilannya. Kasus perawi semacam ini, tidak boleh dengan serta merta menolaknya, akan tetapi perlu melihat i’tibarnya dengan mengkaji jalu-jalur lainnya yang ada. Jika ada jalur periwayatan lainnya yang mu’tabar, maka haditsnya menjadi kuat. Dan ternyata hadits Muhamamd bin ‘Amr ini memiliki banyak jalur lainnya di antaranya dari jalul imam al-Baghawi sebaimana telah saya sebutkan di awal (nomor dua), sanadnya muttasil sebagai berikut bahwa imam al-Baghawi" 

Saya jawab:

i. Ya benar sememangnya perawi seperti Muhammad bin 'Amr kita tidak menolak periwayatannya secara mutlak sebaliknya kita perlu meneliti adakah beliau betul-betul mengingati hadis ini atau tidak. Maka pencarian riwayat lain perlu untuk membandingkannya dengan riwayat beliau.

ii. Jika al-Katibi menjadikan riwayat al-Baghawi sebagai penguat kepada riwayat Muhammad bin 'Amr, saya katakan ini suatu keajaiban kerana riwayat al-Baghawi sebenarnya bukan penguat sebaliknya ia adalah riwayat Muhammad bin 'Amr sendiri. Saya bawakan teks al-Baghawi:

حدثنا المطهر بن علي الفارسي ، أنا محمد بن إبراهيم الصالحاني، أنا أبو محمد عبد الله بن محمد بن جعفر المعروف بأبي الشيخ، أنا ابن أبي عاصم، نا أبو بكر بن أبي شيبة ، نا محمد بن بشر، نا محمد بن عمرو، عن أبي سلمة عن أبي هريرة قال: كان النبي r ليدلع لسانه للحسن بن علي، فيرى الصبي حمرة لسانه ، فيبهش إليه.

“ Telah mengkhabarkan pada kami al-Muthahhar bin Ali, telah mengkhabarkan pada kami Muhammad bin Ibrahim, telah mengkhabarkan pada kami Abdullah bin Muhammad bin Ja’far, telah mengkhabarkan pada kami Ibnu Abi ‘Ashim, telah mengkhabarkan pada kami Abu Bakar bin Abi Syaibah, telah mengkhabarkan pada kami Muhammad bin ‘Amr dari Abi Salamah dari Abu Hurairah Ra, ia berkata, “ Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa salamm pernah menjelirkan lidahnya kepada Hasan bin Ali, lalu Hasan yang masih kecil itu melihat kemerahan lidah Nabi, maka Hasan merasa seronok. 

Perhatikan pada sanad al-Baghawi. Terpampang nama Muhammad bin 'Amr. Ia adalah riwayat Muhammad bin 'Amr sendiri. Maka tidak mungkin menjadikannya sebagai penguat untuk riwayatnya sendiri.


4. al-Katibi mengulas riwayat al-Baghawi ini dengan katanya:

"Maka kesimpulannya hadits ini adalah dhaifh (ringan) kerana ada perawi yang majhul hal, Maka dengan adanya riwayat al-Baghawi ini melalui jalur Ibnu Abi Syaibah, dimungkinkan Muhammad bin ‘Amr memiliki dua wajh (cara) dalam periwayatannya, terkadang mengirsalkannya dan terkadang mewashalkannya".

Saya jawab:

i. Ayat ini seolah-olah al-Katibi mahu menyatakan kedua-kedua cara periwayatan iaitu mausul (dengan menyebut nama Abu Hurairah) dan mursal (tanpa menyebut Abu Hurairah) adalah benar. Jika benar sangkaan saya maka saya katakan: "Wah, amat mudahnya saudara al-Katibi membuat rumusan. Bagaimana mungkin beliau menganggap keduanya benar? Apakah bukti dan petunjuk yang al-Katibi gunakan? 

ii. Masih terngiang-ngiang dalam kepala saya nasihat saudara al-Katibi supaya berhati-hati apabila menilai sesuatu hadis. Alangkah bagusnya jika kita nasihatkan sesuatu kita yang mulakan dahulu. Maka berhati-hati sebelum membuat kesimpulan untuk penilaian sesuatu hadis wahai saudara. Carilah petunjuk dan bukti dahulu sebelum buat kesimpulan bahawa kedua-dua cara periwayatan ini benar dan terpelihara (mahfuz).

