Monday 23 December 2013

Jawapan kepada fitnah terhadap al-Albani


Tersebar poster seperti ini di internet. Saya katakan ia adalah fitnah terhadap al-Albani. Ya, saya juga mempunyai beberapa perkara yang tidak sependapat dengan pandangan beliau terutama dalam penilaian hadis tetapi tidak perlu untuk fitnahbeliau jika tidak bersetuju dengannya. Jawapan saya secara ringkas seperti berikut:

1. Al-Albani sendiri menafikan secara jelas bahawa beliau tidak mengkafirkan al-Bukhari. Keterangannya seperti berikut:

i. Kata al-Albani kepada muridnya: engkau sendiri mendengar bahawa aku syak (tidak percaya) kalam itu ditulis oleh al-bukhari. Maknanya pada al-Albani kalam itu tidak sabit bagi al-bukhari.

* kalam ini dinukil oleh pembuat poster dalam posternya tetapi seolah beliau tidak faham maksudnya. Saya meragui kebolehan bahasa arab pembuat poster ini.

Persoalannya betulkah kalam itu dari al-bukhari?

al-bukhari mendatangkan tafsiran al-mulk (kerajaan) untuk ayat:

كل شيء هالك إلا وجهه

Ibn hajar menyatakan bahawa tafsiran ini al-bukhari nukilkan dari abu ubaidah ibn al-muthanna dalam manuskrip sahih al-bukhari riwayat al-nasafi.

Maka al-albani menganggap ia bukan kalam al-bukhari. Jadi bagaimana anda boleh katakan beliau mengkafirkan al - Bukhari?

Justeru apa yang dikatakan oleh al-albani ia bukan kalam mukmin?
Jika diteliti al-albani ditanya tentang tafsiran al-mulk kepada ayat yang lain bukan ayat yang ditafsirkan oleh al-bukhari tadi. Ayat yang ditanya kepada al-albani ialah:

ويبقى وجه ربك ذو الجلال والإكرام

Maka al-albani menyatakan tafsiran itu tidak benar kerana jika ditafsir ayat tadi dengan kerajaan maka sudah pasti maksudnya kekallah KERAJAAN Tuhanmu yang mempunyai keagungan dan kemuliaan. Sedangkan kerajaan itu makhluk mana mungkin ia akan kekal dan mempunyai keagungan dan kemuliaan? Ia adalah sifat Allah bukan sifat makhlukNya.

Apa yang pasti kalam al-albani ini tidak ditujukan kepada al-bukhari kerana al-bukhari tidak mentafsirkan ayat itu dengan al-mulk tetapi ayat yang lain.

ii. Kata al-Albani lagi: tetapi yang penting kita bersihkan imam al-bukhari daripada takwilan sebegitu terhadap ayat ini kerana beliau imam dalam hadith dan dalam sifat (Allah) dan beliau bermazhab salafi dari sudut akidah.

(Rujuk: al-Albani, mausuah al-albani fi al-akidah, jld. 6, hlm. 326)

Justeru saya ingin bertanya kepada pembuat poster ini, jika al-bukhari kafir di sisi al-albani mengapa al-albani masih mendoakan rahmat kepada al-bukhari dalam banyak kitab-kitabnya (lihat contohnya: irwa'al-ghalil, jld. 1, hlm. 302, silsilah sahihah, jld. 3, hlm. 59, jld. 3, hlm. 145, jld. 4, hlm 184) sedangkan beliau berpandangan haram mendoakan rahmat bagi orang yang mati dalam keadaan kafir? (Lihat: silsilah sahihah, jld. 1, hlm. 304)

Pesanan saya: kita boleh untuk tidak bersetuju dengan pandangan al-albani tetapi janganlah dengan kebencian menyebabkan kita memfitnahnya kerana ia adalah bebanan kita di hari kiamat nanti. Kepada pembuat poster dan mereka yang tolong sebarkan ia dengan tujuan menyokongnya persiapkanlah jawapan anda di hari kiamat nanti. Wallahua'lam.


Abu Muaz Muhamad Rozaimi 
23 Disember 2013
6.30 malam
Sweileh, Jordan

No comments:

Post a Comment