Saturday, 23 August 2014
Friday, 22 August 2014
Status Hadis Berkaitan Kelebihan 10 Surah
Ramai sangat yang bertanya saya tentang status hadis kelebihan 10 surah di dalam gambar ini. Ia hadis palsu dan tiada asalnya. Syeikh al-Syarif Hatim al-'Auni menyatakan ia tiada asal. Kecuali hadis tentang surah al-Mulk ia sabit dalam riwayat Ibn Mas'ud Wallahua'lam
Abu Muaz Rozaimi Ramle
22 Ogos 2014
Sweileh, Amman
Tuesday, 19 August 2014
Status Hadis-Hadis Kelebihan Ayat Kursi
Saya ditanya tantang hadis-hadis kelebihan ayat Kursi seperti di bawah ini:
Hikmat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-hadis:
1) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi bila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.
2) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah SWT hingga sembahyang yang lain.
3) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, dia akan masuk syurga dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah SWT akan memelihara rumahnya dan rumah-rumah disekitarnya.
4) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap-tiap shalat fardhu, Allah SWT menganugerahkan dia setiap hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yang benar, pahala nabi2, serta Allah melimpahkan rahmat padanya.
5) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya - mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.
6) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang, Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid..
7) Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan niscaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.
Berikut komentar saya:
1. Hadis yang sahih menyebut Allah akan menghantar penjaga sewaktu kita tidur tanpa menyebut dua malaikat.
2. Daif. Ia dihukum daif oleh Ibn Hajar al-'Asqalani dalam Nataij al-Afkar (jld. 2, hlm.296) kerana terdapat seorang perawi bernama Hafs bin Umar al-Raqasyi yang tidak dikenali. Cuma terdapat riwayat lain yang bertaraf hasan tentang kelebihan membaca ayat Kursi selepas solat. Ia dihukum hasan oleh Syeikh al-Huweini dan Syeikh Syarif Hatim al-Auni.
3. Hadis palsu kerana terdapat perawi yang bernama Nahsyal dan Habbah al-'Urani. Beliau adalah pendusta. Dihukum palsu oleh Ibn al-Jauzi dalam al-Maudhu'at al-Kubra (jld. 1, hlm. 243) dan al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu'ah (hlm. 298).
4. Ibn al-Jauzi menghukum hadis ini sebagai palsu kerana hadis ini sanadnya terdapat perawi-perawi yang tidak dikenali dan terdapat seorang pencuri sanad yang mencuri hadis ini dari sanad yang palsu. (Lihat: al-Maudhuat al-Kubra, jld. 1, hlm. 243-244) Tanda hadis palsu jelas pada hadis ini kerana seseorang tidak akan dapat menandingi pahala seorang nabi pun dalam ibadat. Bagaimana mungkin dia boleh menandingi pahala para nabi? Kata Ibn al-Qayyim ketika mengkritik hadis yang menyatakan sesiapa solat Dhuha dapat pahala 70 orang nabi:
وكأن هذا الكذاب الخبيث لم يعلم أن غير النبي لو صلى عمر نوح عليه السلام لم يعط ثواب نبي واحد
Maksudnya: Seolah-olah pendusta yang keji ini (iaitu pencipta hadis palsu) tidak tahu bahawa seseorang selain nabi jika solat selama umur Nabi Nuh sekalipun TIDAK AKAN DIGANJARI DENGAN PAHALA SEORANG NABI. (Lihat: al-Manar al-Munif, hlm. 50)
5. Saya tidak menjumpai asal untuk hadis ini, ia juga tidak diriwayatkan dalam kitab-kitab hadis. Saya mempunyai kecenderungan yang kuat untuk menyatakan bahawa ia palsu.
