Monday, 15 September 2014

Status Hadis Kelebihan Memotong Kuku Pada Hari-hari Tertentu

Gambar Hiasan


Mungkin ramai yang tertanya-tanya tentang hadis yang menyatakan kelebihan memotong kuku pada hari-hari tertentu. Bahkan ramai juga yang bertanya saya tentang statusnya. Berdasarkan kajian saya maka dapat rumuskan bhawa hadis berkaitan isu ini diriwayatkan dari beberapa jalur berikut:

1. Jalur Abu Hurairah

Diriwayatkan dari Abu Hurairah dari 2 jalur:

- Jalur pertama dengan lafaz:

 " من قلم أظفاره يوم السبت خرج منه الداء ودخل فيه الشفاء، ومن قلم أظفاره يوم الاحد خرجت منه الفاقة
ودخل فيه الغنى، ومن قلم أظفاره يوم الاثنين خرجت منه العلة ودخلت فيه الصحة، ومن قلم أظفاره يوم الثلاثاء خرج منه البرص ودخل فيه العافية، ومن قلم أظفاره يوم الاربعاء خرج الوسواس والخوف ودخل فيه الامن والصحة، ومن قلم أظفاره يوم الخميس خرج منه الجذام ودخل فيه العافية، ومن قلم أظفاره يوم الجمعة دخلت فيه الرحمة وخرج منه الذنوب ".

Maksudnya: Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Sabtu maka akan keluar darinya penyakit dan masuk ke dalamnya penawar. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Ahad maka akan keluar darinya kemiskinan dan masuk ke dalamnya kekayaan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Isnin maka akan keluar darinya kecacatan dan masuk ke dalamnya kesihatan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Selasa maka kan keluar darinya penyakit sopak dan akan masuk ke dalamnya kesembuhan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Rabu akan keluar darinya penyakit waswas dan ketakutan dan akan masuk ke dalamnya keamanan dan kesihatan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Khamis akan keluar darinnya penyakit kusta dan akan masuk ke dalamnya kesembuhan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat maka akan masuk ke dalamnya rahmat dan keluar darinya dosa-dosa.

Hadis ini PALSU. Berikut komentar ulama hadis terhadapnya:

Kata Ibn al-Jauzi:

هذا حديث موضوع على رسول الله صلى الله عليه وسلم، وهو من أفبح الموضوعات

Maksudnya: Hadis ini palsu ke atas Nabi sallallah alaih wasallam. Dan ia antara seburuk-buruk hadis palsu. (Rujuk: al-Maudhu'at, jld. 3, hlm. 53)

Kata al-Syaukani:

هو موضوع في إسناده وضاعان ومجاهيل فقبح الله الكذابين وقبح ألفاظهم الساقطة وكلماتهم الركيكة

Maksudnya: Hadis ini palsu. Pada sanadnya terdapat dua orang pendusta (iaitu Abu 'Ismah Nuh bin Abi Maryam dan Hannad). Semoga Allah memburukkan golongan pendusta dan memburukkan lafaz-lafaz mereka yang gugur dan kalimah-kalimah mereka yang jelek. (Rujuk: al-Fawaid al-Majmu'ah, hlm. 197)

- Jalur kedua dengan lafaz:

كان يقلم أظفاره، ويقص شاربه قبل أن يخرج إلى الجمعة.

Maksudnya: (Nabi sallallah alaih wasallam) memotong kuku dan memotong misainya sebelum keluar solat Jumaat.

Hadis ini daif kerana terdapat perawi yang bernama Ibrahim bin َQudamah al-Jumahi. Beliau tidak dikenali. Maka al-Bazzar dan Ibn Hajar menghukumnya daif. (Rujuk: al-Bazzar, al-Bahr al-Zakkhar, jld. 2, hlm. 424, Ibn Hajar, Fath al-Bari, jld. 10, hlm. 346)

2. Jalur Ibn Abbas:

طلحة بن عمرو عن عطاء عن ابن عباس أن النبي صلى الله عليه وسلم قال من قلم أظافيره يوم الجمعة قبل الصلاة أخرج الله منه كل داء وأدخل مكانه الشفاء والرحمة.

Maksudnya: Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat maka Allah akan mengeluarkan darinya semua penyakit dan memasukkan di tempat (penyakit itu) penawar dan rahmat.

Hadis ini terlalu lemah kerana terdapat perawi bernama Talhah bin 'Amr. Beliau dinilai matruk (terlalu daif sehingga riwayatnya ditinggalkan) oleh Ibn Hajar. (rujuk: Taqrib al-Tahzib, jld. 2, hlm. 283)

3. Jalur Aisyah:

حدثنا عبد الرحمن بن سلم قال حدثنا أحمد بن ثابت فرخويه الرازى قال حدثنا العلاء بن هلال الرقي قال حدثنا يزيد بن زريع عن ايوب عن بن ابي مليكة عن عائشة قالت قال رسول الله صلى الله عليه و سلم من قلم اظفاره يوم الجمعة وقى من السوء إلى مثلها

Maksudnya: Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat maka dia dilindungi dari keburukan sehingga Jumaat berikutnya.

