Saya telah membaca tulisan saudari Shafiyyah al-Nuriyyah terhadap artikel kedua saya. Alhamdulillah saya dapat merasakan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa hujah untuk membalas hujah saya. Maka beliau terpaksa berpusing-pusing pada hujah yang sama walaupun saya telah menjawab hujah tersebut. Maka atas dasar amanah ilmu saya jawab artikel terbaru beliau seperti berikut:
1. Kata Shafiyyah al-Nuriyyah:
"Hadits Nabi menjelirkan lidah telah dinilai hasan oleh al Hafidz al Iraqi dan dinilai sahih oleh al Imam Ibnu Hibban dalam sahihnya. Cukup kedua ulama ini menjadi pegangan kami dalam penilaian tashih, tahsin dan tadh’if h hadits dalam isu ini".
Saya jawab:
i. Jika saudari Shafiyyah mengaku bahawa beliau hanya pentaqlid dalam isu ini, maka selesailah masalah kita. Ini kerana sifat pentaqlid itu hanya mengikut tanpa bertanyakan dalil dan bukti. Tetapi dalam artikel yang lepas saudari seolah-olah ingin menjadi PENGKAJI dalam ilmu hadis.
ii. Namun jika dengan nukilan di atas saudari Shafiyyah mahu menyatakan bahawa pandangan beliau mempunyai sandaran ulama, saya juga ingin nyatakan bahawa pandangan saya juga mempunyai sandaran. Kalam imam Ahmad bin Hanbal dan kalam Yahya bin Maien dalam isu ini langsung disentuh oleh saudari Shafiyyah dalam 2 artikel sebelum ini. Saya bawa sekali lagi kalam kedua-dua tokoh 'Ilal hadith ini untuk kita sama-sama nilai:
a. Imam Ahmad:
كان محمد بن عمرو يحدث بأحاديث فيرسلها، ويسندها لأقوام آخرين. قال: وهو مضطرب الحديث، والعلاء أحب إلي منه.
Maksudnya: Sesungguhnya Muhammad bin 'Amr membaca hadis secara mursal, dan membacanya secara musnad (mausul) pula pada orang-orang lain. Beliau seorang mudtarib al-Hadith (perawi yang keliru) dan al-'Ala' lebih aku sukai daripadanya. (Lihat: Ibn Rajab al-Hanbali, Syarah 'Ilal al-Tirmizi, jld. 1, hlm 403)
b. Yahya bin Maien:
كان محمد بن عمرو يحدث مرة عن أبي سلمة بالشيء رأيه ، ثم يحدث به مرة أخرى عن أبي سلمة عن أبي هريرة.
Maksudnya: Sesungguhnya Muhammad bin 'Amr kadang-kadang membaca hadis dari Abu Salamah dengan menyandarkannya kepada pandangannya (iaitu secara mauquf tanpa disandarkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam) dan kadang-kadang beliau membaca hadis yang sama dari Abu Salamah dari Abu Hurairah (iaitu menambah nama Abu Hurairah dalam sanad). (Tarikh Ibn Abi Khaithamah, jld. 4, hlm. 322)
Saya ingin bertanya mengapa anda tidak ulas dua kalam ini? Adakah kerana ia tidak menyokong pernyataan anda?
iii. Berkenaan dengan pensahihan Ibn Hibban terhadap hadis ini, saya katakan bahawa sebahagian ulama hadis semisal Ibn Hibban dan al-Hakim adalah ulama yang bermudah-mudah dalam mensahihkan hadis. Ibn Hibban juga tidak memandang 'illah (kecacatan) tersembunyi ketika mensahihkan hadis. Berikut komentar beberapa ulama hadis terhadap Ibn Hibban:
a. Ibn Hajar al-Asqalani:
Ibn Hajar mengkritik metodologi Ibn Hibban dalam pensahihan hadis di dua tempat:
Pertama (Lihat: Ibn Hajar, al-Nukat, jld. 1, hlm 290):
فلم يلتزم ابن خزيمة وابن حبان في كتابيهما أن يخرجا الصحيح الذي اجتمعت فيه الشروط التي ذكرها المؤلف، لأنهما ممن لا يرى التفرقة بين الصحيح والحسن، بل عندهما أن الحسن قسم من الصحيح لا قسيمه. وقد صرح ابن حبان بشرطه. وحاصله: أن يكون راوي الحديث عدلا مشهورا بالطلب غير مدلس سمع ممن فوقه إلى أن ينتهي. فإن كان يروي من حفظه فليكن عالما بما يحيل المعاني فلم يشترط على الاتصال والعدالة ما اشترطه المؤلف في الصحيح من وجود الضبط ومن عدم الشذوذ والعلة.