6. Hadis riwayat Ibn al-Sunni dan al-Hakim al-Tirmizi dan ia daif kerana sebab berikut:
i. Ia didaifkan oleh al-Muttaqi al-Hindi dalam Kanz al-'Ummal (jld. 1, hlm. 893)) kerana sanadnya Mu'dhal (terputus)
ii. Seorang perawi bernama Abu al-Taqi dan beliau daif.
iii. Daud bin Ibrahim al-Zuhli tidak dikenali.
iv. Ismail bin Ayyash daif jika meriwayatkan dari guru selain orang Syam. (Lihat: al-Silsilah al-Sahihah, jld. 2, hlm. 663)
iv. Ismail bin Ayyash daif jika meriwayatkan dari guru selain orang Syam. (Lihat: al-Silsilah al-Sahihah, jld. 2, hlm. 663)
7. Saya tidak menjjumpai asal hadis ini dengan lafaz tersebut. Sebaliknya Ibn al-Sunni meriwayatkan hadis dengan lafaz yang hampir serupa dalam kitabnya 'Amal al-Yaum wa al-Lailah (no hadis: 344):
حدثني جعفر بن أحمد بن بهمرد ثنا معمر بن سهل ثنا عامر بن مدرك ثنا خلاد عن أبي حمزة عن زياد بن علاقة عن أبي قتادة الأنصاري رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من قرأ آية الكرسي وخواتيم سورة البقرة عند الكرب أعانه الله عز وجل
Maksudnya: Sesiapa yang membaca ayat Kursi dan penutup bagi surah al-Baqarah sewaktu kesusahan/kesedihan maka Allah akan memberinya bantuan.
Hadis ini daif. Ia dihukum daif oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Nataij al-Afkar (jld. 4, hlm. 90) kerana 2 sebab:
1. Ziyad bin 'Ilaqah tidak pernah mendengar apa-apa hadis dari Abu Qatadah. Maka sanad hadis ini terputus.
2. Dalam sanad ini terdapat perawi yang tidak dikenali. Cuma Ibn Hajar tidak mejelaskan siapa perawi tersebut.
Saya mendapati guru kepada Ibn al-Sunni iaitu Jaafar bin Ahmad ini yang dimaksudkan oleh Ibn Hajar. Juga terdapat sebab yang ketiga iaitu Amir bin Mudrik merupakan perawi daif.
Kesimpulannya hadis ini daif. Cuma jika seseorang membaca al-Quran kemudian bertawassul dengannya dalam kesusahan supaya Allah memberi pertolongan kepadanya ia tidak menjadi kesalahan kerana bertawassul dengan amal soleh adalah perkara yang dibenarkan oleh Syara'.
Wallahua'lam
Abu Muaz Rozaimi Ramle
19 Ogos 2014
Sweileh, Jordan
Sunday, 17 August 2014
Status Hadis Jelir Lidah Kepada Bayi
Ramai yang bertanya saya tentang status hadis bagi perbuatan menjelir lidah seperi yang disebutkan dalam gambar di atas. Maka saya katakan bahawa al-'Iraqi (al-Mughni 'an Haml al-Asfar, jld. 2, hlm. 797) Syeikh al-Albani (al-Silsilah al-Sahihah, jld. 1, hlm. 151-152) dan Syeikhuna Syuaib al-Arnout menyatakan bahawa hadis ini bertaraf hasan. Lafaz hadisnya seperti berikut:
كان رسول الله صلى الله عليه و سلم يدلع لسانه للحسين فيرى الصبي حمرة لسانه فيهش إليه
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah sallallah alaih wasallam menjelirkan lidahnya kepada Husain, dan apabila budak itu melihat merahnya lidah baginda dia suka (ketawa).
Saya berpandangan hadis ini DAIF kerana terdapat kecacatan tersembunyi (illah) iaitu percanggahan pada sanadnya. Ini kerana seorang perawinya yang bernama Muhammad bin 'Amr meriwayatkan hadis ini dengan dua jalur yang bercanggah:
1. Jalur pertama: Muhammad bin Bisyir dan Khalid bin Abdillah meriwayatkan dari Muhammad bin 'Amr dari Abu Salamah dari Abu Hurairah dari Nabi sallallah alaih wasallam. (Riwayat Ibn Hibban, no hadis: 5596)
2. Jalur kedua: Abdah bin Sulaiman (Riwayat: Hannad bin al-Sariy dalam kitab al-Zuhud, no hadis: 1330), Yazid bin Harun (Riwayat: al-Hasan al-'Askari dalam Tashifat al-Muhaddithin, hlm. 383) dan Muhammad bin Bisyir al-'Abdi (Riwayat: Ibn Saad, no hadis: 183) meriwayatkan dari Muhammad bin 'Amr secara mursal (sanad terputus) dari jalur Abu Salamah tanpa menyebut Abu Hurairah.