5. al-Katibi lantas menukilkan kalam Ibn Hajar dengan katanya:

الحسن لغيره هو رواية المستور والمرسل والمدلس وسيئ الحفظ إذا اعتضد بمعتبر ؛ لأن كلا من الطرق الموصوفة بذلك يحتمل كونه صواباً أو غير صواب ، فيتوقف فيه حتى توجد قرينة ترجح أحد الاحتمالين
“ Hadits Hasan li ghairihi adalah riwayat mastur, mursal, mudallas dan buruk hafalan jika dikuatkan dengan riwayat yang mu’tabar, kerana semua jalur yang disifati dengan itu dimungkinkan statusnya benar (sahih) atau tidak benar, maka tawaqquf di dalammnya hingga menemukan qarinah (indikasi) yang menguatkan salah satu kemungkinan itu  

Saya jawab:

i. Benar sekali kata Ibn Hajar. Kita perlu mencari riwayat untuk menguatkan hadis perawi yang lemah ingatannya. Maka nukilan ini tidak sekali-kali menyokong anda wahai saudara al-Katibi. Bahkan ia mendesak anda untuk mencari riwayat lain untuk menguatkan riwayat Muhammad bin 'Amr. 

ii. Setakat ini saudara al-Katibi tidak membawa apa-apa riwayat dari jalur selain Muhammad bin 'Amr untuk menguatkan riwayatnya. Semua riwayat yang dibawa adalah riwayat anak-anak murid Muhammad bin 'Amr. Tiada riwayat dari jalur lain.

6. Kata al-Katibi lagi:

"Adapun jalur yang diriwayatkan oleh Ibn Sa’ad (nomor 3 dan al-Askari (nomor 4) secara mursal, justru kedua riwayat ini dikuatkan dengan dua riwayat dari Abu Syaikh dan al-Baghawi karena disebutkn secara musnad. Sehingga dua hadits mursal tersebut statusnya menjadi hasan. Sebagaimana kaidah ulama bahwa hadits mursal menjadi kuat jika ada hadits lainnya yang sanad periwayatannya disebutkan secara musnad. Dan sebenarnya sama ada yang maushul ataupun yang mursal, menjadi mutabi’ bagi yang riwayat yang lainnya, sehingga satu dengan yang lainnya saling menguatkan.  Inilah mengapa Imam al-Iraqi, al-Albani (tokoh wahabi) dan Syuaib al-Arnauth menilai hadits riwayat Abu Syaikh ini hadits Hasan.   

Saya jawab:

i. Menjadi mutabi' (penyokong)? Bagaimana riwayat Muhammad bin 'Amru yang dipertikaikan ingatannya menjadi mutabi' untuk dirinya sendiri? Ini juga ajaib.

ii. Riwayat Mursal dan Mausul jika berlaku dalam satu periwayatan dari sumber (perawi) yang satu kita namakannya sebagai Taarudh al-Wasl wa al-Irsal. Dan ulama mempunyai perbezaan pendapat mengenai cara penilaiannya. Mutabi' berlaku apabila ada perawi lain selain Muhammad bin 'Amru meriwayatkan hadis ini secara mausul. Pada ketika itu barulah kita jadikannya sebagai mutabi'. Ia bukan mudah-mudah untuk kita nilainya sebagai hasan. 

iii. Manakala penilaian al-Albani pula saya dapati beliau seolah-olah tidak menjumpai sanad yang mursal kerana dalam al-Silsilah beliau tidak sebut langsung sanad yang mursal untuk hadis ini. (Lihat: al-Silsilah al-Sahihah, jld. 1, hlm. 151-152) Maka beliau menghukum hadis dengan yang zahir dari sanadnya. Adapun penilaian al-'Iraqi dan guru saya Syeikhuna Syuaib al-Arnout saya menghormati keduanya tetapi dalam isu ini mereka tersilap kerana percanggahan hadis ini perlu diselesaikan dengan membawa bukti dan dalil. Ataupun keduanya telah mengambil pandangan Usuliyyun yang memilih hadis mausul secara mutlak bila berlaku percanggahan antara riwayat mausul dan mursal. Sedangkan metod huffaz mutaqaddimin tidak begitu. Saya akan bawa kalam muhaddithin dalam isu ini nanti.