Maksudnya: Ibn Khuzaimah dan IBN HIBBAN tidak melazimi dalam kitab mereka untuk mengeluarkan (hadis) sahih yang terkandung padanya syarat-syarat yang disebutkan oleh penulis (Ibn al-Solah). Kerana mereka berdua tidak membezakan antara (hadis) sahih dan hasan bahkan (hadis) hasan satu satu bahagian dari (hadis) sahih bukan bahagian yang lain. Ibn Hibban menjelaskan syarat (hadis sahih) nya yang hasilnya ialah:
Perawi hadis mestilah adil masyhur sebagai penuntut (ilmu hadis), bukan mudallis, mendengar dari syeikhnya sehingga ke akhir (sanad).
Jika dia meriwayatkan dari ingatannya, hendaklah dia mengetahui perkataan yang mengubah makna.
(Komentar Ibn Hajar) Ibn Hibban tidak mensyaratkan selain syarat bersambungnya sanad dan adil apa yang disyaratkan oleh penulis (Ibn al-Solah) iaitu wujudnya sifat al-Dhabt (kekuatan ingatan) dan tidak ada sifat syaz (ganjil) dan al-'Illah (kecacatan tersembunyi).
Kedua (Lihat: Ibn Hajar, al-Nukat, jld. 2, hlm 688):
وجزم ابن حبان والحاكم وغيرهما بقبول زيادة الثقة مطلقا في سائر الأحوال سواء اتحد المجلس أو تعدد، سواء أكثر الساكتون أو تساووا.
وهذا قول جماعة من أئمة الفقه والأصول، وجرى على هذا الشيخ محيى الدين النووي في "مصنفاته".
وفيه نظر كثير؛ لأنه يرد عليهم الحديث الذي يتحد مخرجه فيرويه جماعة من الحفاظ الأثبات على وجه، ويريه ثقة دونهم في الضبط والإتقان على وجه (يشمل على زيادة) تخالف ما رووه إما في المتن وإما في الإسناد، فكيف تقبل زيادته وقد خالفه من لا يغفل مثلهم عنها لحفظهم أو لكثرتهم
Maksudnya: Ibn Hibban, al-Hakim dan selain mereka memutuskan penerimaan pertambahan perawi tsiqah (dalam hadis) secara mutlak dalam semua keadaan samada majlis (pembacaan hadis) itu sekali atau berbilang, samada yang diam (dari menambah apa-apa dalam hadis) itu lebih ramai (dari perawi yang menambah) atau sama bilangannya.
Ini adalah pandangan sebilangan dari ULAMA FIQH DAN USUL. Dan Imam Muhyiddin al-Nawawi berjalan atas pandangan ini dalam kitab-kitabnya.
DAN PADA PANDANGAN INI PENELITIAN (KRITIKAN) YANG BANYAK kerana telah menolak (pandangan) mereka hadis yang diriwayatkan dengan satu jalur, sebilangan huffaz yang kuat ingatan meriwayatkan secara satu cara dan seorang tsiqah yang ingatannya dan ketekunannnya tidak sekuat mereka meriwayatkan dengan satu cara yang lain dengan tambahan yang bercanggah dari apa yang mereka riwayatkan samada pada matan atau PADA SANAD. Bagaimana pula tambahannya diterima sedangkan orang yang tidak mungkin leka dengan tambahan itu kerana hafalan mereka (yang kuat) dan bilangan mereka yang ramai telah menyanggahi riwayatnya?
Ibn Hajar menyatakan pula metodologi muhaddithin:
والذي يجري على قواعد المحدثين أنهم لا يحكمون عليه بحكم مستقل من القبول والرد، بل يرجحون بالقرائن كما قدمناه في مسألة تعارض الوصل والإرسال.