Komentar saya:
Saya mendapati bahawa jalur yang tepat dan rajih (mahfuz) bagi hadis ini ialah jalur yang mursal (terputus) kerana beberapa perkara:
1. Muhammad bin 'Amr dinilai soduq lahu awham (soduq yang mempunyai beberapa kesilapan) oleh Ibn Hajar. Ini bermakna dia mempunyai beberapa kesilapan dalam periwayatan hadis. (Taqrib al-Tahzib, jld. 2, hlm. 499). Kata Yahya Ibn Ma'in mengkritik ingatan beliau dengan berkata:
كان محمد بن عمرو يحدث مرة عن أبي سلمة بالشيء رأيه ، ثم يحدث به مرة أخرى عن أبي سلمة عن أبي هريرة.
Maksudnya: Sesungguhnya Muhammad bin 'Amr kadang-kadang membaca hadis dari Abu Salamah dengan menyandarkannya kepada pandangannya (iaitu secara mauquf tanpa disandarkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam) dan kadang-kadang beliau membaca hadis yang sama dari Abu Salamah dari Abu Hurairah (iaitu menambah nama Abu Hurairah dalam sanad). (Tarikh Ibn Abi Khaithamah, jld. 4, hlm. 322)
Hadis jeliran lidah ini sememangnya riwayat Muhammad bin 'Amr dari Abu Salamah dengan masalah yang sama iaitu kadangkala beliau meriwayatkannya dari Abu Salamah sahaja dan kadangkala beliau menambah nama Abu Hurairah. Maka ia petunjuk jelas bahawa beliau telah melakukan kesilapan dalam hadis ini. Sebab beliau tersilap ialah Suluk al-Jadah. Maka hadis ini termasuk dalam kesilapan beliau dalam periwayatan ole itu Ibn Hajar menilainya sebagai soduq yang mempunyai kesilapan.
2. Perkara yang menunjukkan beliau tidak hadis dengan baik ialah Muhammad bin Bisyir al-'Abdi sendiri meriwayatkan hadis ini dari beliau dengan mursal (tanpa ditambah Abu Hurairah) (Riwayat al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah, no hadis: 3603) dan kadangkala dengan ditambah nama Abu Hurairah. (Riwayat: Ibn Saad, no hadis: 183)
3. Majoriti anak murid Abdullah bin 'Amr meriwayatkan hadis ini secara mursal dan mereka kesemuanya tsiqah (berkredibiliti dan mempunyai ingatan yang kuat). Abdah bin Sulaiman (Riwayat: Hannad bin al-Sariy dalam kitab al-Zuhud, no hadis: 1330), Yazid bin Harun (Riwayat: al-Hasan al-'Askari dalam Tashifat al-Muhaddithin, hlm. 383) dan Muhammad bin Bisyir al-'Abdi (Riwayat: Ibn Saad, no hadis: 183).
4. Antara bukti yang menunjukkan beliau tidak mengingati hadis ini dengan baik ialah beliau kadangkala menyebut bahawa budak yang Nabi sallallah alaih wasallam menjelir lidah (bergurau) bernama Hasan seperti dalam riwayat Ibn Saad dalam al-Tabaqat al-Kubra dan kadangkala menyebut nama Husain seperti dalam riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya dan Hannad bin al-Sariy dalam kitab al-Zuhud.
Kesimpulan
Kesimpulannya hadis ini daif kerana sandnya terputus. Cuma ia boleh diamalkan kerana ia tidak berkait dengan hukum hakam akidah atau fiqh secara khusus. Ia hanyalah gurauan oleh orang berumur kepada kanak-kanak yang lebih berkait dengan hal adab pergaulan yang sangat dianjurkan dalam Islam. Tidak perlu kita terlalu keras untuk menolak hadis ini kerana ia termasuk dalam al-Adab (adab dan akhlak) dan daifnya juga ringan. Wallahua'lam.
