Tuesday, 26 November 2013

Sedikit teguran kepada Tuan Mufti Kedah

Ramai antara kita yang telah menonton video seorang Mufti di negara kita yang menghentam satu aliran pemikiran yang beliau tidak setuju. Videonya boleh ditonton di sini: 



Di sini saya akan menyatakan pandangan saya ke atas klip video berkenaan. Pandangan saya ini bukanlah bermakna saya tidak bersetuju dengan beliau dalam semua perkara bukan juga kerana saya juga ingin pertahankan wahabi. Bahkan mungkin beliau lebih alim dan pandai dari saya. Saya tidak mempunyai apa-apa masalah peribadi dengan beliau. Cuma atas dasar amanah ilmu maka saya kemukakan kritikan ini. Jika saya tersalah sila betulkan.

Kritikan Pertama:

Berkaitan dengan Tabarruk (Mengambil Berkat) dengan kesan peninggalan Nabi sallallah alaih wasallam.

Tuan Mufti agak kurang cermat di sini apabila menyatakan puak wahabi menolak konsep tabarruk dengan kesan peninggalan Nabi sallallah alaih wasallam. Saya tidak pasti mazhab mana yang tidak membenarkan bertabarruk dengan kesan peninggalan baginda secara mutlak. Sebenarnya isu bertabarruk dengan Nabi sallallah alaih wasallam ini perkara yang sabit dalam hadis-hadis yang sahih. Ia dilakukan oleh sahabat-sahabat baginda sewaktu hayat dan selepas kewafatan baginda. Jika ada mazhab yang tidak membenarkan bertabarruk maka sudah pastinya pandangan itu silap dan salah dan harus diperbetulkan. Cuma saya belum menjumpai pandangan mazhab yang berkata demikian. 

Beliau mengaitkan isu tabarruk ini dengan kisah syeikh dari Lubnan yang membawa rambut Nabi sallallah alaih wasallam. Berdasarkan pembacaan saya yang terhad ini, bantahan terhadap syeikh dari Lubnan tersebut bukan disebabkan mereka membantah konsep tabarruk dengan Nabi sallallah alaih wasallam. Tetapi mereka inginkan kepastian BENARKAH RAMBUT ITU MILIK NABI? Jika benar di mana buktinya? Saya kira dua persoalan ini amat berbeza. Bagi saya tuan mufti harus berhati-hati di sini.


Kritikan Kedua:

Wahabi menyatakan Allah beristiwa' seperti kera

Pernyataan ini juga adalah sesuatu yang besar kesannya. Tuan Mufti harus mendatangkan bukti untuk menguatkan tuduhannya. Jika benar ada yang menyatakan demikian maka dia telah kafir kerana menyamakan Allah dengan makhluk. Maka haram solat di belakangnya. Jika tidak mempunyai bukti maka kata-kata tuan mufti amat bahaya kerana ia termasuk dalam bab menuduh kafir kepada seseorang atas dakwaan yang tidak benar. Saya teringat kalam al-Allamah al-Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Bouty: "Sesalan kita tidak mengkafirkan orang yang tidak jelas kekufurannya tidaklah lebih besar dari sesalan kita mengkafirkannya sedangkan dia tidak kafir".

Kritikan Ketiga:

Tuan Mufti berkata wahabi mengajar kitab yang kata Allah memegang najis.

Berdasarkan pembacaan saya yang singkat ini, saya terjumpa dalam kitab Ibn Taimiah tentang isu memegang najis ini. Saya nukilkan teks asal beliau:

وليس في مماسته للعرش ونحوه محذور كما في مماسته لكل مخلوق من النجاسات والشياطين وغير ذلك فان تنزيهه عن ذلك انما اثبتناه لوجوب بعد هذه الاشياء وكونها ملعونة مطرودة

Maksudnya: Dan bukanlah menyentuh Arash itu dan selainnya merbahaya (mustahil berlaku) sepertimana menyentuh setiap makhluk samada najis ataupun syaitan serta selainnya. Apapun perbuatan menyucikan Allah dari kesemua ini kami tetapkan kerana secara pasti jauhnya kedudukan perkara (iaitu najis dan syaitan) itu dan keadaannya yang dilaknat dan dihalau. (Talbis al-Jahmiah, jld. 2, hlm 556)

Ia jelas menunjukkan bahawa Ibn Taimiah menafikannya. Saya menantikan jika ada kitab-kitab akidah lain yang menyatakan Allah memegang najis. Jika tidak ada maka ia juga satu tuduhan liar dari beliau.