Maksudnya: Pandangan yang berjalan DI ATAS KAEDAH MUHADDITHIN IALAH MEREKA TIDAK MENGHUKUM APA-APA TAMBAHAN DENGAN HUKUM YANG TERSENDIRI (UMUM) SAMADA MENERIMA ATAU MENOLAK. BAHKAN MEREKA MENDAHULUKAN (MANA-MANA RIWAYAT) DENGAN PETUNJUK/BUKTI SEPERTI MANA YANG KITA BINCANGKAN SEBELUM INI DALAM ISU PERCANGGAHAN MAUSUL DAN MURSAL. (Lihat: Ibn Hajar, al-Nukat, jld. 2, hlm 688)
b. syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah:
ومن أصحاب الصحاح الذي لم يشترطوا نفي الشذوذ والعلة في الحديث الصحيح : الحافظ ابن حبان وشيخه ابن خزيمة رحمهما الله تعالى
Maksudnya: Di antara penulis kitab sahih yang tidak meletakkan syarat ternafinya sifat syaz (ganjil) dan 'illah (cacat) pada hadis sahih ialah al-Hafiz Ibn Hibban dan syeikhnya Ibn Khuzaimah -moga Allah rahmati mereka-.
iv. Jika saudari Shufiyyah menyatakan beliau mengikut metodologi fuqaha' dan ulama usul dalam isu ini maka saya nukilkan kalam al-'Alaie (seperti yang dinukilkan oleh Ibn Hajar) supaya saudari Shufiyyah boleh menjawabnya:
فالذي يسلكه كثير من أهل الحديث بل غالبهم جعل ذلك علة مانعة من الحكم بصحة الحديث مطلقا، فيرجعون إلى الترجيح لإحدى الروايتين على الأخرى، فمتى اعتضدت إحدى الطريقين بشيء من وجوه الترجيح حكموا لها و إلا توقفوا عن الحديث وعللوه بذلك...وأما أئمة الفقه والأصول ، فإنهم جعلوا إسناد الحديث ورفعه كالزيادة في متنه (يعني كما تقدم تفصيله عنهم)
ويلزم على ذلك قبول الحديث الشاذ كما تقدم.
Maksudnya: Pandangan yang dilalui oleh ramai daripada Ahli Hadis bahkan majoriti mereka ialah menjadikan ia (percanggahan tambahan pada sanad dan matan) sebagai kecacatan yang menghalang untuk dihukum (sesuatu hadis) sebagai sahih secara mutlak. Mereka kembali kepada proses tarjih salah satu dari riwayat itu ke atas riwayat yang lainnya. Maka bila saja salah satu jalur darinya dikuatkan dengan salah satu dari wajah tarjih mereka akan memilihnya dan jika tidak mereka akan bertawaqquf (meninggalkan keduanya) dan mencacatkan hadis itu kerana percanggahan...adapun ulama fiqh dan usul mereka menjadikan periwayatan hadis secara mausul (yang bercanggah dengan mursal) dan menjadikannya marfu' (menyandarkannya kepada Nabi sallallah alaih wasallam yang bercanggah dengan riwayat lain yang menjadikannya kalam sahabat) seperti tambahan pada matannya (iaitu seperti yang telah berlalu penjelasannya). Maka wajib bagi mereka kerana memilih pandangan ini menerima hadis syaz (ganjil) seperti yang telah berlalu. (Lihat: Ibn Hajar, al-Nukat, jld. 2, hlm 712)
Maka adakah saudari Shufiyyah bersedia mensahihkan hadis syaz?
2. Saudari Shufiyyah menyatakan lagi:
"Riwayat Muhamamd bin ‘Amr yang dipermasalahkan ini sebenarnya memiliki mutaba’ah sahih sebagai berikut, imam Bukhari meriwayatkan :
حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ حَدَّثَنَا أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَبَّلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ وَعِنْدَهُ الْأَقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ التَّمِيمِيُّ جَالِسًا فَقَالَ الْأَقْرَعُ إِنَّ لِي عَشَرَةً مِنْ الْوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ أَحَدًا فَنَظَرَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ مَنْ لَا يَرْحَمُ لَا يُرْحَمُ
Riwayat ini melalui jalur az-Zuhri, dan ini menunjukkan makhraj haditsnya tidak hanya satu melainkan lebih dari satu. Meskipun matan hadits tidak menyebutkan nabi menjelirkan lidah, namun syahid ini semisal atau semakna dengan hadits menjelirkan lidah “. Bisa saja kemungkinan terjadi dua perkara tersebut, Nabi mencium dan Nabi menjelirkan lidah kepada Hasan. Ini tidaklah mustahil."