7. al-Katibi menyatakan lagi:

"Terlalu pra-matang (premature) menetapkan hadits Muhammad bin ‘Amr tersebut hadits dhaif kerana memiliki kesilapan atau keburukan hafalannya, kerana tidak semua perawi yang memiliki sifat wahm atau buruk hafalan kena ditolak haditsnya secara muthlak, ini salah. Sebab ia boleh diterima jika ada i’tibar dari jalur periwayatan lainnya. Al-Hafidz Ibnu Hajar mengatakan :

الحسن لغيره هو رواية المستور والمرسل والمدلس وسيئ الحفظ إذا اعتضد بمعتبر ؛ لأن كلا من الطرق الموصوفة بذلك يحتمل كونه صواباً أو غير صواب ، فيتوقف فيه حتى توجد قرينة ترجح أحد الاحتمالين
“ Hadits Hasan li ghairihi adalah riwayat mastur, mursal, mudallas dan buruk hafalan jika dikuatkan dengan riwayat yang mu’tabar, kerana semua jalur yang disifati dengan itu dimungkinkan statusnya benar (sahih) atau tidak benar, maka tawaqquf di dalammnya hingga menemukan qarinah (indikasi) yang menguatkan salah satu kemungkinan itu
Apatah lagi Muhammad bin ‘Amr tersohor (masyhur) ia seorang perawi yang amanat, jujur dan adil".
Saya jawab:

i. Pra-matang? Atau penilaian anda yang pra-matang sehingga menukil kalam Ibn Hajar dengan tujuan untuk menyokong dakwaan anda tetapi sebenarnya ia melawan dakwaan anda? 

ii. Ibn Hajar inginkan penyokong untuk menguatkan riwayat perawi daif. Di mana riwayat mutabi' (penyokong) untuk menyokong riwayat ini wahai saudara?

iii. Kenyataan al-Katibi bahawa Muhammad bin 'Amr sebagai seorang amanat dan jujur untuk menguatkan hadis ini sebenarnya yang pra-matang bagi saya. Mengapa saya berkata begitu? Adakah saudara al-Katibi tidak tahu bahawa amanat dan jujur semata tidak cukup untuk menguatkan hadis? Ia perlukan syarat yang lain iaitu ingatan yang baik yang dikenali sebagai al-Dhabt (الضبط). Berapa ramai perawi hadis yang amanah lalu dihukum daif riwayat mereka kerana lemah ingatan? Adakah al-Katibi tidak sedar hakikat ini? Alangkah moleknya kalam Imam Malik ini menjadi contoh untuk menolak dakwaan saudara al-Katibi:

 إن هذا العلم دين، فانظروا عمن تأخذون دينكم، لقد أدركت سبعين عند هذه الأساطين -وأشار الى مسجد الرسول صلى الله عليه وسلم- يقولون: "قال رسول الله صلى الله عليه و سلم"، فما أخذت عنهم شيئا، وإن أحدهم لو ائتمن على بيت مال لكان به أمينا إلا أنهم لم يكونوا من أهل هذا الشان

Maksudnya: Ilmu (hadis) ini agama maka lihatlah dari siapa kamu mengambil agama kamu. Sesungguhnya aku menjumpai 70 orang di tiang-tiang ini (sambil menunjukkan ke arah masjid nabawi) dan mereka berkata: "Sabda Nabi sallallah alaih wasallam...(iaitu mereka meriwayatkan hadis)" (tetapi) aku tidak mengambil sesuatu (hadis) pun dari mereka. DAN SESUNGGUHNYA SALAH SEORANG DARI MEREKA JIKA DIBERI AMANAH MENJAGA BAITULMAL (HARTA) SUDAH TENTU DIA AMANAH (MENJAGANYA) TETAPI MEREKA BUKANLAH AHLI DALAM ILMU INI (INGATAN MEREKA LEMAH) (Lihat: al-Khatib al-Baghdadi, al-Kifayah fi 'Ilm al-Riwayah, hlm. 159) 

Lihat kalam Imam Malik ini. Amanah semata tidak menjadikan sesebuah riwayat sebagai hasan. Saya tidak pernah mempertikaikan sifat jujur Muhammad bin 'Amr. Sebaliknya apabila Muhammad bin 'Amr melakukan percanggahan dalam riwayat ini maka saya perlu nilai ingatannya dan memilih jalur yang sebenar-benarnya (mahfuz

8. al-Katibi menyatakan lagi:

Bahkan al-Hafidz Ibnu Hajar lebih jelas mengatakan :
إذا كان راوي الحديث متأخرا عن درجة أهل الحفظ والإتقان غير أنه من المشهورين (بالصدق والستر) ، وروي حديثه من غير وجه، فقد اجتمعت له القوة من الجهتين، وذلك يرقي حديثه من درجة الحسن إلى درجة الصحيح.مثاله: حديث (محمد بن عمرو بن علقمة) عن أبي سلمة عن أبي هريرة – رضي الله عنه
“ Jika seorang perawi hadits kurang dari derajat ahli hafalan dan kuat ingatan, akan tetapi ia termasuk orang yang masyhur (tersohor) dengan kejujurannya dan keadilan, dan diriwayatkan haditsnya dari cara yang berbeza, maka telah terkumpul baginya kekuatan dari dua wajh tersebut, dengan demikian haditsnya naik dari derajat hasan menjadi derajat sahih, misalnya hadits Muhammad bin Amr bin ‘Alqamah dari Abi Salamh dari Abu Hurairah “
Saya jawab:

i. Saya ulang nasihat saudara al-Katibi kepada saya. Berhati-hatilah dalam penilaian ilmu. Sebenarnya kalam yang anda bawa ini bukan kalam Ibn Hajar wahai saudara al-Katibi. Ia adalah kalam Ibn al-Solah dalam muqaddimahnya. (Lihat: al-Muqaddimah, hlm. 35)

ii. Kalam Ibn al-Solah ini juga menyokong pernyataan saya. Kita perlukan riwayat lain untuk menyokong riwayat Muhammad bin 'Amr ini. Buktinya Ibn Hajar memberikan contoh yang lain untuk menerangkan maksud kalam Ibn al-Solah ini dengan berkata:

ومن ذلك حديث أبي بن العباس بن سهل بن سعد عن أبيه عن جده رضي الله تعالى عنه في ذكر خيل النبي صلى الله عليه وسلم.
وأبي هذا قد ضعفه لسوء حفظه أحمد بن حنبل ويحي بن معين والنسائي، ولكن تابعه عليه أخوه عبد المهيمن بن العباس؛ أخرجه ابن ماجه من طريقه. وعبد المهيمن أيضا فيه ضعف، فاعتضد.

Maksudnya: Antaranya (contoh hadis yang dikuatkan dengan mutabi') hadis Ubai bin al-'Abbas bin Sahl bin Saad dari ayahnya dari datuknya dalam menyebut (nama) kuda Nabi sallallah alaih wasallam. Ubai ini didaifkan oleh Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Maien dan al-Nasaie kerana buruknya hafalannya. Tetapi saudara kandungnya Abdul Muhaimin bin al-'Abbas menyokong riwayatnya yang mana riwayatnya diriwayatkan oleh Ibn Majah. Abdul Muhaimin juga daif tetapi dikuatkan (dengan sokongan riwayat Ubay). (Lihat: Ibn Hajar, al-Nukat, jld. 1, hlm. 416-417)

Maka jelas di sini Ibn Hajar menguatkan riwayat Ubay kerana sokongan riwayat saudara kandungnya dari jalur ayah mereka. Tetapi hadis jeliran lidah ini punca masalahnya pada Muhammad bin 'Amr tetapi tiada sokongan riwayat perawi lain yang menyokong riwayatnya yang mausul. Yang ada hanyalah riwayat anak-anak murid beliau yang semuanya meriwayatkan dari beliau.

9. Kata al-Katibi lagi:


"Bahkan imam an-Nawawi mengatakan :