Kritikan Keempat:

Tuan Mufti menyatakan wahabi ini tidak melakukan qunut Subuh. Ini juga satu kenyataan kurang cermat dari Tuan Mufti. Adakah beliau tidak mengetahui bahawa ada seorang sahabat Nabi sallallah alaih wasallam yang menyatakan qunut subuh ini bidaah? Berikut riwayat beliau:

عن خلف بن خليفة عن أبي مالك الأشجعي عن أبيه قال : صليت خلف النبي صلى الله عليه و سلم فلم يقنت وصليت خلف أبي بكر فلم يقنت وصليت خلف عمر فلم يقنت وصليت خلف عثمان فلم يقنت وصليت خلف علي فلم يقنت ثم قال : يا بني إنها بدعة

Maksudnya: Dari Abu malik al-Asyjaie katanya: Aku solat di belakang Nabi sallallah alaih wasallam dan baginda tidak berqunut, aku juga solat dibelakang Abu Bakar dan beliau tidak berqunut, aku solat di belakang Umar beliau juga tidak berqunut dan aku juga solat di belakang Ali dan beliau juga tidak berqunut. Kemudian beliau kata kepada anaknya: Wahai anakku, ia (qunut) adalah bidaah. (Hadis riwayat al-Tirmizi al-Nasaie dan Ibn Hibban) 

Kata al-Tirmizi: Hadis hasan sahih. Ibn ِAbd al-Hadi juga mensahihkan sanadnya. (Rujuk: Tanqih al-Tahqiq, jld. 2, hlm. 429)

Sudah pastinya ulama mazhab al-Syafie mempunyai pemahaman tersendiri terhadap riwayat ini. Namun, sabit pada ulama mazhab lain bahawa qunut secara berterusan ini tidak dilakukan oleh Nabi sallallah alaih wasallam. Ia perkara khilaf dalam fiqh dan bukanlah tulisan ini bertujuan untuk melakukan tarjihan dalam isu ini. Cuma saya ingin gambarkan jika mazhab wahabi yang bukan ahli sunnah seperti dakwaan tuan Mufti tidak berqunut bagaimana pula dengan sahabat Nabi yang agung ini? adakah beliau juga wahabi yang bukan ahli sunnah sejati? Bagaimana pula dengan mazhab-mazhab fiqh yang tidak bersetuju dengan pandangan mazhab al-Syafie ini? adakah semuanya wahabi belaka?


Krikitan Kelima:

Tentang solat tarawih. Sebenarnya isu solat tarawih ini sememangnya menjadi perbahasan hangat dalam kalangan para sarjana Islam sejak zaman berzaman. Setiap dari mereka berijtihad dalam menentukan bilangan rakaat tarawih berdasarkan hadis dalam bab ini. Jika menyatakan solat Tarawih lapan rakaat menjadi wahabi, bagaimana pula jika ada yang menyatakan solat tarawih tiada bilangan tertentu? al-Suyuti menyatakan:

الذي وردت به الأحاديث الصحيحة والحسان الأمر بقيام رمضان والترغيب فيه من غير تخصيص بعدد ، ولم يثبت أن النبي صلى الله عليه وسلم صلى التراويح عشرين ركعة ، وإنما صلى ليالي صلاة لم يذكر عددها

Maksudnya: Yang sabit dari hadis yang sahih dan hasan ialah perintah menghidupkan malam Ramadhan dan mengalakkannya tanpa meletakkan had bilangan. Tidak sabit bahawa Nabi sallallah alaih wasallam melakukan solat tarawih 20 rakaat sebaliknya baginda bersolat dan tidak dinyatatan bilangan rakaatnya. (al-Masabih fi Solat al-Tarawih, cetakan: Dar Ammar, hlm. 14)

al-Suyuti kemudian menukilkan pandangan al-Subki:

Tetapi semua khilaf ini mudah diselesaikan. Sesiapa yang mahu maka boleh solat dengan rakaat yang sedikit dan sesiapa yang mahu maka dia boleh menambah rakaatnya..((al-Masabih fi Solat al-Tarawih, cetakan: Dar Ammar, hlm. 46)

Sudah pastinya al-Suyuti dan al-Subki adalah ulama agung bermazhab al-Syafie bukan wahabi.

Kesimpulannya:

Saya mempunyai kepercayaan bahawa tuan Mufti tersilap dalam mengeluarkan pandangan atau maklumat beliau terhad dalam isu ini. Mudah-mudahan beliau mempunyai uzur di hadapan Allah dan memohon maaf kepada pihak yang berkaitan. Tetapi adakah kita mempunyai keuzuran dengan menyokong sesuatu yang tidak tepat dengan membangunkan page tertentu untuk menyokong sesuatu yang salah? Marilah sama-sama kita fikir dan renungkan. Mudah-mudahan kritikan ini dapat menjernihkan kembali pergelutan antara penuntut ilmu di Malaysia. Jika ada kometar ilmiah saya alu-alukan.

العلم رحم بين أهله

Abu Muaz Muhamad Rozaimi bin Ramle
Sweileh, Jordan
26 November 2013
10.53 pagi



13 comments:

  1. Aku nk jwb y pertama ja kat hang... apa untungnya seseorang mengaku membawa rambut atau sebahagian benda y disandarkan kepada rasulallah s.a.w? Semua tahu.. neraka tempatnya.. kalau aku bw dekat hg pn hg tak bleh nk pasti...sebab hg tak kenal n tak reti..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau dh hati xmau terima kebenaran, Org bawa dalil & hujah pon masih nk sanggah....

      Delete
    2. saudara yusri.bg saya,persoalan saudara tidak menjawab soalan pertama..sbg contoh,apa untungnya mereka cipta hadis palsu?semua tahu neraka tempatnya..tapi kenepa terdapat banyak hadis palsu? kerana sayang kepada Rasulullah lah kita semua patut berhati2 dlm menerima dakwaan yg membabitkan baginda. Wallahu Alam

      Delete
  2. Penjelasan yang mantap. Semoga orang ramai tidak bersifat taksub sehingga menafikan kebenaran yang telah dihujjahkan oleh para Ilmuwan Islam...

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum. ustaz ni orang lpoh kan.. Rasanya macam kenal.. Apa2 pun tahniah di atas penjelasan.. Baarakallahu fik..

    ReplyDelete
  4. Mintak ulasan ustaz....mengapa ustaz keluaran pondok anti ibnu Taimiyah @mohd ab.wahab....sebab kitab @ tok guru meka....

    ReplyDelete
  5. Meh datang jumpe aku. Cakap byk dalam ni x gune oit.

    ReplyDelete
  6. Kalau subuh di masjidilharam pun tak baca qunut sah ka solat berimam kan mereka..? Wahabi ka mereka..? Awat tuan mufti tak mau cerita..?

    ReplyDelete
  7. http://aswj-rg.blogspot.com/2013/11/sedikit-teguran-kepada-rozaimi-ramle.html

    ReplyDelete
  8. Bagus tulisan Ibnu Abdillah Al Katibiy.

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
  9. Alhamdulillah ustaz katibi respon tulisan ana..barakallahu fik atas juhud anta menulis..cuma persoalan yg ana bangkitkan belum terjawab sepenuhnya oleh anta antaranya:
    1. Ada bukti yg wahabi kata istiwa ' Allah seperti kera?
    2. Ada bukti wahabi kata Allah pegang najis? 3. Ada bukti wahabi kata tak boleh tabarruk dgn rambut nabi ?

    ReplyDelete