Saya jawab:
i. Saya sebenarnya sudh lama menjumpai hadis al-Zuhri ini. Tetapi saya sengaja tidak mahu menyebutnya dalam artikel yang lepas kerana saya beranggapan hadis ini pasti akan digunakan oleh penyelidik ARG ini. Ternyata benar sangkaan saya. Sememangnya penyelidik ini menyatakan hadis ini setelah tidak ada bukti lain yang menyokong dakwaannya.
ii. Tidakkah saudari tahu bahawa sebenarnya hadis ini menjadikan hadis Muhammad bin 'Amr menjadi lebih daif? Apa buktinya? Saya nyatakan seperti berikut:
a. Di mana dalam hadis ini yang menyatakan Nabi sallallah alaih wasallam menjelirkan lidahnya kepada Hasan atau Husain? Hadis ini menyatakan bahawa baginda mencium Hasan. Ini membuktikan Muhammad bin 'Amr tidak mengingati betul hadis ini.
b. al-Zuhri menyebut bahawa kisah ini antara Nabi sallallah alaih wasallam dengan al-Aqra' bin Habis. Sebaliknya Muhammad bin 'Amr menyatakan bahawa kisah ini berlaku antara Nabi dan 'Uyaynah bin Hisn. al-Khatib al-Baghdadi menjadikan dua hadis ini sebagai percanggahan. (Lihat: al-Khatib al-Baghdadi, al-Asma' al-Mubahamah, jld. 2, hlm. 406)
c. Alasan "tidaklah mustahil" tidak menjadi hujah kerana saya juga bisa saja untuk katakan ia juga TIDAK MUSTAHIL UNTUK NABI SALLALLAH ALAIH WASALLAM UNTUK TIDAK MENJELIRKAN LIDAHNYA.
d. Apakah cukup bagi saudari untuk menggunakan sangkaan "tidak mustahil untuk berlaku" untuk menyandarkan sesuatu kepada Nabi sallallah alaih wasallam?
iii. Maka saya katakan dengan hadis al-Zuhri ini kita boleh buat kesimpulan salah 1 antara 2:
a. Kisah ini berlaku sekali dan Muhammad bin 'Amr tersilap dalam menyebut menjelir dan tertukar nama al-Aqra' kepada 'Uyaynah.
b. Kisah ini berlaku 2 kali, tetapi Muhammad bin 'Amr telah melakukan dukhul hadith fi hadith (memasukkan dua hadis dalam satu) kerana persamaan dari sudut kisah dan sanad. Lalu disandarkan kisah ini kepada Abu Hurairah sedangkan riwayat yang sebenar bag hadisnya adalah mursal.
Pilih salah satu darinya wahai ustazah penyelidik.
3. Shufiyyah menyatakan lagi:
"Kerana melihat Muhammad bin ‘Amr ini banyak ulama yang mentaustiqnya, meskipun ada sebagian ulama yang menjarhnya. Perawi semacam ini menurut jumhur ulama haditsnya dianggap hasan bukan dhaif, sebagaimana penilaian adz-Dzahabi kepada beliau :
وحديثه في عداد الحسن
“ Haditsnya dianggap hasan “[1]
Para ulama yang mantautsiq beliau secara muthlaq adalah sebagai berikut :
قال ابن المبارك : لم يكن به بأس. وقال ابن المديني : ثقة ، وكان يحيى بن سعيد يضعفه بعض الضعف. وقال أحمد بن مريم، عن ابن معين : ثقة. وقال النسائي : ليس به بأس. وقال في موضع آخر : ثقة. وقال ابن شاهين : ثقة .وثقه ابن حبان وقال : كان يخطئ . قال الذهبي في الميزان : شيخ مشهور حسن الحديث. وقال في السير : حديثه في عداد الحسن.
Para ulama yang mempermasalahkan dari segi hafalannya adalah :
قال علي بن المديني : سمعت يحيى بن سعيد القطان – وسئل عن سهيل بن أبي صالح ، ومحمد ابن عمرو بن علقمة – فقال : محمد بن عمرو أعلى منه. وقال علي : قلت ليحيى : محمد بن عمرو كيف هو ؟ قال : تريد العفو أو تشدد ؟ قلت : لا بل أشدد ، قال : ليس هو ممن تريد ، وكان يقول : حدثنا أشياخنا أبو سلمه ، ويحيى بن عبد الرحمن بن حاطب. قال يحيى : وسألت مالكاً عن محمد ابن عمرو ، فقال فيه نحواً مما قلت لك.
وقال إسحاق بن حكيم : قال يحيى القطان : و أما محمد بن عمرو فرجل صالح ليس بأ حفظ الناس للحديث.
وقال ابن سعد : كان كثير الحديث ، يستضعف.