إذا روي الحديث موصولا ومرسلا ، فالحكم للاتصال عند جمهور العلماء لأنها زيادة ثقة ، وهي مقبولة عند الجماهير
“ Jika suatu hadits diriwayatkan secara maushul dan mursal, maka hukumnya (ditetapkan) yang maushul menurut pendapat mayoritas ulama, kerana ia merupakan tambahan tsiqah, dan ini diterima menurut mayoritas ulama" 
Saya katakan:
i. Isu yang dibincangkan oleh Imam Nawawi ini dipanggil Taarudh al-Wasl wa al-Irsal (percanggahan riwayat mausul (bersambung) dengan riwayat mursal (terputus) dari satu sumber/perawi). Pandangan imam Nawawi yang memilih untuk mendahulukan riwayat mausul berbanding riwayat mursal secara mutlak sebenarnya adalah pandangan Ibn al-Solah dan ia tidak tepat di sisi ulama hadis yang lain. Ia dikritik oleh ramai muhaddithin. Ini kerana jika berlaku percanggahan dalam satu riwayat dan yang tepat hanyalah yang mausul walaupun majoriti perawi meriwayatkannya secara mursal maka bilakah akan berlakunya syaz (ganjil) pada sanad? (Lihat: Ibn Hajar, al-Nukat, jld. 2, hlm. 653-654) Saya bawakan kalam sebahagian dari muhaddithin yang mengkritik pandangan ini:
a. al-Biqa'ie
 إن ابن الصلاح خلط هنا طريقة المحدثين بطريقة الأصوليين ، فإن للحذاق من المحدثين في هذه المسألة نظر آخر لم يحكه وهو الذي ينبغي أن لا يعدل عنه وذلك أنهم لا يحكمون بحكم مطرد وإنما يدورون في ذلك مع القرائن

Maksudnya: Ibn al-Solah mencampur adukkan di sini antara cara muhaddithin dan cara usuliyyin (ulama usul fiqh). Sesungguhnya pakar-pakar ilmu hadis dari kalangan muhaddithin dalam isu ini mempunyai pandangan yang lain yang beliau (Ibn al-Solah) tidak ceritakan iaitu pandangan yang tidak boleh untuk kita lari daripadanya. Pandangan itu ialah mereka tidak meletakkan hukum (samada untuk memilih mausul atau mursal) dengan hukum yang umum sebaliknya mereka mencari petunjuk (untuk memilih riwayat yang terkuat) (Lihat: Burhan al-Biqaie, al-Nukat al-Wafiyyah, jld. 1, hlm. 426)


b. Ibn Rajab al-Hanbali ketika membicarakan tentang hukum tambahan pada sanad dan matan:

ولا فرق في الزيادة بين الإسناد والمتن، كما ذكرنا في حديث النكاح بلا ولي، وقد تكرر في هذا الكتاب ذكر الاختلاف في الوصل والإرسال، والوقف والرفع، وكلام أحمد وغيره من الحفاظ يدور على اعتبار قول الأوثق في ذلك، والأحفظ أيضا.

Maksudnya: Tidak ada beza dalam (penilaian) tambahan lafaz samada pada sanad ataupun matan seperti mana yang kita nyatakan sebelum ini dalam isu (periwayatan) hadis Nikah tanpa wali. Dan telah berulang dalam kitab ini contoh percanggahan antara riwayat mausul dan mursal dan percanggahan antara periwayatan hadis secara mauquf (sandarakan kalam kepada sahabat) dan marfu' (sandarakan kalam kepada Nabi). Dan kalam (Imam) Ahmad dan selainnya dari kalangannya huffaz berputar sekitar mengiktiraf riwayat perawi yang paling kuat ingatannya dan yang paling kuat hafalannya. (Lihat: Ibn Rajab al-Hanbali, Syarah Ilal al-Tirmizi, jld. 2, hlm. 637)

Penilaian saya dalam artikel yang lalu, saya telah nyatakan bahawa jalur yang tepat bagi hadis jeliran lidah ini ialah jalur mursal . Ini kerana tiga orang perawi yang kuat ingantannya telah meriwayatkan hadis ini secara mursal iaitu Yazid bin Harun, Abdah bin Sulaiman dan Muhammad bin Bisyir (seperti dalam riwayat Ibn Saad). Manakala riwayat mausul pula ia riwayat Khalid bin Abdillah. Beliau tsiqah tetapi majoriti anak murid Muhammad bin 'Amr telah meriwayatkannya secara mursal. Maka riwayat mereka lebih kuat dan perlu didahulukan. Bukti Muhammad bin 'Amru tidak mengingati hadis ini dengan baik adalah perkara berikut:

1. Muhammad bin Bisyir meriwayatkan dari Muhammad bin 'Amr dengan dua cara. Sekali mausul dan sekali mursal. Ini menunjukkan Muhammad bin 'Amr tidak mengingati hadis ini dengan baik. Tambahan pula Ibn Hajar menyebut beliau soduq yang mempunyai kesilapan. Dan hadis ini antara kesilapan beliau. Buktinya riwayat ini adalah hadis yang beliau riwayatkan dari Abu Salamah dari Abu Hurairah. Beliau mempunyai kesilapan dalam riwayat Abu Salamah. Yahya bin Maien menjelaskan:

كان محمد بن عمرو يحدث مرة عن أبي سلمة بالشيء رأيه ، ثم يحدث به مرة أخرى عن أبي سلمة عن أبي هريرة.