Hadis ini palsu kerana terdapat perawi pendusta yang bernama Ahmad bin Tsabit Farkhuyah. (Rujuk: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 2, hlm. 44, al-Zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 1, hlm. 86)

4. Jalur Ibn Mas'ud:

Diriwayatkan dari Ibn Mas'ud melalui 2 jalur:

- Jalur al-Salih bin Bayan dari al-Mas'udi Ibn Hamid al-Himyari dari ayahnya dari Abdullah bin Mas'ud:

من قص اظفاره واحدّ من شاربه كل يوم جمعة ادخل الله فيه شفاء وأخرج منه داء


Maksudnya: Dikatakan sesiapa yang memotong kukunya dan menipiskan misainya pada setiap hari Jumaat maka Allah akan memasukkan ke dalamnya penawar dan mengeluarkan darinya penyakit.

Hadis ini terlalu daif kerana terdapat perawi yang bernama ٍSalih bin Bayan. Beliau perawi matruk (yang ditinggalkan riwayatnya) dan beliau bersendiri dalam riwayat ini. Oleh itu, al-Daraqutni menghukumnya sebagai terlalu daif. (Rujuk: Ibn al-Jauzi, al-'Ilal al-Mutanahiah, jld. 1, hlm. 461)

- Jalur Ali bin Asim dari al-Mas'udi dari Ibn Hamid al-Himyari dari ayahnya:

حدثنا محمد بن أحمد المروزي ، نا عاصم بن علي ، نا المسعودي ، عن ابن حميد الحميري ، عن أبيه ؛ قال: كان يقال : من قلم أظفاره يوم الجمعة ، أخرج الله تعالى منه داء وأدخل فيه شفاء

Maksudnya: Dikatakan sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat maka Allah akan mengeluarkan darinya penyakit dan memasukkan ke dalamnya penawar.

Riwayat ini daif kerana beberapa sebab:

i. Riwayat ini mursal kerana Hamid al-Himyari bukanlah sahabat. Beliau juga tidak menyandarkan lafaz ini kepada Nabi sallallah alaih wasallam maka ia bukanlah hujah.

ii. Terdapat perawi yang bernama al-Mas'udi. Beliau dihukum sebagai perawi yang nyanyuk di akhir hayatnya. Asim bin Ali pula sememangnya mendengar hadis dari al-Mas'udi selepas beliau ditimpa penyakit nyanyuk. (Rujuk: Ibn Rajab al-Hanbali, Syarah 'Ilal al-Tirmizi, jld. 2, hlm. 748)

5. Jalur Abu Jaafar al-Baqir

al-Baihaqi meriwayatkan dari jalur Abu Jaafar dengan lafaz:

كان رسول الله صلى الله عليه و سلم يستحب أن يأخذ من شاربه وأظفاره يوم الجمعة

Maksudnya: Nabi sallallah alaih wasallam suka memotong misainya dan kukunya pada hari Jumaat.

Hadis ini daif kerana ia mursal (sanadnya terputus). (Lihat: Ibn Hajar, Fath al-Bari, jld. 10, hlm. 346)

Kesimpulan

Maka jelas di sini tiada satu hadis pun yang sahih berkaitan kelebihan memotong kuku pada hari-hri tertentu. Fadhilat memotong pada hari tertentu itu tidak sahih dari mana-mana hadis. Kata al-Sakhawi:

لم يثبت في كيفيته، ولا في تعيين يوم له، عن النبي صلى الله عليه وسلم شيء

Maksudnya: Tidak sahih (dalam bab memotong kuku) satu hadis pun dari nabi sallallah alaih wasallam pada kaifiat (memotongnya) dan juga pada menentukan hari (memotongnya) (Rujuk: al-Sakhawi, al-Maqasid al-Hasanah, hlm. 489)

Namun, perbuatan memotong kuku ini adalah perkara fitrah yang dianjurkan oleh Islam. Potonglah kuku kerana Islam sentiasa menganjurkan kebersihan tambahan pula pada hari Jumaat orang Muslim berkumpul di masjid untuk mendengar khutbah. Oleh itu, sebahagian sahabat Nabi sallallah alaih wasallam dan sebahagian tabiin memotong kuku mereka pada hari Jumaat. (Rujuk: Ibn Rajab al-Hanbali, Fath al-Bari, jld. 8, hlm. 104)  Wallahu'alam

Abu Muaz Rozaimi Ramle
Sweileh, Jordan
2.22 petang
15 September 2014

No comments:

Post a Comment