واختلف فيه قول ابن معين ، ووثقه كما سبق ، وقال أبو بكر بن أبي خيثمه : سئل يحيى بن معين عن محمد بن عمرو ، فقال : مازال الناس يتقون حديثه. قيل له: وما علة ذلك ؟ قال : كان يحدث مرة عن أبي سلمه بالشيء من رأيه ، ثم يحدث به مرة أخرى عن أبي سلمه ، عن أبي هريرة.
وقال ابن معين أيضا ابن عجلان أوثق من محمد بن عمرو ومحمد بن عمرو أحب إلي من محمد بن إسحاق.
قال إبراهيم بن يعقوب الجور جاني : ليس بقوي الحديث ويُشْتَهى حديثه.
وقال يعقوب بن شيبة هو وسط ، وإلى الضعف ما هو.
Kesimpulan saya (shafiyyah) :
Muhammad bin ‘Amr ini shaduq, akan tetapi hafalannya sedikit kacau. Namun beliau tidak diikutkan dalam derajat perawi lemah (dhu’afaa). Beliau tengah-tengah antara perawi sahih dan perawi lemah".
Saya jawab:
i. Saya keliru dengan nukilan beliau ini. Bukankah saya sudah jawab isu ini dalam artikel yang lepas. Ataupun beliau tidak faham apa yang saya jelaskan?
ii. Penilaian tausiq secara mutlak perlu disesuaikan dengan kritikan ulama pada ingatannya secara khusus. Tambahan pula imam Ahmad mengkritik beliau kerana selalu terlupa hingga meriwayatkan hadis mursal secara mausul. Adakah saudari Shufiyyah hendak melupakan kalam Imam Ahmad dan Yahya bin Maein dalam kritikan mereka kepada Muhammad bin 'Amr? Adakah ini yang dinamakan penyelidik?
4. Shufiyyah menyatakan lagi:
"Dan kalimat yukhti’ itu bukan berarti tidak tsiqah, oleh sebab itu Ibnu Hibban menilai hadits menjelirkan lidah ini hadits sahih, meskipun beliau menilai Muhamamd bin ‘Amr itu KAANA YUKHTHI’.[2] Dan bahkan beliau pun memasukkan Muhammad bin ‘Amr ini ke dalam ats- Tsiqaatnya.
Dan ini menunjukkan bahwa perbedaan penyebutan nama dalam matan Hasan atau Husain tidaklah bermasalah bagi beliau, nyatanya beliau mensahihkan hadits tersebut dalam sahihnya".
Saya jawab:
i. Ini juga satu keajaiban bagi saya. Tidakkah saudari tahu bahawa sifat benar (soduq) sahaja tidak cukup untuk menilai hadis seorang perawi sebagai hasan?
ii. Adakah dengan sifat benar ini kita perlu untuk menilai benar semua kesilapannya? Apakah kesilapan boleh dinilai betul? Bagaimana penyelidik boleh keliru sampai begini sekali?
iii. Adapun pensahihan Ibn Hibban saya telah pun jawab sebelum ini. Beliau adalah muhaddith yang bermudah-mudah dalam mensahihkan hadis sehingga tidak melihat kepada 'illah (cacat tersembunyi) dan syaz (ganjil).
5. Saudari Shufiyyah menjelaskan lagi:
"Salah besar jika kamu memuthlakan kalimat Abu Hatim “ Shalihul Hadits “, adalah bukan menjadi hujjah. Memang terkadang beliau ketika mengucapkan kalimat itu, maksudnya adalah hadits itu baik untuk dijadikan i’tibar dalam syawahid dan mutaba’at dan tidak dijadikan hujjah ketika menyendiri. Namun tidak benar jika memuthlakkannya, kerana terkadang beliau juga bermaksud baik haditsnya untuk dijadikan hujjah walaupun infirad seperti contoh perawi Shalih as-Samman yang disebut oleh beliau :
صالح الحديث، يُحتجُّ بحديثه
“ Shalihul hadits dan dijadikan hujjah haditsnya “
Juga Ibn Suhaim at-Tamimi yang terkadang disebut oleh beliau sebagai Shalihul Hadits tapi di lain tempat beliau disebut tsiqah oleh Abu Hatim. Semua ini bergantung dengan qarinah-qarinah yang ada. Dalam Isu Muhammad bin ‘Amr ada banyak qarinah di antaranya para ulama banyak mentautsiqnya meskipun ada juga yang mendhaifkannya. Beliau meniai kalimat Shalihul Hadits sebagai lafadz ta’dil dan ini diikuti oleh imam as-Suyuthi. Adapun jawaban Abu Hatim atas anaknya Abdurrahman tentang pertanyaannya shalihul hadits namun dijawab oleh ayahnya itu dengan “ wa lakun huwa shalihul hadits “, maka ini jelas menunjukkan lafaz shalih adalah di bawah lafadz laa ba-sa bih. Bukan berarti tidak boleh dijadikan hujjah. Bahkan al-Mizzi mengakui bahwa sebagian ulama menjadikannya hujjah :
روى له البخاري مقرونا بغيره ، ومسلم في المتابعات ، واحتج به الباقون
“ Imam Bukhari meriwayatkan darinya secara bersamaan dengan riwayat lainnya, dan Muslim di dalam mutaba’at, dan sebagian ulama menjadikannya hujah “.[3]
Saya jawab:
i. Saya menukilkan kalam anak Abu Hatim sendiri iaitu Ibn Abi Hatim dalam memaknakan lafaz Salih al-Hadith. Jika kamu menuduh saya melakukan salah besar maka kesalahan itu bukan kesalahan saya sebaliknya kesalahan Ibn Abi Hatim. Adakah anda lebih mengenali Abu Hatim berbanding anaknya sendiri?
