Friday, 10 May 2013

Apa kata ulama hadis terhadap Kitab Ihya' 'Ulum al-Din karya Hujjat al-Islam al-Ghazzali?


Ramai yang marah apabila pelajar-pelajar hadis menyatakan kritikan mereka terhadap karya Imam al-Ghazzali yang masyhur Ihya' Ulum al-Din. Tidak dapat dinafikan bahawa marah mereka itu disebabkan kecintaan mereka yang mendalam kepada tokoh agama ini. Cuma apa yang perlu difahami oleh setiap muslim ialah kritikan ilmiah terhadap kesilapan seorang sarjana bukanlah bermakna kita mentohmah beliau atau menghinanya. Sebaliknya kritikan yang dilakukan hanyalah kerana melaksanakan amanah ilmu. Seperkara lagi yang perlu kita ketahui, kritikan terhadap kitab Ihya' bukanlah datang dari pelajar hadis hari ini, tetapi ia datang dari tokoh hadis silam yang masyhur. Berikut adalah antara kritikan jaguh-jaguh hadis terhadap kitab Ihya':

1. Ibn Jauzi:
((اعلم أن في كتاب الإحياء آفات لا يعلمها إلا العلماء، وأقلها الأحاديث الباطلة الموضوعة، وإنما عنقلها كما اقتراها ـ جمعها ـ لا أنه افتراها ، ولا ينبغي التعبد بحديث موضوع والاغترار بلفظ مصنوع
Maksudnya: Ketahuilah bahawa dalam kitab Ihya' penyakit yang tidak diketahui melainkan ulama. Penyakit yang paling ringan ialah hadis-hadis batil dan palsu. Sesungguhnya beliau (al-Ghazzali) mengumpulkan hadis-hadis itu hasil dari nukilannya (dari sumber lain) dan bukan beliau yang mereka-reka hadis itu sendiri. Tidak boleh beribadat dgn hadis palsu dan terpesona dgn lafaz hadis yang direka. (Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 16-17)

2. al-Zahabi:
((أما الإحياء ففيه من الأحاديث الباطلة جملة، وفيه خير كثير لولا ما فيه من آداب ورسوم وزهد من طرائق الحكماء، ومنحرفي الصوفية، نسأل الله علماً نافعاً
Maksudnya: Adapun kitab al-Ihya' di dalamnya terdapat hadis-hadis batil secara umum. Padanya ada kebaikan yang banyak jika tidak dipenuhi dengan adab, cara hidup dan zuhud dari jalan-jalan golongan Hukama' dan sufi yang menyeleweng. Kita mohon kpd Allah ilmu yg bermanfaat...(Siyar A'lam al-Nubala', jld. 19, hlm 339-340)

3. Ibn Kathir:
((وصنف في هذه المدة كتابه إحياء علوم الدين وهو كتاب عجيب يشتمل على علوم كثيرة من الشرعيات ، وممزوج بأشياء لطيفة من التصوف وأعمال القلوب ، لكن فيه أحاديث كثيرة غرائب ومنكرات وموضوعات

Maksudnya: Beliau (al-Ghazzali) menulis dalam tempoh ini (tempoh ketika beliau tinggal di bumi Syam) kitab Ihya' 'Ulum al-Din yg merupakan kitab ajaib yang meliputi ilmu yang banyak dari ilmu Syarie. Ia juga bercampur dengan perkara-perkara tasawwuf dan amalan jiwa. Tetapi di dalamnya terdapat banyak hadis-hadis gharib (ganjil), munkar dan palsu. (al-Bidayah wa al-Nihayah, jld 12, hlm 174)

Kesimpulannya:

* Oleh itu perlu berhati-hati ketika membaca kitab Ihya' terutama apabila melibatkan hadis. Rujuklah takhrij al-'Iraqi (al-Mughni 'an Haml al-Asfar) untuk mengetahui status hadis yg terdapat dlm kitab Ihya'.

* Kritikan ini bukanlah bermakna ulama hadis menolak ketokohan al-Ghazzali. Beliau jaguh dalam usul fiqh dan fiqh. Sehinggakan al-Zahabi sendiri memujinya dgn berkata: Mana ingin dicari orang seperti al-Ghazzali dan al-Maziri dari sudut ketokohan ilmu dan kedudukan mereka? (Siyar A'lam al-Nubala', jld19, hlm 340)

* Kita cintakan al-Ghazzali tetapi kita lebih cintakan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Oleh itu, kita memilih untuk pelihara hadis-hadis baginda daripada pendustaan.

* Hadis palsu yang terdapat dalam kitab Ihya' bukanlah rekaan al-Ghazzali sebliknya beliau hanya nukilkan dari sumber lain dalam keadaan beliau tidak tahu hadis itu palsu.

Abu Muaz Rozaimi Ramle
11 Mei 2013
3.22 pagi
Sweileh, Jordan

2 comments:

  1. Rozaimi tahu tak, hukum makan tu apa?

    ReplyDelete
  2. knp tak sekalian aje tanye ape hukum kite hidup...

    ReplyDelete