Maksudnya: Sesungguhnya Muhammad bin 'Amr kadang-kadang membaca hadis dari Abu Salamah dengan menyandarkannya kepada pandangannya (iaitu secara mauquf tanpa disandarkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam) dan kadang-kadang beliau membaca hadis yang sama dari Abu Salamah dari Abu Hurairah (iaitu menambah nama Abu Hurairah dalam sanad). (Tarikh Ibn Abi Khaithamah, jld. 4, hlm. 322)

2. Maka petunjuk ini sangat kuat untuk saya katakan bahawa Muhammad bin 'Amr telah melakukan Suluk al-Jadah dalam riwayat ini.[1] 


10. al-Katibi menyatakan lagi:

"Adapun riwayat-riwayat yang menyebutkan nama Hasan dan riwayat yang menyebutkan nama Husain yang seolah saling bertentangan, maka solusi terbaik yang merupakan kaidah jumhur muhadditsin dalam menyikapi hal ini adalah dengan mengkompromikan hadits-hadits yang seolah kontradiksi tersebut. Maka hadits yang menyebutkan Hasan dan hadits yang menyebutkan Husain, dikompromikan keduanya bahwasanya kisah ini terjadi kepada keduanya yakni Hasan dan Husain , hal ini tidak menutup kemungkinannya, kerana Nabi sama-sama mencintai kedua cucunya sepenuh hati.

Saya jawab: 

i. Di mana petunjuk yang menyatakan peristiwa ini berlaku 2 kali? 

ii. Dengan menjadikan kisah ini berlaku 2 kali saudara al-Katibi fikir akan menyelesaikan masalahnya. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Jika ia berlaku 2 kali maka kedua-dua riwayat ini adalah riwayat berasingan. Maka riwayat mana yang sahih? Ini kerana nama Husain disebut dalam riwayat mausul dan mursal sama seperti nama Hasan juga yang disebut dalam riwayat mausul  dan mursal ? Dan jika ia berlaku 2 kali bagaimana mungkin anda menjadikan keduanya sebagai mutabi' (sokongan)? Kerana mutabi' mestilah datang dari jalur yang sama dan hadis yang sama. Jika dalam hadis yang berbeza maka riwayat penyokong dinamakan syawahid. Dan anda perlu menyelesaikan dahulu percanggahan antara riwayat mausul dan mursal kisah Hasan dahulu sebelum menjadikannya penyokong bagi kisah Husain. Masalah menjadi lebih rumit bukan?

iii. Saya cenderung untuk menyatakan bahawa ia hanya berlaku sekali sahaja kerana riwayatnya cuma 1 iaitu dari jalur Muhammad bin 'Amr dan lafaz hadisnya juga sama. Tiada bukti juga untuk dikatakan ia berlaku 2 kali.

iii. Percanggahan nama ini menunjukkan bahawa Muhammad bin 'Amr tidak dapat mengingat hadis ini dengan baik dengan baik sehingga tertukar nama Hasan dan Husain.

Kesimpulan

Akhirnya saya ingin katakan bahawa kita bukan hanya perlu berhati-hati untuk mendaifkan hadis. Bahkan kita juga perlu berhati-hati untuk mensahihkan hadis kerana setiap apa yang disandarkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam adalah agama. Maka berhati-hatilah.

Nota kaki
[1] Suluk al-Jadah ialah petunjuk kepada kecacatan tersembunyi bagi riwayat hadis. Maksud Suluk al-Jadah ialah melalui jalan yang biasa. Seperti contoh hadis ini, sebenarnya riwayat yang tepat bagi hadis ini ialah secara mursal tetapi oleh kerana Abu Salamah selalu meriwayatkan hadis dari jalur Abu Hurairah dalam riwayat-riwayat yang lain maka Muhammad bin 'Amr pun meriwayatkan hadis yang mursal ini dari Abu Hurairah dengan menambah nama Abu Hurairah dalam sanad ini kerana menyangka ia riwayat ABu Hurairah. Maka beliau melalui jalan yang biasa bagi riwayat Abu Salamah.

Abu Muaz Rozaimi Ramle
Sweileh, Jordan
27 Ogos 2014




No comments:

Post a Comment