ii. Masalah anda ialah anda cuba untuk mengambil status perawi yang umum untuk menilai benar hadisnya. Ia silap bagi pandangan saya. Ini kerana status umum bagi perawi berbeza dari kita menilai hadisnya secara khusus. Sebagai contoh, Ma'mar bin Rasyid seorang yang tsiqah dan hadisnya diterima. Tetapi tidak bermakna semua hadisnya sahih khususnya yang terbukti beliau tersilap dalam riwayatnya seperti riwayatnya dari orang-orang Basrah.
iii. Saya bawakan kalam Ibn Abi Hatim dan al-Zahabi dalam memaknakan Salih al-Hadith bukan untuk memutlakkan semata. Tetapi untuk bagi anda tahu bahawa anda tersalah faham maksud kalam al-Zahabi. Anda meletakkan kalam al-Zahabi bukan pada tempatnya semata-mata untuk mentsiqahkan Muhammad bin 'Amr. Seperti mana nasihat anda kepada saya jangan mutlakkan salih al-Hadith sebagai perawi yang hadisnya bukan hujah, saya juga ingin pulangkan nasihat itu kepada kamu semula bahawa jangan juga mutlakkan istilah salih al-hadith sebagai hadisnya menjadi hujah.
iv. Sepatutnya apabila kita berjumpa isu sebegini maka kita sebagai penuntut ilmu harus menyelesaikan percanggahan ini dengan mengharmonikannya. Kaedah umum bagi istilah Salih al-Hadith bagi Abu Hatim ialah hadisnya diriwayatkan sebagai i'tibar seperti yang dijelaskan oleh Ibn Abi Hatim. Namun, jika ada petunjuk bahawa Abu Hatim berhujah dengan hadis perawi yang digelarkan sebagai Salih al-Hadith maka ia dikecualikan dari kaedah umum. Mudah bukan? Jadi berbalik kepada isu Muhammad bin 'Amr ini. Di mana Abu Hatim berkata beliau berhujah dengan hadisnya secara mutlak? Saya menjumpai sebaliknya. Lihat nukilan dari Ibn Abi Hatim berikut:
وسألت أبي عن حديث ؛ رواه محمد بن إسحاق ، عن الحارث بن عبد الرحيم بن أبي ذباب ، عن أبي سلمة ، عن عائشة ، عن النبي صلى الله عليه وسلم.
أكمل المؤمنين إيمانا أحسنهم خلقا. ورواه محمد بن عمرو ، عن أبي سلمة ، عن أبي هريرة ، عن النبي صلى الله عليه وسلم. قال أبي : حديث الحارث أشبه ، ومحمد بن عمرو لزم الطريق.
Maksudnya: Saya (Ibn Abi Hatim) bertanya ayah saya (Abu Hatim) tentang hadis yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ishaq dari al-Harith bin Abdul Rahim bin Abi Zubab dari Abu Salamah dari Aisyah dari Nabi sallallah alaih wasallam: Iman Mukminin yang paling sempurna ialah yang paling baik akhlaknnya.
Dan Muhammad bin 'Amr meriwayatkan dari Abu Salamah dari Abu Hurairah dari Nabi sallallah alaih wasallam.