Abu Muaz Rozaimi Ramle
17 Ogos 2014
Sweileh, Jordan
Sunday, 10 August 2014
Status Hadis Berkahwin Menambah Rezeki
Saya ditanya berkenaan status hadis di dalam gambar ini. Maka saya katakan seperti berikut:
1. Kisah Nabi sallallah alaih wasallam memerintahkan pemuda berkahwin 4 kali itu palsu tiada asalnya dalam kitab-kitab hadis.
2. Terdapat satu riwayat di dalam Tarikh Baghdad dengan lafaz berikut:
(جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم يشكو إليه الفاقة ، فأمره أن يتزوج)
Maksudnya: Seorang lelaki mengadu kepada Nabi sallallah alaih wasallam akan kesusahannya maka baginda memerintahkan beliau berkahwin.
Hadis ini terlalu daif kerana terdapat perawi yang bernama Said bin Muhammad Maula Bani Hasyim. Beliau terlalu daif di sisi Abu Hatim al-Razi dan Ibn Hibban.
3. Terdapat hadis yan menganjurkan nikah bagi mereka yang miskin supaya bertambah rezeki tetapi semua riwayatnya daif samada disebabkan perawinya majhul ataupun sanadnya terputus.
4. Terdapat ayat al-Quran dalam surah al-Nur: 32 yang mempunyai makna yang hampir sama dengan hadis ini.
Kesimpulannya:
i. Kisah Nabi sallallah alaih wasallam perintah pemuda nikah 4 kali itu palsu dan tiada asalnya.
ii. Hadis anjuran bernikah untuk menambah rezeki itu daif walaupun maknanya sahih kerana disokong oleh al-Quran.
wallahua'lam
(Rujuk link berikut untuk perbahasan lanjut: http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=246446)
Friday, 8 August 2014
Status Hadis Berkaitan Malaikat Menyentuh Pipi Wanita
Saya ditanya tentang hadis di dalam gambar di atas ini. Maka saya katakan hadis ini palsu tiada asal, ia tidak diriwayatkan dalam kitab-kitab hadis. Lafaznya juga rakik (tidak kemas) bukan dari kalam Nabi sallallah alaih wasallam. Itu petunjuk paling jelas tentang palsunya hadis ini. Wallahua'lam
Abu Muaz Rozaimi Ramle
9 Ogos 2014
Sweileh, Jordan
Sunday, 3 August 2014
Nama-Nama Kuda Nabi sallallah alaih wasallam
Saya ditanya tentang nama-nama kuda yang dimiliki oleh Nabi sallallah alaih wasallam dalam artikel di atas ini. Maka saya katakan seperti berikut :
i. ulama sepakat terhadap 7 nama kuda yang dimiliki oleh baginda.
Berikut adalah nama-namanya:
1. Al-Sakb
2. Al-Murtajiz
3. Al-Luhaif/al-Lahif
4. Sabhah
5. Al-Lizaz
6. Al-Zirb/al-Zarib
7. Al-Ward
ii. Cuma penulis meletakkan nama al-sanjah sebagai salah satu nama kuda baginda. Dan nama ini saya tidak jumpa dalam kitab sirah yang ada pada saya.
iii. Manakala nama-nama kereta moden yang beliau sebut itu beliau sendiri sudah nyatakan bahawa ia hanya perumpamaan dari sudut kepantasan dan efisien kuda tersebut.
iv. Bagaimanapun bagi saya tidak perlu untuk kita menuduh beliau kazzab atau pendusta kerana mungkin beliau tersilap pada 1 nama itu. Manakala nama-nama yang lain itu betul. Dan beliau juga menyatakan ia hanya perumpamaan sahaja. Wallahua'lam
- rujukan: Ibn al-Qayyim, Zaad al-Maad, jld. 1, hlm. 128-129, al-Salihi al-Syami, Subul al-Huda wa al-Rasyad fi Sirah Khair al-'Ibad, jld. 7, hlm. 397
Subscribe to:
Posts (Atom)