Terlalu ramai yang bertanya saya tentang hadis ini:
"Pada malam Isra’ Mikraj, aku melihat tulisan di atas pintu syurga: “Pahala sedekah ialah 10 kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda”. Aku bertanya Jibril, “Kenapa memberi hutang lebih banyak pahalanya daripada sedekah?” Jawabnya, “Kerana orang yang meminta sedekah dalam keadaan meminta sedangkan dia mempunyai harta. Sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana sesuatu keperluan.”
Saya katakan:
1. Hadis ini terlalu daif kerana sebab-sebab berikut:
i. Terdapat seorang perawi bernama Khalid bin Yazid bin Abi Malik. Beliau dituduh sebagai pendusta oleh Yahya bin Maien. al-Nasaie menyatakan beliau tidak tsiqah (tidak boleh dipercayai). Manakala Imam Ahmad berkata: Tiada nilai.
ii. Manakala ayah kepada Khalid iaitu Yazid bin Abi Malik pula daif kerana lemah ingatannya.
Oleh itu beberapa ulama hadis semisal Ibn al-Jauzi dan al-'Iraqi menilai hadis ini tidak sahih bahkan terlalu daif. (Rujuk: Ibn al-Jauzi, al-'Ilal al-Mutanahiah, jld. 2, hlm. 602, al-'Iraqi, al-Mughni 'an Haml al-Asfar, jld.1 hlm. 427)
2. Terdapat satu lagi riwayat yang hampir sama maknanya dengan hadis ini. Ia diriwayatkan dari jalur Abu Umamah dengan lafaz:
دخل رجل الجنة، فرأى على بابها مكتوبا: الصدقة بعشر أمثالها، والقرض بثمانية عشر
Maksudnya: Seorang lelaki masuk ke dalam syurga dan mendapati ditulis di pintunya: (Pahala) sedekah diganda 10 manakala (pahala) memberi pinjaman digandakan 18 kali.
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Qasim bin Abdul Rahman al-Dimasyqi dari Abu Umamah melalui 3 jalur:
i. Jalur pertama: Riwayat Ismail bin 'Ayyash dari 'Utbah bin Humaid dari al-Qasim. Jalur ini daif kerana:
- 'Utbah daif. Beliau dinilai daif oleh Imam Ahmad. Abu Hatim menilainya sebagai Salih al-Hadis. (Rujuk: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 6, hlm. 370) Tetapi ia bukanlah bermakna Abu Hatim menyatakan ia tsiqah kerana perkataan Salih al-Hadith di sisi Abu Hatim biasanya bermaksud perawi yang hadisnya tidak menjadi hujah (daif) cuma hadisnya ditulis dan boleh dinaiktarafkan dengan mutabaat (sokongan). (Rujuk: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 2, hlm. 37)
- Ismail bin 'Ayyash yang meriwayatkan hadis ini dari 'Utbah juga daif kerana beliau daif jika meriwayatkan hadis dari guru yang bukan berasal dari negeri Syam. Dan 'Utbah berasal dari Basrah, Iraq bukan dari Syam. (Lihat: Ibn Rajab, Syarah "ilal al-Tirmizi, jld. 2, hlm. 773)
Walaupun al-Albani menilai hadis ini sebagai hasan kerana Ibn Hibban menyebutnya dalam kitab al-Tsiqat tetapi saya berpendapat hadis ini daif ringan kerana Imam Ahmad mendaifkan 'Utbah. Manakala pandangan Ibn Hibban sudah diketahui umum bahawa jika beliau semata menyebut nama perawi dalam kitab al-Tsiqat tanpa menyebut tsiqah secara jelas maka Ibn Hibban dikira sebagai bermudah-mudah dalam menilai tsiqah perawi. Maka pandangan Imam Ahmad lebih wajar untuk dipilih. Syeikhuna Syuaib al-Arnaut juga menilai hadis ini daif ketika mentahqiq Sunan Ibn Majah. Wallahua'lam
ii. Jalur kedua: Riwayat Maslamah bin Ali dari Yahya al-Zimari dari al-Qasim. Jalur ini terlalu daif kerana Maslamah ini terlalu daif. (Rujuk: Ibn al-Jauzi, al-'Ilal al-Mutanahiah, jld. 2, hlm. 601-602)
iii. Jalur ketiga: Riwayat Jaafar bin al-Zubair al-Hanafi dari al-Qasim. Riwayat ini juga terlalu daif kerana Jaafar dinilai matruk (perawi yang ditinggalkan hadisnya kerana terlalu daif) oleh Abu Hatim, Abu Zur'ah, al-Nasaie, al-Daraqutni dan ramai lagi. (Rujuk: Ibn Hajar, Tahzib al-Tahzib, jld. 7, hlm. 54-55)
Maka semua jalur hadis ini tidak sahih walaupun satu. Moga bermanfaat.
jazakallahu khairan Dr...
ReplyDelete