Kata Abu Hatim: Hadith al-Harith lebih hampir (kepada kebenaran) dan MUHAMMAD BIN 'AMR melakukan luzum al-Tariq (Luzum al-Tariq ialah Suluk al-Jadah).(Lihat: Ibn Abi Hatim, Ilal al-Hadith, jld. 2, hlm. 267)
Saya tahu terdapat beberapa muhaddithin seperti al-Baihaqi menilai benar kedua-dua jalur ini. Ini kerana Muhammad bin 'Amr tidak bersendiri dalam riwayat ini. Sebaliknya Abu Salih juga meriwayatkan dari jalur Abu Hurairah. Cuma saya ingin nyatakan bahawa Abu Hatim jga mengkritik riwayat Muhammad bin 'Amr yang padanya nampak salah. Lihat nukilan berikutnya:
وسألت أبي عن حديث ؛ رواه محمد بن أبي عدي ، عن محمد بن عمرو ، عن ابن شهاب الزهري ، عن عروة ، عن فاطمة ، أن النبي قال لها : إذا رأيت الدم الأسود فأمسكي عن الصلاة ، وإذا كان الأحمر فتوضئي. فقال أبي : لم يتابع محمد بن عمرو على هذه الرواية ، وهو منكر.
Maksudnya: Saya (Ibn Abi Hatim) bertanya ayah saya tentang hadis yang diriwayatkan Muhammad bin Abi Adiyy dari Muhammad bin 'Amr dari Ibn Syihab al-Zuhri dari Urwah dari Aisyah: Sesungguhnya Nabi sallallah alaih wasallam bersabda kepadanya: Apabila kamu melihat darah hitam maka berhentilah dari solat, apabila (nampak) darah merah maka berwuduklah.
Kata Abu Hatim: Muhammad bin 'Amr tidak mempunyai mutabaat dalam riwayat ini, ia munkar. (Lihat: Ibn Abi Hatim, Ilal al-Hadith, jld. 1, hlm. 50)
Lihat pula nukilan berikut:
وسألت أبي ، وأبا زرعة ، عن حديث ؛ رواه محمد بن عمرو ، عن أبي سلمة ، عن أبي هريرة ، أن النبي صلى الله عليه وسلم خطب بالحزورة ، فقال : إنك أحب أرض الله إلي ، ولولا أني أخرجت ما خرجت منه.
فقالا : هذا خطأ ، وهم فيه محمد بن عمرو.
ورواه الزهري ، عن أبي سلمة ، عن عبد الله بن عدي بن الحمراء ، عن النبي صلى الله عليه وسلم ، وهو الصحيح.
Maksudnya: Saya (Ibn Abi Hatim) bertanya ayah saya dan Abu Zur'ah tentang hadis yang diriwayatkan oleh Muhammad bin 'Amr dari Abu Salamah dari Abu Hurairah sesungguhnya Nabi sallallah alaih wasallam berkhutbah di Hazwarah (satu pasar di Mekah) seraya berkata: Sesungguhnya engkau adalah bumi yang paling dicintai di sisi Allah. Jika tidak kerana aku dikeluarkan aku tidak akan keluar darimu.
Mereka berdua (Abu Hatim dan Abu Zur'ah) berkata: Hadis ini silap. Telah tersilap Muhammad bin 'Amr. al-Zuhri telah meriwayatkannya dari Abu Salamah dari Abdullah bin Adiy bin al-Hamra' dari Nabi sallallah alaih wasallam dan ia adalah yang sahih. (Lihat: , Ilal al-Hadith, jld. 1, hlm. 280)
Dalam semua nukilan ini, cuba jelaskan kepada saya mengapa Abu Hatim menghukum daif hadis-hadis Muhammad bin 'Amr? Jika benar beliau menyatakan Muhammad bin 'Amr adalah perawi yang kukuh ingatannya, mengapa dalam nukilan-nukilan ini beliau memilih riwayat lain? Kerana jelas bahawa Muhammad bin 'Amr dalam ketiga-tiga hadis ini tidak dapat mengingati dengan baik hadisnya.
v. Manakala saranan anda untuk kita mencari bukti dan petunjuk bagi menilai kedudukan hadisnya saya bersetuju. Namun di mana buktinya dalam hadis ini bahawa Muhammad bin 'Amr tidak melakukan kesilapan? Saya letih menunggu dalam 3 artikel dari pihak anda tetapi sehingga sekarang tidak ada sebarang sokongan terhadap hadis ini.
vi. Manakala kalam anda:
"Bahkan al-Mizzi mengakui bahwa sebagian ulama menjadikannya hujjah :
روى له البخاري مقرونا بغيره ، ومسلم في المتابعات ، واحتج به الباقون
“ Imam Bukhari meriwayatkan darinya secara bersamaan dengan riwayat lainnya, dan Muslim di dalam mutaba’at, dan sebagian ulama menjadikannya hujah “
Saya jawab seperti berikut:
i. Itulah kekeliruan anda. Anda bercakap tentang status Muhammad bin 'Amr secara umum. Saya pula menilai adakah Muhammad bin 'Amr benar-benar mengingati hadis jeliran lidah ini. Sudah saya jelaskan tadi bahawa status umum beliau sebagai soduq (benar) tidak menjadikan kesilapannya sebagai betul. Silap tetap silap!
ii. Manakala riwayat Bukhari hadis Muhammad bin 'Amr secara maqrun (digabung dengan riwayat orang lain) dan Muslim dalam mutabaat juga tidak membantu hujah anda wahai ustazah. Adakah anda tidak tahu bahawa antara metodologi al-Bukhari ialah al-Intiqa'? al-Intiqa' bermaksud memilih iaitu imam al-Bukhari dan Muslim memilih riwayat dari perawi daif ringan yang mereka pasti setelah melakukan penelitian bahawa perawi-perawi tersebut tidak tersilap dalam hadis mereka. Ambil contoh Ismail bin Abu Uwais. Beliau daif tetapi imam al-Bukhari meriwayatkan dari secara maqrun dalam sahihnya selepas mendapati beliau tidak tersilap dalam riwayat itu. (Lihat: Ibn al-Mulaqqin, al-Muqni', hlm. 248, al-Judai', Tahrir Ulum al-Hadith, jld. 3, hlm. 127)
iii. Begitu juga perawi yang al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis mereka secara mutabaat. Penuntut ilmu hadis perlu tahu bahawa syarat hadis mutabaat tidak setinggi syarat hadis usul. Bahkan diakui oleh Ibn Hajar bahawa perawi mutabaat ini ada yang daif tetapi Bukhari dan Muslim riwayatkan hadis mereka selepas mendapati mereka mengingati hadis mereka dengan baik. (Lihat: Ibn ajar, al-Nukat, jld. 1, hlm. 287-288)
iii. Walaupun al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari mereka, ia tidak menjadikan semua hadis mereka itu sahih secara mutlak. Lihat apa kata Abu Bakar al-Kafi setelah meneliti metodologi al-Bukhari dalam thesisnya:
وهذا المنهج يعرف بمنهج الانتقاء من أحاديث الضعفاء، أي أن حديث الضعيف لا يرد جملة ولا يقبل جملة. وإنما يقبل ما صح من حديثه فقط. كما أن الثقة لا تقبل أحاديثه مطلقاً فيقبل ما أصاب فيه ويرد ما أخطأ فيه.
Maksudnya: Inilah yang dinamakan dengan metodologi al-Intiqa' dari hadis-hadis perawi daif. Iaitu hadis perawi daif tidak ditolak kesemuanya dan tidak diterima semuanya. Yang diterima apa yang sahih daripadanya sahaja. Seperti mana perawi tsiqah tidak diterima hadis-hadisnya secara mutlak. Yang diterima apa yang betul dalam riwayatnya dan ditolak apa yang silap. (Lihat: Abu Bakar al-Kafi, Manhaj al-Bukhari, hlm. 144)
Maka saya katakan bahawa: ya, Muhammad bin 'Amr soduq dan ada kesilapan. Maka kita tolak kesilapannya dan kita terima riwayatnya yang tidak silap.
iv. Manakala kalam al-Mizzi (alhamdulillah tidak ada lagi menyebut namanya al-Mazi seperti dalam artikel yang lepas-lepas): "sebagian ulama menjadikannya hujah" juga tidak membantu saudari Shufiyyah. Dan ia bukan titik perbincangan kita. Di mana dalam nukilan ini menunjukkan mereka menerima dan berhujah menggunakan riwayat Muhammad bin 'Amr yang silap? Nukilan saya dari al-Daraqutni (dalam artikel yang lepas) dan dari Abu Hatim membuktikan bahawa mereka menolak riwayat Muhammad bin 'Amr yang silap dan menerima riwayat yang betul. Maka riwayat yang betul dari Muhammad bin 'Amr dalam hadis jeliran lidah ini ialah riwayat yang mursal.
Kesimpulan
Nasihat saya kepada saudari Shufiyyah supaya belajarlah ilmu 'ilal hadith dan belajar juga dari orang lain walaupun dari orang yang kamu anggap musuh dan jahil kerana kadang-kadang orang yang andda anggap jahil pandai dalam bidang yang kamu jahil tentangnya. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment